You are on page 1of 17

Tugasan: Bagaimanakah rakyat Malaysia dapat mempamerkan jati diri serta mengamalkan nilai-nilai murni?

PENGENALAN Malaysia adalah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara. Salah satu keunikan Malaysia berbanding negara-negara lain adalah dari segi komposisi kaumnya. Rakyatnya yang terdiri daripada berbilang kaum menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa. Secara am, jumlah penduduk Malaysia adalah 27 juta orang. Sebahagian besar daripada bilangan ini terdiri 3 kumpulan etnik yang utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Selain itu, Malaysia juga diduduki pelbagai kaum yang lain, antaranya Sikh, Serani dan Baba-Nyonya. Terdapat juga Orang Asli di beberapa bahagian Semenanjung Malaysia dan kaum Peribumi di Sabah dan Sarawak. Terdapat 28 kaum Peribumi di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Kenyah, Punan, Penan, Kelabit, Kayan dan lain-lain. Kaum Peribumi di Sabah pula terdiri lebih daripada 30 kumpulan etnik, antaranya adalah Kadazan, Bajau, Murut, Rungus dan lain-lain. Integrasi dalam masyarakat berbilang kaum membolehkan mereka saling bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membina kejayaan Malaysia. Nilai-nilai murni dan positif yang ada pada setiap warganegara akan dapat menyumbang pembangunan dan kemajuan negara.

DEFINISI JATI DIRI

Jati diri sesebuah bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia yang lain dan rasa kekitaan individu dalam kumpulan itu. Keperluan utama dalam mendefinisikan sesebuah bangsa ialah ciri yang sama yang dikongsi bersama. Ciri yang sama inilah yang menyebabkan wujudnya keseragaman atau kehomogenan.

DEFINISI NILAI Makna nilai ialah sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai kebiasaannya diletakkan ukuran sama ada positif, negatif ataupun neutral. Makna nilai juga ialah pengukuran sesuatu yang dihajati dan dihargai. Kebiasaannya mencakupi aspek taraf, darjat, kualiti dan mutu. Sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai akhlak Islam misalnya berasaskan kepada prinsip ajaran kebaikan Islam yang mengandungi nilai-nilai murni, positif dan akhlak. Nilai mempunyai perkaitan dengan aksiologi. Asal usul perkataan aksiologi terdiri daripada perkataan Inggeris axiology yang bererti sains nilai, teori dan sistem nilai. Perkataan axiology terdiri daripada dua sukukata; AXIOS iaitu harga atau nilai dan LOGOS iaitu logik atau teori. Aksiologi merupakan satu cabang dalam bidang falsafah yang berkait rapat dengan nilai, etika, estetika dan agama, kriteria nilai dan pembuatan keputusan berasaskan nilai. Dalam Islam misalnya, nilai dasarnya ialah wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Nilai-nilai murni menjadi asas kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah manusia. Nilai-nilai ini perlu dipertahankan bagi mengatasi segala bentuk kemusnahan sama ada dalam bentuk fizikal atau dalaman (kerohanian). NILAI YANG PERLU ADA PADA SETIAP RAKYAT MALAYSIA

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan. Kemerdekaan negara kita telah dicapai melalui semangat taat setia dan perasaan cintakan tanah air (negara) yang tinggi dengan kaedah perundingan yang bijaksana. Malaysia telah dijajah lebih daripada 400 tahun oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1821) dan Inggeris (1824) serta Jepun (1942-1945) dan Siam. Sepanjang tempoh itu, rakyat negara ini bangkit menentang penjajahan melalui berbagai cara untuk mempertahankan maruah negara dan harga diri. Kemerdekaan pula dicapai melalui perundingan yang penuh bijaksana. Inilah nilai-nilai yang sepatutnya menjadi warisan kita.

PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki jati diri tersendiri dan unik. Hal ini disebabkan Malaysia mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Bagi membentuk perpaduan yang lebih kukuh di kalangan rakyat Malaysia, penyatuan kaum diperlukan bagi membentuk satu bangsa yang bersatu padu yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Definisi bangsa Malaysia ialah penyatuan di antara semua kaum atau bangsa yang terdapat di Malaysia menjadi satu bangsa yang membentuk jati diri Malaysia tanpa menyingkirkan budaya dan agama masing-masing. Melalui sistem pemerintahan demokrasi yang menekankan aspek

perpaduan antara kaum yang diamalkan di negara ini, semua kaum bebas melakukan apa saja yang diingini tanpa perlu malalui sebarang halangan atau paksaan selagi tidak menyalahi undang-undang. Dalam pembentukan bangsa Malaysia, semua kaum sama tanpa mengira agama, budaya, ekonomi dan sebagainya.

CARA-CARA RAKYAT MALAYSIA MEMPAMERKAN JATI DIRI DAN MENGAMALKAN NILAI-NILAI MURNI Berpegang Kepada Rukun Negara Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan cara hidup memerlukan satu pegangan terhadap prinsip bersama bagi mengekalkan perpaduan yang sedia ada. Sebagai sebuah masyarakat yang berbilang kaum, adalah perlu rakyat mempunyai satu identity dan satu kebudayaan yang boleh diterima semua kaum. Lantaran itu, prinsip Rukun Negara dicipta bertujuan membentuk sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berupaya duduk semeja serta bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan pegangan agama. Rukun Negara mengandungi lima prinsip yang perlu dipraktikkan setiap rakyat Malaysia, iaitu 1. Kepercayaan Kepada Tuhan 2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara 3. Keluhuran Perlembagaan 4. Kedaulatan Undang undang 5. Kesopanan dan Kesusilaan Nilai dalam Rukun Negara mencakupi aspek sistem kepercayaan (spirituil dan kerohanian), persoalan dalaman hati (setia), kekerajaanan (raja), kenegaraan dan pemerintahan (setia pada negara), kesucian (perlembagaan), ketinggian, sakral dan ketaatan (undang-undang) dan elemen moral (bersopan dan bertatasusila). Kebebasan yang ada pada manusia tidaklah melangkaui prinsip-

prinsip ini. Rukun Negara merupakan manifestasi daripada rasa hati pemimpin masyarakat berbilang kaum yang mewakili setiap kelompok etnik di Malaysia. Dengan memiliki pegangan, identity dan kebudayaan yang sama, perpaduan menjadi semakin kukuh. Identiti dan kebudayaan negara dapat dibina serta semangat kebangsaan menjadi semakin kuat. Justeru, rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

Perpaduan Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, konsep perpaduan amat ditekankan kerajaan. Perpaduan membawa maksud suatu proses menyatupadukan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum serta agama menerusi pegangan terhadap falsafah negara. Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata perpatah Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Perpaduan dapat diperkukuhkan dengan kewujudan rakyat Malaysia yang bersatu padu. Konsep bangsa Malaysia perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat dan sikap perkauman perlulah dielakkan. Ini telah dilakukan dengan mengurangkan sebanyak mungkin jurang perbezaan yang wujud pada setiap kaum dalam memastikan keharmonian hidup bermasyarakat sentiasa wujud. Lantaran itu, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam membina integrasi kaum di negara ini. Hari Perpaduan diwujudkan oleh kerajaan untuk menghargai mereka yang memberi sumbangan ke arah mewujudkan perpaduan serta pengiktirafan kepada mereka yang cintakan keharmonian. Hari Perpaduan
5

juga dapat mengingatkan rakyat Malaysia akan pentingnya perpaduan dan integrasi nasional bagi menjamin kestabilan, kamakmuran dan kesejahteraan negara.

Kerjasama Rakyat Malaysia mewujudkan jalinan kerjasama untuk memajukan negara tercinta. Dengan mengamalkan konsep semua kaum maju bersama, pembangunan negara dicapai dan perpaduan dapat dibina. Jalinan kerjasama dipupuk dalam semua bidang seperti ekonomi, politik, pendidikan, sukan dan sebagainya. Dalam ekonomi misalnya, amalan diskriminasi kaum dielakkan sebaliknya semua kaum bersama-sama bekerja demi menikmati kakayaan negara. Perniagaan yang melibatkan perkauman atau tertumpu kepada kaum tertentu sahaja tidak akan dapat mengembangkan ekonomi, sebaliknya memberi impak yang buruk terhadap imej negara ini. Bagaimanapun, beberapa aspek perbezaan kebudayaan boleh dijadikan sesuatu yang boleh diterimapakai oleh semua kaum. Makanan Cina di Malaysia melihatkan pengaruh cita rasa Melayu dan India. Kita juga boleh meraikan perayaan kaum-kaum lain dan sebagainya.I ni akan mengukuhkan lagi kemesraan dan keakraban sesama kaum. Apa yang pasti bagi mereka yang enggan bekerjasama dengan kaum lain, tidak akan mendapat manfaat. Inilah semangat saling memahami dan bertolak ansur yang amat penting untuk dihayati bersama demi keharmonian hidup sesebuah masyarakat yang berbilang kaum. Kita semua adalah berbilang kaum, tetapi bangsa kita hanyalah satu, iaitu Bangsa Malaysia.

