You are on page 1of 16

PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR DALAM PENGAJARAN

MURID-MURID PEMULIHAN KHAS


Mohd. Hanafi Mohd Yasin, Hasnah Toran, Mohd Mokhtar Tahar
Universiti Kebangsaan Malaysia

Sazali Abd. Hamid, Nik Azhar Nik Abd Rahman, Zawawi Zahari, Aziz Jantan,
Bahari Abu Bakar, Azman Nordin
Kementerian Pelajaran Malaysia

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap pencapaian murid-murid pemulihan yang diajar
menggunakan tiga kaedah pengajaran yang berbeza iaitu kaedah tradisional, kaedah
bahan bantu mengajar tanpa ICT dan kaedah bahan bantu mengajar dengan ICT. Selain
itu, ianya juga bertujuan untuk menentukan kaedah pengajaran manakah yang lebih
dominan untuk meningkatkan penguasaan murid pemulihan dalam subjek yang diajar.
Responden kajian terdiri daripada 90 orang murid Pemulihan Khas Tahun 2 yang telah
dipilih oleh guru pemulihan berdasarkan tahap penguasaan kemahiran asas yang diuji.
Pemilihan murid adalah berdasarkan skor ujian pra yang mereka jalani. Ujian pra
tersebut meliputi kemahiran membaca dan menulis. Responden dibahagikan kepada
kumpulan berdasar skor pra. Sebanyak sembilan kumpulan dibentuk mengikut jenis
kaedah pengajaran dan nisbah guru-murid. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa terdapat
perbezaan yang ketara antara kaedah pengajaran yang digunakan. Semua skor murid
dikumpul mengikut kaedah pengajaran. Bagi kaedah penggunaan BBM tanpa ICT, skor
perbezaan yang tertinggi dapat dilihat dalam ujian pos bagi kumpulan lima orang murid
iaitu sebanyak 48.60 berbanding kumpulan 10 dan 15 orang murid yang lain. Bagi
pengajaran kaedah BBM dengan ICT pula, kumpulan 10 orang murid mencatatkan
perbezaan yang ketara iaitu 71.10 berbanding 5 orang murid (31.60) dan 15 orang murid
(22.73). Skor pasca kumpulan sepuluh orang menggunakan kaedah pengajaran BBM
dengan ICT adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan lain. Namun begitu,
terdapat beberapa kekurangan penggunaan bahan bantu mengajar seperti tiada kepakaran
dalam penyediaan bahan bantu mengajar, kekangan masa dalam menyediakan bahan
bantu mengajar dan tiada penyediaan modul bacaan dan latihan yang bertulis yang
standard mengikut tahap kemahiran. Kebanyakan guru tidak mempunyai latihan khusus
bagi mengajar murid-murid PBP. Oleh itu, beberapa cadangan bagi mengatasi masalah
tersebut dinyatakan seperti guru pemulihan khas perlu diberi latihan kepakaran dalam
penyediaan bahan bantu mengajar agar penyediaan bahan yang disediakan lebih
praktikal, pengagihan peralatan dan bahan bantu mengajar perlu diberikan kepada semua
kelas program pemulihan khas supaya dapat menjimatkan masa guru dalam menyediakan
bahan dan seterusnya membolehkan guru fokus kepada proses pengajaran dan
pembelajaran dan lain-lain lagi.
Keywords: Bahan Bantu Mengajar, Pemulihan Khas, Kemahiran 3M, Penggunaan

ICT, Pengajaran dengan Kaedah Tradisional

1.0 Pengenalan

Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan
yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani selaras dengan falsafah pendidikan negara. Penguasaan
kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dikuasai di peringkat awal
bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Kanak-
kanak yang dikenal pasti mempunyai masalah membaca, menulis dan mengira
dikategorikan sebagai murid-murid pemulihan khas. Murid-murid ini lazimnya
mempunyai masalah perkembangan kognitif yang lewat. Oleh itu, Program Pemulihan
Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertujuan untuk
mengatasi masalah murid tidak menguasai kemahiran asas 3M di sekolah rendah.

Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) merupakan sebahagian daripada usaha


guru dalam usaha merangsang minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran yang
seterusnya menjamin pemerolehan pengetahuan dan kemahiran oleh pelajar (Rashidi &
Abdul Razak, 1998). Justeru penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik
dalam proses pengajaran asas bacaan dalam kelas pemulihan adalah penting kerana ia
dapat mempertingkatkan kejayaan pembelajaran, lebih-lebih lagi untuk pengajaran mata
pelajaran Bahasa Melayu. Strategi pembelajaran menggunakan BBM dapat
meningkatkan pengetahuan dan kefahaman membaca. Banyak penyelidikan telah
membuktikan bahawa penggunaan gambaran visual sebelum, semasa dan selepas
membaca sesuatu bahan bahan bantu mengajar akan dapat meningkatkan kefahaman
(Gambrell & Bales, 1986; Sadoski & Paivio, 2001). Sementara itu murid akan dapat
membentuk kefahaman apabila membuat penghuraian atau pengubahsuaian secara verbal
semasa membaca teks. Ia merupakan satu latihan bagi membentuk hubungan di antara
maklumat lalu dan maklumat baru menerusi imageri dan visualisasi.
Penggunaan komputer (ICT) dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru,
malah telah lama diperkenalkan sejak tahun 60-an lagi di negara-negara maju seperti
Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kemahiran penguasaan teknologi maklumat dan
komunikasi khususnya dalam bidang pendidikan pada masa ini memang tidak dapat
disangkalkan lagi. Menurut Giesert & Futrell (1990), dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, komputer boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan teknik. Guru yang
berbakat dapat menggunakan komputer secara kreatif dan kritis untuk membantunya
mencapai objektif pembelajaran. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
bukan sahaja sesuai untuk pelajar-pelajar normal, malah turut diaplikasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran pelajar-pelajar Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas.
Sekiranya komputer digunakan secara sistematik dan terancang, proses pengajaran akan
berjalan lancar, masalah yang rumit dalam penyampaian dapat diselesaikan dengan
mudah (Heinich, 1996). Dengan kata lain, kehadiran komputer sebenarnya telah
memperkayakan teknik pengajaran dan memudahkan proses tersebut di dalam bilik
darjah. Oleh itu, tiga kaedah pengajaran digunakan dalam kajian ini iaitu kaedah
pengajaran secara tradisional, pengajaran dengan menggunakan bahan bantu mengajar
(BBM) tanpa ICT dan pengajaran menggunakan kaedah BBM dengan ICT.

Tujuan kajian yang dijalankan ini adalah untuk melihat tahap pencapaian murid-murid
pemulihan yang diajar menggunakan tiga kaedah pengajaran yang berbeza iaitu kaedah
tradisional, kaedah bahan bantu mengajar tanpa ICT dan kaedah bahan bantu mengajar
dengan ICT. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menentukan kaedah pengajaran
manakah yang lebih dominan untuk meningkatkan penguasaan murid pemulihan dalam
subjek yang diajar. Hasil kajian ini berpotensi untuk memberi peluang kepada murid
pemulihan khas untuk meningkatkan kesedaran bahawa mereka mempunyai kelebihan
dan potensi yang setara dengan murid sebaya dengan mereka apabila didedahkan dengan
bahan bantu mengajar samada dengan kaedah tradisional atau dengan penggunaan ICT.
Selain itu, ianya dapat menjana manfaat kepada pihak sekolah dan guru-guru pemulihan
khas dalam menambah baik dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bagi
pemulihan khas tersebut.
2.0 Instrumen Kajian
Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada;

2.1 Ujian Pra

Sebanyak 65 item soalan dalam Ujian Pra telah digubal meliputi:

Bahagain A - Suaikan huruf vokal awal dengan gambar (5 soalan).


 Bahagian B - Lengkapkan vokal awal dalam perkataan berdasarkan
gambar (5 soalan).
 Bahagian C - Tanda √ pada suku kata (kv) yang betul berdasarkan
gambar (6 soalan).
 Bahagian D - Tuliskan perkataan (kvkv) berpandukan gambar (6 soalan).
 Bahagian E - Tuliskan huruf (vokal dan konsonan) yang tertinggal pada
perkataan yang ditinggalkan (5 soalan).
 Bahagian F - Suaikan perkataan (kvk dan kvkv) menjadi rangkai kata (kvk
kvkv) (5 soalan).
 Bahagian G - Suaikan perkataan (kvkvk) dengan gambar (5 soalan).

