You are on page 1of 13

MARKAH

GRU 60104 : KAEDAH PENYELIDIKAN UNTUK PENDIDIKAN


TUGASAN :

TAJUK

Analisis Artikel

DISEDIAKAN OLEH

NAMA NO.MATRIK PROGRAM NO. TELEFON

LIANA ANAK MERIKAN M20211000417 SARJANA 013-8122315

KUMPULAN KULIAH : PK- A ( UPSI)


PENSYARAH : DR. AZLI BIN ARIFFIN
ISI KANDUNGAN

1.0 Pengenalan 1
2.0 Ringkasan Setiap Artikel
2.1 Ulasan Artikel 1: Kurikulum, Pengajaran dan Pentaksiran dari Perspektif 1
Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah
2.2 Ulasan Artikel 2: Pengetahuan, Kemahiran, Sikap dan Masalah Guru dalam 4
Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah.
2.3 Ulasan Artikel 3: Lestarikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) demi 7
Kemenjadian Murid
3.0 Perbincangan 9
4.0 Rumusan 10
Rujukan 11
1.0 Pengenalan
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah diperkenalkan pada tahun 2017 untuk sekolah menengah
dan 2018 bagi sekolah rendah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. PBD merupakan satu
pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan
maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. Hal ini selari
dengan kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan aspek fizikal, mental
dan kerohanian, iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI). Oleh itu, tiga artikel yang
berkaitan dengan PBD telah dipilih untuk diulas.

2.0 Ringkasan setiap Artikel


2.1 Ulasan Artikel 1: Kurikulum, Pengajaran dan Pentaksiran dari Perspektif Pelaksanaan
Pentaksiran Bilik Darjah oleh Kalai Selvan Arumugham (2020)

Tujuan
Kajian yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memahami cara guru-guru sekolah rendah di
Malaysia melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Terdapat dua perkara utama yang
dilihat oleh penyelidik dalam kajian ini iaitu pertama cara guru-guru menghubungkaitkan
kurikulum, pengajaran dan pentaksiran dan kedua cara guru-guru melaksanakan PBD.

Metodologi
Reka bentuk kajian ini adalah menggunakan pendekatan kualitatif iaitu penggunaan kaedah
kajian kes untuk membantu memahami cara guru-guru melaksanakan PBD. Penyelidik dalam
kajian ini telah menggunakan teknik persampelan bertujuan iaitu memilih sepuluh orang guru
yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan PBD dari tahun 1 hingga tahun 3. Guru-guru
ini terdiri dalam kalangan mereka yang mengajar mata pelajaran teras iaitu mata pelajaran
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah menggunakan kaedah temu bual
yang dirakam dan ditranskripsi serta pemerhatian dengan mencatat nota sepanjang proses
pemerhatian. Setiap peserta kajian ditemu bual sebanyak tiga kali untuk memastikan data yang

1
dilaporkan adalah konsisten dan pemerhatian juga dilaksanakan sebanyak tiga kali supaya
peserta tidak menunjukkan kelainan dengan kehadiran penyelidik di lapangan. Data-data yang
telah diperolehi itu telah disusun dan diorganisasikan dengan menggunakan perisian NVivo
versi 10. Data tersebut telah dianalisis secara manual untuk mengenal pasti tema yang sesuai
melalui kekerapan pengulangan frasa data temu bual dan data pemerhatian. Selain itu,
penyelidik kajian ini juga telah melakukan proses member checking iaitu transkrip temu bual
yang telah ditanskripsikan diberikan semula kepada peserta kajian untuk menyemak dan
memastikan ketulenan dan kesahan setiap frasa yang diperkatakan. Data temu bual juga telah
ditriangulasikan dengan data pemerhatian untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan
data kualitatif tersebut.

