You are on page 1of 6

PERUTUSAN

YH DATO HAJI MAZLAN BIN MOHAMAD PENGARAH PELAJARAN PAHANG

SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2011

TEMA 1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam sejahtera kepada semua warga sekolah, Seperti yang kita sedia maklum, 19 Februari setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan. Pengisytiharan ini dibuat oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983. Ini menunjukkan Negara kita amat komited kepada usaha dan gerakan mencapai sasaran Malaysia Bebas Dadah.

Masalah dadah bukanlah satu perkara baru. Ia telah meresapi masyarakat kita sejak sekian lama. Sebenarnya dadah merupakan satu kecelakaan yang amat besar dan boleh melumpuhkan kesejahteraan dalam kehidupan ini. Dadah akan menghancurkan kesejahteraan hidup individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Ia tidak mengenal kaum, agama, usia dan jantina.

Menyedari akan hakikat dan bahayanya dadah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan matlamat Sekolah Bebas Dadah tahun 2012. Visi Pendidikan Pencegahan Dadah ini telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan ketika itu pada 8 Januari 1998. Adalah menjadi hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan murid sifar dadah dan sekolah bebas dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan, Sehubungan dengan itu pelbagai strategi dan pendekatan pendidikan pencegahan dadah dirangka untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah. Secara umumnya strategi pendidikan pencegahan dadah di sekolah adalah berteraskan empat pendekatan iaitu Kurikulum, Kokurikulum, Pembangunan Sahsiah dan Pengurusan Kepimpinan. Gerakan membanteras dadah di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu melibatkan semua warga sekolah, ahli dan pemimpin masyarakat setempat serta semua agensi sekitar. Konsep kesepaduan bermaksud tindakan secara menyeluruh dan bersepadu dalam semua bidang.

Melalui strategi kurikulum murid-murid diberi pengetahuan dan kemahiran berkaitan bahaya dan kesan dadah semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Mesej bahaya dan kesan dadah ini boleh disampaikan ketika perhimpunan mingguan, menerusi program 5 minit anti dadah, edaran bahan-bahan bantu mengajar seperti poster,

phamplet dan sebagainya serta melalui latihan kerja yang terancang. Guru-guru juga boleh membincangkan kesan dan bahaya dadah menerusi isi pelajaran dan topik-topik yang diajar.

Melalui strategi kokurikulum pula, murid-murid perlu dilatih melibatkan diri secara aktif dalam gerak kerja persatuan dan kelab, permainan dan pasukan pakaian seragam. Latihan kemahiran dan pengetahuan perlu disusun secara sistematik bertujuan membangunkan minda, meningkatkan kesedaran agar dapat menghasilkan tindakan dan seterusnya mengekalkan tindakan untuk hidup dalam suasana yang sihat dan ceria, aktif dan harmoni. Secara amnya kita boleh mempromosikan cara hidup dan gaya hidup sihat melalui kegiatan kokurikulum. Tuan-tuan dan puan-puan, Pembangunan Sahsiah dan Jatidiri murid perlu dipertingkatkan. Para guru dan murid sewajarnya berusaha mengisi ruang pembentukan peribadi dan sahsiah melalui pendidikan kerohanian, bimbingan dan kaunseling serta mematuhi peraturan dan disiplin sekolah. Program-program peningkatan sahsiah dan jatidiri perlu diperhebat dan dimantapkan. Konsep kepimpinan melalui teladan, idola, karisma harus dipraktikkan setiap masa kerana ia akan dikuti, dipelajari dan diamalkan oleh murid sehingga menjadi sebati dan kekal sebagai sebahagian daripada perwatakan mereka. Nilai-nilai positif mesti diterapkan dan dititikberatkan sepanjang masa sama ada di sekolah dan di luar sekolah agar selari dengan matlamat pendidikan melahirkan insan berkualiti dan berketrampilan. Semua guru dan semua murid adalah berperanan penting untuk membangunkan sahsiah dan jatidiri masing-masing.

