You are on page 1of 7

Jelaskan secara kritikal kesan Laporan Razak ke atas sistem pendidikan masa kini di Malaysia

Pendidikan Malaysia mengalami zaman perubahan bermula pada tahun 1957 dimana sistem pendidikan yang bersifat kolonial telah ditransformasikan kepada sistem pendidikan beridentitikan kebangsaan. Usaha murni ini bertujuan untuk membentuk satu sistem pendidikan yang sesuai dengan sosioekonomi, budaya dan masyarakat Tanah Melayu ketika itu. Sistem pendidikan penjajah British telah menjarakkan jurang antara kaum dan bersifat terlalu mengawal serta perlaksanaannya bersifat ala kadar untuk mengelakkan masyarakat pelbagai kaum ketika itu bersatupadu. Selepas itu, satu inisiatif yang murni untuk menjadikan pendidikan sebagai medium perpaduan telah dibuat oleh Tun Abdul Razak serta Jemaah pimpinan ketika itu dengan mengeluarkan Laporan Razak 1956 dan direalisasikan melalui Ordinan Pelajaran 1957. Laporan ini banyak mempengaruhi sistem pendidikan sehingga kini. Antara polisi pendidikan terkini yang dipengaruhi oleh Laporan Razak adalah pengunaan Bahasa Melayu secara unilateral, yakni pengunaan satu Bahasa pendidikan utama di sekolah. Selain itu, pendekatan pendidikan yang digunapakai sehingga kini oleh sistem pendidikan Malaysia adalah sistem sekolah vernakular peringkat rendah, keseragaman sukatan pelajaran di semua sekolah, sistem peperiksaan berpusat dan pemusatan latihan perguruan. Laporan Razak telah mengusulkan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar di sekolah rendah pada permulaannya tanpa menghalang autonomi dan hak penggunaan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Sekolah rendah jenis umum boleh memilih untuk menggunakan Bahasa pengantar masing-masing. Kemudian melalui Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961, idea Bahasa Melayu sebagai Bahasa

Pengantar dikukuhkan lagi dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar dalam semua peperiksaan serta sebagai unilateral utama di semua sekolah. Selepas itu, Bahasa Melayu dikuatkuasakan sebagai bahasa rasmi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 bagi memperkukuhkan bahasa Melayu tetap menjadi alat perpaduan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu telah menjadi simbolik setiap kali perubahan polisi pendidikan di Malaysia sejak Laporan Razak 1956 dikeluarkan sehingga tertubuhnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Oleh yang demikian, 12 tahun masa diberikan untuk masyarakat bukan Melayu mempelajari bahasa Malaysia secara beransur-ansur. Namun begitu, pelbagai usaha telah dijalankan terutamanya dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1956 yang berperanan penting dalam merealisasikan usul Laporan Razak. Antara fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka 1

adalah untuk memastikan bahasa Kebangsaan terus berkembang dan memastikan sistem standardisasi perbendaharaan kata bagi persediaan menghadapi era baharu seiring dengan perkembangan ilmu sains dan teknologi yang banyak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga kini. Sistem pendidikan alaf baru lebih mengutamakan perkembangan potensi individu secara menyeluruh, namun begitu, setiap laporan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri pendidikan tidak pernah lari daripada salah satu misi iaitu berpusatkan integrasi antara kaum. Walaupun silibus serta sistem pentaksiran bertukar saban tahun, namun fokus untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan yakni Bahasa Melayu tetap menjadi salah satu agenda utama dalam sistem pendidikan Malaysia. Namun begitu, pada tahun

2002,masyarakat Malaysia telah diumumkan tentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat disebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed merasakan Wawasan 2020 tidak boleh dicapai sekiranya bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik. Pelaksanaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam segelintir pihak disebabkan penguasaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia jauh lebih tinggi berbanding bahasa Inggeris terutamanya di kawasan luar bandar. Setelah 10 tahun PPSMI dijalankan secara berperingkat, pada tahun 2012, PPSMI dimansuhkan atas kesedaran bahasa Malaysia tetap menjadi pusat perhubungan dalam pendidikan dalam masyarakat. Antara usaha yang dijalankan untuk mengembalikan bahasa Malaysia dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik adalah dengan pelaksanaan

Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan PPSMI. Pelaksanaan ini adalah bertujuan untuk meletakkan Bahasa Malaysia ditempat yang sepatutnya yakni bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Selain itu, memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah pembinaan Negara 1Malaysia. Sekali lagi, perpaduan menjadi agenda utama dan pendidikan masih lagi menjadi alat integrasi kaum. Selain itu, dalam meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar ilmu di sekolah boleh dianggap selesai selepas adanya Dewan Bahasa dan Pustaka yang banyak mengeluarkan buku teks dalam bahasa Malaysia dalam semua subjek. Namun, timbul masalah terminologi di peringkat pengajian tinggi. Isu ini telah ditimbulkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pada tahun 2002 kerana kesukaran pelajar di Institusi Pengajian Tinggi untuk memahami terma bahasa Inggeris kerana medium pembelajaran di sekolah rendah dan menengah telah menggunakan bahasa Malaysia secara keseluruhan. Oleh yang demikian, tidak semua buku teks atau buku rujukan di IPT 2

dicetak dalam bahasa Malaysia. Penggunaan bahasa Malaysia hanya menyeluruh dalam sistem persekolahan, tetapi bukannya di IPT.Untuk merealisasikan matlamat bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama pendidikan dalam semua peringkat, dalam Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Institut Terjemahan Negara Malaysia yang bakal menterjemahankan buku-buku daripada pelbagai Bahasa kepada Bahasa Malaysia demi menjadikan buku Bahasa Melayu sebagai alat pembangunan fikiran, sesuai dengan keperluan dan inspirasi negara. Sekolah vernakular masih dikekalkan sehingga hari ini bagi memastikan masyarakat India dan Cina masih bebas mempelajari bahasa ibunda dan budaya masing-masing di sekolah rendah. Seperti yang dicadangkan dalam Laporan Razak 1956, bagi memastikan perpaduan dan keharmonian Malaysia ini dijaga,sekolah vernacular bebas untuk menjalankan pendidikan menggunakan bahasa pengantar ibunda masing-masing sehingga darjah 6. Kemudian selepas tamat sekolah jenis kebangsaan selama 6 tahun, pelajar-pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil atau Cina yang akan memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan akan menduduki Kelas Peralihan (Remove Class) bagi memberi pendedahan untuk penggunaan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa pengantar di sekolah menengah. Walaupun sejak zaman British lagi sistem sekolah vernakular beroperasi, sehingga kini, masih ada lagi yang berdebat samada sekolah vernakular relevan untuk perpaduan antara kaum di Malaysia. Hal ini kerana bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah jenis Tamil semakin kekurangan, walaupun bilangan yang memasuki sekolah jenis kebangsaan Cina pula bertambah dari tahun ke tahun. Dalam keadaan masyarakat Malaysia yang semakin hilang nilai perpaduan, bagaimanakah sistem sekolah vernakular ini boleh diteruskan dan relevan? Satu cara yang boleh dicadangkan oleh M.Bakri Musa dalam buku An Education System Worthy of Malaysia adalah dengan pihak kerajaan memberhentikan mana-mana sekolah yang hanya menarik pelajar mengikut kaum dan agama, dan sebaliknya memberikan dana kepada sekolah jenis kebangsaan atau sekolah kebangsaan yang berjaya minat semua kaum kepada sekolah tersebut. Dengan ini, obejktif dalam Laporan Razak, dapat direalisasikan dengan berkesan sehingga sekarang. Selain daripada usul Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah serta sistem sekolah vernakular peringkat rendah yang dikekalkan, dalam Laporan Razak 1956 (Chapter 10, Common Content Syllabuses and Time-Tables for Schools) juga telah mengusulkan untuk penggubalan satu sukatan pelajaran yang sama untuk semua sekolah. Dalam Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997, menteri boleh

menentukan bahan yang sesuai bagi pengajaran dan pembelajaran kurikulum dan kegiatan kokurikulum di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) adalah salah satu 3

