You are on page 1of 21

Bab 5

SEMANTIK

Setelah selesai membaca bab ini, anda akan dapat: Memahami maksud konsep-konsep penting; Menghuraikan teori-teori makna, struktur makna, hubungan kata dengan makna dan medan makna; Membanding-beza makna kata, makna ayat, makna denotatif, dan makna konotatif Memahami maksud konsep-konsep penting Menghuraikan teori-teori makna, struktur makna, hubungan kata dengan makna dan medan makna. Membanding-beza makna kata, makna ayat, makna denotatif, dan makna konotatif
RINGKASAN BAB

Pengenalan 5.1 Konsep-konsep penting 5.2 Teori-teori makna 5.3 Struktur makna 5.4 Hubungan kata dengan makna 5.5 Medan makna 5.6 Makna kata 5.7 Makna ayat 5.8 Makna denotatif 5.9 Makna konotatif 5.10 Penutup Rumusan Latihan Rujukan Bab 1: Pengenalan Bab 2: Morfologi Bab 3: Fonetik Bab 4: Sintaksis Bab 5: Semantik Bab 6: Variasi Bahasa Bab 7: Pragmatik Bab 8: Psikolinguistik Bab 9: Otak Manusia dan Bahasa Bab 10: Sosiolinguistik

Bab 8: Cabaran Profesion Perguruan

PENGENALAN

Semantik ialah kajian yang berkaitan dengan makna kata dan ayat. Kajian ini menumpukan pada aspek makna bentuk linguistik dan hubungannya dengan dunia rujukannya. Semantik merujuk kepada aspek makna bahasa.

Semantik berasal daripada perkataan Greek, iaitu semantikos yang bermaksud memberikan tanda, sesuatu gejala atau tanda atau sesuatu yang bermakna.Semantik bermula daripada perkataan sema yang merujuk kepada aspek makna, iaitu makna seperti yang diungkapkan dalam sesuatu bahasa atau sistem tanda yang lain. Perkataan semantic yang digunakan pada hari ini berasal daripada bahasa Perancis, iaitu semantique. Perkataan ini telah digunakan oleh Michel Breal sejak abad ke-19 lagi. Semantik juga bermakna satu kajian yang teoritikal tentang makna dalam sistem tanda. Secara umumnya, semantik mempunyai dua jenis ekspresi makna. Sebagai contoh, ayat: Guru bahasa Inggeris saya ialah Puan Gomes. menunjukkan: 1. Hubungan pernyataan boleh dibahagikan kepada beberapa unsur (tanda), benda dan keadaan dalam dunia sebenar. 2. Hubungan pada tanda-tanda itu dengan tanda lain yang juga disebut sebagai konsep. Semantik ialah kajian tentang makna yang diaplikasikan pada aspek makna ayat dari segi bentuk logiknya. Bidang kajian makna dalam linguistik mengikut Schaff (Introduction of Semantics, 1962:8) pula tertumpu kepada dua masalah yang besar. Pertama tentang kaitan antara pernyataan bahasa dengan maknnya, Linguistic expressions and their meanings. Apabila memperkatakan persoalan kaitan antara pernyataan bahasa dengan makna bidang semantik linguistik berhadapan dengan masalah perlambangan atau signs. Permasalahan lambang atau sign ini pernah ditimbulkan oleh Wilhelm Von Humboldt pada tahun 1920 lagi apabila beliau membuat perbezaan antara bahasa sebagai cerminan akal dengan bahasa sebagai satu sistem perlambangan atau language as reflection of mentality and language as system of signs.
2

5.1

Konsep-konsep penting

Dalam memperkatakan tentang semantik atau makna sesuatu kata, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah makna atau istilah kata itu tidak lengkap sekiranya tidak merujuk kepada konteksnya. Antaranya termasuklah:

5.1.1

Teori Imejan

Teori imejan merupakan makna sesuatu perkataan berhubung dengan imej yang terbayang dalam minda penutur. Imej yang dimaksudkan ini tidak bersifat visual kerana ia tidak dapat menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan atau yang telah sedia ada. Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai beberapa imej bagi satu ungkapan dan dalam keadaan yang lain mungkin wujud pula beberapa ungkapan yang berkongsi imej yang sama. Imej yang dirujuk tentang sesuatu perkara bergantung pada pengetahuan dan pengalaman yang berbeza bagi seseorang. Sebagai contoh, imej kata syarahan bagi pelajar universiti adalah berbeza dengan imej syarahan yang digambarkan oleh penduduk kampung yang mendengar syarahan agama atau khutbah.

5.1.2

Teori Behaviorisme

Teori Behaviorisme merupakan bentuk tindak balas hasil daripada rangsangan. Teori Behaviorisme ada kaitannya dengan Teori Behavioris dalam pembelajaran. Dalam kajian semantik, teori ini disebut semantik behavioris. Leonard Bloomfield (1933) menggunakan teori ini dalam menghuraikan makna. Contoh: Ungkap Beri saya sebutir gula-gula. Bagi Bloomfield makna ujaran itu merupakan satu keseluruhan rangsangan dan tindak balas dan segala faktor yang menyebabkannya. Andaikan dua orang terlibat dalam pertuturan ini, Ali dan Aminah. Aminah terlihat gula-gula. Matanya melihat gula-gula. Maklumat dari pandangannya itu dihantar ke sistem urat saraf yang terus berhubung dengan otaknya. Otaknya menerima rangsangan dan menghantar maklumat ke saraf dan menyebabkan otot-otot di lidahnya lantas menyampaikan maklumat itu ke otaknya kembali. Dengan itu otaknya mengarahkan otot-otot berkenaan mengeluarkan suara, Berikan saya sebutir gula-gula. Suara itu sampai ke gegendang telinga Ali dan terus memberi maklumat itu ke saraf dan otak, lantas memerintahkan otot-otot di tangan Ali bergerak memberi gula-gula kepada Aminah. Aminah mengambilnya dan memakannya. Maka seluruh proses itulah maknanya.k

5.1.3

Teori analisis Komponene

Teori analisis komponen merupakan kata-kata mempunyai hubungan makna antara satu dengan yang lain. Hubungan ini disebut struktur leksikal. Analisis komponen diaplikasikan bagi melihat hubungan makna bagi sepatah perkataan dengan sejumlah unsur atau komponen makna. Antara perkara yang diperhatikan ialah: 1. Melihat sejumlah ciri rujukan bagi sesuatu perkataan. 2. Melihat kemungkinan adanya hubungan rujukan antara sesuatu kata dengan kata yang lain. 3. Melihat ciri khusus bagi kata yang mempunyai hubungan rujukan, iaitu yang membezakan fitur semantik kata itu dengan kata yang lain. Elemen semantik yang menjelaskan makna linguistik bagi sesuatu morfem atau perkataan adalah berbeza daripada elemen bukan linguistik seperti dalam bidang sains.

