You are on page 1of 6

Isu-isu NKRA & Cara Perlaksanaan - Mengurangkan jenayah

Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang kerajaan seperti yang dikandungi dalam Perlembagaan Malaysia. Orang yang melakukan perbuatan jenayah ini dinamakan penjenayah. Jenayah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Antaranya termasuklah jenayah berat, jenayah siber, jenayah juvana, jenayah seksual, jenayah perang dan sebagainya. Sebagai informasi tambahan, Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi di Malaysia dan ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957. Selaras dengan perancangan dan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA (NATIONAL KEY RESULT AREAS) yang diperkenalkan oleh YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, iaitu Perdana Menteri Malaysia (ke-6), setiap bidang tumpuan telah dipimpin oleh seorang Menteri Kerajaan. Bagi bidang dan isu-isu berkaitan dengan jenayah yang melibatkan pejabat peguam negara, mahkamah, penjara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan adalah dipimpin oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri). Menuruti teks ucapan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) Perutusan Tahun Baru 2011 Menteri Dalam Negeri, keselamatan nasional adalah bersifat `zero sum dalam teori ekonomi, di mana situasi tersebut mengambarkan kekalahan atau kemenangan seseorang pemimpin diseimbangkan oleh kekalahan atau kemenangan pemimpin yang lain. Kata beliau, Kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, dan kemusnahan menggantikan kemakmuran. Dengan tujuannya menjaga dan mengekalkan keselamatan nasional selain daripada menambah nilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan, usahausaha tertentu telahpun digerakkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Penjara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan sebagainya, sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan juga Program Transformasi Kerajaan (GTP). Walaubagaimanapun, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) telahpun menggariskan tujuh komitmen utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan dalam semangat 1 KDN. Antara komitmen ini adalah memantapkan pelaksanaan NKRA mengurangkan jenayah, memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian, meningkatkan kecekapan pengurusan warga asing, menangani ancaman jenayah merentasi sempadan, memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah, mempertingkatkan keberkesanan pemulihan dan menggerakkan gelombang kesukaleraan.

