You are on page 1of 9

ANALISIS IMPLIKASI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA TERHADAP SISTEM

PENDIDIKAN DAN KESAN PENAMBAHBAIKAN YANG TELAH DILAKSANAKAN.

1.0 PENGENALAN

Menurut Cambridge Assessment International Education (2017), standard


prestasi antarabangsa bertindak menilai pembelajaran dalam bacaan, matematik dan
meletakkan negara-negara terlibat dalam urutan mengikut prestasi. Tiga standard prestasi yang
paling terkenal adalah TIMSS, PISA dan PIRLS. Malaysia telah mengambil bahagian dalam dua
daripada standard prestasi tersebut iaitu TIMSS dan PISA. Trends in International Mathematics
and Science Study (TIMSS) telah bermula pada tahun 1995 dan bertujuan mengukur tahap
pencapaian dalam matematik dan sains. TIMSS dilaksanakan terhadap pelajar TIMSS Gred 4,
TIMSS Gred 8 dan TIMSS Advanced. Berdasarkan laporan daripada Kementerian Pendidikan
Malaysia, (2016b) Malaysia memilih untuk menyertai TIMSS Gred 8 sahaja iaitu sampel daripada
murid tingkatan dua dan kajian pertama yang disertai adalah pada kitaran kedua iaitu TIMSS
1999. Sehingga kini Malaysia telah menyertai sebanyak lima kitaran TIMSS dan yang terkini
TIMSS 2015. Seterusnya, Programme for International Student Assessment (PISA) telah
bermula pada tahun 2000 dan dijalankan tiga tahun sekali. PISA dianjurkan oleh Organisation
for Economic Co-operation and Development (OECD). Menurut Kementerian Pendidikan
Malaysia (2016c), Malaysia mula menyertai Kajian PISA pada tahun 2010 diikuti penyertaan
pada tahun 2012 dan 2015. PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur
pencapaian murid berumur 15+ tahun dalam Literasi Saintifik, Literasi Bacaan dan Literasi
Matematik untuk meningkatkan kualiti pendidikan. PISA mengukur sistem pendidikan dengan
menilai sejauh mana pelajar pada akhir pembelajaran dapat mengaplikasikan pengetahuannya
kepada situasi kehidupan sebenar dan bersedia untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya
(Cambridge Assessment International Education, 2017). Berikutan keputusan yang dikeluarkan,
Malaysia telah digemparkan dengan keputusan yang kurang memberangsangkan kerana berada
pada tahap yang agak corot, maka penambahbaikan yang mendadak dijalankan terhadap sistem
pendidikan negara bagi mencapai tahap pendidikan yang sepatutnya.

1 | EDUP3013
2.0 IMPLIKASI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA TERHADAP SISTEM
PENDIDIKAN DI MALAYSIA.

Berdasarkan keputusan daripada penilaian antarabangsa yang telah dicapai sejak mula
menyertai penilaian ini terdapat banyak kesan yang berlaku terhadap sistem pendidikan
Malaysia. Pertama sekali ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan satu
standard baharu dalam sistem pendidikan Malaysia. Sebagai contoh, kurikulum sekolah rendah
telah diubah daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) di peringkat sekolah rendah manakala KBSM digantikan
dengan KSSM di peringkat menengah. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2016a),
KSSR telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan murid Tahun 1 pada
2011 sekaligus mengganti kurikulum lama iaitu KBSR. KSSR masih mengekalkan prinsip
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah seperti prinsip perkembangan individu secara
menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid, kurikulum yang memenuhi pelbagai
keperluan, pendekatan bersepadu, pendidikan seumur hidup seterusnya menambah baik KBSR
dari segi reka bentuk, organisasi pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan
pengurusan kurikulum. Reka bentuk kurikulum yang disemak semula masih berasaskan
kesepaduan melalui enam tunjang bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI) yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2016a).

Seiring dengan itu, perubahan turut berlaku dalam sistem pentaksiran (penilaian) di
sekolah. Sebagai contoh, KPM telah mengubah sistem Penilaian Menengah Rendah (PMR)
yang diambil oleh murid tingkatan tiga kepada Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di bawah
perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PT3 merupakan komponen Pentaksiran
Pusat (PP) di peringkat menengah rendah. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2014),
pelaksanaan PBS di sekolah rendah dimulai dengan kohot Tahun 1 tahun 2011 manakala di
peringkat menengah rendah bermula dengan kohot Tingkatan Satu tahun 2012. PBS terdiri
daripada beberapa komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP),
Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
(PAJSK). Berdasarkan komponen tersebut ini menunjukkan bahawa PBS bersifat holistik. PBS
diperkenalkan agar murid dapat mengenali diri dan potensi agar boleh diperkembangkan,
mengetahui dengan jelas apa yang perlu dikuasai melalui maklum balas guru, terlibat dalam
pelbagai aktiviti pentaksiran yang lebih bermakna, berupaya melengkapkan diri dengan
pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan pada masa kini dan hadapan. Hal ini menunjukkan
bahawa tujuan perlaksanaan PBS jelas memberikan impak positif kepada sistem pendidikan
negara seterusnya meningkatkan keputusan negara dalam TIMSS dan PISA.