Hormat-Menghormati Sikap saling hormat-menghormati amat penting dalam masyarakat yang hidup berjiran seterusnya mewujudkan perpaduan antara kaum. Definisi hormat dalam konteks perpaduan ialah menjaga agama, budaya dan hak masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Rakyat Malaysia sentiasa menjaga hati masyarakat yang berlainan agama dan budaya. Hal ini sangant penting kerana perbezaan budaya hidup boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat. Kita perlu berusaha memahami budaya hidup antara satu sama lain. Terdapat pelbagai cara bagi menghormati budaya masyarakat yang berlainan kaum dan agama. Contohnya pada bulan puasa, kita menghormati masyarakat Islam yang berpuasa. Rasa hormat juga boleh ditunjukkan dengan cara menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Rakyat Malaysia juga menunjukkan rasa hormat kepada jiran tetangga yang berbeza kaum dan kepercayaan berdasarkan sikap tertentu. Misalnya, jika berlaku kematian di kalangan jiran sebelah rumah, jiran yang prihatin sedia membenarkan halaman rumah mereka didirikan khemah untuk tetamu yang datang singgah sementara walaupun yang meninggal dunia berlainan agama dengannya. Hal ini dilakukan demi mempamerkan rasa hormat dan tumpang bersedih atas kehilangan tersebut. Rasa hormat adalah penting kerana apabila kita menghormati orang lain, orang lain akan meghormati kita pula. Kita juga menghormati kebudayaan dan pegangan agama kaum lain. Dengan menghormati kebudayaan kaum lain, usaha untuk membentuk perpaduan menjadi semakin mudah. Ini adalah kerana kebudayaan merupakan asas yang cukup kuat dan dapat menyatupadukan masyarakat. Melalui aktiviti kebudayaan, kaum lain akan mengenali adat resam sesuatu kaum.
7

Kaum Melayu dan Cina menghormati kepercayaan kaum India yang tidak memakan daging lembu atas kepercayaan tertentu. Justeru, apabila mereka diajak untuk menghadiri jamuan makan, mereka harus diberitahu akan jenis menu berupa daging yang sesuai untuk mereka. Kaum lain juga mengormati kaum Melayu untuk mangalunkan azan apabila masuk waktu sembahyang di masjid atau surau sebagai cara menghebahkan masuknya waktu kepada umat Islam. Hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa memerlukan kita untuk menghormati budaya kaum lain. Sikap saling hormat-menghormati mewujudkan perpaduan lebih erat dalam masyarakat.

Berfikiran Positif Setiap kaum perlulah berfikiran positif untuk mencapai perpaduan di Malaysia. Definisi berfikiran positif dalam konteks perpaduan antara kaum ialah tidak bersikap sinis atau berprasangka buruk terhadap kemampuan kaum lain dan sentiasa memikirkan perkara yang baik walaupun berlainan kaum dan agama. Antara sikap positif yang ditonjolkan ialah berterus terang dan jujur. Rakyat Malaysia sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia menerima kritikan daripada orang lain. Menyimpan dendam atau berasa tidak puas hati apabila kaum lain mengkritik kita adalah dielakkan kerana setiap kaum pasti ada kelemahannya. Kita perlu menerima kritikan itu dan melihatnya dari sudut yang positif dengan memperbaiki kelemahan dan belajar daripada kesilapan yang telah dibuat. Selain itu, kita berterus terang apabila berasa tidak puas hati dengan sesuatu perkara. Berterus terang bermaksud menyatakan sesuatu perkara dengan bersikap jujur tanpa berselindung atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan pihak lain sama ada tersirat mahupun tersurat. Kita perlu
8

berterus terang dengan cara yang baik dan elakkan daripada menyinggung perasaan kaum lain yang boleh menimbulkan perbalahan seterusnya boleh merosakkan perpaduan. Setiap warga Malaysia harus berfikiran positif, bersikap terbuka dan usah sesekali berminda tertutp atau berfikiran sempit. Hal ini kerana dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum, banyak jurang yang timbul namun masih boleh diselesaikan dengan rasa muafakat.

