You are on page 1of 8

KEBERKESANAN KAEDAH PEMBELAJARAN KOPERATIF DALAM PEMBELAJARAN BACAAN PEMAHAMAN TEKS DI KALANGAN MURID SJK ( C ) DAN SJK ( T ) oleh

Cheah Tong Tiat Adlan b. Abdul Baskaran a/l Nadeson Lim Chin Li (Jabatan Bahasa) ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk meninjau keberkesanan kaedah Pembelajaran Koperatif (PK) Bahagian Pencapaian Pasukan Pelajar BPPP (Student Teams-Achievement Divisions-STAD) dan kaedah Pembelajaran Tradisional (PT) terhadap pencapaian bacaan pemahaman teks Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di kalangan murid darjah lima dari dua buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK C) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJK T). Seramai 160 orang murid dari dua buah sekolah Cina dan Tamil telah terlibat sebagai sample kajian. Keputusan kajian telah menunjukkan bahawa kaedah PK (BPPP) merupakan kaedah yang lebih berkesan berbanding dengan kaedah PT dalam pencapaian bacaan pemahaman teks. Secara perbandingan, peningkatan pencapaian pemahaman teks bagi pelajar yang mengikuti kaedah PK (BPPP) heterogenous adalah lebih tinggi daripada pelajar yang mengikuti kaedah PK (BPPP) homogenous. Berdasarkan dapatan kajian ini, cadangan telah disarankan untuk amalan pendidikan dan kajian lanjutan. LATAR BELAKANG Menurut Johnson (1981), dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru boleh merancangkan pelajaran mengikut tiga kaedah yang utama: i) pelajar bekerjasama dalam kumpulan kecil secara pembelajaran koperatif (PK) dengan memastikan setiap ahli kumpulan mencapai matlamat yang ditetapkan. ii) pelajar-pelajar bersaing antara satu sama lain melalui pembelajaran persaingan untuk menempatkan kedudukan pelajar mengikut kebolehan masing-masing. iii) Pelajar belajar secara perseorangan atau pembelajaran individu untuk mencapai matlamat masing-masing pada kadar sendiri. Kaedah PK dipilih sebagai subjek kajian atas dorongan oleh dapatan-dapatan positif tentang keberkesanan PK di kebanyakan negara Eropah. Justeru, pasukan pengkaji ingin mengesan keberkesanan PK di kalangan murid-murid sekolah rendah di Malaysia yang berbeza dari konteks aliran dan bahasa pengantar. Kaedah PK yang menekankan interaksi sosial antara rakan sebaya membawa kesan positif terhadap pencapaian pelajar, perubahan hubungan antara ahli dan sikap terhadap mata pelajaran dan sekolah.

Cooperative learning is group learning activity organised so that learning is dependent on socially structured exchange of information between learners in groups and in which each learner is held accountable for his or her own learning and is mitivated to increase the learning of others. (Kagan & Olsen, 1992) 1.1 Pernyataan Masalah

Banyak kajian dan eksperimen tentang PK dari segi kesannya dan prosesnya telah dilaporkan positif di dalam dan di luar negara. Ini dapat dibukti oleh Hamida Bee (1998) yang merumuskan bahawa PK adalah kaedah yang berkesan untuk mengajar pelajaran bahasa. Di Malaysia, kajian dan laporan tentang keberkesanan kaedah PK dalam mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil amatlah terhad. Justeru itu, kajian ini ingin meninjau dan mengetahui sama ada kaedah PK juga berkesan dalam sistem pendidikan Malaysia yang mempunyai latar belakang sosio budaya yang berbeza. Satu tinjauan telah dibuat ke atas prestasi mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dalam UPSR ke atas empat buah sekolah ( dua buah SJK(C) dan dua buah SJK (T) ) di Negeri Kedah. Analisis peratusan kelulusan UPSR di keempat-empat buah sekolah ini pada tahun 2000 adalah seperti yang ditunjukkan dalam jadual 1.1 dan 1.2: Jadual 1.1 : Analisis Peratus Kelulusan UPSR Mengikut Mata Pelajaran pada Tahun 2000 Bagi SJK (C) A dan SJK (C) B.