Bagi merealisasikan matlamat mengurangkan jenayah seperti yang disasarkan dalam NKRA menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah, Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar telah membawa perubahan yang menyeluruh kepada imej pasukan polis dan member semangat baru kepada semua anggotanya selain daripada memformulasikan komitmen 4P, iaitu Protective (Pelindung Rakyat), Performance and Outcome Oriented (Berorientasi Prestasi dan Hasil), Proactive (Proaktif), People Oriented (Berorientasikan Rakyat) dan keutamaan untuk mengukuhkan aspek komunikasi dan perhubungan awam PDRM. Di samping itu, pada tahun 2011, PDRM telah merangka strategi membanteras jenayah secara menyeluruh melalui program Pengukuhan Modal Insan, meningkatkan kemahiran setiap warga PDRM dan meningkatkan omnipresence PDRM. Selaras dengan strategi ini, Bahagian NKRA di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan secretariat NKRA di Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah ditubuhkan selepas perlancaran rasmi Program Transformasi Kerajaan pada bulan Januari 2010. Selain itu, mesyuarat antara Bahagian NKRA di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan secretariat NKRA di Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan Perdana Menteri diadakan setiap tiga minggu bagi mencari jalan untuk mempertingkatkan impak 55 initiatif yang dilaksanakan. Contohnya, Program Pengawaman Polis merupakan hasil daripada mesyuarat ini, yang membebaskan 7,402 orang anggota polis beruniform dari tugas pentadbiran untuk melaksanakan tugas-tugas kepolisian dan digantikan dengan 4,279 orang awam tanpa melibatkan pertambahan kos. Jumlah 7,402 orang anggota polis beruniform ini adalah tambahan kepada 14,222 orang pegawai polis, 1,724 orang anggota PGA, 1,215 polis bantuan dan purata seramai 2,090 orang sehari Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dari kalangan 3,663 anggota RELA dan 1,292 anggota JPAM yang ditugaskan di kawasan hot spots. Pada waktu yang sama pelaksanaan Kepolisian Berprofil Tinggi (High Profile Policing) dengan purata lawatan sebanyak 8,000 ke 9,000 lawatan seminggu, penempatan 90 unit Balai Polis Bergerak di seluruh negara dan 812 buah motorsikal tambahan untuk rondaan anggota polis di kawasan hot spots meningkatkan lagi kehadiran anggota polis di jalanan dan menyebabkan kehadiran mereka dirasai. Ini secara tidak langsungnya telahpun meningkatkan omnipresence PDRM dengan berkesan. Tambahan pula, kehadiran anggota polis dibantu pula dengan pemasangan 496 CCTV tambahan, penglibatan 4,708 Rukun Tetangga dan 2,030 Skim Rondaan Sukarelawan serta penglibatan seramai 394,260 ahli Rakan COP di seluruh negara telah memberi impak yang besar terhadap NKRA mengurangkan Jenayah, seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar jenayah indeks secara keseluruhan dan jenayah jalanan jauh lebih baik dari sasaran asal. Direkodkan pada tahun 2010 Jenayah Indeks keseluruhan telah berkurang sebanyak lima belas peratus, berbanding sasaran asal, lima peratus. Jenayah Jalanan pula berkurang sebanyak 35 peratus, jauh lebih baik berbanding sasaran asal sebanyak 20 peratus.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) juga mencadankan supaya mewujudkan satu sub-NKRA untuk mengenal pasti punca dan penyelesaian terhadap masalah golongan wanita terus menjadi mangsa penjenayah. Menuruti beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan NGO-NGO yang berkaitan untuk mencari langkah pencegahan jenayah yang boleh mengelakkan wanita terus menerus dijadikan mangsa. Pada tahun 2010 juga, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya ditanda araskan di peringkat antarabangsa melalui keanggotaan tetap JPAM dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa atau International Civil Defence Organisation (ICDO) dan kerjasama dengan Asian Network for Major Cities 21 atau ANMC21 yang berpusat di Tokyo, Jepun dan Asian Disaster Preparedness Center (ADPC) yang berpusat di Bangkok, Thailand. Mereka telah dijadikan penggerak paling utama dalam sebarang operasi menyelamat, kecemasan, krisis dan bencana. Dalam tahun 2011, selain dari membantu mencapai matlamat NKRA mengurangkan jenayah, JPAM juga akan meningkatkan peranan menjadi pasukan sukarelawan rakyat di barisan paling hadapan untuk menangani kecemasan dan bencana, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga mempunyai peranan yang dihormati di peringkat antarabangsa. Bagi Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), tahun 2011 ini telah menjadi tahun penjenamaan semula pasukan RELA. Dalam proses penjenamaan semula ini, anjakan yang ingin dilaksanakan akan meliputi 7 aspek iaitu imej pasukan, peranan, penyertaan, program, kehadiran fizikal, kebajikan ahli, dan struktur organisasi. Justeru, RELA akan dijadikan sebuah pasuakn yang terlatih, berintegriti, dan professional serta mempunyai wajah 1Malaysia. Rela juga akan merangkumi aspek 4K iaitu Keselamatan, Keamanan, Keharmonian, Kesejahteraan, terutamanya dalam NKRA Mengurangkan Jenayah. Rela boleh digerakakn bagi meningkatkan lagi keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan oleh PDRM seperti rondaan dan kawalan keselamatan setempat, Program Rakan COP dan Community Policing, serta program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional seperti Skim Rondaan Setempat Kawasan Rukun Tetangga (SRSKRT). Atas dasar itu, Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman dan Briged Orang Asli juga telah dilancarkan secara rasminya pada 11 Disember 2010. Selaras dengan komitmen utama KDN, Jabatan Penjara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) telah meningkatkan keberkesanan Program Rawatan dan Pemulihan. Sekiranya sistem hukuman, penahanan dan pemulihan berkesan, maka peluang bagi seseorang melakukan jenayah berulang berkurangan, seterusnya ini akan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara. Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik, beberapa pendekatan baru dan penambah baikan telah diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara pro-aktif. Pertama; dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, tahap dan jenis kesalahan. Kedua, melalui pengkategorian

semula penjara. Pada tahun 2010, sebanyak 11 buah penjara terlibat dalam usaha ini dan pada tahun 2011, ia akan diperluaskan ke 17 penjara yang lain. Bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dan mengatasi kesesakan penjara, Jabatan Penjara juga telah melaksanakan pendekatan-pendekatan seperti Sistem Parol, Rumah Perantaraan (Half Way House) dan Pusat Kehadiran Wajib (Compulsary Attendance Center). untuk memantapkan lagi program pemulihan penghuni penjara, dalam tahun 2011, Perdana Menteri akan mengumumkan pula program Pemasyarakatan Banduan melibatkan usaha sama Jabatan Penjara dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Program pemasyarakatan yang melibatkan sokongan komuniti dan keluarga penghuni penjara dalam persekitaran di luar penjara dijangka mampu mempersiapkan penghuni penjara untuk diterima kembali ke dalam masyarakat dengan lebih cepat dan lebih berkesan lagi. Seperti Jabatan Penjara, transformasi program rawatan dan pemulihan juga merupakan agenda utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Melalui AADK, beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan dalam tahun 2010 dan akan diperkemaskan lagi dalam tahun 2011. Pendekatan baru AADK ini adalah, pertama, dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih terbuka. Melalui Klinik Rawat dan Prihatin (Cure & Care) 1Malaysia, AADK telah membuka ruang kepada masyarakat untuk memilih perkhidmatan program rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa perlu melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah. Kedua, bagi meningkatkan lagi kejayaan program rawatan dan pemulihan, AADK juga telah mengklasifikasikan PUSPEN kepada beberapa kategori iaitu PUSPEN Triage, bagi tujuan penilaian, PUSPEN ONE bagi penghuni yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk dipulihkan dan PUSPEN Tegar untuk penghuni yang mempunyai motivasi yang rendah untuk dipulihkan. Pendekatan yang lain akan diperkenalkan sepanjang tahun 2011. Inilah isu-isu NKRA dan cara perlaksanaan untuk mengurangkan jenayah yang dipimpin oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dengan harapan penurunan kadar jenayah indeks secara keseluruhan dan pengekalan keselamatan nasional sepanjang masa.