5.1.4

Kajian Makna

Melibatkan perkara yang abstrak yang menyebabkan kita terpaksa menduga apa yang berlaku dalam minda seseorang pengguna bahasa. Ada 3 jenis makna; iaitu makna linguistik, makna sosial dan makna afektif. Makna linguistik yang mencakupi kedua-dua erti dan rujukan sense and reference (Finegan, 2004: 181, 182). Contoh: 1. Zarul dan Zulaikha dalam ayat Zarul dan Zulaikha dimarahi oleh ibu tiri mereka merujuk kepada dua individu yang bernama sedemikin rupa yang mempunyai ibu tiri dan ibu tiri mereka ini telah memarahi mereka berdua (rujukan). 2. Ayat Pak Utih merupakan perdana menteri Malaysia yang kelima secara realitinya tidak mempunyai rujukan sebenar actual referent daalam dunia kita yang hakiki ini kerana perdana menteri Malaysia yang kelima secara realitinya tidak mempunyai rujukan sebenar actual referent dalam dunia kita yang hakiki ini kerana perdana menteri Malaysia yang kelima ialah Datuk Seri Abdullah Badawi juga dikenali sebagai Pak Lah, Tetapi ayat ini, mempunyai erti (erti). Makna sosial ialah apa yang akan kita gunakan apabila kita mengenal pasti ciri sosial tertentu tentang penutur/penulis dan kedaaan melalui ciri bahasa yang digunakan (Finegan, 2004: 181). Ia menyampaikan maklumat tentang perbuatan, keadaan, proses mental, dan peserta yang terlibat ketika sesuatu ungkapan diujarkan atau ditulis (ibid: 183).

Contoh: Pemilihan kata ganti kau oghang berbanding anda semua dalam ungkapan Kau oghang tengok filem ni nanti, jangan tak tengok yang diujarkan dalam satu rancangan TV menyampaikan makna sosial. Makna afektif affective meaning ialah konotasi emosional emotional connotation yang dikaitkan kepada suatu perkataan atau ungkapan dan yang menyampaikan perasaan, sikap, dan pandangan pengguna bahasa terhdap suatu maklumat atau terhadap suatu konteks yang berterusan ( Finegan, 2004 : 181, 183 ).

5.1.5

Struktur Makna

Struktur makna ialah cara sesuatu kata membina sesuatu ayat dalam memberikan makna ayat secara keseluruhannya. Makna sesuatu perkataan turut berhubungan dengan makna perkataan lain. Sebagai contoh makna perkataan adik mempunyai perhubungan dengan makna perkataan abang, dan abang pula berhubungan dengan kakak dan seterusnya. Makna setiap satu perkataan ini tidak lengkap sekiranya kita tidak mengetahui makna perkataan lain yang berhubungan dengannya. Hubungan jaringan makna ini wujud dalam struktur tertentu. Struktur jaringan makna ini juga dapat dikaji dengan menghuraikan perkataan-perkataan yang mempunyai makna sama dan makna yang berlawan. Perkataan yang mempunyai makna sama seperti kereta, motokar dan mobil dipanggil sinonim, dan perkataan yang mempunyai makna berlawan seperti hidup lawan mati, tinggi lawan rendah, darat lawan laut, dan lain-lain dipanggil antonim.

5.1.6

Sinonim

Sinonim ialah kata-kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Menurut Yule, 1996: 118; Fromkin et al, 2003: 181; Finegan, 2004: 192; Kuiper & Allan, 2004: 54 , sinonim ialah perkataan berlainan bentuk dari segi ejaan atau bunyi tetapi mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Contoh: induk (Kamus Dewan,1989:929). 1. ibu, emak 2. yang terutama

5.1.7

Antonim

Antonim ialah pertentangan makna perkataan. Kata-kata yang mempunyai makna yang tidak sama atau hampir tidak sama. Menurut Yule, 1996: 118; Fromkin et al, 2003: 182; Finegan, 2004: 193; Kuiper & Allan, 2004: 57) antonim ialah perkataan berlainan bentuk dari segi ejaan atau hidup lawan mati (antonim saling melengkapi complementary antonym. - makna lawanan yang dinyatakan saling melengkapi.

1.tinggi lawan rendah (antonim berperingkat gradable antonym - makna lawanan yang dinyatakan tidak memperlihatkan skala mutlak tetapi skala terusan continuum 2. hidup lawan mati (antonim saling melengkapi complementary antonym - makna lawanan yang dinyatakan saling melengkapi. 3. pensyarah lawan siswa (antonim relasional relational antonym - makna lawanan yang dinyatakan memperlihatkan hubungan yaang saling berkait dan bersimetri 4. suami-isteri, majikan-pekerja (antonim pertentangan menimbulkan sifat lawanan, tetapi berciri resiprokal reciprocal. converseness antonym)

5.1.8

Homonim

Homonim ialah dua kata atau lebih kata yang mempunyai sama ada bunyi atau ejaan yang sama, tetapi berlainan makna . Menurut Yule, 1996: 121; Fromkin et al, 2003: 179; Finegan, 2004: 195-196; Kuiper & Allan, 2004: 56) homonim ialah perkataan yang berlainan yang mempunyai sebutan atau ejaan yang sama dan perkataan ini mempunyai makna yang berlainan.

5.1.9 Hiponim Hiponim ialah kata-kata umum yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kata-kata yang lebih khusus. Menurut Yule, 1996: 119-120; Fromkin et al, 2003: 185; Finegan, 2004: 189; Kuiper & Allan, 2004: 59) hiponim ialah perkataan yang mempunyai makna yang boleh dicakupi dalam makna perkataan lain dan perkataan-perkataan ini mempunyai hubungan hirarki hierarchical relationship dengan suatu perkataan merupakan subordinat kepada suatu perkataan yang superordinat. Contoh: biru, merah, kuning, dan putih ialah perkataan subordinat, iaitu hiponim, kepada perkataan superordinat warna, iaitu hipernim hypernym (Finegan, 2004 : 189).

