You are on page 1of 8

ISU PENYALAHGUNAAN DADAH

1.0 PENGENALAN

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar ataupun tidak, kita telah dihidangkan dengan
pembangunan politik, ekonomi dan sosial yang semakin gah di mata dunia. Namun, di
sebalik kejayaan itu, kita acap kali tersentak dengan permasalahan penagihan dadah dalam
kalangan rakyat kita. Sudah hampir 61 tahun negara Malaysia telah mencapai
kemerdekaan. Semenjak tahun 1957 sehinggalah kini, Malaysia telah mencapai kemajuan
dalam pelbagai bidang. Namun,di sebalik semua kemajuan ini, terdapat pelbagai masalah
yang perlu dihadapi. Masalah nombor satu yang negara sedang dihadapi kini ialah
penyalahgunaan dadah. Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu
negara sejak tahun 1983 lagi. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, dadah ditakrifkan
sebagai ubat-ubatan. Dadah juga ditakrifkan sebagai bahan yang merosakkan atau
membinasakan orang yang menggunakannya berlanjutan. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa semua penagih dadah telah merosakkan diri mereka sendiri baik dari segi fizikal,
rohani, mental mahupun emosi. Kini, setelah 35 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat
dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi
jenis dadah bukan sintetik seperti heroin, morfin, candu dan ganja dan jenis sintetik seperti
syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine. Dalam sebuah akhbar online, menurut
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, kes penagihan dadah di Malaysia meningkat
14% kepada 30,847 pada 2016, berbanding 26,668 kes pada 2015.

2.0 FAKTOR

Terdapat beberapa faktor yang telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kepada
berlakunya penagihan dadah di Malaysia. Faktor persekitaran yang negatif merupakan salah
satu faktor yang menyumbang kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
Persekitaran yang negatif seperti masyarakat sekitarnya yang banyak terlibat dengan dadah
menjadi penyumbang utama kepada keinginan pelajar untuk mencuba dadah. Datuk Seri
Najib Tun Razak dalam laporan Hairulazim Mahmud (2005) mengakui masalah dadah amat
serius di kawasan tanah Felda. Remaja yang pada awalnya bebas daripada dadah mula
berjinak-jinak dengan dadah setelah melihat bagaimana dadah tersebut digunakan. Reaksi
daripada penagih yang tenang dan mengatakan bahawa dadah itu dapat melegakan
tekanan menambahkan lagi perasaan ingin mencuba pelajar. Selain itu, bekalan dadah yang
mudah didapati juga menjadi faktor pendorong remaja mula menjinakkan diri dengan dadah.
Bekalan dadah yang mudah didapati di kawasan perbandaran dan di kawasan sempadan
negara menyebabkan bekalan dadah mudah masuk ke Malaysia. Hasil tangkapan mengikut

1
statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa dadah
biasanya diseludup melalui lapangan terbang utama dan kawasan pelabuhan di Malaysia.

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan
berlakunya penagihan dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana, kajian menunjukkan ramai
pelajar yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya.
Mengikut sumber daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK ), statistik pada tahun
2015 menunjukkan 54.21 peratus penagih dadah berpunca daripada pengaruh rakan dan
berada pada kedudukan yang tertinggi iaitu sebanyak 6573 orang penagih baru dan 7203
orang penagih berulang dengan peratusan sebanyak 41.9% daripada jumlah keseluruhan
penagih. Psikologinya seseorang itu lebih mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan berbanding
dengan orang lain kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling rapat dengan pelajar.
Fenomena yang berlaku ini dapat dilihat apabila pengaruh rakan sebaya adalah sangat kuat.
Oleh itu, pemilihan rakan yang bersesuaian harus dilakukan dengan bijaksana oleh setiap
pelajar. Inginkan penerimaan daripada rakan-rakan juga menyebabkan seseorang itu mula
terlibat dengan dadah. Remaja juga inginkan kuasa atau pengaruh yang kuat daripada
rakan-rakan yang lebih berpengaruh, hal ini menjadikan mereka diterima oleh rakan sebaya.
Pengaruh rakan yang kuat menyebabkan seseorang individu tidak dapat melarikan diri
daripada terlibat dengan dadah.

