You are on page 1of 3

Aras 2.0 2.1 Bahan sastera Sastera merupakan hasil seni yang disampaikan melalui bahasa.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan sastera mampu membentuk tamadun sesuatu bangsa kerana ia bukan sahaja mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat namun hal ini juga terlibat dengan pergolakan yang berlaku dalam masyarakat tersebut. Penggunaan bahan sastera boleh menarik minat dan memberi kesan yang positif. Ia boleh digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu mengikut peringkat yang sesuai dengan umur, minat, tahap pemikiran dan peringkat kesukaran pelajaran. Mengikut Abd. Rahman Shaari (1994) bahan sastera yang dimaksudkan dalam sukatan pelajaran ialah puisi (lama dan baharu), cerpen, novel, drama dan hikayat (prosa lama).

2.1.1 Menghuraikan maklumat Contoh bahan sastera yang dipilih ialah syair.

Awal mulanya masuk sekolah Mengatur langkah jangan tersalah Salam dan selawat kepada Rasulullah Supaya kita diberkati Allah

Tangan ibu dicium mesra Kerana dia melahirkan kita Dengarkan baik semua bicara Patuh dan taat menurut kata Dari malam menjelang subuh Jangan dibuang masa yang labuh Usah diamalkan perangai bertangguh Segeralah belajar bersungguh-sungguh

Rajin dan Jujur Tunas Pengetahuan Hasil nukilan, Zainon Omar 2006

Murid melontarkan syair dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Berdasarkan syair nasihat yang dipilih, murid dapat menyatakan dan menerangkan nilainilai yang terdapat di dalam syair nasihat, contohnya pada syair nasihat yang dipilih ini nilai yang terdapat di dalamnya ialah di dalam kehidupan hendaklah selalu berselawat ke atas Nabi Muhammad saw supaya hidup kita sentiasa mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa. Selain itu, ibu hendaklah sentiasa dihormati dan disanjung kerana ibulah yang melahirkan dan membesarkan kita.

2.2 Bahan bukan sastera Bahan bukan sastera lebih menjurus kepada penggunaan bahasa yang bukan kreatif berbanding dengan cara penulisan bahan sastera.Ini kerana, isi maklumat yang ingin disampaikan itu lebih utama berbanding dengan cara penyampaian menggunakan bahasa kreatif. Bahan bukan sastera lebih terarah kepada bahan ilmiah, contonya kajian, kertas kerja, rencana, berita, syarahan dan pidato.

2.2.1 Menghuraikan maklumat Contoh bahan bukan sastera yang dipilih ialah berita.

Berita: Banjir PAHANG, 16 NOVEMBER 2009 - Kampung Bangau Parit telah dilanda banjir. Tiga hari sebelum kejadian, hujan turun mencurah-curah di kebanyakan kawasan di daerah Temerloh. Penduduk kampung tersebut tidak menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana jarang sekali banjir berlaku di kampung mereka. Oleh itu, ramai yang tidak bersedia bagi menghadapi keadaan tersebut.

Setelah air naik ke paras yang berbahaya, pihak penyelamat mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang-barang penting dan berharga untuk berpindah ke tempat yang selamat. Kanak-kanak pula dilarang bermain air banjir yang hampir mencecah lantai di kebanyakan rumah penduduk kampung.

Banjir berpunca apabila air Sungai Pahang telah melimpah lalu menenggelami beberapa tempat di kampung tersebut. Penduduk kampung telah dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan motorbot dan ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Harun sehingga banjir surut.

Penduduk kampung dijangka akan mengalami kerugian besar kerana banyak tanaman dan haiwan ternakan mereka mati. Namun begitu, penduduk kampung bersyukur kerana setakat ini tiada kes kehilangan nyawa dilaporkan.

Ketua kampung, Encik Anuar bin Abu Hassan memberitahu bahawa pihak kerajaan negeri akan menyumbangkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban penduduk kampung yang terlibat. Selain itu, penduduk kampung juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi menghadapi situasi banjir.

Murid membaca petikan berita dengan kuat dan lancar. Berdasarkan petikan berita yang dibaca tadi, murid mengenalpasti isi-isi penting yang terdapat di dalam petikan berita. Contoh isi penting yang dicatat ialah banjir telah berlaku di Kampung Bangau Parit di Pahang pada 16 November 2009. Banjir berlaku disebabkan air Sungai Pahang telah melimpah keluar. Penduduk kampong telah dipindahkan dan ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Datuk Harun.

You might also like