Sekolah SJK ( C ) A SJK ( C ) B Mata Pelajaran BC Kefahaman 73.97 % 76.90 % BC Karangan 75.60 % 83.00 % BM Kefahaman 62.57 % 72.2 % BC Karangan 64.84 % 48.10 % B. Inggeris 62.16 % 61.10 % Matematik 81.08 % 81.5 0% Sains 75.67 & 83.30 % ( Sumber : Dua Buah SJK (C) di Negeri Kedah ) Nama asal sekolah tidak dinyatakan dalam kajian ini. Daripada jadual 1.1, didapati pencapaian min kelulusan mata pelajaran BC Kefahaman bagi kedua-dua buah SJK (C) hanya berada pada tahap sederhana sahaja jika berbanding dengan min kelulusan BC Karangan dan Matematik. Ini menunjukkan pencapaian BC kefahaman masih perlu dipertingkatkan lagi. Jadual 1.2 : Analisis Peratus Kelulusan UPSR Mengikut Mata Pelajaran Pada Tahun 2000 Bagi SJK (T) A dan SJK (T) B. ekolah SJK ( T ) A SJK ( T ) B Mata Pelajaran BT Kefahaman 74.00 72.60 BT Karangan 78.00 46.30 BM Kefahaman 49.30 61.10 BM Karangan 31.90 41.10 B. Inggeris 47.80 52.60 Matematik 92.80 66.30 Sains 69.60 66.30 ( Sumber : Dua Buah SJK (T) di Negeri Kedah ) Nama asal sekolah tidak dinyatakan dalam kajian ini. Jadual 1.2 menunjukkan analisis Peratus Kelulusan UPSR di dua buah SJK (T) di negeri Kedah. Didapati pula pencapaian min kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Tamil Kefahaman bagi kedua-dua buah SJK (T) adalah berada pada tahap sederhana sahaja jika dibandingkan dengan pencapaian mata pelajaran yang lain. Ini menunjukkan bahawa prestasi mata pelajaran Bahasa Tamil kefahaman masih perlu dipertingkatkan lagi. 1.2 Tujuan Kajian

Harris Durkin (1979), Smith (1980), dan Sofiah Osman (1986) dalam hasil kajian mereka menunjukkan bahawa kebanyakan guru bahasa tidak dapat mengajar pemahaman teks dengan berkesan. Justeru, tujuan kajian ini adalah untuk meninjau sama ada kaedah pembelajaran koperatif Bahagian Pencapaian-Pasukan Pelajar BPPP (Student Teams-Achievement Divisions STAD), boleh menghasilkan pencapaian akademik dari segi pencapaian ujian bacaan pemahaman teks Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang lebih baik berbanding dengan kaedah tradisional yang berpusatan guru. Bagi mencapai matlamat di atas, kajian ini dilaksanakan berdasarkan tujuan-tujuan berikut: i) Mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (C). ii) Mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (T). iii) Membandingkan kesan kaedah PK BPPP bagi kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK(C) dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks. iv) Membandingkan kesan kaedah PK BPPP bagi kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK(T) dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks.

1.3

Persoalan Kajian

Berdasarkan matlamat dan tujuan kajian yang dinyatakan, kajian ini cuba mencari jawapan bagi soalan-soalan kajian berikut:

i) Adakah terdapat perbezaan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (C) ? ii) Adakah terdapat perbezaan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (T) ? iii) Adakah kaedah PK BPPP berkesan untuk kumpulan homogenus atau kumpulan heterogenus di SJK(C) dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks? iv) Adakah kaedah PK BPPP berkesan untuk kumpulan homogenus atau kumpulan heterogenus di SJK(T) dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks? 1.4 Hipotesis-Hipotesis Kajian

Berhubung dengan persoalan yang dikemukakan, hipotesis-hipotesis nol yang akan diuji dalam kajian ini dengan berdasarkan aras signifikan p<0.05 adalah seperti berikut: i) Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (C). ii) Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (T). iii) Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK (C). iv) Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK (T). 1.5 Kepentingan Kajian

Diharap dapatan kajian ini akan menjadi panduan dan memberi petunjuk kepada guru-guru SJK(C) dan guru-guru SJK(T) yang ingin melaksanakan kaedah PK dalam pengajaran bacaan pemahaman teks. Guru-guru akan lebih yakin dengan keberkesanan kaedah PK dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan pemahaman teks PK. Kajian ini memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kerana kedua-dua bahasa ini merupakan bahasa pengantar di sekolah aliran Cina dan Tamil. Sekiranya kaedah PK BPPP ini menunjukkan kesan yang positif, mungkin ia boleh diperkenalkan dan dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah Cina dan sekolah-sekolah rendah Tamil di negara kita untuk meningkatkan prestasi murid-murid dalam pencapaian bacaan pemahaman teks.