 Bahagian H - Lengkapkan perkataan (dengan suku kata awal kv dan suka


kata akhir kv) berpandukan gambar (6 soalan).
 Bahagian I - Tuliskan ayat (vkv, kvk, kvkv) berdasarkan gambar
(6 soalan).
 Bahagian J - Lengkapkan ayat (kvk, kvkv, kvkvk, kvkvkv) berpandukan
gambar (6 soalan).
 Bahagian K - Lengkapkan petikan (kvk, kvkv) berdasarkan gambar
tunggal (10 soalan).
Item-item ujian pra dan pasca telah dibina mengikut kemahiran-kemahiran membaca.
Perbandingan ujian ini bertujuan mengenal pasti tahap kemahiran yang dikuasai
responden sebelum dan selepas pelaksanaan eksperimen dijalankan. Ujian yang
dilakukan meliputi peringkat bacaan abjad atau huruf dan peringkat bacaan perkataan.
Sebahagian besar bahan yang digunakan untuk ujian ini direka berdasarkan buku
Panduan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 1 dan 2. Kemahiran-kemahiran yang diuji
pula berasaskan senarai turutan kemahiran yang terkandung dalam panduan
pelaksanaan program pemulihan khas BPK 2008 seperti jadual berikut.

BIL KEMAHIRAN SOALAN JUMLAH


1 Kemahiran 3 (huruf vokal) A - 5 soalan 10 soalan
B - 5 soalan
2 Kemahiran 4 (Suku kata KV ) C - 6 soalan 6 soalan
3 Kemahiran 5 (Perkataan 2 suku kata KV + D - 6 soalan 6 soalan
KV
4 Kemahiran 10 (Perkataan 2 suku kata V + E - 5 soalan 5 soalan
KVK
5 Kemahiran 8 (Perkataan KVK ) F - 5 soalan 5 soalan
6 Kemahiran 11 (Perkataan KV + KVK ) G - 5 soalan 11 soalan
H - 6 soalan
7 Kemahiran 6 hingga 12 (Perkataan V+KV I - 6 soalan 22 soalan
hingga KVK + KV ) J - 6 soalan
K - 10 soalan
JUMLAH 65 soalan

2.2 Ujian Pos

 Kesemua item soalan dalam Ujian Pos adalah bersamaan dengan Ujian Pra dari
segi aras kemahiran dan bilangan soalan.

2.3 Instrumen Kaedah Tradisional

 Kapur/white board pen


 Papan hitam/papan putih
 Kad abjad dan hitam putih
 Kad gambar dan hitam putih
 Kad ayat di kertas mahjung
 Buku tulis

2.4 Instrumen Kaedah Bahan Bantu Mengajar Tanpa ICT

 Marker pen dan white board


 Papan hitam dan kapur
 Kad jalur abjad berwarna
 Kad gambar berwarna
 Kad huruf
 Kad suku kata berwarna
 Kad gambar dan perkataan berwarna
 Kad jalur ayat berwarna
 Carta ayat berwarna
 Lembaran kerja

2.5 Instrumen Kaedah Bahan Bantu Mengajar Dengan ICT

 CD interaktif
 Kad jalur abjad berwarna
 Kad gambar berwarna
 Kad huruf
 Kad suku kata berwarna
 Kad gambar dan perkataan berwarna
 Kad jalur ayat berwarna
 Carta ayat berwarna
 Lembaran kerja
3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini berbentuk penyelidikan tinjauan yang dijalankan ke atas 90 orang


murid pemulihan yang telah dipilih dari seluruh negeri di Malaysia Barat.
Pemilihan murid adalah berdasarkan skor ujian pra yang mereka jalani. Ujian pra
tersebut meliputi kemahiran membaca dan menulis. Responden dibahagikan
kepada kumpulan berdasar skor pra. Sebanyak sembilan kumpulan dibentuk
mengikut jenis kaedah pengajaran dan nisbah guru-murid.

