You are on page 1of 2

Integrasi Nasional

Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual yang merupakan hasil daripada satu penghayatan di mana akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179180).

Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun (1991) menyatakan bahawa Integrasi Nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negerinegeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Membentuk satu bangsa Malaysia merupakan salah satu cabaran kepada negara walaupun setelah mengecapi kemerdekaan. Ini ialah kerana masalah perkauman tetap menjadi satu isu yang serius dan perlu diambil tindakan dan perhatian.

Antara peristiwa yang telah mencetuskan ketegangan antara kaum ialah peristiwa 13 Mei 1969. Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa ini telah mewujudkan prasangka, amalan diskriminasi dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik yang akhirnya mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu. Peristiwa rusuhan kaum ini memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etniketnik di Malaysia.

Justeru itu, pada tahun 1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting untuk menjayakan

objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masingmasing.

Justeru itu, bagi mewujudkan integrasi nasional daripada pelbagai kaum di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan ialah berusaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama.

Ini bermaksud penggabungan sekolah berkenaan sudah pasti akan menemukan pelajar kepada satu andaian baru dalam hidup mereka. Ia bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan menyatupadukan kaum dalam kalangan pelajar. Walaupun semangat perpaduan dan integrasi antara kaum telah diberi penekanan sejak murid berada di sekolah rendah lagi, namun penubuhan Sekolah Wawasan akan lebih mencapai objektifnya kerana murid berbilang kaum dipertemukan di bawah satu tapak persekolahan yang sama.

You might also like