Akhir sekali, sikap ibu bapa yang lalai dalam melaksanakan tanggungjawab juga telah
mendorong anak-anak untuk terlibat dalam gejala dadah ini. Hal ini memang tidak dapat
dinafikan terutamanya dalam era mengejar kemewahan dan  kesenangan hidup pada hari
ini. Ibu bapa terlalu sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan
keperluan asas yang penting untuk keluarga sehinggakan masa yang sepatutnya diluangkan
bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini demikian menyebabkan mereka rasa
dipinggirkan lalu bertindak melakukan perkara-perkara yang diluar jangkaan. Selain itu,
kurangnya didikan agama oleh ibu bapa juga menjadi salah satu penyebab mengapa
individu mudah terlibat dengan dadah. Hal ini berlaku kerana, ibu bapa tidak memberi
perhatian kepada anak mereka. Tambahan lagi, dalam dunia serba moden ini remaja sangat
terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka.
Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang
telah dilarang oleh agama. Mereka juga tidak dapat membezakan antara dosa dan pahala.
Pengetahuan tentang dosa dan azab seksaan neraka yang amat pedih dan perit yang
kurang didedahkan menyebabkan mereka tidak mempedulikan dan ambil kesah. Pepatah
melayu ada menyebut “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa seharusnya
membentuk anak mereka sejak dari kecil lagi dengan memberikan didikan yang sempurna.

2
3.0 KEBERKESANAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU DADAH

3.1 PERANAN GURU

Guru memainkan peranan yang amat penting untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
diri pelajar sejak awal persekolahan lagi supaya asas sistem nilai kukuh dan tidak mudah
runtuh. Guru bertanggungjawab untuk mengukuhkan nilai-nilai murni bagi membentuk modal
insan yang seimbang dan menyeluruh. Menurut Tan Sri Lee Lam Thye iaitu Naib Pengerusi
Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), para guru perlu sentiasa
berwaspada dan mengambil tindakan segera sekiranya mendapati pelajar terlibat dalam
penyalahgunaan dadah. Usaha untuk menyemai nilai-nilai positif termasuk menghindari
dadah perlu dilakukan pada peringkat awal terutamanya di rumah dan sekolah, supaya
generasi muda akan membesar dengan tekad untuk menjauhi bahan terlarang itu.
Guru sememangnya memikul obligasi penting untuk mencorak generasi muda kita dari segi
sahsiah dan bukannya hanya menyampaikan ilmu dalam buku teks sahaja. Keberkesanan
langkah ini adalah kurang kerana masih ramai pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan
dadah walaupun guru sudah menerapkan nilai murni dalam diri mereka. Cadangan yang
boleh dibuat adalah guru boleh melakukan kem-kem motivasi secara kerap untuk
menyedarkan pelajar-pelajar tentang kesan daripada penyalahgunaan dadah ini.

Peranan guru adalah sebagai pembimbing yang boleh membantu pelajar yang
mengalami masalah sosial.  Selain itu, kaunseling pada peringkat sekolah adalah penting
untuk membantu pelajar mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka.  Program ini akan
lebih bermakna sekiranya sekolah mempunyai kaunselor-kaunselor yang berkelayakan.
Guru sebagai "Role Model" terbaik di sekolah seharusnya mempunyai peribadi yang baik
seperti penyayang, jujur, ikhlas, empati dan sabar dalam menghadapi kerenah setiap
pelajarnya. Segelintir pelajar yang bermasalah perlu diberi perhatian serius dan
menyelesaikannya dengan cara yang bijak tanpa melukakan hati mana-mana pihak. Guru
perlu menyelami setiap permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya agar murid
menganggap guru prihatin dan mengambil berat masalah yang dihadapi. Setiap masalah
ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, seseorang guru perlu bijak menangani setiap
permasalahan agar murid merasa diri mereka dihargai. Langkah yang dilakukan ini kurang
berkesan kerana pengaruh daripada luar seperti pengaruh rakan lebih kuat dan
menyebabkan pelajar terikut-ikut dengan gejala negatif yang dibawa oleh rakan-rakan
mereka. Cadangan lain yang boleh dilakukan oleh guru untuk menyelesaikan isu
penyalahgunaan dadah ini adalah setiap guru perlu mengikuti kursus bagi mendapat ilmu
mengenai cara memberikan nasihat kepada pelajar. Ilmu ini sepatutnya dikuasai oleh semua

3
guru dan bukan hanya guru kaunseling sahaja. Sekiranya semua guru menguasai ilmu ini,
nasihat dapat disampaikan dengan lebih mudah oleh semua guru.