Melalui strategi pengurusan dan kepimpinan pula diharap dapat menggerakkan Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan peringkat sekolah bekerjasama dalam satu pasukan melalui perkongsian smart partnership dan strategic partnership untuk meningkatkan kepakaran, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan masalah yang berkaitan dadah. Oleh itu pihak pentadbir sekolah harus bergerak lebih proaktif untuk menjalankan program dan aktiviti pendidikan pencegahan. Persatuan ibu bapa dan guru, persatuan penduduk setempat dan agensi-agensi sekitar perlu memainkan peranan secara aktif dalam merangka dan melaksanakan program

pendidikan pencegahan dadah. Semua pihak perlu dilibatkan secara langsung dalam semua bentuk program pendidikan pencegahan dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan, Perkembangan terkini senario kedudukan penagih dadah, rampasan dadah, jumlah pesalah dadah dan kemunculan dadah jenis sintetik seperti Amphetamin Types Stimulants menunjukkan bahawa gejala dadah di negara kita terus berada pada tahap yang membimbangkan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan, golongan belia berumur di antara 19 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai dikesan mengambil dadah. Kementerian Pelajaran Malaysia bimbang kerana sejak akhir-akhir ini umur dikesan mula menagih sudah menurun kepada mereka yang berumur 13 tahun. Selain mencuba dadah, mereka juga diekploitasi dalam pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

Mengikut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Narkotik, PDRM, penghasilan dadah sintetik tersebut lebih bahaya daripada dadah asli. Dadah sintetik boleh mendatangkan kerosakan kekal kepada otak dan diri individu itu sendiri. Pengambilan syabu, pil kuda, ecstacy dan sebagainya boleh menyebabkan pergantungan kekal kepada dadah sehingga menyebabkan kematian. Dadah, derita awal derita akhir hayat.

Tuan-tuan dan puan-puan, Sehubungan itu, semua warga pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sekolah bebas dadah. Bagi mencapai hasrat dan tujuan ini, sekolah mestilah melahirkan murid-murid yang bukan sahaja berpengetahuan, berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai pandangan jauh dan terbuka, mampu berfikir dengan waras, membuat pilihan yang bijak untuk menghasilkan keputusan yang tepat.

Membuat penilaian, pemilihan dan keputusan yang bijak adalah satu disiplin yang baik. Murid-murid perlu diasuh dan dididik merancang jadual harian, merancang jadual perkembangan diri dan merancang kehidupan secara positif dengan mengambilkira

pentingnya faktor masa depan. Murid-murid perlu diasuh memerah minda untuk menjana idea-idea baru, inovasi dan kreatif yang dapat dimanfaatkan bersama untuk pembangunan diri dan bukannya menyerah minda untuk diisi oleh anasir-anasir jahat, dakyah-dakyah palsu, dan faktor-faktor yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

Semua pihak perlu memainkan peranan berprinsipkan semangat kolektif secara bersepadu, bersungguh-sungguh dan secara sedar menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan pencegahan dadah serta membentuk peribadi dan sahsiah terpuji murid-murid sekolah. Semoga anak-anak didik kita akan terpelihara dan bebas dari dadah, berpersonaliti unggul dan bekerjaya cemerlang. Marilah bersama-sama menyeru dan mengajak ke arah kebaikan dan bersama-sama mencegah kemungkaran.

Tuan-tuan dan puan-puan, Saya sedar bahawa tugas, peranan dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini adalah amat berat dan mencabar. Walaubagaimanapun saya amat yakin bahawa dengan semangat dan tekad yang tinggi, istiqamah dan keazaman yang jitu, gerakan secara menyeluruh dan bersepadu kita boleh berjaya. Apa yang dilaksanakan sekarang adalah untuk kecemerlangan dan kesejahteraan hidup diri, keluarga, masyarakat dan Negara.

Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia akan terus mendokong usaha kerajaan untuk menghapuskan gejala negatif ini. Strategi, pendekatan dan kaedah baru akan dikenalpasti, diteliti, dikaji dan dipraktikkan untuk memastikan murid sifar dadah dan sekolah bebas dadah.

Kementerian Pelajaran Malaysia akan terus mempertingkatkan program dan aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di semua peringkat dengan melibatkan semua agensi sesuai dengan tema 1Malaysia Membanteras Dadah demi merealisasikan sekolah bebas dadah 2012.

Akhir sekali saya menyeru kepada semua warga pendidikan, jadikanlah sekolah, keluarga dan komuniti bebas daripada dadah kerana institusi inilah yang mampu

merealisasikan NEGARA BEBAS DADAH.

Berusahalah untuk menjadi modal insan

yang bernilai tinggi dengan mengatakan TIDAK KEPADA DADAH KERANA DADAH MEMBUNUH JATI DIRI DAN BUDAYA BANGSA.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah. Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

You might also like