1.6

Batasan Kajian

Kajian ini melibatkan sampel seramai 160 orang murid Darjah Lima dari dua buah sekolah yang berbeza aliran, iaitu 80 orang murid dari SJK(C) dan 80 orang murid dari SJK(T). Kumpulan Eksperimen dan Kumpulan Kawalan bagi kedua-dua buah sekolah ini terdiri daripada 40 orang murid yang berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah. Hasil kajian ini hanya betul dalam konteks sekolah tersebut atau sekolah lain yang menyerupai sampel kajian ini sahaja. Selain itu, sampel kajian ini hanya terdiri daripada kaum Cina dan India sahaja, maka hasil kajian tidak boleh digeneralisasikan bagi kumpulan sampel yang berlainan kaum. Ia mungkin dapat dijadikan satu perintis dan landasan untuk kajian yang lebih luas dan mendalam dalam bidang yang sama. Pemilihan sampel hanya berdasarkan kelas-kelas yang telah sedia ada, oleh itu, satu eksperimen kuasi yang tidak menggunakan persampelan rawak untuk membentuk kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan telah digunakan.

TINJAUAN LITERATUR 2.1 Pengenalan

Terdapat pelbagai model PK, antaranya ialah Bulatan Pembelajaran (Circles of Learning, atau COL), Kaedah Susun Suai (Jigsaw), Bahagian Pencapaian-Pasukan Pelajar BPPP ( Student Team-Achievement, atau STAD), Pertandingan Permainan Pasukan (Team-Games Tournament, atau TGT), Inkuiri dalam Kumpulan (Group Investigation, atau GI), Pasukan Arahan Cepat (Team Accelerated Instruction, atau TAI, dan Strategi Baca dan Karang Sama (Coperative Integrated Reading and Composition, atau CIRC). 2.2 Teori-teori Pembelajaran Koperatif

Dua teori yang menyumbang ke arah pencapaian kaedah PK ialah teori motivasi dan teori kognitif ( Slavin, 1990). Dalam perspektif motivasi, ahli-ahli setiap kumpulan yang mengikuti kaedah PK akan saling membantu dan menggalakkan rakan antara satu sama lain untuk pencapaian matlamat akademik (Slavin, 1990). Dalam perspektif