3.2 PERANAN MASYARAKAT

Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam pencegahan


penagihan dadah. Sebagai contoh, Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang memantau kawasan-
kawasan yang sering menjadi sarang penagihan dadah seperti di flat-flat terbiar dan
kawasan felda. Tugas masyarakat adalah untuk membuat rondaan dan melaporkan kepada
pihak berkuasa jika berlaku kes penagihan dadah. Hai ini adalah disebabkan oleh tempat-
tempat penagihan dadah seperti di rumah-rumah kosong yang perlu dihapuskan bagi
mengelakkan kes penagihan berlaku di tempat yang sama. Sebagai masyarakat yang
prihatin kita sememangnya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Namun begitu, usaha ini
juga tidak memberikan apa-apa keberkesanan. Mengikut buku Jejak-jejak Pemilu 2004
karya Denny J.A kebanyakan masyarakat mengetahui konsep ‘man-to-man marking’ yang
digunakan dalam permainan bola sepak. Konsep ini diasaskan oleh Claudio Gentile dan
telah berjaya melumpuhkan pergerakan penyerang pihak lawan ketika itu iaitu Diego
Maradona. Konsep ini boleh digunakan sebagai usaha untuk mencegah penagihan dadah.
Kita perlulah mendampingi golongan penagih dadah untuk membimbing mereka kembali ke
pangkal jalan. Ironisnya, masyarakat juga turut membantu dalam pencegahan penagihan
dadah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah individu yang dapat
membentuk peribadi anak-anak. Sabda Rasulullah SAW, “Anak-anak umpama sehelai kain
putih, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada Yahudi, Majusi atau
Nasrani”. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam
membantu usaha pencegahan penagihan dadah. Ibu bapa perlu memberikan didikan
berkaitan akhlak dan agama kepada anak mereka. Langkah ini perlu dilakukan sejak anak-
anak masih kecil lagi. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
Malaysia pernah berkata, “Teruskanlah pengukuhan peranan keluarga sebagai institusi
masyarakat yang mengimpikan satu generasi bebas dadah”. Menurut kata-kata beliau,
institusi kekeluargaan perlulah diperkukuh dan program keluarga sakinah perlulah
dilaksanakan pada setiap keluarga. Hal ini adalah demikian kerana keluarga yang berpecah
belah merupakan punca anak-anak mudah terjerumus ke dalam gejala negatif seperti
menghisap dadah. Oleh sebab itu,ibu bapa perlulah mewujudkan satu suasana harmoni
dalam institusi kekeluargaan dan mengambil tahu hal-hal peribadi anak-anak bagi
membantu kerajaan mencegah masalah penagihan dadah. Menurut saya, langkah ini amat

4
berkesan kerana sekiranya seorang anak itu diawasi dengan baik oleh ibu bapa mereka,
tidak mungkin dia akan terjerumus dengan gejala-gejala negatif ini. Namun begitu, langkah
berjaga-jaga harus diambil kerana pengaruh daripada media massa pada masa kini amatlah
luas. Banyak perkara negatif yang terdapat dalam internet. Ibu bapa juga seharusnya
mengawasi penggunaan gajet anak mereka.

Satu realiti yang memang tidak dapat diketersampingkan lagi bahawa pihak sekolah
turut membantu mencegah penagihan dadah. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam berita Astro Awani pada 15 Februari 2018, seramai
2,100 orang pelajar sekolah menengah dan rendah di 178 kawasan dikesan terlibat dalam
penyalahgunaan dadah di Malaysia. Kesemua mereka dikesan melalui ujian saringan air
kencing yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekolah-sekolah.
Impian untuk mendapat murid yang bebas daripada dadah boleh dihasilkan melalui Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, emosi,
rohani, dan intelek. Melalui falsafah ini, murid akan menjadi seorang yang berdisiplin kerana
jati diri yang telah dipupuk dalam diri. Selain itu, penerapan unsur nilai murni dalam mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral juga turut membantu mencegah amalan
penagihan dadah. Hal ini secara tidak langsung dapat merealisasikan misi kerajaan untuk
melahirkan sekolah bebas dadah menjelang tahun 2020. Keberkesanan langkah ini adalah
kurang berkesan kerana tidak semua murid dapat dibentuk dengan mudah mengikut
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Cadangan lain yang dapat dilaksanakan adalah pihak
sekolah perlu memberikan penekanan dalam mengajar subjek Sivik dan Kewarganegaraan.
Hal ini kerana subjek tersebut dianggap tidak penting dan ramai tenaga pengajar yang
bertindak menggantikan subjek tersebut dengan subjek yang lebih penting.