contoh bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia masih menyelaraskan sukatan dengan tujuan untuk menerapkan nilai kebangsaan dan perpaduan dalam pembelajaran dan pengajaran . Kemudian Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan selepas Pembelajaran Berasaskan Sekolah diwujudkan secara berperingkat. Sistem keseragaman sukatan pelajaran dapat membantu guru-guru dalam menerapkan unsur-unsur jati diri dan nilai perpaduan secara berpusat kerana semua sekolah di bawah kerajaan menggunakan silibus yang sama. Melalui keseragaman Kurikulum Kebangsaan ini, pihak pemimpin dapat menggunakan pendidikan sekolah sebagai alat kawalan sosial yang positif dengan menerapkan nilai murni dan merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara (FPK) dengan berkesan. Dengan adanya Kurikulum Kebangsaan atau sukatan pelajaran yang sama, guruguru juga mempunyai panduan untuk memantau perkembangan pelajar. Kita lihat dalam semua Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) KSSR dan KBSM bagi semua pelajaran, kita akan lihat Bahagian Perkembangan Kurikulum Malaysia sudah menyusun dan menetapkan satu struktur pembelajaran yang memudahkan semua guru dalam membuat rujukan pengajaran. Oleh itu, sistem pemantauan prestasi murid akan menjadi lebih sistematik dan tersusun dengan adanya sukatan pelajaran yang berpusat. Selain itu,sekiranya sukatan pelajaran Malaysia tidak seragam, mana mungkin para pendidik boleh membuatkan kolaborasi untuk memantapkan pendidikan Negara. Dengan adanya sukatan pelajaran yang tersusun dan bersifat sentrik, maka, para guru boleh bertukar pendapat, membuat program bersama, serta membuat penyelidikan untuk pembangunan kurikulum di Malaysia. Namun begitu, kurikulum kebangsaan disusun dan dianalisis semula mengikut peredaran teknologi dan zaman disebabkan pedagogi dari semasa ke semasa akan berlainan. Dalam proses Kementerian Pendidikan ingin mengtransformasikan sukatan pelajaran seiring dengan perubahan teknologi dan sosioekonomi, bajet yang banyak terpaksa dikeluarkan untuk mengadakan sidang media, kumpulan analisis, peruntukkan survey dan sebagainya demi memastikan kurikulum yang dibentuk mestilah bersesuaian dengan budaya dan latar belakang Malaysia. Dalam ucapan pembentangan Bajet 2014 ,Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, sejumlah RM 54.6 billion akan diperuntukkan untuk transformasi pendidikan mengikut Pelan

Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Mungkin segelintir rakyat

merasakan kos

tersebut adalah pelaburan yang baik untuk masa yang akan datang. Namun, terdapat beberapa sector dalam pendidikan perlu diutamakan seperti prasarana sekolah dan internet jalur lebar terutamanya di sekolah-sekolah luar Bandar. Hal ini kerana dalam PPPM, pendidikan ICT akan menjadi semakin pesat menjelang 2025. Sekiranya sekolah luar Bandar dipinggirkan, jurang pendidikan akan menjadi semakin ketara. 4

Sistem peperiksaan berpusat telah beroperasi bermula pada tahun 1957 dimana peperiksaan awam di Malaysia telah dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Daripada Lower Certificate of Education (LCE) diperkenalkan, sehinggalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang bakal menggantikan Ujian

Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), semuanya bermula daripada idea Laporan Razak (Chapter 6, Original Report of the Education Committee 1956). Dengan adanya sistem peperiksaan yang berpusat ini, seluruh lapisan masyarakat dapat melihat prestasi pembelajaran secara jelas dengan adanya laporan keputusan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia setiap tahun. Selain itu, majoriti daripada penaja biasiswa atau majikan akan melihat kepada prestasi peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia untuk menempatkan para pelajar mengikut jurusan yang sesuai. Sekiranya sistem peperiksaan yang tidak berpusat, ianya sukar untuk pihak guru serta bahagian kurikulum untuk menganalisis keberkesanan pembelajaran serta pengajaran pelajar. Namun, kelemahan sistem peperiksaan berpusat ini tidak boleh dipandang enteng. Sekiranya pihak majikan atau penaja biasiswa dalam meletakkan bilangan A sebagai ukuran utama, generasi yang akan datang hanyalah generasi yang berlumba-lumba untuk meningkatkan kualitinya hanya pada kertas peperiksaan. Menurut Emeritus Professor Dylan Williams, Maksudnya, guru bukan mengajar untuk peperiksaan tetapi untuk membangunkan peperiksaan yang bermakna untuk diajar (Terjemahan: University of Londons Institute of Education). Oleh sebab itu, pada tahun 2011, Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah bermula untuk

