You are on page 1of 11

>> PERKAHWINAN

Pengenalan.

Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang sangat diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek pangkat dititikberatkan dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunaeng dan barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.

>> Merisik

Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status sosial yang sama dikenali dengan sama gara. Perkahwinan antara pasangan yang berlainan status sosialnya dikenali sebagai sida adat. Wakil pihak lelaki mengunjungi rumah keluarga perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan memastikan status sosial keluarga perempuan dan untuk menentukan sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum. Sekiranya gadis itu belum berpunya, ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun tidak serta mas kahwinnya.

>> Meminang

Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu beberapa orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan barang hantaran peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Dengan penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki dan diterima oleh wakil keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua pihak hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika persetujuan dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak perempuan yang memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan kepada pihak lelaki tetapi jika pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang itu menjadi milik pihak perempuan.

>> Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis peramas iaitu per-kahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk rnajlis ini berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu penyekab dan berian dan hadiah lain seperti adat menuga, adat mebin dan pakan sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara pernikahan. Pernikahan boleh juga di-adakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran dan sahabat handai.

Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari. Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dan perempuan yang lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas pelamin untuk disaksikan oleh para jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersamasama rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan adat pahe kepada pengantin perernpuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi pengantin pe-rempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu.

Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diada-kan pula persandingan di rumah pengantin perempuan untuk menjalani adat petudui iaitu penyerahan pelbagai barang, antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan pelbagai pantang larang, misal-nya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada waktu siang.

Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan nasi temuan. Semasa ja-muan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara begendang, iaitu tari menari. Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara membebaskan mereka daripada pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang ke laut segala bala atau bencana yang mung-kin mengancam pasangan suami isteri itu. Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersukaria dan mandi-manda beramai-ramai di tepi pantai.

~~~AKU ANAK MELANAU~~~

ADAT RESAM PERKAHWINAN MASYARAKAT MELANAU SARAWAK

Masyarakat Melanau merupakan salah satu daripada etnik pribumi Sarawak. Seperti masyarakat etnik Sarawak yang lain, masyarakat Melanau juga mempunyai adat resam perkahwinan yang unik dan tersendiri. Walau ramai yang menyatakan bahawa adat resam perkahwinan masyarakat Melanau hampir sama dengan adat perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak namun hakikatnya adat resam masyarakat Melanau mempunyai kelainan walaupun ianya masih berasaskan kepada adat merisik, meminang dan majlis perkahwinan. Di dalam memperjelaskan konsep adat perkahwinan di dalam masyarakat Melanau, beberapa istiadat perkahwinan hendaklah dititik beratkan. Aspek status sosial amatlah penting memandangkan ini akan melambangkan pangkat kepada pasangan tersebut di dalam institusi sosial. Status sosial ini dapat diperjelaskan di dalam menentukan jenis barangan dan hantaran yang harus disediakan sewaktu pertunangan dan barangan hantaran yang dihantar bersama dengan mas kahwin. Status sosial ini digelar Sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh bertirih dan lima bertirih. Adat resam pula akan mencakupi adat menuga, adat mebin dan pakan yang berkait rapat dengan status sosial tersebut.

Segalanya bermula dengan apabila si teruna sudah terpaut dengan si dara dan adalah perlu untuk si teruna menyampaikan hajat dihati kepada kedua orangtuanya. Apabila wakil pihak teruna berkunjung ke rumah keluarga si dara adat ini dipanggil ADAT MERISIK. Di dalam adat merisik ini, adalah perlu untuk kedua-dua keluarga memperjelaskan status sosial masing-masing. Sekiranya status sosial mereka adalah sama maka ianya dikenali dengan sama gara dan sekiranya status sosial mereka tidak sama maka ianya dikenali sida adat. Penentuan status sosial ini akan menentukan hantaran dan bentuk mas kahwin yang harus diberikan apabila kata sepakat telah diambil di dalam adat merisik ini nanti barulah akan diteruskan dengan ADAT BERTUNANG.

Mengikut kata sepakat di dalam adat merisik, maka satu hari yang baik akan dipilih untuk kedua-dua keluarga menjalankan ADAT BERTUNANG. Rombongan pihak teruna biasanya akan bertandang ke rumah keluarga si dara dengan membawa beberapa hantaran sebagai Tanda Tunang. Hantaran tersebut adalah sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan satu pikul barang tembaga. Sekiranya hantaran tersebut diterima oleh pihak keluarga si dara maka dengan rasminya si dara menjadi tunangan orang yang sah. Terdapat beberapa perkara yang harus diambilkira sewaktu pertunangan berlangsung iaitu sekiranya jodoh tidak kesampaian maksudnya pertunangan tidak dapat diteruskan atas hal-hal tertentu. Sekiranya pihak perempuan yang memutuskan pertunangan tersebut maka pihak perempuan hendaklah menghantar kembali kesemua tanda tunang tersebut kepada pihak lelaki dan sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut maka kesemua tanda tunang tersebut dikira hangus iaitu ianya akan terus menjadi milik perempuan tersebut.

Kebiasaannya MAJLIS PERKAHWINAN yang mengikut adat di dalam masyarakat melanau akan diadakan secara besar-besaran iaitu mengikut kemampuan kedua-dua keluarga kecuali perkahwinan dikategorikan sebagai perkahwinan jenis Peramas iaitu berkahwin kerana ditangkap basah. Perkahwinan jenis ini lebih kepada perkahwinan bidan terjun dan majlisnya hanya ala kadar sahaja. Bagi perkahwinan yang mengikut

adat, kebiasaannya tempoh penyediaan perkahwinan adalah beberapa hari sebelum tarikh majlis perkahwinan diadakan. Beberapa hari sebelum majlis perkahwinan diadakan, pihak lelaki dikehendaki menyerahkan hadiah mas kahwin iaitu penyekab dan berian. Kemudian disusuli dengan sehari sebelum majlis perkahwinan dengan hadiah lain seperti adat menuga, adat mebin dan pakan. Selesai penyerahan hadiah ini barulah disusuli dengan acara pernikahan. Acara pernikahan kebiasaannya adalah satu acara mengikut perkara wajib di dalam lunas-lunas agama. Selesai hal-hal yang wajib ini barulah majlis persandingan akan diadakan.

