You are on page 1of 6

PENGENALAN

Pendidikan ialah penyumbang utama kepada pembangunan modal sosial dan


ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang
melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam
pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya. Oleh yang
demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menyertai
penilaian antarabangsa iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) dan
Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) untuk mengukur taraf kualiti pendidikan
negara. Gahnya dan unggulnya sistem pendidikan sesebuah negara biasanya menjadikan
Ujian PISA dan TIMSS sebagai kayu ukur dan penanda aras bagi sistem pendidikan yang
digubal. TIMSS merupakan pentaksiran antarabangsa berasaskan kurikulum Sains dan
Matematik di sekolah seluruh dunia. TIMSS menaksir murid Gred 4 (Tahun 4 di Malaysia)
dan Gred 8 (Tingkatan 2 di Malaysia) dalam dua aspek iaitu kandungan seperti Algebra dan
Geometri, dan kemahiran kognitif seperti proses berfikir, mengetahui, mengaplikasi dan
menaakul TIMSS mula dijalankan pada tahun 1995 dan pada masa ini lebih 59 buah negara
mengambil bahagian dalam TIMSS yang dijalankan setiap empat tahun. Malaysia
mengambil bahagian dalam TIMSS sejak 1999 dan hanya melibatkan murid Tingkatan 2.

Malaysia juga menyertai ujian PISA yang telah diselaraskan oleh Pertubuhan
Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang merupakan pentaksiran
antarabangsa yang diikitiraf secara meluas. PISA bertujuan menilai kemahiran murid berusia
15 tahun dalam Bacaan, Matematik dan Sains. Pentaksiran ini agak unik kerana tidak
tertumpu pada kandungan kurikulum sahaja sebaliknya turut memfokuskan kepada
keupayaan murid mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam persekitaran sebenar.
KEDUDUKAN MALAYSIA

Rajah 1.0

Analisis rasmi menujukkan pencapaian PISA 2015 amat membanggakan berbanding tahun-
tahun lain dengan peningkatan skor min dalam ketiga-tiga domain.

Rajah 2.0

Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik pada penyertaan pertama TIMSS 1999 bagi
subjek Matematik. Penyertaan seterusnya menyaksikan pencapaian menurun sebanyak tiga
kitaran. Namun pada TIMSS 2015 skor kembali meningkat sebanyak 25 mata. Pencapaian
terbaik dalam sains pula ialah pada TIMSS 2003. TIMSS 2015 telah mencatatkan lonjakan
skor sebayak 44 dan telah membaiki prestasi Malaysia.
IMPLIKASI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA TERHADAP SISTEM
PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Implikasi pertama ialah perubahan sistem pendidikan agar sentiasa bersifat dinamik
dan holistik dan sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan
persekitarannya. Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau dikenali sebagai KSSR
diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada
untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai
relevan untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Pelaksanaan KSSR menggantikan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Bagi murid sekolah menengah pula, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menyediakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
KSSR masih mengekalkan kesemua prinsip KBSR tetapi telah melakukakan
penambahbaikan iaitu kepada 6 tunjang yang terdiri daripada komunikasi, sains dan
teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan
kerohanian serta sikap dan nilai. Berdasarkan tunjang komunikasi, kemahiran berbahasa
murid dapat diasah sewaktu berinteraksi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP)
berlangsung. Antara program yang diperkenalkan adalah program pemulihan untuk murid
Tahun 2 dan 3 manakala PROTIM bagi murid tahun 4,5 dan 6. Tunjang STEM pula dapat
memupuk minat kearah bidang sains dan matematik dalam diri pelajar sekaligus dapat
melahirkan murid yang menguasai bidang kejuruteraan sains dan teknologi.