5.1.10 Medan Makna Medan makna ialah kumpulan butir leksikal yang maknanya saling berhubung kait disebabkan kehadiran masing-masing dalam konteks yang serupa.

5.1.11 Makna Kata Makna kata juga disebut makna leksikal. Ia bermaksud makna perkara seperti yang terdapat dalam kamus.

5.1.12 Makna Ayat Makna ayat bergantung pada makna perkataan yang terkandung dalam ayat.

5.1.13 Makna Denotatif Makna Denotatif ialah makna sebenar kata atau makna literal.

5.1.14 Makna Konotatif Makna Konotatif ialah makna yang bukan sebenar; makna tambahan di samping makna sebenar.

5.1.15 Anafora Anafora ialah pengulangan sesuatu kata atau frasa pada permulaan beberapa agar memperolehi kesan tertentu.

5.1.16 Polisemi Polisemi ialah perkataan berbentuk sama yang mempunyai beberapa makna yang berkaitan secara konseptual atau historis (Yule, 1996: 121; Fromkin et al, 2003: 180; Finegan, 2004: 195; Kuiper & Allan, 2004: 55). Contoh: pelat (Kamus Dewan, 1989:929). 1. kurang betul cara pengucapan 2. gaya tertentu mengucap sesuatu ungkapan

5.2

TEORI MAKNA

Secara tradisional, semantik melibatkan kajian interpretasi konotatif, rujukan denotatif, syarat benar, struktur argumentasi (penafian) dan peraturan tema yang kesemuanya mempunyai pertalian dengan sintaksis atau ayat. Deretan makna tersebut dapat dikelompokkan kepada dua sahaja, iaitu makna leksikal dan makna struktural. Makna leksikal dapat dihubungkan dengan makna rujukan dengan berdasarkan makna kamus. Sementara makna struktural mempunyai keahlian yang kecil, tetap, tertutup dan dapat dikaitkan dengan perbezaan antara subjek dengan

objek; pertentangan ketentuan, kala, bilangan; perbezaan antara kenyataan, pertanyaan dan permintaan (Lyons,1993:483). Semantik membekalkan kajian makna ayat untuk bahasa dengan cara menghuraikan makna secara spesifik, iaitu berdasarkan keadaan ayat-ayat dalam bahasa. Sebagai contoh, semua pengguna jalan raya mempunyai tanggapan makna yang sama tentang warna lampu isyarat jalan raya, iaitu merah bermaksud berhenti, hijau bermaksud jalan dan kuning bermaksud bersedia untuk berhenti. Dalam situasi pertuturan, penutur menggunakan bahasa yang bermakna apabila mereka menuturkan ujaran. Sebahagian besarnya berkaitan dengan makna rujukan. Apabila penutur berkata tentang sesuatu, dia sebenarnya merujuk kepada benda, orang, konsep atau membuat komen. Brown dan Yule (1983:240) menyatakan semantik dianalisis melalui sintaksis yang melibatkan wacana atau teks secara keseluruhan. Analisis sedemikian mempertimbangkan sintaksis dan semantik yang berperanan untuk menerangkan ciri-ciri linguistik sesuatu wacana. Setiap nilai makna yang dianalisis itu harus tepat dan sesuai dengan fakta pada saat pengkaji mengkajinya dan dapat digeneralisasikan. Sebagai contoh, perhatikan ujaran yang berikut: 1. 2. 3. Mendung bermakna hari hujan. Sokongannya sangat bermakna bagi kami. Kata-katanya itu bermakna dia menyindir saya.

Setiap ujaran tersebut membawa makna yang berbeza berdasarkan penggunaannya. Dengan kata lain, dari segi semantik, setiap ujaran itu mempunyai nilai makna yang tidak sama. Sebagai contoh, ujaran (1) yang mengaitkan mendung dengan hujan kelihatannya tidak melibatkan aspek linguistik. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari segi semantik, mendung merupakan satu tanda yang ada kaitannya dengan tanda yang lain, iaitu hujan. Hal yang seperti inilah yang menarik perhatian ahli bahasa untuk mengkaji makna dalam bidang semantik.

5.2.1

Teori Imejan

Teori Imejan - Makna sesuatu perkataan berhubung dengan imej yang terbayang dalam minda penutur

Imej yang dimaksudkan ini tidak bersifat visual kerana ia tidak dapat menepati gambaran sebenar yang dimaksudkan atau yang telah sedia ada. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin mempunyai beberapa imej bagi satu ungkapan dan dalam keadaan yang lain mungkin wujud pula beberapa ungkapan yang berkongsi imej yang sama. Imej yang dirujuk tentang sesuatu perkara bergantung pada pengetahuan dan pengalaman yang berbeza bagi seseorang. Sebagai contoh, imej kata syarahan bagi pelajar universiti adalah berbeza dengan imej syarahan yang digambarkan oleh penduduk kampung yang mendengar syarahan agama atau khutbah. 5.2.2 Teori Behaviorisme

Teori Behaviorisme - Merupakan bentuk tindak balas hasil daripada rangsangan; L. Bloomfield (1933) menimbulkan sikap mekanikal dalam mengkaji makna.

Teori Behaviorisme ada kaitannya dengan Teori Behavioris dalam pembelajaran. Dalam kajian semantik, teori ini disebut semantik behavioris. Leonard Bloomfield (1993) menggunakan teori ini dalam menghuraikan makna. Mengikut teori ini, analisis makna hendaklah berdasarkan tingkah laku yang diperhatikan dan jika tidak ia hanya dianggap sebagai andaian sahaja. Empat ciri umum Behaviorisme ialah: 1. Menolak konsep mentalisme yang mengkaji pemikiran dan konsep abstrak tanpa data yang dapat disahkan.