3.1 Sampel

Sampel kajian adalah murid-murid pemulihan yang sedang mengikuti


pembelajaran pemulihan di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara. Responden
kajian pula adalah 90 orang murid Pemulihan Khas Tahun 2 yang telah dipilih
oleh guru pemulihan berdasarkan tahap penguasaan kemahiran asas yang diuji
(Buku Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas, 1999). Hanya murid-
murid yang belum mencapai kemahiran asas Bahasa Melayu lebih daripada 10
sahaja dipilih sebagai responden kajian. Seterusnya semua responden
dikumpulkan di Johor Bahru dan menjalani ujian pra, pengajaran eksperimen dan
melakukan ujian pasca.

3.2 Prosedur Pengumpulan Data

Penyelidikan dijalankan dengan beberapa prosedur seperti membina rancangan


pengajaran harian (RPH) sebanyak enam slot iaitu selama 7 jam 30 minit.
Seterusnya, penyelidik menyediakan instrumen kajian seperti bahan ujian pra dan
pasca, borang skor ujian pra dan pasca. Guru yang dipilih untuk mengajar dalam
kajian ini pula akan berbincang mengenai bahan bantu mengajar dan persiapan
untuk mengajar mikro. Selain itu, proses pengumpulan data juga melibatkan
pembinaan bahan bantu mengajar dan lembaran kerja mengikut RPH. Pengajaran
mikro dan latihan pengajaran akan diadakan sebanyak dua sesi oleh Jurulatih
Pemulihan Negeri Johor selama empat hari dan seterusnya melakukan post
mortem pengajaran mikro. Setelah itu, pengajaran mikro bagi sesi kedua
dilakukan serta membuat persiapan di lokasi kajian seperti menyediakan suasana
bilik darjah pemulihan disemua bilik darjah kajian.

3.3 Prosedur Penganalisisan Data

Data kajian dikumpulkan melalui ujian pra dan ujian pasca. Semua jawapan murid
dimasukkan ke dalam sistem Statistic Package foe Social Sciences (SPSS).
Penganalisaan data dilakukan dengan menggunakan SPSS versi 11.5.

4.0 Dapatan Kajian

4.1 Tahap Pencapaian Murid-murid Pemulihan Yang Diajar Dengan Kaedah

Tradisional

Daripada dapatan kajian yang telah dijalankan bagi menilai tahap pencapaian
murid-murid pemulihan yang diajar dengan kaedah tradisional, analisis dapatan
kajian jelas menunjukkan bahawa skor ujian pos bagi kumpulan kaedah
pengajaran biasa (tradisional) agak setara bagi ketiga-tiga kumpulan. Namun
kumpulan 10 murid adalah lebih tinggi berbanding dua kumpulan yang lain.
Kenyataan Ini dijelaskan dalam jadual dan graf pengajaran berbentuk tradisional
seperti berikut:-

Pengajaran berbentuk tradisional

KUMPULAN MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN


5 MURID 60.20 87.60 27.40
10 MURID 56.60 85.20 28.60
15 MURID 57.20 78.47 21.27
Graf perbandingan antara kumpulan murid dalam pengajaran kaedah tradisional.

100
90
80
70
60
50
40
30
20
10
0
MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN

Graf dan jadual di atas menunjukkan tiada perbezaan yang ketara antara
kumpulan murid. Skor perbezaan dapat dilihat iaitu bagi lima murid, perbezaaan
antara skor pra dan markah pasca adalah 27.40, bagi sepuluh murid adalah 28.60
dan bagi lima belas murid adalah 21.27. Bagi kumpulan lima dan sepuluh murid
hampir tiada perbezaan skor tetapi bagi pelajar lima belas terdapat penurunan 7.33
dari skor tertinggi.