Implikasi yang seterusnya ialah standard prestasi antarabangsa dapat meningkatkan


kualiti sistem pendidikan di Malaysia. Kualiti sistem pendidikan di Malaysia dapat
ditingkatkan lagi dengan penerapan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam
setiap aspek pendidikan dan perubahan sistem pentaksiran di sekolah. Antara contoh
penggunaan elemen KBAT ialah program i-Think, pembangunan bahan sumber Hayati
Ekplorasi Aras Tinggi (HEBAT) Sains Matematik dan terutamanya penerapan unsur KBAT
ke dalam setiap penilaian pada pelbagai peringkat. Langkah mengaplikasikan KBAT semasa
proses PdP akan meningkatkan lagi prestasi negara terutamanya dalam peringkat
antarabangsa khususnya dalam ujian PISA dan TIMSS seperti yang dinyatakan dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Hal ini berikutan dapatan
pentaksiran PISA dan TIMSS jelas menunjukkan bahawa murid-murid di Malaysia sukar
untuk mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi apabila diberi situasi sebenar dalam
kehidupan. Penerapan KBAT semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) juga akan
menyebabkan proses pembelajaran yang berlangsung menjadi lebih menarik dan tidak
membosankan serta melatih murid kearah menguasai daya pemikiran yang kreatif, logikal,
reflektif dan meta kognitif. Murid di negara kita perlu mempunyai pemikiran sebegitu rupa
untuk bersaing dengan murid-murid dari negara maju yang lain seperti Hong Kong dan
Singapura yang sering menduduki tempat yang atas dalam ujian PISA dan TIMSS.

Dalam pada itu, standard prestasi antarabangsa juga telah membawa sedikit
sebanyak perubahan terhadap sistem pentaksiran dan penilaian di sekolah. Perubahan
dalam sistem pentaksiran semestinya bermula dengan suatu inovasi yang mungkin berbeza
dengan amalan guru pada zaman sekarang dan guru mempunyai pengetahuan dalam
pengendalian pentaksiran bilik darjah (Assessment Reform Group, 2008). Oleh itu, KPM
telah melaksanakan pentaksiran Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang merupakan
satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif
(emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen PBS dalam
sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat
(PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran
Psikometrik (PPsi). Dalam pada itu, perubahan juga berlaku pada Penilaian Menengah
Rendah (PMR) yang digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun 2014.
Pelaksanaan PT3 adalah bertujuan untuk menguji kebolehan dan keupayaan pelajar secara
menyeluruh dan holistik dibandingkan dengan peperiksaan PMR. PMR banyak berbentuk
objektif serta dilihat tidak begitu mencabar dan tidak memberi peluang kepada pelajar untuk
berfikir dengan lebih tinggi. Dengan wujudnya format penilaian PT3 ini secara tidak langsung
banyak memperkenalkan soalan berbentuk KBAT dan meningkatkan lagi tahap kesukaran
dan menekankan kepada pendekatan penyelesaian masalah.

Akhir sekali, berlaku perubahan dalam kaedah pengajaran guru di sekolah impak
daripada standard prestasi antarabangsa yang dijalankan, iaitu pembelajaran abad ke-21.
Dengan wujudnya pembelajaran abad ke-21 ini sedikit sebanyak dapat membantu guru
menjalankan PdP dengan lebih teratur dan sistematik. Di samping itu, pembelajaran abad
ke-21 ini juga dapat melatih pelajar untuk lebih berkeyakinan dalam pembelajaran, sosial
komunikasi dan sebagainya kerana mereka diberikan kebebasan untuk mengajukan soalan
dan mencurahkan pendapat sendiri ketika di dalam kelas. Selain itu, pembelajaran abad ke-
21 ini juga berkonsepkan berpusat pada murid manakala guru bertindak sebagai fasilitator.
Melalui konsep ini, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan
(PdPc), sebagai contoh guru mengarahkan murid untuk menterjemahkan hasil pembelajaran
ke dalam peta I-Think secara berkumpulan. Kaedah ini bukan sahaja dapat meningkatkan
kemahiran berbahasa murid ketika berinteraksi tetapi juga melahirkan murid yang berdaya
saing. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan
pengajaran kini juga sangat ketara dan memberangsangkan bagi membangunkan modal
insan berteraskan kemahiran abad ke-21 (Dasar Pendidikan Kebangsaan, 2012)
IMPLIKASI PENAMBAHBAIKAN YANG TELAH DILAKSANAKAN DALAM
MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN

Penambahbaikan yang telah diemplimentasikan semenjak penyertaan Malaysia


dalam pentaksiran PISA dan TIMSS telah membawa kepada peningkatan kualiti Human
Capital ataupun modal insan murid dalam matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa. Hal
ini demikian kerana kurikulum yang telah dibentuk dan diajar mampu membentuk murid
yang mempunyai peribadi yang kental, berkemahiran, berpengetahuan dan membangunkan
modal insan yang lebih produktif dan sentiasa bersedia untuk menerima segala input baharu
sehingga mampu menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan sains dan teknologi
serta kegiatan ekonomi moden. Pembangunan Modal Insan ini telah dicetuskan oleh mantan
Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Rancangan
Malaysia yang ke-9 dan merupakan intipati penting dalam pembangunan negara. Di
samping itu, Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang berfokus pada
tahap penguasaan mengikut Taksonomi Bloom bagi matapelajaran dibawah KSSR dan
KSSM juga sangat membantu dalam meningkatkan kualiti pelajar agar dapat memberikan
pulangan yang bermakna kepada dunia pendidikan yang juga merupakan pelaburan masa
panjang bagi pelajar kelak. Jelaslah bahawa penambahbaikan terhadap kurikulum dapat
membentuk murid ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti dengan menguasai
pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Implikasi penambahbaikan yadng seterusnya ialah terbentuknya kaedah


pengajaran yang lebih efisien dalam menghadapi sistem pendidikan yang bersifat global
bagi mengupayakan murid yang berdaya saing dengan murid di negara lain. Hal ini
demikian dapat dibuktikan apabila para guru umumnya telah dapat meningkatkan
penyampaian pengajaran ke arah pembinaan ilmu pengetahuan dengan lebih praktikal.
Kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berlaku daripada individu kepada
pengkongsian, daripada kebiasaan kepada inovatif dan kreatif, daripada reaktif kepada
proaktif dan daripada pasif kepada progresif. Sebagai buktinya, amalan pedagogi guru
semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berbantukan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) menerusi aplikasi yang sedia ada seperti VLE-Frog,
Kahoot, Cmap dan Padlet. Dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berfikiran inovatif,
elemen kreativiti dan inovasi perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik dan menarik kepada
pelajar. Sekiranya elemen inovasi ini tidak diterapkan atau terjelma dalam amalan
pengajaran dan pembelajaran, maka sudah tentu pelajar akan mula hilang minat.
PENUTUP

Tamsilnya, membudayakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid


bukanlah satu perkara yang mudah. Ianya mengambil masa kerana sebelum sikap yang
diingini dapat diperolehi, amalan perlu dibentuk terlebih dahulu. Amalan pula merupakan
tindakan yang lazim terbentuk tanp a bergantung pada tekanan dan ianya dilakukan secara
konsisten dan berterusan. KPM berhasrat agar menjelang tahun 2025, Malaysia berada di
tahap satu pertiga teratas bagi kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA yang
melibatkan soalan kemahiran berfikir aras tinggi merupakan langkah yang baik.

Kerjasama dan kesepakatan antara warga KPM, pentadbir, guru, staf, pelajar, ibu
bapa dan masyarakat dalam merancang dan menjayakan sesebuah program
penambahbaikan dalam pendidikan boleh dilaksanakan supaya sistem pendidikan di
Malaysia dapat dtingkatkan ke tahap yang jauh lebih baik dari sedia ada. Kolaborasi antara
pihak-pihak ini juga sememangnya mampu melonjakkan kedudukan Malaysia dalam
standard prestasi antarabangsa dan seterusnya menjadikan pendidikan di Malaysia setaraf
dengan negara-negara maju yang lain.

You might also like