2.Mempercayai bahawa tingkah laku manusia dan binatang mempunyai persamaan. 3.Tingkah laku manusia dalam berbahasa disebabkan keperluan untuk bersosialisasi. 4.Perlakuan manusia ada hubungan dengan rangsangan (stimulus) dan gerak balas (respons). Misalnya, makna berada dalam keadaan penutur menimbulkan rangsangan, manakala pendengar memberikan respons untuk menanggapinya. Menurut teori ini, makna merupakan bentuk tindak balas hasil daripada rangsangan yang diperoleh oleh penutur dan pendengar dalam komunikasi yang berlaku antara mereka. Rangsangan tersebut berlaku, sama ada melalui proses perkaitan antara proses mendengar dengan bertutur atau hasil pembelajaran. Perkaitan makna dalam hal ini ditentukan oleh bentuk tingkah laku yang dapat diperhatikan. Sebagai contoh, seseorang dapat membezakan antara haiwan lembu dengan kerbau hasil belajar sendiri bahawa kedua-dua binatang ini mempunyai bentuk dan ciri yang berbeza. Seseorang akan marah jika dikatakan Kamu bodoh macam lembu kerana dia mampu mengaitkan makna kata bodoh itu dengan ciri binatang lembu yang dimaksudkan. Sebaliknya, kita tidak menggunakan ujaran Kamu bodoh macam kerbau kerana makna kata bodoh itu tidak dapat dikaitkan dengan ciri atau sifat haiwan yang dimaksudkan.

5.2.3

Teori Analisis Komponen

Teori Analisis Komponen - Kata-kata mempunyai hubungan makna antara satu dengan yang lain.

Teori Analisis Komponen cuba menerangkan kata-kata mempunyai hubungan makna antara satu dengan yang lain. Hubungan ini disebut sebagai struktur leksikal. Analisis komponen diaplikasikan bagi melihat hubungan makna bagi sepatah perkataan dengan sejumlah unsur atau komponen makna. Antara perkara yang diperhatikan ialah: Melihat sejumlah ciri rujukan bagi sesuatu perkataan. Melihat kemungkinan adanya hubungan rujukan antara sesuatu kata dengan kata yang lain. Melihat ciri khusus bagi kata yang mempunyai hubungan rujukan, iaitu yang membezakan fitur semantik kata itu dengan kata yang lain. Elemen semantik yang menjelaskan makna linguistik bagi sesuatu morfem tau perkataan adalah berbeza daripada elemen bukan linguistik seperti dalam bidang sains. Sebagai contoh, ahli sains menjelaskan maksud air sebagai cecair yang terdiri daripada unsur hidrogen dan oksigen. Maksud sedemikian tidak menjelaskan makna sebenar bagi kata air dari segi makna linguistik. Justeru, untuk mengetahui makna kata tersebut, kita perlu menganalisis kata itu dengan melihat elemen semantiknya.
10

5.3

STRUKTUR MAKNA

Makna juga diertikan sebagai maksud, idea atau konsep yang boleh dipindahkan daripada fikiran penutur kepada fikiran pendengar. Sebenarnya, makna itu sendiri mempunyai pengertian yang amat luas. Sebagai contoh, perkataan dia boleh membawa pelbagai makna, iaitu seorang lelaki, perempuan, kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan, remaja, orang tua, penjenayah atau sebagainya. Hal ini bermakna perkataan dia mempunyai nilai makna yang berhubung dengan jantina, usia dan taraf sosial. Oleh itu, untuk memudahkan kita melihat makna tersebut, perlu dilihat dalam struktur tatabahasa. Struktur bermaksud satu cara yang menggabungkan bahagian kecil sesuatu yang dibentuk sehingga menjadi satu keseluruhan, misalnya tubuh manusia merupakan satu struktur yang terdiri daripada bahagian kecil yang bergabung. Dari segi struktur makna pula, ia merujuk kepada cara sesuatu perkataan yang membina sesuatu ayat itu berperanan dalam memberikan makna ayat itu secara keseluruhan; iaitu yang menunjukkan hubungan makna antara butir kosa kata. Dalam istilah lain, ia disebut sebagai semantik struktural, iaitu yang menjelaskan hubungan antara makna perkataan dalam sesuatu ayat dengan cara makna tersebut dapat dicipta daripada elemen yang lebih kecil. Struktur makna dilihat melalui cara memperoleh makna semantik dengan memberikan penekanan pada struktur makna ayat. Contohnya: pada penggunaan ujaran kata nafi. Kita boleh menghasilkan dua ayat yang bercanggah antara satu sama lain dengan menggunakan kata pada predikat ayat tersebut. Contoh: Manja seekor kucing. Ayat ini betul.

Bermaksud: Manja bukan seekor kucing. adalah salah, palsu atau tidak benar; apabila dua preposisi tersebut bercanggah antara satu sama lain. Pada umumnya, terdapat pasangan perkataan dalam sesuatu bahasa yang dapat memberikan gambaran yang bercanggah seperti itu, misalnya perkataan lelaki dan perempuan, hidup dan mati, tinggi dan rendah, baik dan jahat, bulan dan matahari dan sebagainya. Justeru, struktur makna boleh membawa interpretasi yang berbeza melalui penggunaan perkataan tertentu dalam ayat.

5.4

HUBUNGAN KATA DENGAN MAKNA

Perkataan yang terdiri daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif kesemuanya mengandungi makna. Sebaliknya, kata hubung seperti lalu, dan jika, sambil, tetapi dan kata sendi nama seperti di, ke, daripada dan pada tidak mempunyai makna tersendiri. Imbuhan juga tidak mempunyai makna, tetapi dari segi tatabahasa ia berfungsi untuk membezakan makna. Sebagai contoh, tahun bermaksud jangka waktu yang lamanya dua belas bulan, sebaliknya tahunan bermaksud sesuatu yang berlaku tiap-tiap tahun atau sekali dalam setahun. Hal ini menunjukkan terdapat hubungan antara makna dengan kata tersebut dan dengan itu ia tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.