kognitif pula, pembelajaran dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pembinaan, pelajar akan terlibat secara aktif dalam proses integrasi pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada untuk mencapai objektif pembelajaran yang dijangkakan. Mengikut Slavin (1990), fungsi utama BPPP ialah kumpulan murid yang mengikuti kaedah PK membekal sokongan antara ahli kumpulan untuk pencapaian akademik yang cemerlang. Interaksi dalam kumpulan kecil membantu pelajar menganalisis, berbincang dan sintesis idea untuk meningkatkan tahap pemikiran dan pemahaman pelajar dalam konteks yang lebih bermakna. 2.3 Kajian-kajian Yang Berkaitan Menurut Grabe (1991), kemahiran dalam penggunaan strategi bacaan dapat meningkatkan bacaan pemahaman teks. Hasil kajian Bejarano (1987) telah membuktikan bahawa pengajaran pemahaman teks yang menggunakan kaedah BPPP amat berkesan. Begitu juga hasil kajian Almanza (1997) menunjukkan bahawa PK lebih berkesan untuk mengajar pemahaman teks berbanding dengan kaedah tradisional dalam satu kelas besar. Walau bagaimanapun, Eleanor, dan Taylor (1995) menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan yang signifikan antara kaedah BPPP berbanding dengan kaedah penbelajaran tradisional dalam pemahaman teks di kalangan murid darjah enam. Kajian oleh Teeravarapaug dan Khairiree (1992) ke atas pelajar-pelajar sekolah di daerah-daerah Bangkok menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang tidak belajar melalui kaedah PK telah menghasilkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang telah melalui olahan kaedah PK. METODOLOGI KAJIAN 3.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini merupakan reka bentuk Kumpulan Kawalan Tidak Serupa ( Nonequivalent Control Group). Reka bentuk ini melibatkan sampel sebanyak 160 orang murid Darjah Lima dari dua buah sekolah yang berbeza aliran, iaitu SJK(C) dan SJK(T). Kumpulan Eksperimen dan Kumpulan Kawalan bagi kedua-dua buah sekolah ini dipilih berasaskan dua kelas yang sedia ada yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Pembolehubah tidak bersandar ialah PK dan PT, manakala pembolehubah bersandar ialah perbezaan peningkatan min dalam ujian bacaan pemahaman teks yang diukur melalui ujian pra dan ujian pos terhadap kaedah PK BPPP. Kaedah PK mempunyai lima komponen yang utama iaitu pengajaran dalam kelas, pembentukan kumpulan, kuiz, skor peningkatan individu dan pengiktirafan kumpulan. Dalam pengajaran pemahaman teks bagi kelas olahan, murid-murid diagihkan dalam beberapa kumpulan kecil. Ahli setiap kumpulan akan berinteraksi, berbincang, berkongsi idea dan bekerjasama untuk memahami teks yang diberikan oleh guru. Seterusnya, setiap kumpulan akan mengambil bahagian dalam kuiz, bersaingan antara kumpulan untuk menyumbangkan skor yang tinggi untuk kumpulan masing-masing. Ganjaran akan diberikan kepada kumpulan yang memperoleh skor tertinggi. Jadual 3.1 : Reka bentuk kajian kelas-kelas Eksperimen bagi kaedah PK BPPP _____________________________________________________________________ Aliran Jenis Kumpulan Heterogenus Homogenus SJK (C) A, B, C, D E, F, G, H SJK (T) I, J, K, L M. N, O, P _____________________________________________________________________ Kelas eksperimen bagi kedua-dua aliran sekolah dibahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu kumpulan heterogenus dan kumpulan homogenus. Ahli-ahli kumpulan heterogenus terdiri daripada sampel yang berbeza dari segi kebolehan bahasa ibunda, manakala ahli-ahli kumpulan homogenus adalah sampel yang mempunyai kebolehan bahasa ibunda yang sama. Setiap kumpulan Heterogenus dan Homogenus pula dipecahkan kepada empat kumpulan kecil. (Sila rujuk Jadual 3.1)

3.2

Instrumen Kajian

Instrumen untuk kajian ini merupakan empat set soalan ujian (dua untuk sampel SJK(C) dan dua untuk sampel SJK(T) yang setiapnya mengandungi 20 item soalan objektif aneka pilihan dengan empat pilihan jawapan yang berkaitan dengan empat petikan pemahaman teks. 2 set soalan pemahaman teks digunakan sebagai ujian pra dan ujian pos bagi kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan sebelum dan selepas tamat pengolahan. Soalan kefahaman ini melibatkan soalan interpretasi, sintesis dan tafsiran terhadap isi kandungan teks yang dibaca. Instrumen ini digunakan untuk mengukur keberkesanan pembolehubah bebas (PK & PT), dan pembolehubah bersandar (skor peningkatan dalam ujian bacaan pemahaman teks antara ujian pra dan ujian pos terhadap kaedah PK BPPP).

Ujian pemahaman teks ini direka oleh penyelidik bersama pensyarah Pengajian Cina dan Pengajian Tamil. Kesahan soalan ditentukan oleh Guru Bahasa Cina dan Guru Bahasa Tamil yang telah lama menjadi pemeriksa peperiksaan UPSR Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Untuk menilai reliabiliti ujian pencapaian berkenaan, koefisien alfa Cronbach @ telah ditentukan. Nilai kebolehpercayaan yang diperoleh untuk ujian pencapaian kefahaman teks Bahasa Cina dan Tamil masing-masing ialah 0.75 dan 0.69. 3.3 Prosedur Kajian