4.2 Tahap Pencapaian Murid-murid Pemulihan Yang Diajar Dengan Kaedah

Bahan Bantu Mengajar Tanpa ICT

Kumpulan murid yang diajar dengan kaedah bahan bantu mengajar (BBM) tanpa
ICT telah menunjukkan peningkatan skor pasca berbanding dengan kumpulan
kaedah pengajaran tradisional terutama bagi kumpulan 5 dan 10 orang murid.
Analisis data jelas menunjukkan bahawa kumpulan 5 orang murid mendapat skor
lebih tinggi daripada kumpulan 10 dan 15 orang murid bagi kaedah ini.
Kumpulan 5 orang murid kaedah ini mendapat skor purata tertinggi iaitu
sebanyak 49 berbanding dengan kumpulan 10 dan kumpulan 15.

Pengajaran Kaedah BBM Tanpa ICT

KUMPULAN MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN


5 MURID 70.60 119.20 48.60
10 MURID 61.90 102.60 40.70
15 MURID 60.60 84.67 24.07

Graf perbandingan antara kumpulan murid dalam pengajaran kaedah BBM tanpa
ICT.

140

120
100

80

60
40

20
0
MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN

5 MURID 10 MURID 15 MURID

Graf dan jadual di atas menunjukkan perbezaan yang ketara antara kumpulan
murid. Skor perbezaan dapat dilihat iaitu bagi lima murid, perbezaaan antara skor
pra dan markah pasca adalah 48.60, bagi sepuluh murid adalah 40.70 dan bagi
lima belas murid adalah 24.07. Ini menunjukkan kumpulan lima murid memberi
prestasi markah yang menonjol antara kumpulan yang lain dengan perbezaan skor
7.90 bagi kumpulan sepuluh murid dan 23.93 bagi lima belas murid.

4.3 Tahap Pencapaian Murid-murid Pemulihan Yang Diajar Dengan Kaedah


Bahan Bantu Mengajar Dengan ICT

Kumpulan murid yang diajar menggunakan kaedah BBM dengan ICT tidak
menunjukkan peningkatan skor pasca yang tinggi berbanding dengan kumpulan
kaedah pengajaran BBM tanpa ICT. Namun kumpulan 10 orang murid bagi
kaedah ini telah menunjukkan peningkatan skor pasca yang tinggi berbanding
dengan kumpulan kaedah Tradisional, BBM tanpa ICT dan BBM dengan ICT.
Kumpulan 10 orang murid bagi kaedah pengajaran ini telah mendapat skor purata
sebanyak 71.

Pengajaran Kaedah BBM Dengan ICT

KUMPULAN MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN


5 MURID 67.00 98.60 31.60
10 MURID 43.00 114.10 71.10
15 MURID 60.80 83.53 22.73

Graf perbandingan antara kumpulan murid dalam pengajaran kaedah BBM


dengan ICT.
120

100

80

60

40

20

0
MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN

Graf dan jadual di atas menunjukkan perbezaan yang ketara antara kumpulan
murid. Skor perbezaan dapat dilihat iaitu bagi lima murid, perbezaaan antara skor
pra dan markah pasca adalah 31.60, bagi sepuluh murid adalah 71.10 dan bagi
lima belas murid adalah 22.73. Ini menunjukkan kumpulan sepuluh murid
memberi prestasi markah yang menonjol antara kumpulan yang lain dengan
perbezaan skor 39.50 bagi kumpulan lima murid dan 48.37 bagi lima belas murid.

4.4 Perbandingan Kaedah Pengajaran bagi Murid-Murid Pemulihan

Perbandingan Kaedah Pengajaran

KAEDAH MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN

BIASA 174.00 251.27 77.27


BBM TANPA ICT 193.10 306.47 113.37
BBM DENGAN
170.80 296.23 125.43
ICT
Graf perbandingan antara kumpulan murid dalam pengajaran kaedah tradisional

350

300

250

200

150

100

50

0
MARKAH PRA MARKAH PASCA PERBEZAAN

BIASA BBM TANPA ICT BBM DENGAN ICT

Graf dan jadual di atas menunjukkan perbezaan yang ketara antara kaedah
pengajaran. Semua skor murid dikumpul mengikut kaedah pengajaran. Skor
perbezaan dapat dilihat iaitu bagi kaedah biasa adalah 77.27, bagi kaedah BBM
tanpa ICT adalah 113.37 dan bagi BBM dengan ICT adalah 125.43. Kajian yang
hampir sama juga telah dijalankan oleh Charlie (2008) ke atas lima orang guru
dan lima belas orang pelajar pendidikan pemulihan di lima buah sekolah daerah
Serian mengenai penggunaan bahan bantu mengajar dalam kemahiran asas
membaca di kelas pemulihan mendapati bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh
pelajar sebelum dan selepas penggunaan alat bantu mengajar dalam kemahiran
asas bacaan amatlah ketara.