Bertutur Bahasa Kebangsaan Mulai tahun 1971, kerajaan telah menggunakan dengan lebih tegas dan menyeluruh pelbagai akta untuk memantapkan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama. Pada masa kini, bahasa kebangsaan ditukar menjadi Bahasa Malaysia selaras dengan pembentukan bangsa Malaysia. Justeru, bahasa kebangsaan telah diajar dan digunakan secara meluas baik di sekolah-sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan. Biarpun Bahasa Malaysia ditekankan penggunaanya, namun penggunaan bahasa ibunda kaum-kaum lain juga tidak pernah disekat. Mereka bebas menggunakan bahasa ibunda selain penggunaan Bahasa Inggeris. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan, kaum-kaum bukan Melayu dapat mempelajari bahasa ini dengan lebih giat lagi selain memudahkan urusan dengan jabatan kerajaan dan dapat berinteraksi dengan jiran-jiran berbilang kaum di tempat mereka. Justeru, penggunaan satu bahasa yang mudah difahami oleh semua orang membolehkan komunikasi antara kaum berjalan lancar dan dapat mengukuhkan perpaduan kaum.

Hak Mengekalkan Identiti Kewujudan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia telah melahirkan satu budaya yang unik dan istimewa. Setiap kaum mempunyai hak mengekalkan kebudayaan dan agama masing-masing. Melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, rakyat Malaysia bebas untuk mengekalkan tradisi mereka tanpa sebarang halangan atau paksaan. Selaras dengan konsep bangsa Malaysia yang mementingkan perpaduan antara kaum, hak beragama dan budaya suatu kaum itu akan terus dipertahankan dan dikekalkan. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah, tentulah kita mahu mengamalkan budaya dan kepercayaan yang menjadi amalan sejak zaman-berzaman. Sebab itulah walaupun sudah bergelar sebagai bangsa Malaysia, rakyat di negara ini boleh mengamalkan identiti kaum mereka tanpa sebarang halangan. Setiap kaum di negara ini masih mempunyai nilai-nilai tradisi yang diwarisi oleh segenap masyarakatnya kini. Misalnya, baju kurung, dan baju Melayu merupakan baju tradisi kaum Melayu yang telah dipakai sejak turun-temurun. Ceongsam pula warisan masyarakat Cina, manakala kaum India popular dengan keunikan pemakaian sarinya.

Kepelbagaian Budaya Setiap negara pastinya berbangga dengan produk budaya yang dilahirkan. Ciri-ciri budaya yang dihasilkan menjadi cerminan kepada corak kehidupan yang dilalui oleh kaum tersebut. Antara ciri-ciri budaya sesebuah kaum yang banyak ditonjolkan termasuklah makanan, cara berpakaian, tarian, permainan rakyat dan sebagainya.
10

Umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai adat, kepercayaan dan kebudayaan yang pelbagai. Keunikan yang sedia ada akhirnya membentuk satu kebudayaan yang menarik dan istimewa untuk diketengahkan. Sambutan perayaan-perayaan ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri seperti memperingati peristiwa-peristiwa tertentu dan sebagainya. Pada hari-hari perayaan tersebut, setiap kaum berpeluang meraikannya bersama-sama Dalam konteks masyarakat majmuk, keraian sebegini menggambarkan perpaduan dan semangat muhibah yang utuh di kalangan rakyat. Kemeriahan sambutan perayaan yang dirai kian terasa apabila amalan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain diamalkan. Selain itu, sambutan perayaan seperti rumah terbuka yang diadakan secara besar-besaran pada peringkat kebangsaan jelas menunjukkan keharmonian masyarakat di Malaysia sentiasa terpelihara meskipun dihuni masyarakat yang pelbagai kaum dan agama. Kejayaan yang diraih ini sekali gus membolehkan rakyat hidup dengan aman dan damai. Masyarakat Melayu sebagai kaum terbesar meraikan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal. Kemudian disusuli Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah. Sambutan ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai juadah seperti ketupat, lemang, dodol dan rendang. Kaum Muslim akan saling bermaaf-maafan atas kesalahan silam. Masyarakat Cina pula meraikan Tahun Baru Cina pada permulaan tahun baharu bagi kelendar Cina setiap tahun. Hidangan manis seperti kuih bakul, limau mandarin dan kuih kapit dihidangkan. Pemberian ang pow kepada golongan kanak-kanak menjadi amalan bagi masyarakat Cina sempena Tahun Baru Cina. Persembahan tarian naga dan tarian singa menjadi amalan setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.
11

Bagi kaum India yang menganut agama Hindu, perayaan Deepavali pula yang disambut dalam bulan Tamil Aipasi. Perayaan ini bermakna hari kebebasan atau cahaya. Pelita akan dipasang dan dinyalakan bagi melambangkan kejayaan kebaikan yang mengatasi kejahatan. Pada hari tersebut, masyarakat Hindu akan bersembahyang di kuil dan memohon kesejahteraan hidup daripada Tuhan mereka. Bagi penganut agama Kristian, mereka meraikan Hari Natal atau Hari Krismas pada 25 Disember setiap tahun. Pada hari tersebut, penganut agama Kristian akan menghiasi rumah masing-masing dengan pokok krismas. Ibu bapa akan memberikan pelbagai jenis hadiah kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Kebanyakan masyarakat di Sabah dan Sarawak merayakan Hari Gawai. Hari tersebut disambut berdasarkan hasil tanaman yang banyak dan perlu diraikan. Sememangnya Malaysia amat unik kerana banyak perayaan yang disambut setiap tahun. Perayaan-perayaan tersebut bukan sahaja disambut oleh sesuatu kaum malahan disambut oleh kaum-kaum lain sebagai tanda sokongan. Keadaan ini menunjukkan jati diri rakyat Malaysia yang unik.

Pengamalan Pantang Larang Setiap kaum di Malaysia berbangga akan kepelbagaian adat dan seni budaya yang diwarisi oleh kaum masing-masing. Adat dan budaya yang berwarna-warni ini penuh dengan nilai-nilai kesantunan dan ketimuran, malah harus dijunjung sepanjang masa biarpun kehidupan moden kian kuat menghakis warisan silam kita.
12

Salah satu daripada adat dan budaya yang diwarisi sejak sekian lama adalah pantang larang, baik diamalkan oleh masyarakat Melayu, Cina, India dan sebagainya. Pantang larang ini diamalkan hampir semua kaum dengan pelbagai bentuk kepercayaan yang berbeza-beza. Ia bagaikan suatu peraturan tidak rasmi yang perlu dipatuhi tanpa banyak soal jawab sehingga ke hari ini. Kewujudan masyarakat majmuk sudah semestinya mewujudkan pelbagai budaya tersendiri lazimnya diperuntukan oleh generasi lama. Pantang larang merupakan salah satu perkara yang diperturunkan dan menjadi latar belakang kepercayaan sesuatu kaum. Apa yang uniknya, ada ketikanya wujud pelbagai persamaan antara pantang larang suatu kaum dengan kaum yang lain dalam situasi tertentu.

Berbudi Bahasa Salah satu sikap yang penting dalam memupuk perpaduan antara kaum ialah berbudi bahasa. Definisi berbudi bahasa ialah bersopan santun dalam semua aspek termasuk pertuturan dan kelakuan. Negara yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum amat terdedah kepada isu-isu sensitif yang mampu membangkitkan kemarahan rakyat bila-bila masa. Pengamalan nilai-nilai murni serta kesantunan budi bahasa adalah penting terutamanya bagi negara yang berbilang kaum seperti di Malaysia. Nilai-nilai murni serta budi bahasa mewujudkan rasa saling menghormati yang amat diperlukan untuk kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan harmoni.