Kajian ini melibatkan dua orang guru pelatih pengajian Cina yang mengajar kedua-dua kelas yang terlibat dalam kajian ini. Seorang guru pelatih mengajar kelas kawalan dan seorang lagi mengajar kelas eksperimen. Demikian juga keadaan di SJK (T). Mereka telah diberi taklimat, penerangan dan garis panduan tentang pelaksanaan kaedah tradisional bagi guru yang mengajar kelas kawalan dan kaedah PK BPPP bagi guru yang mengajar kelas eksperimen. Pada mulanya, kedua-dua kumpulan yang terlibat dalam kajian telah diberi ujian pra sebelum kajian dimulakan. Pada akhir kajian, kedua-dua kumpulan dikehendaki menduduki satu ujian post. Peningkatan pencapaian akademik diukur berdasarkan perbezaan pencapaian mereka dalam ujian pra dan ujian post. Kumpulan kawalan diajar dengan menggunakan kaedah pembelajaran tradisional yang mana murid belajar secara tradisional yang banyak melibatkan kerja individu.. Guru hanya berperanan sebagai instructor dengan mengamal kaedah chalk and talk. Kelas eksperimen dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kumpulan heterogenus dan homogenus. Ahli-ahli kumpulan heterogenus terdiri daripada murid-murid yang berbeza kebolehan bahasa ibunda, manakala ahli-ahli kumpulan homogenus terdiri daripada murid-murid yang mempunyai kebolehan bahasa ibunda yang sama. 3.4 Analisis Data

Data-data skor ujian rintis akan dianalisis dengan menggunakan program SPSS untuk memperoleh nilai reliabiliti itemitem ujian pencapaian iaitu nilai alfa-Cronbach. Data-data yang dikutip bagi ujian pra dan ujian post sampel kajian akan juga diproses dengan perisian SPSS untuk tujuan deskriptif (peratus, min dan sisihan piawai) dan menguji hipotesis. Statistik inferensi seperti ujian-t digunakan untuk membanding min skor pencapaian ujian bacaan pemahaman teks antara kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen di sekolah yang sama, antara kumpulan heterogenus dan kumpulan homogenus dalam kumpulan eksperimen. Paras signifiken untuk membuat keputusan ditetapkan pada aras 0.05. Hipotesis nol akan ditolak sekiranya nilai p yang diperolehi adalah kurang daripada 0.05 dan sebaliknya.

DAPATAN KAJIAN 4.1 Pendahuluan

Penganalisisan data dibuat seperti yang berikut: Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (C). i) Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (T). ii) Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK (C). iii) Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus di SJK (T). 4.2 Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (C). Jadual 4.1: Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Bagi Kumpulan Kawalan dan Kumpulan Eksperimen Di SJK(C) Kumpulan Min (S.P) Ujian Pra Ujian Post 76.15 (12.43) Peningkatan Perbezaan Nilai-t P

Kawalan 69.25 (N=40) (14.17)

6.90

3.745 +6.08 <.001

Eks. (N=40)

68.48 81.46 12.98 (15.16) (9.17)

8.905

Analisis data terhadap perbandingan peningkatan pencapaian min ujian pemahaman teks bagi kedua-dua kumpulan pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional dan kaedah pembelajaran koperatif BPPP dapat dirumuskan melalui Jadual 4.1. Jadual 4.1 menunjukkan bahawa peningkatan pencapaian min ujian pemahaman teks bagi kumpulan kawalan adalah sebanyak 6.9 sedangkan kumpulan eksperimen adalah sebanyak 12.98. Perbezaan peningkatan pencapaian min bagi kedua-dua kumpulan adalah sebanyak 6.08. Ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min di antara kedua-dua kumpulan. ( p<.001) Sebagai kesimpulan, didapati pencapaian min pelajar kumpulan eksperimen adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan. Oleh itu, Hipotesis nol yang mengatakan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional ditolak. 4.3 Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Antara Kumpulan Homogenus Dan Kumpulan Heterogenus Bagi Kaedah Pembelajaran Koperatif BPPP Di SJK(C) Jadual 4.2: Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Antara Kumpulan Homogenus Dan Kumpulan Heterogenus Bagi Kaedah Pembelajaran Koperatif BPPP Di SJK ( C ) Kumpulan Min (S.P) Ujian Pra Ujian Post 69.61 (10.45) 79.72 (5.46) Peningkatan Perbezaan Nilai-t P