Kata-kata adalah berhubungan antara satu dengan yang lain melalui pelbagai cara. Terdapat istilah yang digunakan bagi menjelaskan hubungan tersebut yang diakhiri oleh morfem seperti sinonim, antonim, homonim dan hiponim. 5.4.1 SINONIM

Sinonim ialah kesamaan makna perkataan, iaitu kata-kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Secara umumnya, sinonim disebut sebagai perkataan seerti, misalnya perkataan kereta dan motokar, sejuk dan dingin, suka dan gemar, ganggu dan kacau, lupus dan luput, loncat dan lompat dan sebagainya. Dalam bahasa Melayu, terdapat kamus sinonim yang mengandungi senarai perkataan seerti bahasa Melayu. Dalam kehidupan seharian kita biasa tersua dengan penggunaan sinonim di sekeliling kita. Contoh ayat: Di kawasan zoo kita akan melihat papan tanda yang tertulis: Tolong jangan usik, kacau atau ganggu binatang-binatang d kawasan ini. Di perpustakaan pula, terdapat kata-kata yang berbunyi: Dilarang membuat bising, bercakap dan berbual-bual. Terdapat sebilangan perkataan mempunyai makna yang hampir sama dan kelihatan bersinonim, tetapi mempunyai nilai rasa yang berbeza. Sebagai contoh, perkataan hangat dan panas membawa makna yang sama jika merujuk kepada air. Penggunaan perkataan ini dalam ayat boleh bertukar ganti,, misalnya Air itu hangat membawa makna yang sama dengan Air itu panas. Namun demikian, penggunaannya tidak boleh bertukar ganti dalam ayat Hari ini cuaca panas dengan Hari ini cuaca hangat. Hal ini menunjukkan bahawa sesetengah perkataan hanya memberikan makna yang sama dalam konteks tertentu sahaja. 5.4.2 ANTONIM

Antonim mempunyai maksud yang berlawanan daripada sinonim, iaitu ia merujuk kepada hubungan antara antonim. Antonim ialah pertentangan makna perkataan atau kata-kata yang mempunyai makna yang tidak sama. Secara umumnya, antonim disebut sebagai perkataan berlawan, misalnya sejuk lawannya panas, baik lawannya jahat, cantik lawannya hodoh, tinggi lawannya rendah, miskin lawannya kaya dan sebagainya. Namun demikian, tidak semua perkataan mempunyai pertentangan makna satu lawan satu seperti contoh tersebut. Oleh itu, kata nafi tidak kadangkala digunakan bagi menunjukkan pertentangan makna tersebut, misalnya perkataan lena lawannya tidak lena ataupun mati bermaksud tidak hidup. Cc 5.4.3 HOMONIM 5 Mengetahui sesuatu perkataan bermakna kita perlu mengetahui cara menyebut dan maknanya sekali. Jika sesuatu perkataan itu berbeza dari segi sebutan, tetapi mempunyai makna yang sama seperti haus dan dahaga, jemu dan bosan, kejam dan zalim, hadir dan datang dan sebagainya bermakna ia merupakan perkataan yang tidak sama. Demikian juga jika sesuatu perkataan itu
12

mempunyai sebutan yang sama, tetapi berbeza dari segi makna juga menunjukkan bahawa ia merupakan perkataan yang tidak sama. Homonim ialah dua kata atau lebih yang mempunyai, sama ada bunyi atau ejaan yang sama, tetapi berlainan makna. Perkataan yang mempunyai sebutan yang sama, tetapi berbeza makna dikatakan mempunyai hubungan homonim. Sebagai contoh, perkataan kepala yang membawa maksud ketua tidak sama maknanya dengan kepala kereta api , kepala manusia dan kepala surat. Kepala kereta api merujuk kepada sesuatu yang letaknya di bahagian hadap an, manakala kepala manusia dan kepala surat merujuk kepada sesuatu yang letaknya di bahagian atas. Penggunaan homonim dalam pertuturan atau ayat boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak berlatarbelakangkan konteks tertentu. Hal ini kerana homonim mempunyai sebutan dan bentuk ejaan yang sama, tetapi berbeza dari segi makna. Jika sesuatu ayat atau perkataan itu mempunyai lebih daripada satu interpretasi ia boleh menimbulkan kekaburan kepada pendengar atau pembaca. Perhatikan ayat-ayat yang berikut: 1. 2. 3. 4. 5. Dia masuk ke bilik lalu menutup pintu. Setiap petang dia lalu di hadapan rumah saya. Dia tidak lalu makan kerana demam. Dia mendapat keputusan cemerlang tahun lalu. Setelah berehat seketika mereka lalu meneruskan perjalanan ke kampung.

Penggunaan perkataan lalu dalam ayat-ayat di atas kesemuanya membawa makna yang berbeza. Dalam ayat (1), lalu merupakan kata hubung yang menyambungkan dua klausa yang setara menjadi satu. Dalam ayat (2), lalu membawa maksud melintas atau menempuhi. Dalam ayat (3), lalu membawa maksud berdaya atau sanggup. Dalam ayat (4), lalu membawa maksud lepas atau lampau. Dalam ayat (5) pula, lalu membawa maksud sesudah itu atau kemudian daripada itu.. Salah satu ciri homonim ialah homonim bersifat homograf, iaitu perkataan tersebut mempunyai kesamaan bentuk ejaan, tetapi tidak sama dari segi sebutan dan makna. Sebagai contoh, perkataan perang dan semak yang berikut mempunyai sebutan dan makna yang berbeza. perang perkelahian atau pertempuran perang warna merah yang kekuning-kuningan semak meneliti atau mengkaji semak belukar kecil

5.4.4

HIPONIM

Hiponim merujuk kepada hubungan antara hiponim. Hiponim ialah kata yang maknanya terangkum dalam makna kata yang lain. Sebagai contoh, melur, mawar, melati, kemboja dan cempaka ialah hiponim kepada bunga. Secara umumnya, hiponim merupakan kata umum yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kata-kata yang lebih khusus atau dalam erti kata lain ialah kata umum yang mempunyai lingkungan atau anggotanya terdiri daripada kata yang khusus.