13

Nilai-nilai murni serta budi bahasa amat penting bagi manghasilkan masyarakat yang benar-benar membangun dan juga bertamadun. Pembangunan yang seimbang bukan sahaja mengambil kira aspek ekonomi tetapi mentaliti sesebuah masyarakat terutama yang berkaitan peribadi diri dan nilai akhlaknya. Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni ditegaskan sebagai sebahagian proses pembangunan jati diri demi mencapai keutuhan peribadi.

KESIMPULAN Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni penting dalam aspek kemajuan kita sebagai rakyat Malaysia. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilainilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

14

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun. Walaupun kita mempunyai adat, budaya dan agama yang berbeza, kita semua adalah rakyat Malaysia. Kita hidup berjiranan, saling menghormati kepercayaan dan kebudayaan satu sama lain serta menyambut hari perayaan bersama-sama. Kita tetap hidup secara bersatu padu dan harmoni. Diharapkan ini dapat meneguhkan keperibadian dan mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.

Disediakan oleh: LOW HUEY FEN (PPG SCE-A)

RUJUKAN
1. Aniza Anis Sallihudin. (2010). Rakyat Malaysia, Satu Malaysia. Kuala Lumpur: Kohwai & Young Publications (M) Sdn. Bhd. 2. Aniza Anis Sallihudin. (2010). Perayaan-Perayaan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Kohwai & Young Publications (M) Sdn. Bhd. 3. Samson Hj Mohd Nor. (2007). Saya Anak Malaysia. Kuala Lumpur: Epic Nexus (M) Sdn. Bhd. 4. Mohd. Ramli Shahabudin. (1992). Siri Rujukan Alam Dan Manusia Tahun 4 KBSR: Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

15

5. Sulaiman Zakaria dan Azmah Che Omar. (2003). Siri Cuti-Cuti Malaysia: Perayaan Dan Kebudayaan. Selangor: Pustaka Cahaya Intelek. 6. Zabri Zakaria. (2005). Siri Variasi Seni Dan Budaya: Perayaan Masyarakat Majmuk. Selangor: Sejati Books. 7. Zabri Zakaria. (2005). Siri Variasi Seni Dan Budaya: Pantang Larang Dalam Masyarakat. Selangor: Sejati Books. 8. Halimah Abdul Rahman. (2008). Siri Memupuk Perpaduan Kaum: Pembentukan Bangsa Malaysia. Selangor: Sama Publications & Distributors Sdn. Bhd. 9. Nurul Aida Mohd Rosli. (2008). Siri Memupuk Perpaduan Kaum: Sejarah Negara Berbilang Kaum Selangor: Sama Publications & Distributors Sdn. Bhd. 10. Nurul Aida Mohd Rosli. (2008). Siri Memupuk Perpaduan Kaum: Dasar Membina Integrasi. Selangor: Sama Publications & Distributors Sdn. Bhd. 11. Halimah Abdul Rahman. (2008). Siri Memupuk Perpaduan Kaum: Memupuk Sikap Ke Arah Perpaduan. Selangor: Sama Publications & Distributors Sdn. Bhd. 12. Halimah Abdul Rahman. (2008). Siri Memupuk Perpaduan Kaum: Perpaduan Sesama Kejiranan. Selangor: Sama Publications & Distributors Sdn. Bhd. 13. Noor Azilawati Mohd Sabda. (2008). Siri Budi Bahasa Kita: Budi Bahasa Dalam Kejiranan. Kuala Lumpur: Pustaka Printis. 14. Noor Azilawati Mohd Sabda. (2008). Siri Budi Bahasa Kita: Budi Bahasa Di Tempat Awam. Kuala Lumpur: Pustaka Printis.
16

15. http://sahabatmantap.wordpress.com/2009/07/11/satu-malaysia-jati-diri-bangsa/ 16. http://galusbm.blogspot.com/2010/01/kemahiran-mencari-isi-tersurat-1.html 17. http://web.usm.my/kajh/kajh%2016/KAJH%204%20Abdullah%20(59-81)A

%5b1%5d.pdf
18. http://usimtoday10.webnode.com/news-/rencana/rakyat-didahulukan-pencapaian-

diutamakan/
19. http://www.pic.upm.edu.my/artk/ndk.pdf

20. http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php? option=com_content&task=view&id=117&Itemid=34

17

You might also like