Hom. (N=20)

10.11 (9.56)

4.603 +5.74 <.001

Het. 67.35 83.20 15.85 8.921 (N=20) (11.56) (8.43) (7.44) _______________________________________________________________

Jadual 4.2 menunjukkan perbandingan peningkatan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus bagi kaedah pembelajaran koperatif BPPP di SJK ( C ). Peningkatan pencapaian min bagi kumpulan homogenous adalah 10.11, manakala peningkatan pencapaian min bagi kumpulan heterogenous adalah 15.85. Ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min terhadap kumpulan homogenous sebelum dan selepas mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP. ( nilai-t = 4.603, p<.001). Ujian-t juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min terhadap kumpulan heterogenous sebelum dan selepas mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP. ( nilai-t = 8.921, p<.001) 4.4 Perbandingan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional di SJK (T). Jadual 4.3: Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Bagi Kumpulan Kawalan dan Kumpulan Eksperimen Di SJK(T) Kumpulan Min (S.P) Ujian Pra Ujian Post Kawalan (N=40) 62.80 (14.36) 66.13 (13.85) 3.33 (9.26) 3.250 +11.42 Eks. (N=40) 60.63 (13.59) 75.38 (12.26) 14.75 (8.02) 8.705 <.001 Peningkatan Perbezaan Nilai-t

Analisis data terhadap perbandingan peningkatan pencapaian min ujian pemahaman teks bagi kedua-dua kumpulan pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional dan kaedah pembelajaran koperatif BPPP dapat dirumuskan melalui Jadual 4.3. Jadual 4.3 menunjukkan bahawa peningkatan pencapaian min ujian pemahaman teks bagi kumpulan kawalan adalah sebanyak 3.33 sedangkan kumpulan eksperimen adalah sebanyak 14.75. Perbezaan peningkatan pencapaian min bagi kedua-dua kumpulan adalah sebanyak 11.42. Ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min di antara kedua-dua kumpulan. ( p<.001) Sebagai kesimpulan, didapati pencapaian min pelajar kumpulan eksperimen adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan. Oleh itu, Hipotesis nul yang mengatakan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP dengan pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran tradisional ditolak.

4.5 Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Antara Kumpulan Homogenus Dan Kumpulan Heterogenus Bagi Kaedah Pembelajaran Koperatif BPPP Di SJK(T) Jadual 4.4: Perbandingan Peningkatan Pencapaian Min Ujian Bacaan Pemahaman Teks Antara Kumpulan Homogenus Dan Kumpulan Heterogenus Bagi Kaedah Pembelajaran Koperatif BPPP Di SJK ( T ) Kumpulan Min (S.P) Ujian Pra Ujian Post 61.25 (13.86) 72.00 (13.62) Peningkatan Perbezaan Nilai-t P

Hom. (N=20)

10.75 (11.15) +8.00

8.234 <.001

Het. (N=20)

60.00 (13.32)

78.75 (11.16)

18.75 (12.15)

7.265

Jadual 4.4 menunjukkan perbandingan peningkatan pencapaian min ujian bacaan pemahaman teks antara kumpulan homogenus dan kumpulan heterogenus bagi kaedah pembelajaran koperatif BPPP di SJK (T). Peningkatan pencapaian min bagi kumpulan homogenous adalah 10.75, manakala peningkatan pencapaian min bagi kumpulan heterogenous adalah 18.75. Ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min terhadap kumpulan homogenous sebelum dan selepas mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP. ( nilai-t = 8.234, p<.001). Ujian-t juga menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam peningkatan pencapaian min terhadap

kumpulan heterogenous sebelum dan selepas mengikuti kaedah pembelajaran koperatif BPPP. ( nilai-t = 7.265, p<.001) PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN 5.1 Perbincangan Dapatan Kajian