Sebagai contoh, kita tahu bahawa hijau, kuning, merah, biru dan kelabu ialah perkataan yang merujuk kepada warna. Dari segi gambaran leksikal, kata-kata tersebut mempunyai ciri [+warna] yang menunjukkan perkataan tersebut merupakan kelas kata yang mempunyai ciri yang serupa . Contoh yang lain seperti perkataan kenari, bayan, tempua, kakak tua, merpati dan belatuk yang menggambarkan kelas kata bagi burung atau mempunyai ciri [+burung]. Demikian juga perkataan zirafah, badak, harimau, singa, kuda, kerbau dan kambing mempunyai ciri [+binatang]. Set perkataan seperti ini dinamakan hiponim, manakala hubungan hiponim adalah antara kata umum seperti warna dengan kata yang lebih spesifik seperti hijau, kuning, dan sebagainya. Dengan kata lain, hijau ialah hiponim bagi warna dan zirafah ialah hiponim bagi binatang. Kadangkala tidak terdapat satu kata umum yang dapat menggambarkan satu set hiponim. Sebagai contoh, rambutan, durian, langsat, cempedak, nangka, duku, dan manggis ialah hiponim kerana kesemuanya merujuk kepada buah-buahan tempatan , tetapi tidak ada satu perkataan yang dapat digunakan bagi menunjukkan hiponim bagi set kata tersebut. 5.5 MEDAN MAKNA

Medan makna merujuk kepada kumpulan butir leksikal yang maknanya saling berhubung kait disebabkan kehadiran masing-masing dalam konteks yang serupa. Medan makna juga merujuk kepada erti yang didukung oleh kata atau kumpulan kata. Secara umumnya, medan makna dikaitkan dengan kata kunci atau kolokasi, iaitu keadaan dua kata atau lebih yang lazimnya dikaitkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, perkataan buku berkolokasi dengan tebal, nipis, perkataan, halaman, bibliografi, bab dan sebagainya.

14

PENSYARAH

KERTAS KERJA

MAKMAL

KULIAH

UNIVERSITI

PERPUSTAKAAN

DEKAN

TESIS

HOSTEL

Rajah 5.5: Medan Makna bagi kata universiti

Sesuatu kata atau morfem mempunyai medan makna tersendiri. Sebagai contoh, perhatikan medan makna bagi kata universiti dalam Rajah 5.5. Kata universiti itu merupakan makna inti. Makna inti ialah makna yang menjadi dasar bagi sesuatu perkataan. Kata-kata yang mengelilingi makna inti itu disebut sebagai makna sampingan. Makna sampingan boleh bertindan dengan bahagian makna perkataan yang lain. Dalam keadaan yang lain, kata perpustakaan boleh menjadi makna inti dan mempunyai medan makna yang meliputi kata-kata buku, majalah, jurnal, tesis, kertas kerja, pustakawan, katalog dan sebagainya. Justeru, medan makna bagi kata universiti sebagai makna inti terdapat kata tesis dan kertas kerja. Demikian juga medan makna bagi kata perpustakaan sebagai makna inti juga terdapat kata tesis dan kertas kerja. Hal ini menunjukkan kata-kata mempunyai medan makna masing-masing dan makna sampingan boleh bertindan dengan makna sampingan yang lain.

5.6

Makna Kata

Makna kata disebut sebagai makna leksikal. Makna kata atau leksikal merupakan subbidang linguistik yang merujuk kepada kajian tentang apa yang ditunjukkan oleh sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa. Secara umumnya, perkataan dapat digunakan untuk memberikan makna kepada sesuatu benda atau perkara yang terdapat dalam dunia ini. Kata juga dapat menggambarkan sesuatu konsep yang bergantung pada pemilihan kata dan semantik leksikal yang digunakan. Setiap penutur dalam sesuatu bahasa berkongsi kosa kata asas bagi bahasa tersebut, termasuklah bunyi dan makna morfem dan perkataan . kita tidak boleh mengubah makna kata yang telah

tersedia mengikut makna kita. Sungguhpun kita bebas untuk mentakrifkan makna setiap perkataan apabila kita menggunakannya dalam perbualan, tetapi ia akan mengambil masa yang lama bagi pendengar untuk memahaminya kerana maknanya sudah berbeza daripada makna yang lazim. Kamus mengandungi hampir kesemua perkataan atau kosa kata berserta maknanya bagi sesuatu bahasa. Perbendaharaan kata bagi sesuatu bahasa itu disebut leksikon. Minda kita juga menjadi tempat menyimpan maklumat perkataan dan morfem yang dinamakan leksikon itu. Maknamakna perkataan yang terdapat dalam kamus disebut makna leksikal, iaitu makna perkataan itu sendiri tanpa melibatkan penggunaannya dalam ayat. Kamus menjadi pegangan dan rujukan penting bagi penutur bahasa tersebut. Makna perkataan merupakan sebahagian daripada pengetahuan linguistik dan juga sebahagian daripada tatabahasa.

5.6.1 Leksikon Leksikon ialah sekumpulan kosa kata bagi sesuatu bahasa, misalnya senarai perkataan umum yang terdapat dalam kamus dan senarai perkataan khusus yang terdapat dalam glosari. Leksikon juga diertikan sebagai komponen bahasa yang mengandungi segala maklumat yang berkaitan dengan perkataan, iaitu makna dan penggunannya. Dalam bahasa biasa, leksikon disebut sebagai kosa kata, yang dimiliki oleh pengguna sesuatu bahasa. Bagi penutur sesuatu bahasa leksikon merupakan kosa kata mental yang terdapat dalam minda mereka. Ia diorganisasikan dengan baik bagi membolehkan penutur menggunakan kata tertentu pada saat diperlukan.

5.6.2

Semantik Leksikal

Semantik leksikal merupakan kajian tentang cara dan apa yang dilambangkan oleh kata-kata dalam sesuatu bahasa. Kata-kata mungkin digunakan bagi melambangkan sesuatu perkara dalam dunia ini atau konsep tertentu bergantung pada kaedah yang digunakan dalam semantik leksikal. Semantik leksikal merupakan salah satu bidang linguistik yang bermanfaat kepada penutur bukan natif kerana mereka dapat mempelajari perkataan baharu dan maknanya dengan lebih mudah.