5.0 Rumusan
Penggunaan kaedah pengajaran BBM kepada lima orang murid dan kaedah
pengajaran BBM dengan ICT kepada 10 orang murid dalam kajian ini telah
menunjukkan peningkatan skor pasca yang lebih tinggi berbanding dengan
kumpulan kaedah pengajaran dan nisbah guru murid yang lain. Guru bagi kedua-
dua kumpulan ini telah menggunakan BBM secara maksimum dalam pengajaran
mereka. Manakala bagi kumpulan kaedah pengajaran BBM dengan ICT (BBM +
ICT) pula BBM telah digabungkan bersama ICT. Berdasarkan dapatan kajian ini
kaedah penggunaan BBM tanpa ICT dengan bilangan murid seramai lima orang
berupaya meningkatkan kemahiran membaca. Skor pasca kumpulan 10 orang
kaedah pengajaran BBM bersama ICT adalah lebih tinggi berbanding dengan
kumpulan lain. BBM yang dibina dan digunakan dalam pengajaran kedua-dua
kumpulan ini telah menunjukkan keberkesanan. Kenyataan ini disokong oleh
Rasihidi dan Abdul Razak (1998) yang menyatakan bahawa BBM dapat
merangsang minat dan tumpuan murid dalam memperoleh pengetahuan.

Dapatan kajian menunjukkan bahan bantu mengajar merupakan salah satu faktor
yang mampu menyumbang kepada peningkatan kemahiran membaca.
Pembelajaran membaca menggunakan BBM dalam persekitaran pembelajaran
konstruktif menyokong pembelajaran secara aktif, menyokong pembinaan
pengetahuan, dan menyokong kaedah belajar melalui pengalaman (Kamarudin,
1998). Namun begitu, penggunaan bahan bantu mengajar didapati mempunyai
beberapa masalah dalam melaksanakannya. Antaranya ialah pengagihan peralatan
dan bahan bantu mengajar ke semua sekolah, tiada kepakaran dalam penyediaan
bahan bantu mengajar, kekangan masa dalam menyediakan bahan bantu
mengajar, tiada penyediaan modul bacaan dan latihan yang bertulis yang standard
mengikut tahap kemahiran dan banyak lagi. Oleh itu, beberapa cadangan bagi
penambahbaikan masalah tersebut dinyatakan seperti guru pemulihan khas perlu
diberi latihan kepakaran dalam penyediaan bahan bantu mengajar agar
penyediaan bahan yang disediakan lebih praktikal, pengagihan peralatan dan
bahan bantu mengajar perlu diberikan kepada semua kelas program pemulihan
khas supaya dapat menjimatkan masa guru dalam menyediakan bahan dan
seterusnya membolehkan guru fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran
dan lain-lain lagi.

Rujukan

Charlie Anak Ungang. 2008. Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kemahiran Asas
Membaca di Kelas Pemulihan: Kajian Kes di Lima Buah Sekolah Daerah Serian.
Jurnal Penyelidikan IPBL, Jilid 8, 2008.

Gambrell, L. B., & Bales, R.1986. Mental imagery and the comprehension-monitoring
performance of fourth and fifth grade poor readers. Reading Research Quarterly,
21(4), 454-464.

Giesert, P., & Futrell, M. 1990. Teachers, computers and curriculum. Boston: Allyn.

Heinich, P. 1996. Instructional media and the new technologies of instruction. New
York: Macmillan.

Kamarudin Hj. Husin. 1998. KBSM dan model-model pengajaran bahasa. Selangor:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Rashidi Azizan & Adbul Razak Habib. 1998. Pengajaran dalam bilik darjah: Kaedah
dan strategi. Kajang, Selangor: Masa Enterprise.

Sadoski, M. & Paivio, A .2001. Imagery and Text.

You might also like