Kebiasaannya majlis persandingan akan diraikan di rumah kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan dengan dihadiri keluarga dan sahabat handai yang telah dijemput. Majlis Persandingan biasanya dimulai di rumah keluarga pengantin lelaki. Ini bermakna pengantin perempuan dan rombongannya akan bertandang ke rumah pengantin lelaki dahulu. Apabila pengantin perempuan tiba di rumah keluarga pengantin lelaki maka adalah perlu untuk keluarga pengantin lelaki menghadiahkan adat pahe kepada pengantin perempuan. Tanpa adat pahe ini, pengantin perempuan dan rombongannya adalah dilarang untuk memakan sebarang makanan di rumah pengantin lelaki itu. Sekiranya semua adat telah dijalani maka barulah persandingan akan dibenarkan kepada kedua-kedua mempelai untuk duduk di astana pelamin yang siap dibina bagi tontonan semua jemputan dan keluarga. Selesai sudah majlis di sebelah pengantin lelaki, kini tibalah pula untuk majlis persandingan di rumah keluarga pengantin perempuan. Rombongan pengantin lelaki akan bertandang ke rumah keluarga pengantin perempuan. Di majlis persandingan di sebelah pengantin perempuan ini akan diadakan adat petudui iaitu penyerahan pelbagai barangan antaranya sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.

Pada sebelah petang ataupun malam, kebiasaannya akan diadakan upacara makan nasi temuan. Upacara makan nasi temuan adalah seisi suap-menyuap antara keduadua pengantin dengan disaksikan oleh keluarga terdekat. Mengikut ceritanya di dalam upacara makan nasi temuan ini para hadirin akan boleh mengenal siapakah yang akan

mendominasi bahtera perkahwinan itu nanti berdasarkan siapakah yang paling cepat menyuapkan makanan ke dalam mulut. Andaikata yang paling cepat adalah pengantin lelaki maka pengantin lelakilah raja kepada rumahtangga tersebut tetapi andaikata pengantin perempuan yang paling cepat maka akan terdapatlah Queen Control di dalam bahtera perkahwinan itu nanti. Walau bagaimanapun ini hanyalah cerita orangorang tua, kebenarannya hanya pasangan suami isteri itu yang mengetahuinya.

Pada hari ketujuh selepas majlis persandingan akan diadakan upacara membebaskan kedua-dua pengantin daripada segala pantang yang dikenakan. Pantang larang yang dikenakan itu adalah sepanjang tempoh seminggu itu kedua-dua pengantin adalah tidak dibenarkan untuk tidur di siang hari kerana sekiranya dilakukan akan membawa bala atau bencana di dalam perkahwinan mereka. Untuk itu upacara membuang pantang ini akan diadakan dengan upacara mandi pengantin di laut. Ianya adalah simbolik kepada membuang segala bala dan bencana itu ke laut.

Berbalik kepada penjelasan kepada status sosial di dalam masyarakat Melanau yang akan menentukan adat perkahwinan adalah seperti berikut:

Status Sosial: Bangsa Sembilan Pikul Apabila hari perkahwinan akan dilangsungkan mas kahwin diberikan. Terdapat dua bahagian yang penting iaitu penyekab dan berian. Penyekab terdiri daripada sembilan amas emas, sebilah pedang, sehelai persarakap betabor (sapu tangan berebang emas dengan corak tertentu) dan sebuah tumo' (bekas diperbuat daripada kayu dalam bentuk tertentu). Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak sembilan pikul (133 paun x 9) atau harta lain yang senilai dengan harga barangan tersebut.

Keperluan-keperluan lain ialah Adat Menuga sebanyak satu pikul barangan tembaga kuning atau harta senilai sebagai syarat pengangkutan pengantin perempuan ke rumah lelaki pada hari perkahwinan. Adat Mebin adalah satu pikul barangan tembaga sebagai syarat untuk pengantin perempuan naik ke rumah pengantin lelaki apabila rombongan

sudah sampai di rumah itu. Pakan pula hanya berupa duit mengikut kehendak pihak perempuan. Semua barangan hantaran akan disampaikan kepada pihak perempuan sehari sebelum tarikh perkahwinan.

Pada keesokkan paginya pengantin perempuan akan berangkat ke rumah pengantin lelaki. Pada masa yang sama rumah pengantin lelaki akan dihias dengan menarik dan kemudian pangkat pihak lelaki dipamerkan. Pada masa yang sama sembilan helai bendera akan dikibarkan, lima di hadapan rumah dan empat di sebelah jalan raya. Sebaik sahaja rombongan pengantin perempuan sampai, seorang wakil lelaki akan menghadiahkan sebuhuong pranakan siantan betabor (kain tenun berbenang emas dengan corak tertentu). Kemudian pengantin perempuan akan berdiri di atas batu asah yang disediakan sambil menyentuh kanan seni (tempayan). Wakil lelaki merenjis kedua-dua belah kakinya ke kiri. Setelah itu barulah wakil tersebut memberi hadiah kepada pengantin perempuan sebagai syarat Adat pahe'.