5.7

Makna Ayat

Makna ayat bergantung pada makna perkataan yang terkandung dalamnya. Makna frasa dan ayat bergantung pada makna perkataan yang terkandung dalamnya dan cara perkataan itu distruktur dan digabungkan. Terdapat hubungan semantik antara kata yang telah dijelaskan sebelum ini ditemui antara ayat. Sebagai contoh, dua patah perkataan yang sama makna dikatakan mempunyai hubungan sinonim,
16

manakala dua ayat dikatakan mempunyai hubungan secara parafrasa. Ayat tersebut mungkin berhubungan secara parafrasa kerana mengandungi perkataan sinonim dan parafrasa . Ayat yang gramatis itu terdiri daripada ayat-ayat yang cukup syaratnya daripada segi tatabahasa dan membawa makna penuh. Sebagai contoh lihatlah ayat berikut: Ali minum ais. Ayat ini cukup syarat daripada segi tatabahasa, dan oleh sebab itu ayat ini mengandungi makna. Tetapi lihat pula ayat berikut: Ali minum angin. Ayat ini mempunyai perkataan angin sebagai objek kata kerja minum. Angin tidak boleh diminum. Walau bagaimanapun angin dan ais adalah kata nama, dan oleh sebab itu ayat ini cukup syarat daripada segi tatabahasa, tetapi tidak bermakna. Ayat ini menyimpang. Ayat yang sempurna itu mestilah memenuhi kedua-dua syarat, gramatis dan bermakna. 5.8 Makna Denotatif

Denotatif ialah aspek makna sesuatu kata atau kumpulan kata yang berdasarkan rujukan jelas kepada dunia luar yang dapat dilihat dan berdasarkan kelaziman. Contoh, denotatif meja seperti yang terakam dalam kamus ialah perkakas rumah (dibuat daripada papan, batu, marmar, dan lain-lain) yang berkaki. Makna denotatif ialah makna yang diterima umum makhluk yang bernyawa dan tidak berakal (Kamus Linguistik,1997). Makna denotatif merujuk kepada makna sebenar kata atau makna literal. Sebagai contoh, makna denotatif bagi kata buaya ialah haiwan reptilia yang hidup di dalam air, bersisik, berkaki empat dan memakan manusia. Denotatif tidak melibatkan perbezaan atau persamaan bunyi, sebutan atau ejaan sesuatu kata. Secara umumnya, denotatif dirujuk sebagai makna tersurat, iaitu katakata yang membawa makna langsung atau makna dasar sesuatu kata. Dalam setiap makna perkataan, ada komponen yang dikatakan makna inti. Makna sesuatu perkataan itu mungkin luas atau mungkin berubah, tetapi ada komponen yang tetap. Sebagai contoh, makna inti perkataan kaki ialah anggota badan manusia atau binatang (di bahagian bawah) digunakan bagi bergerak). Inilah makna yang kita dapati daripada kamus-kamus bahasa Melayu. Makna inti seperti yang tercatat dalam kamus inilah yang dipanggil makna denotatif. Maksud denotatif itu ialah makna yang ditunjukkan oleh sesuatu perkataan tersebut. Apabila berlaku perluasan makna perkataan kaki seperti dalam contoh kaki langit, kaki bukit, kaki kain, dan lain-lain maka kita masih mendapati makna denotatif, iaitu anggota bahagian bawah itu masih wujud. Kaki bukit bermakna bahagian pangkal bukit, kaki langit bermakna bahagian bawah langit yang bertembung dengan bumi, dan kaki kain bermakna bahagian hujung bawah kain. Komponen inilah yang dikatakan makna denotatif perkataan. Makna denotatif wujud dalam semua perkataan.

5.9

Makna Konotatif

Konotatif ialah aspek makna suatu kata atau kumpulan kata yang berdasarkan perasaan dan tanggapan yang timbul dalam pemikiran penutur. Konotatif dirujuk sebagai makna tersirat, iaitu kata-kata yang mempunyai makna tambahan di samping makna sebenar. Makna konotatif berlawanan daripada makna denotatif, iaitu makna yang bukan sebenar atau makna bukan literal. Sebagai contoh, makna konotatif kata buaya ialah manusia yang berkelakuan ganas, manakala makna konotatif kata bunga pula ialah anak dara. Konotatif tidak melibatkan perbezaan atau persamaan bunyi, sebutan, atau ejaan sesuatu kata. Ada segolongan perkataan yang mempunyai makna tambahan di samping makna konotatif. Penggunaan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa dan budaya memberi tambahan kepada makna perkataan tersebut. Contohnya; lihatlah penggunaan kata nama bunga dan warna. Dalam budaya Melayu perkataan bunga kemboja membawa makna tambahan. Makna tambahan ini ialah bunga kemboja membawa makna duka kerana kematian. Ini ada kaitan dengan tanah perkuburan tempat bunga ini ditanam. Inilah yang dikatakan konotasi makna perkataan bunga kemboja. Konotasi ini adalah konotasi buruk. Walau bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat Hawaii bunga kemboja mempunyai konotasi baik. Inilah bunga yang dijadikan kalung bagi menyambut tetamu yang tiba di Lapangan Terbang Honolulu. Dalam budaya masyarakat Cina, perkataan ayam mempunyai konotasi baik kerana ayam adalah binatang yang licik, tetapi dalam budaya masyarakat Inggeris perkataan ayam membawa konotasi buruk sebab orang yang dipanggil ayam adalah pengecut. Kata warna kuning dalam budaya Melayu adalah lambang diraja, tetapi membawa konotasi buruk, iaitu penakut dalam budaya Inggeris. Kata warna hijau pula mempunyai konotasi baik dan subur dalam budaya Inggeris tetapi mempunyai konotasi buruk dalam budaya Cina. Oleh sebab itu, makna konotasi ini juga dipanggil makna budaya. 5.10 Penutup

Memilih kata yang sesuai digunakan dalam perbualan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, pilihan kata atau diksi perlulah sesuai dengaan konteks. Dalam hal ini ilmu semantik amat berguna bagi membantu penutur memilih kata dan ayat yang betul dalam perbualan. Kita kadangkala memilih untuk menggunakan konotatif dibandingkan dengan memilih denotatif. Namun demikian, jika kata itu mengandungi konotatif yang salah, ia boleh menyebabkan kesalahfahaman atau kesalahtanggapan pada pihak pendengar. Bab ini telah menjelaskan makna dari sudut linguistik, iaitu makna kata, frasa dan ayat yng masing-masing mempunyai makna yang berbeza-beza. Seterusnya, dijelaskan cara sesuatu kata, frasa dan ayat itu memperoleh makna kerana ilmu semantik mempunyai hubungan langsung dengan makna kata, frasa dan ayat. Justeru, dihuraikan secara khusus hubungan makna dengan kata yang disebut sebagai sinonim, antonim, homonim, hiponim dan polisemi . Seterusnya, hubungan makna ayat yang dinamakan parafrasa, syarat benar, rangkuman dan percanggahan. Penjelasan aspek semantik dalam bab ini dapat membantu penutur memilih kata, frasa atau ayat secara lebih spesifik dalam perbualan.