Isu-isu NKRA & Cara Perlaksanaan - Memerangi rasuah


Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihakpihak tersebut. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama, iaitu meminta dan menerima rasuah, menawar dan memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan menyalahguna jawatan dan kedudukan. Isu rasuah yang melibati Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Bagi memulakan tahun baru 2011 ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan slogan anti rasuah iaitu Khidmat Tanpa Rasuah. Menuruti teks ucapan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) Perutusan Tahun Baru 2011 Menteri Dalam Negeri, beliau menyeru warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kesemua jabatan supaya berusaha meningkatkan integriti dan menggandakan produktiviti; mencari keberkatan, memberi Khidmat Tanpa Rasuah, selaras dengan usaha-usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam NKRA Memerangi Rasuah. Menurut Utusan Melayu (2 Mac 2011) Berita dari Kota Kinabalu (1 Mac 2011), gejala pengambilan rasuah telah menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion pada tahun 2010. Merujuk kepada peristiwa ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan telah mengatakan bahawa usaha keras perlu dilakukan bagi menangani gejala itu dan mengelakkan wang rasuah mengalir keluar. Beliau juga berkata bahawa berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) pada tahun 2010, negara mengalami kejatuhan mata kepada 4.4 berbanding 4.5 mata pada tahun 2009 disebabkan penglibatan dalam jenayah rasuah. Memandangkan gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan yang penting dalam usaha-usaha memerangi rasuah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia. Ia ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Dalam NKRA memerangi rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memformulasikan Strategi Pengukuhan, Strategi Penggalakan dan Pencegahan, dan Strategi Penguatkuasaan. Bagi meningkatkan keberkesanan SPRM,

strategi pengukuhan ini memberi keutamaan kepada pengukuhan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM serta pengukuhan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang rasuah antarabangsa dan menjalin hubungan yang baik dengan pihak media massa. Selain itu, Strategi Penggalakan dan Pencegahan menekankan kepada usaha-usaha penghayatan nilai murni, pencegahan rasuah dan peningkatan sistem kawalselia yang tegas dalam penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Bagi strategi penguatkuasaan, undang-undang pencegahan rasuah diperkemaskan untuk meningkatkan ketegasan penguatkuasaan undang-undang rasuah bagi memberi kesan "deterrence" terhadap penjenayah rasuah. Selain daripada strategi-strategi yang diformulasikan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam memerangi rasuah khususnya usaha yang dibuat melalui NKRA memerangi rasuah. Selain itu, SPRM komited dalam menjayakan inisiatif-inisiatif yang telah dipersetujui dan bersedia membantu pihak Kerajaan dalam mencapai hasrat yang ditetapkan. Komitmen SPRM ini dibuktikan apabila SPRM bersedia menempatkan Sekretariat NKRA tersebut di bawah bumbung SPRM. Langkah ini secara tidak langsung akan memudahkan usaha penyelarasan dibuat memandangkan SPRM dan Sekretariat NKRA tersebut mempunyai matlamat yang sama iaitu memerangi rasuah. Selain itu, 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah akan ditubuhkan namun kini hanya ada 2 buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan 2 lagi di Shah Alam. Usaha ini telah menunjukkan bahawa kerajaan berusaha untuk mencapaikan NKRA memerangi rasuah supaya mewujudkan Negara Tanpa Rasuah. Sebagai informasi tambahan berkaitan dengan NKRA memerangi rasuah, Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa merupakan pertubuhan yang menyusun senarai negara mengikut "darjah di mana rasuah ini dianggap wujud di kalangan pegawai-pegawai dan ahli politik awam". Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah sebagai "penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi". Selaras dengan NKRA, dalam usaha memerangi rasuah, Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa juga ditetapkan supaya diperbaiki. Negara yang mengalami Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) yang rendah dikatakan berada pada tahap tidak berapa bagus dari sudut penglibatan dalam jenayah rasuah. Kesimpulannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun mewujudkan usaha-usaha selaras dengan NKRA memerangi rasuah. Antaranya termasuklah persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan sebagainya selain daripada akta-akta ataupun strategi-strategi yang diformulasikan serta penempatan Sekretariat NKRA di bawah bumbung SPRM. Inilah Isu-isu NKRA dan cara perlaksanaan untuk memerangi rasuah yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

You might also like