Terdapat tiga bentuk adat pahe' yang perlu disediakan oleh wakil pengantin lelaki iaitu pahe' Mukad yang merangkumi satu amas emas, sepasang gelang perak (batuong) dan sembilan biji manik (kehet). Pahe' Atap pula adalah terdiri daripada lima biji manik pasin. Pahe' Id adalah lima biji manik tebalan dan Pahe' Keman adalah lima biji manik pingeh yuong. Selepas itu upacara persandingan akan dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Setelah beberapa lama pasangan pengantin akan pergi ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan adat pedudui yang berkaitan dengan acara malam pertama sehingga hari ketiga. Antara barangan adat pedudui adalah seperti berikut: Satu amas emas Tujuh biji manik kehet Lima manik tilak Sepasang gelang perak Empat bilah lembing

Dua belas belan Sehelai kain lugi Tiga ketul damar Bagou tulei (bekas damar yang diperbuat daripada tembaga) Bulang anyaman Sebilah lembing untuk mengikis damar Satu terusuong (seperti bentuk kon untuk ceduk air)

Barang-barang yang disediakan ini dimasukkan ke dalam bilik khas pengantin. Setelah itu pasangan pengantin akan masuk ke dalam bilik. Pengantin lelaki memberi cincin emas kepada pengantin perempuan. Kemudian pengantin lelaki memberi seutas gelang perak yang diikat dengan manik-manik dalam kain hitam kepada isterinya lagi. Mengikut tradisi masyarakat Melanau, pasangan pengantin yang baru berkahwin tidak dibolehkan keluar dari rumah selama sehari. Tempoh ini dinamakan sebagai adat pedudui yang mensyaratkan mereka tidak boleh mandi di sungai atau tidur pada waktu siang. Sungguhpun demikian pasangan tersebut bebas melawat rumah kedua-dua ibu bapa mereka.

Status Sosial: Bangsa Tujuh Pikul Perkahwinan untuk golongan berpangkat bawah dari Sembilan Pikul hampir sama. Cuma yang membezakan adalah dari segi jumlah mas kahwin sahaja. Penyekab terdiri daripada tujuh amas emas, sebilah keris, sehelai persarakab, sapu tangan berbenang emas dan sebuah tumo'. Berian pula terdiri daripada barangan tembaga kuning sebanyak tujuh pikul atau pelbagai jenis barangan lain yang senilai.

Adat Menuga' adalah sebanyak sepikul barangan tembaga kuning atau wang tunai. Pakan yang diberi dalam bentuk wang tunai mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah lelaki, dia diberi sebuhuong pranakan bercura' (kain tenun berbenang emas dengan corak khas). Pahe' makad juga akan dihadiahkan kepada pengantin perempuan dengan mengandungi satu amas emas, tujuh biji manik kehet dan sepikul juga diberi bersama manik-manik dan

diikat dalam kain hitam. Dalam adat petudui katil akan disediakan empat bilah lembing. Kemudian tiga ketul damar disediakan bersama perkakas seperti bagou tulei, kila, sebilah mata lembing dan terusung. Minyak kelapa akan dimasukkan ke dalam tembikar kecil. Selain itu pengantin lelaki juga akan menghadiahkan isterinya dengan beberapa bentuk hadiah sebanyak satu amas emas, lima biji manik tilak, sepasang gelang perak dan bibe' kuali.

Status Sosial: Bangsa Tujuh Beritih Bagi golongan Tujuh Beritih adat pemberian mas kahwin adalah seperti sebentuk cincin yang diletakkan dalam bekas anak selapak, segantang padi diletakkan di dalam segamut yang tidak bertutup dan sebiji kelapa yang diletakan di dalam bukor dan ditudung. Penyekab pula terdiri daripada lima amas emas, sebilah keris, sebuah sipir, pinggan tembaga bergigi di sisi dan sehelai kain perasa. Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak tiga pikul sembilan puluh kati atau harta yang lain senilai dengan tembaga tersebut. Adat Menuga pula adalah sebanyak sepikul barang tembaga kuning atau wang tunai yang sama nilai. Manakala pakan yang diberikan dalam bentuk wang tunai bergantung pada pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah pengantin lelaki, wakil pengantin lelaki akan diberi kain sebuhuong tanjing sarek. Pahe' mukad yang mengandungi satu amas emas, lima biji manik tilak yang diikat bersama bibe' kuali dan sepikul barang tembaga kuning (menuga).

Bagi adat petudui Tujuh Beritih, tiga ketul damar akan disediakan dengan bagou tulei, kila' (sebilah mata lembing) dan terusung. Barang-barang lain pula digunakan kecuali minyak kelapa yang diletakkan di dalam selepak sahaja. Adat lima beritih tidak wujud lagi di kalangan yang berkedudukan paling rendah. Ini disebabkan golongan seperti ini tidak wujud lagi dalam masyarakat Melanau.

Inilah paparan Borneo Oracle untuk memperjelaskan Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melanau di Sarawak. Sesungguhnya sumber kekayaan adat resam dan budaya di dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak adalah sesuatu yang unik dan

harus kita pertahankan sampai bila-bila. Pihak Borneo Oracle mengalu-alukan sebarang nilai tambah informasi untuk paparan kali ini. Sayangilah adat kita agar ianya tidak ditelan dek zaman.

Tak Kenal Maka Tak Cinta...

Note: ak nikah nnt still akan ikut cara islam..bila dan ketika hnya Allah yang lebih mengetahui...=)..peace...vv

You might also like