18

Rumusan 1. Semantik bermaksud mengkaji makna. Makna kata tidak lengkap sekiranya tidak merujuk kepada konteksnya. 2. Semantik mengkaji makna pada peringkat morfem, kata, frasa, ayat dan wacana. 3. Penutur menggunakan sumber sintektikal dan fonologikal bahasa dari segi semantik untuk menggambarkan makna. 4. Teori rujukan merupakan salah satu teori makna. Teori rujukan kata digunakan sebagai cara untuk merujuk kepada dunia luar. 5. Teori imejan makna sesuatu perkataan berhubung dengan imej yang terbayang dalam minda penutur. 6. Teori behaviorisme makna merupakan bentuk tindak balas hasil daripada rangsangan. 7. Teori analisis komponen kata-kata mempunyai hubungan makna antara satu dengan yang lain. 8. Struktur makna cara sesuatu kata yang membina sesuatu ayat berperanan dalam memberikan makna ayat secara keseluruhannya. 9. Sinonim kata-kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama. 10. Antonim pertentangan makna perkataan; kata-kata yang mempunyai makna yang tidak sama. 11. Homonim dua kata atau lebih yang mempunyai, sama ada bunyi, atau ejaan yang sama, tetapi berlainan makna. 12. Hiponim kata umum yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kata-kata yang lebih khusus. 13. Medan makna kumpulan butir leksikal yang maknanya saling berhubung kait disebabkan kehadiran masing-masing dalam konteks yang serupa. 14. Makna kata makna leksikal makna perkataan seperti yang terdapat dalam kamus. 15. Makna ayat bergantung pada makna perkataan yang terkandung dalamnya. 16. Makna denotatif makna sebenar kata atau makna literal. 17. Makna konotatif makna yang bukan sebenar; makna tambahan di samping makna sebenar. Latihan 1. Terdapat sebilangan perkataan mempunyai makna yang hampir sama dan kelihatan bersinonim, tetapi mempunyai nilai rasa yang berbeza. Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan perkara yang berikut: a. Maksud sinonim b. Maksud antonim c. Nilai rasa bagi kata hangat dan panas d. Perbezaan ciri semantik bagi kata wanita dan gadis.

2. Berikan sinonim bagi perkataan-perkataan berikut: a. janggal b. malaun c. salai d. tempek e. wajah 3. Berikan makna konotatif bagi kata-kata yang berikut: hamil mengandung bunting 4. Dari Kamus Dewan , senaraikan sepuluh perkataan yang mempunyai hubungan polisemi dengan perkataan lain. 5. Huraikan istilah dan konsep yang berikut berserta contoh yang berkaitan. a. b. c. d. Semantik struktural Makna leksikal Hiponim Medan makna

6. Kemukakan dua contoh yang menunjukkan percanggahan. 7. Beri fitur semantik sehingga dapat membezakan makna wanita, perempuan dan betina. 8. Beri fitur semantik peranggu perkataan berikut: kedai, restoren, gerai.

Rujukan Adrian Akmajian et al. 2002. Linguistik: Pengantar Bahasa dan Komunikasi. Kuaala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Allan,K.1986. Linguistic meaning. Jld.II. London: Routledge dan Kegan Paul. Auer, P.dan Di Luzio, A. (ed.) 1992. The Contextualization of Language . Amsterdam, Philadelphia: J. Benjsamins Co. Brown,P. dan Fraser,C. 1979. Speech as a Marker of Situation, dalam K.R.Scherer dan H. Giles(ed.) Social Marker in Speech.Cambridge: Cambridge University Press hal. 36-62. Brown,P. dan Levinson, S.C.1987. Politeness: Some Universals in Language Usage. Cambridge: Cambridge University Press. Edward Finegan, 2004. Language: its Structure and Use (4th edition ).Thomson Wadsmorth. Fodor,J.D. 1977. Semantics: Theories of meaning in generative grammar, New York:
20

Crowell. Grice , H.P.1968. Utterers meaning, sentence-meaning, and word-meaning, Foundations of language 4, 225 242. Kamus Linguistik. 1997. Dewan Baahasa & Pustaka. Koenraad Kulper & W. Scott Allan, 2004. An Introduction to English Language: Word, Sound and Sentence (2nd Edition). Palgraave Macmillan. Lyons,J. 1963. Structural Semantics. (Publications of the Philological Soceity. 20). Oxford: Blackwell. S.Nathesan. 2001. Makna dalam Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Schiffer,S. 1972, .Meaning . Oxford: Clarendon. Sinclair,J. McH. dan M. Coulthard . 1978.Towards an Analysis of Discourse: The English Used by Teachers and Pupil. London: Oxford University Press. Siti Hajar Hj. Abdul Aziz 1996. Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama dan Kedua ditinjau dari Sudut Pendekatan dan Kaedah Pengajaran , Kertas Projek Ilmiah, Universiti Putra Malaysia, Serdang. Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 1996. Bahasa Melayu II. Petaling Jaya: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2007. Bahasa Melayu Perbualaan dengan Berdasrkan Analisis Model Pragmatik Gabungan Tambahan, Tesis Ph.D. Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Stalnaker, R.C. 1972, Semantics of Natural Languge.Dordrecht: D.Reidel Publishing Company. Thomas,J. 1995. Meaning in Interaction: An Introduction to Pragmatics. London dan New York: Longman. Victoria Fromkin, Robert Rodman, & Nina Hyams, 2003 , An Introduction to Language (7th Edition). Thomson Heinle. Werth,P. 1981, Converstion and Discourse: Structure and Interpretation, New York: St. Martins Press. Werth,P. 1999. Text World: Representing Conceptual Space in Discourse, Singapura: Longman. William OGrady. Semantics: the analysis of meaning. Dalaam OGrady & Archibald (ed.). 2000. Contemporary Linguistic Analysis: An Introduction (4th Edition). Addison Wesley Longman. William OGrady & John Archibald (ed.) 2000. Contemporary Linguistic Analysis: An Introduction (4th Edition). Addison Wesley Longman.

You might also like