Seterusnya, kita sepatutnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah
membantu mencegah penagihan dadah. Karnival 6 Jahanam yang telah dirasmikan oleh
Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi adalah bertujuan untuk melahirkan sifat benci
kepada 6 jenis dadah utama iaitu ganja, syabu, heroin, morfin, opium dan kodein. Pihak
kerajaan juga perlulah komited dalam usaha membantu mencegah penagihan dadah
dengan melakukan pelbagai aktiviti dan bergiat secara aktif agar negara bebas daripada
najis dadah ini. Tanggal 19 Februari pada setiap tahun telah dipilih oleh pihak kerajaan
sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan dan secara tidak langsung dapat mengingatkan bekas
penagih dadah akan bahana dadah di samping memberi peringatan kepada masyarakat.
Pihak kerajaan juga perlu memperketatkan lagi undang-undang sedia ada seperti Akta
Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952. Dengan cara itu, masyarakat akan lebih
takut untuk terlibat daalm gejala dadah dan sekaligus mengurangkan jumlah penagih dadah
yang bertaburan di negara kita. Menurut saya, langkah yang dilakukan ini dapat

5
mengurangkan jumlah penagih yang terdapat di negara kita. Namun, bagi meningkatkan lagi
keberkesanan ini
pihak Kementerian Pendidikan perlu menjalin kerjasama dengan agensi Kementerian Dalam
Negeri seperti Agensi Antidadah Kebangsaan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia
bagi mengenalpasti gejala-gejala negatif pelajar di sekolah.    

4.0 KESIMPULAN

Sebagai penutup coretan,kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berkolaborasi dengan


pihak kerajaan persis pepatah Melayu,bagai aur dengan tebing untuk mencegah penagihan
dadah. Cuba bayangkan jikalau negara kita mengandungi ramai penagih dadah,sudah pasti
negara akan porak peranda. Pengertian pengharaman dadah ada dinyatakan dalam Islam.
Merujuk firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Janganlah kamu lemparkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah.


Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang berbuat baik”. Maksud ayat itu jelas
menunjukkan haram ke atas umat Islam menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang
membawa kebinasaan kepada tubuh badan mereka.

Umum maklum, pengambilan dadah membawa kesan-kesan buruk seperti HIV, tindakan
luar kawal, merosakkan akal fikiran, meruntuhkan agama dan sebagainya. Melihat kepada
kebinasaan akibat gejala penyalahgunaan dadah itu, maka wajib bagi kita memeranginya
kerana jiwa atau nyawa adalah amanah Allah kepada manusia. Begitu juga akal diberikan
kepada manusia yang membezakannya dengan kehidupan makhluk lain di bumi. Banyak
kes kecurian berlaku dan institusi keluarga sakinah pasti tidak akan wujud lagi. Oleh sebab
itu,langkah yang efisien dan pantas perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan hasrat
kerajaan untuk mencapai negara bebas dadah menjelang tahun 2020.

6
RUJUKAN
Denny J.A. (2006). Jejak-jejak pemilu 2004: talkshow Denny J.A. dalam dialog aktual Radio

Delta FM. PT LKiS Pelangi Aksara.

Siti Fatin Farhana Binti Ruslan. (2009). Penyalahgunaan Dadah Dalam Kalangan Remaja.

Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

Chee Kin Ling. Peranan Guru Dalam Merealisasikan Cabaran Semasa -- Gejala Sosial.

Dimuat naik pada 10 Mac 2018 daripada:

http://cikguchee9909.blogspot.my/2015/08/peranan-guru-dalam-merealisasikan.html

Dr. Aminudin Mansor. Atasi Masalah Dadah di Sekolah. Dimuat naik pada 10 Mac 2018

daripada:

http://www.utusan.com.my/rencana/forum/atasi-masalah-8232-dadah-di-sekolah-1.344761

Lee Lam Thye. Pendekatan Holistik Tangani Dadah. Dimuat naik pada 10 Mac 2018

daripada:

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pendekatan-holistik-tangani-dadah-1.572455

( ). Malaysia Catat 14% Peningkatan Penagih Dadah Tahun Lepas. Dimuat naik pada

11 Mac 2018 daripada:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/01/malaysia-catat-14-
peningkatan-penagih-dadah-tahun-lepas/

Raffi Bachik. Lebih 2,000 Pelajar Sekolah Menengah Dan Rendah Terlibat Dadah. Dimuat

naik pada 11 Mac 2018 daripada:

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lebih-2-000-pelajar-sekolah-menengah-dan-
rendah-terlibat-dadah-168300

( ). Ibu Bapa Turut Main Peranan Tangani Isu Dadah Pelajar. Dimuat naik pada 11 Mac

2018 daripada:

7
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-bapa-turut-main-peranan-tangani-isu-dadah-
pelajar-157401

You might also like