2 | EDUP3013
Di samping itu, standard prestasi antarabangsa turut menyebabkan KPM mula memberi
penekanan terhadap elemen seperti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) agar diterapkan ke
dalam sistem pendidikan Malaysia. Penerapan ini dilaksanakan pada pelbagai komponen
pendidikan termasuklah dalam soalan peperiksaan, cara penyoalan, kaedah pengajaran di
dalam kelas, pedagogi dan sebagainya. Menjelang tahun 2016, soalan berbentuk pemikiran aras
tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40% daripada soalan dalam UPSR dan sekurang-
kurangnya 50% daripada soalan SPM (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Menurut
Kementerian Pendidikan Malaysia (2016a), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ialah
keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat
penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan
berupaya mencipta sesuatu merupakan elemen penting yang dimasukkan ke dalam sistem
pendidikan Malaysia secara berperingkat-peringkat. Tindakan ini sangat berketepatan dengan
kehendak standard prestasi antarabangsa iaitu PISA yang mementingkan tentang sejauh mana
murid dapat mengapikasikan sesuatu yang dipelajari ke dalam kehidupan sebenar. Menurut
Mohamad Nurul Azmi & Nurzatulshima (2017), KBAT diterapkan agar dapat bersaing secara
global seiring dengan perkembangan kemajuan dunia. Penerapan KBAT ini menunjukkan
keperihatinan pihak KPM untuk memajukan sistem pendidikan agar rakyat Malaysia juga mampu
bersaing di peringkat global. Oleh itu, jelaslah bahawa penerapan elemen KBAT merupakan
salah satu kesan daripada perlaksanaan standard prestasi antarabangsa.

3.0 IMPLIKASI PENAMBAHBAIKAN YANG TELAH DILAKSANAKAN DALAM


MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN.

Susulan daripada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memacu


sistem pendidikan negara agar setanding pendidikan antarabangsa, telah berlaku beberapa
kesan positif dan tidak dinafikan bahawa terdapat juga kesan negatif kepada pihak yang terlibat
iaitu dapat melahirkan pelajar yang berkualiti dan berkredibiliti tinggi, meningkatkan kaedah
pembelajaran, berlaku bebanan tugas yang banyak terhadap guru.

Penambahbaikan ini memberi kesan kepada pelajar iaitu mampu melahirkan pelajar yang
berkualiti dan berkredibiliti tinggi. Perubahan ini akan membantu pelajar untuk mengasah soft
skills atau kemahiran generik mereka seperti kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran
menyelesaikan masalah malah meningkatkan kualiti graduan negara. Kemahiran seperti ini perlu
dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia kerana menurut Mohd Zaki Kamsah (2008), kebanyakan
majikan bukan sahaja menjadikan pencapaian akademik sebagai kriteria utama pemilihan, tetapi
juga meletakkan penguasaan kemahiran insaniah (soft skills) di kalangan graduan sebagai
kriteria pemilihan bakal pekerjanya. Hal ini turut digariskan oleh Zuriawahida (2016), dalam

3 | EDUP3013
penulisannya iaitu kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran menyelesaikan masalah adalah
antara kemahiran penting dalam memastikan kebolehpasaran pelajar. Hal ini menunjukkan
penguasaan dalam kemahiran seperti KBAT akan mengasah minda pelajar untuk berfikir secara
kritikal sekali gus memantapkan lagi kemahiran yang dimiliki. Apabila graduan negara berada
pada tahap yang meyakinkan maka, prestasi negara dalam pelbagai bidang seperti pendidikan,
pertahanan, kewangan dan sebagainya akan sentiasa berada di tahap yang baik.
Penambahbaikan yang dijalankan berpotensi tinggi memberi kesan yang positif kepada sistem
pendidikan negara kerana menurut kajian Noraini Bidin & Zamri Mahamod (2016), kesediaan
murid terhadap PBS yang menekankan kemahiran insaniah adalah baik di mana majoriti pelajar
memberi keyakinan yang tinggi terhadapnya. Hasil kajian ini membuktikan bahawa pelajar
menerima baik perubahan ini sekali gus berpotensi tinggi mendapatkan keputusan yang
memberansangkan dari semasa ke semasa. Maka, terbuktilah bahawa penambahbaikan dalam
sistem pendidikan bakal melahirkan pelajar atau graduan yang berkualiti dan berkredibiliti tinggi.