Dapatan kajian menunjukkan bahawa peningkatan pencapaian min adalah lebih tinggi bagi kumpulan yang diajar melalui kaedah pembelajaran koperatif BPPP berbanding dengan peningkatan pencapaian min bagi kumpulan yang diajar melalui kaedah pembelajaran tradisional. Pada keseluruhannya, boleh disimpulkan bahawa kaedah pembelajaran koperatif BPPP merupakan kaedah pengajaran bacaan pemahaman teks yang lebih berkesan berbanding dengan kaedah pembelajaran tradisional. Peningkatan pencapaian min yang lebih memihak kepada kumpulan eksperimen menunjukkan bahawa kaedah pembelajaran koperatif BPPP penting untuk meningkatkan pemahaman di kalangan pelajar. Ini dapat menggalakkan interaksi dalam kumpulan rakan sebaya melalui pengongsian maklumat dan idea, aktiviti penaakulan logik dan penghuraian maklumat serta meningkatkan tahap kefahaman di kalangan pelajar. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa pencapaian bacaan pemahaman teks bagi kedua-dua kumpulan homogenous dan heterogenous di SJK (C) dan SJK (T) telah meningkat. Namun, analisis data menunjukkan bahawa peningkatan pencapaian ujian pemahaman teks bagi kumpulan yang diajar melalui kaedah pembelajaran koperatif BPPP heterogenous adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan yang diajar melalui kaedah pembelajaran koperatif BPPP homogenous. Ini adalah disebabkan bahawa kumpulan heterogenous terdiri daripada ahli-ahli pelbagai tahap kebolehan, latar belakang sosio-ekonomi dan kaum. Mengikut Mahohaini Yusof (1989), pelajar yang lemah dapat mempelajari sesuatu daripada pelajar yang berkebolehan tinggi dan pelajar yang berkebolehan tinggi mempelajari strategi baru melalui pengalaman mengajar dan membimbing rakan yang lemah. 5.2 Implikasi Kajian

Keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif BPPP dalam pengajaran bacaan pemahaman teks adalah jelas. Memandangkan keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif dalam meningkatkan pencapaian bacaan pemahaman teks amat ketara, sukatan pelajaran Kursus Diploma Pendidikan Malaysia (KDPM) harus menekankan aspek tersebut terutama sekali guru pelatih beropsyen bahasa demi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam penguasaan dan pelaksanaan kaedah pembelajaran koperatif. Pihak sekolah seharusnya sentiasa menganjurkan kursuskursus atau latihan dalaman kepada guru-guru yang mengajar bahasa bagi memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan kaedah pembelajaran koperatif. 5.3 Cadangan Untuk Kajian Lanjutan Antara cadangan kajian lanjutan yang boleh dilaksanakan adalah seperti berikut: a) Mengkaji keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif terhadap pencapaian akademik bagi mata pelajaran bahasa yang lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu untuk melihat samada kaedah pembelajaran koperatif juga berkesan bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa yang lain. b) Mengkaji keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif yang lain seperti Jigsaw, CIRC, TAI, TGT dan COL untuk mengesan samada kaedah pembelajaran koperatif model tersebut juga dapat membawa kesan positif bagi mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

KESIMPULAN Hasil kajian menunjukkan bahawa pembelajaran koperatif BPPP merupakan satu kaedah yang berkesan dalam mengajar bacaan pemahaman teks Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi pelajar Darjah 5. Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan kaedah pembelajaran koperatif di SJK (C) dan SJK (T), timbulnya beberapa kesulitan seperti sifat pelajar yang pasif, keberatan untuk bergaul dengan jantina yang lain, tidak begitu berkecenderungan untuk menyoal dan memberi pandangan terhadap sesuatu perkara. Justeru itu, pelbagai corak pengajaran dan pembelajaran kaedah pembelajaran koperatif harus digunakan demi menggalakan interaksi di kalangan pelajar, memudahkan pembelajaran serta mempertingkatkan kefahaman pelajar dalam pelajarannya. Semoga guru-guru yang mempunyai kepakaran dalam kaedah pembelajaran koperatif boleh berkongsi kepakaran dan kemahiran mereka dengan guru yang lain melalui kursus-kursus dalaman. Semangat bekerjasama dan kemahiran kolaboratif di kalangan guru adalah perlu untuk memenuhi fungsi kita sebagai pendidik, membantu pelajar memperkembangkan kemahiran mental melalui perbincangan dan interaksi dalam kumpulan pembelajaran koperatif.

You might also like