menggantikan sistem KBSR dan KBSM dengan menambah unsur-unsur kualiti dalam kurikulum supaya tiada lagi persaingan hanya pada bilangan A dalam peperiksaan awam, malah, PBS meningkatkan kualiti pemikiran kritis serta menumpukan pada nilai rohani dan kemanusiaan. Sebelum Kemerdekaan di Tanah Melayu, guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah Inggeris, Tamil dan Cina adalah daripada negara asal masingmasing. Hal ini adalah kerana bangsa masing-masing ingin mengekalkan budaya pembelajaran dan Bahasa ibunda mereka berterusan dipelajari. Oleh itu, Tun Haji Abdul Razak serta pemimpin-pemimpin pada tahun 1956 telah mengusulkan untuk meletakkan perguruan di bawah satu pusat latihan perkhidmatan professional di bawah satu skim perkhidmatan yang sama beserta jaminan untuk mendapat pencen perkhidmatan. Sehingga kini, sistem perguruan sekolah di Malaysia masih lagi diletakkan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebelum ini, banyak transformasi pendidikan guru telah dijalankan bagi memastikan kemantapan 5

profesionalisme guru. Antaranya, penambahbaikan kelayakan minimum untuk menjadi guru, mewujudkan program pensiswazahan guru dan menaiktaraf 27 Institut Pendidikan Guru seperti yang dinyatakan dalam Anjakan ke-11, Pelan

Pembangunan Pendidikan Malaysia. Semakin lama, semakin ketat pemilihan untuk melayakkan diri menjadi seorang pendidik di Malaysia oleh kerana pendidikan Malaysia mengalami transformasi pendidikan yang agak drastic dan memerlukan pendidik-pendidik yang serbaboleh, berinovasi dan berilmu. Dengan adanya pusat latihan guru, para guru yang dilatih dibawah satu sistem dapat menerima satu input atau ideologi yang sama tentang pendidikan nasional. Namun begitu, kini pelajar guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu bersaing dengan mahasiswa-mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi(IPT) untuk merebut kuota jumlah pendidik di sekolah. Kursus yang diterima di IPT sedikit berbeza dengan IPG memandangkan IPT sudah melepasi taraf universiti dan IPG masih lagi sebagai pusat latihan guru. Budaya ilmu di peringkat IPGM dan IPT adalah berbeza dan akan menghasilkan produk guru yang berbeza. Walau bagaimanapun, sistem pemilihan guru akan ditapis melalui Suruhanjaya

Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk memastikan guru yang dipilih benar-benar layak untuk menjadi pendidik memandangkan generasi baharu masa hadapan semakin maju dan mencabar dari segi intelektualisme dan teknologi. Seringkali kita dengar ramai ibubapa zaman kini mengeluh dengan sistem pendidikan Negara yang selalu bertukar-tukar tanpa laporan yang lengkap untuk dijadikan muhasabah bersama. Namun, laporan seperti Laporan Razak adalah contoh laporan pendidikan terbaik untuk dijadikan tauladan bersama. Laporan ini juga telah menunjukkan bahawa pendidikan harus dirancang dan dilihat secara meluas dari segala aspek terutamanya sosioekonomi masyarakat, budaya, sejarah dan latar belakang masyarakat supaya pendemokrasian pendidikan dapat dilaksanakan dengan adil dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan cemerlang. (2043 patah perkataan)

Bibliografi
1956, M. o. (1956). Original Report of the Education Committee 1956. Kuala Lumpur: Ministry of Education Malaysia 1956. Hussin, S. (2008). Pendidikan di Malaysia : Sejarah,Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia, K. P. (1996). Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Kementerian Pelajaran Malaysia. Malaysia, K. P. (2012). Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan. Putrajaya: Giga Wise Network Sdn Bhd. Malaysia, K. P. (2012). Memartabatkan Bahasa Malaysia & Memperkukuh Bahasa Inggeris. Putrajaya: Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Malaysia, K. P. (2012). Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris. Putrajaya. Malaysia, K. P. (2013). Laporan Awal : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia. Mariasoosay, T. (1996). Perspectives on Language Policies in Malaysia. Durham theses, 3-146. Musa, M. B. (2003). An Education System Worthy of Malaysia. Petaling Jaya: Vinlin Press Sdn Bhd. Sang, M. S. (2010). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Soong, D. K. (2013, August 8). Side View : Blind spots in the Malaysian education blueprint. Retrieved from The Malaysian Insider: http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/blindspots-in-the-malaysian-education-blueprint-dr-kua-kia-soong Zamir, Z. F. (2013). Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Cheras: Dubook Press.

You might also like