Di samping itu, kaedah pembelajaran turut terkesan susulan penambahbaikan tersebut


iaitu telah diperkenalkan dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21). Menurut Ainun, Zamri, &
Wan (2017), PAK21 merupakan keedah pembelajaran terkini dan sangat diperlukan oleh pelajar
nagi memupuk sikap berdaya saing di peringkat global. Secara ringkasnya, terdapat empat
prinsip utama dalam PAK21 iaitu pengajaran berpusatkan murid, pembelajaran secara
kolaboratif, pembelajaran secara kontekstual dan Intergrasi dengan masyarakat (Ab Halim & Nur
Hanani, 2017). Pengajaran berpusatkan pelajar merupakan ciri yang paling diutamakan iaitu
pelajar berperanan penting dalam PdP manakala guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan
pembelajaran meletakkan minat pelajar sebagai keutamaan. Bagi menjayakan seruan KPM ini
penguasaan teknologi terkini perlu dikuasai oleh masyarakat terutamanya warga pendidikan
kerana mereka mengajar pelajar abad ke-21. Perkara ini digariskan oleh Zamri & Mohamed Amin
(2005) bahawa masyarakat abad ke-21 merupakan masyarakat yang berorientasikan sains dan
teknologi serta menggunakan prasarana teknologi maklumat terkini dalam kehidupan seharian.
Maka, penggunaan teknologi maklumat perlu digunakan semaksimumnya bagi melahirkan
individu yang serba boleh simbang selari dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Oleh itu, jelaslah bahawa PAK21 merupakan salah satu impak positif sejurus penambahbaikan
sistem pendidikan negara dilaksanakan.

Namun begitu, terdapat juga implikasi yang negatif iaitu guru menghadapi bebanan tugas
yang terlalu banyak. Tugas guru sebagai pelaksana menyebabkan mereka menghadapi kesan
yang paling utama kerana perlu segera mengadaptasi sistem pendidikan yang baharu agar dapat
diaplikasikan dalam PdP. Sebagai contoh, cabaran dari segi isi kandungan kurikulum itu sendiri
yang memerlukan guru sekolah rendah terutamanya untuk lebih bersedia dan menguasai isi
kandungan kurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana tajuk-tajuk baharu yang diperkenalkan

4 | EDUP3013
terdiri daripada tajuk-tajuk yang diajar di Tingkatan 2, 3 dan 4 semasa KBSM (Norfadhillah &
Najiha, 2017). Hal ini memberi tekanan kepada guru kerana selain perlu mengadaptasi sistem
pendidikan baharu, guru juga perlu memastikan pengetahuan mereka tentang isi kandungan
kurikulum terkini dikuasai dengan mantap. Selain itu, guru juga menghadapi kekangan dari segi
masa. Kenyataan ini turut disokong oleh Asraf Mubarak Atan (2013) yang menyatakan bahawa
guru merasakan tugas penilaian memerlukan masa pelaksanaan yang lama dan kemahiran yang
tinggi untuk dilaksanakan. Ini ditambah lagi dengan konsep penilaian yang berterusan dan
sepanjang masa menyebabkan tugas yang tidak kunjung habis kepada guru. Jadi, jelaslah
bahawa guru menghadapi bebanan tugas yang banyak akibat penambahbaikan yang dilakukan.

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, penyertaan Malaysia dalam Standard Preastasi Antarabangsa banyak


memberi impak positif terhadap dasar sistem pendidikan negara tertamanya memberi kesedaran
kepada negara kita supaya sentiasa peka dan sentiasa memperbaharui sistem pendidikan yang
sedia ada agar setanding peringkat antarabangsa. Namun begitu, terdapat juga kesan negatif
dalam penambahbaikan ini tetapi tidak memberi masalah yang terlalu kritikal kerana masih boleh
diperbaiki dari semasa ke semasa dengan inisiatif tertentu. Berdasarkan pemerhatian, cadangan
saya mengenai implikasi standard prestasi antarabangsa ialah guru yang dilahirkan perlu
dilengkapkan dengan ilmu, kemahiran dan sebagainya untuk menghadapi cabaran pada masa
hadapan termasuk cabaran sedia ada. Guru perlu didedahkan dengan perkembangan-
perkembangan di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, penggunaan teknologi sebenarnya
telah berkembang maju di negara-negara maju maka, guru perlu mempersiapkan diri dengan
kemahiran yang diperlukan agar dapat menghadapi cabaran tersebut. Hal ini dikatakan demikian
supaya guru lebih kompetensi dengan tanggungjawabnya dalam dunia pendidikan. Akhirnya,
diharapkan agar sistem pendidikan negara sentiasa berada pada tahap terbaik seiring keperluan
global demi masa depan negara, bangsa dan agama seterusnya berkembang setanding negara-
negara maju.

5 | EDUP3013
5.0 LAMPIRAN

Rajah 5.1 Pencapai Malaysia dalam TIMSS bagi subjek Matematik

Rajah 5.2 Pencapaian Malaysia dalam TIMSS bagi subjek Sains

Rajah 5.3 Pencapaian PISA bagi literasi Saintifik.

6 | EDUP3013
Rajah 5.4 Pencapaian PISA bagi literasi Bacaan.

Rajah 5.5 Pencapaian PISA bagi literasi Matematik.

7 | EDUP3013
6.0 RUJUKAN

Ab Halim Tamuri & Nur Hanani. (2017). Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya :
Cabaran dan Harapan (Seminar Pedagogi Antarabangsa ke-8 (PEDA8)).

Ainun Rahman, Zamri Mahamod & Wan Muna. (2017). Pembelajaran Abad Ke-21 Dan
Pengaruhnya Terhadap Sikap, Motivasi Dan Pencapaian Bahasa Melayu Pelajar Sekolah
Menengah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu-JPBM (Malay Language Education Journal-
MyLEJ, 7(2), 77–88. Diakses pada 28 Julai 2018 daripada
http://journalarticle.ukm.my/11357/1/152-296-1-SM.pdf

Asraf Mubarak Atan. (2013). Beban Tugas Guru Dalam Perlaksanaan PBS di Sekolah
Kebangsaan Bandar dan Luar Bandar di Daerah Muar. Universiti Teknologi Malaysia,
Johor. Diakses pada 28 Julai 2018 daripada
http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwP2/ASRAFMP111466D2014TTP.pdf

Cambridge Assessment International Education. (2017). International surveys TIMSS, PISA,


PIRLS. UK. Diakses pada 29 Julai 2018 daripada
http://www.cambridgeinternational.org/images/271193-international-surveys-pisa-timss-
pirls.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-


2025. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014). Dasar dan Pelaksanaan PBS. Putrajaya: Lembaga
Peperiksaan Malaysia. Diakses pada 29 Julai 2018 daripada
http://jpnperak.moe.gov.my/jpn/attachments/article/6001/Panduan Pengurusan PBS.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016a). Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah


Rendah (KSSR). Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum. Diakses pada 28 Julai
2018 daripada
https://cms.mrsm.edu.my/cms/documentstorage/com.tms.cms.document.Document_d7d3
0a4a-ac12c870-38675e41-b4a4c0ac/008 Buku Penerangan KSSR.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016b). Laporan TIMSS 2015-Trends in International


Mathematics and Science Study (Edisi 1). Putrajaya: Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan. Diakses pada 29 Julai 2018 daripada
http://www.moe.gov.my/images/Terbitan/Rujukan-Akademik/pubfile_file_002124.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016c). Pisa 2015 Programme For International Student

8 | EDUP3013
Assessment (Edisi 1). Putrajaya: Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan. Diakses pada 30 Julai 2018 daripada
https://doi.org/http://dx.doi.org/10.1787/9789264266490-en

Mohamad Nurul Azmi & Nurzatulshima Kamarudin. (2017). Penerapan Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT): Kesediaan Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran Reka Bentuk dan
Teknologi (RBT) di Sekolah Rendah. Journal of Education and Sciences (IRJES),
1(Special Issue 1 (Malay)). Diakses pada 38 Julai 2018 daripada
http://www.masree.info/wp-content/uploads/2017/12/IRJES-2017-Vol.-1-Special-Issue-1-
Malay-Full-paper-011.pdf

Mohd Zaki Kamsah, Mohd Salleh & Wahid Razzaly. (2008). Penerapan Kemahiran Insaniah
(KI) Kepada Pelajar Dalam Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Di IPTA. Diakses pada
30 Julai 2018 daripada
http://eprints.uthm.edu.my/2314/1/PENERAPAN_KEMAHIRAN_INSANIAH_(KI)_KEPADA
_PELAJAR_DALAM.pdf

Noraini Bidin, & Zamri Mahamod. (2016). Kesediaan Murid Sekolah Menengah Terhadap
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu
(Readiness Secondary School Students on the Implementation of School Based
Assessment in Malay Language Subject). Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu-JPBM (Malay
Language Education Journal-MyLEJ (Vol. 6). Diakses pada 29 Julai 2018 daripada
http://journalarticle.ukm.my/9867/1/109-215-1-SM.pdf

Norfadhillah Zalina, & Najiha Wahid. (2017). Cabaran dalam Pengajaran Matematik Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM). Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Diakses pada 28 Julai 2018 daripada www.inspire.unisza.edu.my

Zuriawahida Zulkifli. (2016). Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah Dalam


Meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Dan Menyelesaikan Masalah Dalam
Kalangan Pelajar. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor. Diakses pada 30 Julai
2018 daripada http://eprints.uthm.edu.my/9155/1/ZURIAWAHIDA_Zulkifli.pdf

9 | EDUP3013

You might also like