Dapatan Kajian
Hasil daripada data yang telah dianalisis, tiga tema telah dibentuk berkaitan dengan cara
pelaksanaan PBD. Cara-cara tersebut adalah pentaksiran untuk pembelajaran, pentaksiran
untuk menentukan tahap pencapaian dan pentaksiran untuk kemenjadian murid. Tiga orang
guru telah dikategorikan dalam tema pertama iaitu pentaksiran untuk pembelajaran. Hal ini
kerana berdasarkan kepada hasil data temu bual menunjukkan guru-guru ini melaksanakan
PBD untuk memastikan proses pembelajaran berlaku dengan memberikan aktiviti yang
berfokuskan kepada perkembangan pembelajaran murid. Tambahan pula, melalui data
pemerhatian, guru-guru ini juga didapati melaksanakan pelbagai aktiviti yang mampu untuk
menarik minat murid. Dalam pada itu, proses pentaksiran PBD berdasarkan kepada kreativiti
guru untuk menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan situasi pembelajaran yang
berlaku.

Bagi tema kedua, tiga orang guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan
Matematik telah melaksanakan PBD untuk menentukan tahap pencapaian murid serta
menjadikan tahap pencapaian murid sebagai indikator utama dalam melaksanakan PBD. Hal
ini kerana, guru-guru ini menyediakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan tahap
penguasaan yang dicadangkan. Hasil pemerhatian, guru-guru ini didapati telah melaksanakan
PBD pada waktu lima belas minit terakhir pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan
aktiviti bertulis yang berbentuk pentaksiran untuk tajuk yang telah diajar. Tambahan pula,

2
guru-guru ini juga turut menyediakan kerja rumah berkaitan dengan topik yang telah diajar
pada masa tersebut kepada murid-murid. Hal ini bertujuan untuk mengukur tahap penguasaan
murid terhadap tajuk yang telah diajar. Melalui pemberian kerja rumah ini dapat membantu
murid mencari dan mendapatkan maklumat secara persendirian dan guru beranggapan kaedah
ini dapat membantu murid meningkatkan tahap penguasaan mereka.

Empat orang guru telah dikategorikan dalam tema terakhir iaitu tema pentaksiran
kemenjadian murid. Guru-guru ini mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris tahun satu hingga tahun tiga. Berdasarkan kepada pemerhatian yang dilaksanakan,
PBD dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti iaitu drama, membaca, public speaking, bercerita
dan membuat ulasan. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini bersifat membantu murid untuk
meningkatkan kemahiran berbahasa. Dalam pada itu, akitiviti-akitiviti ini juga bersifat
perkembangan pembelajaran yang akhirnya membantu untuk kemenjadian murid dalam
bidang bahasa.

Secara keseluruhannya, hasil kajian ini mendapati bahawa guru-guru dapat


melaksanakan PBD dengan menghubungkaitkan kurikulum, pengajaran dan pentaksiran untuk
memastikan proses pentaksiran murid dijalankan dengan betul. Guru-guru ini juga menjadikan
Dokumen Standard Kurikulum Sekolah (DSKP) sebagai panduan dalam merancang dan
melaksanakan PBD yang sesuai. Kesimpulannya, pentaksiran boleh dilakukan dengan
menggunakan kepelbagaian kaedah yang sesuai dengan topik dan tahap murid serta
memberikan penekanan kepada perkembangan murid secara menyeluruh.

Implikasi Kajian

Melalui kajian ini, antara implikasi yang diperoleh ialah guru mengetahui peranan masing-
masing dalam melaksanakan PBD dengan telus supaya dapat membantu dalam perkembangan
murid secara menyeluruh. Dalam kajian ini juga menunjukkan bahawa guru-guru dapat
menerima perubahan dan mampu menghadapi perubahan dalam sistem pendidikan. Ini
menunjukkan bahawa guru-guru sentiasa berusaha memastikan murid-murid dapat belajar dan
memahami apa yang dipelajari melalui pelbagai kaedah dan aktiviti yang sesuai dan dapat

3
menarik minat murid. Kajian ini juga menunjukkan guru-guru merupakan seorang yang kreatif
dalam merancang dan melaksanakan pembelajaran dan pentaksiran.

2.2 Ulasan Artikel 2: Pengetahuan, Kemahiran, Sikap dan Masalah Guru dalam
Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah oleh Sh. Siti
Hauzimah Wan Omar (2018).

Tujuan
Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mengenal pasti tahap kesediaan guru-guru Bahasa
Melayu sekolah rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman dalam melaksanakan PBD
Bahasa Melayu. Terdapat empat perkara yang diambil kira dalam kajian ini iaitu tahap
pengetahuan, kemahiran, sikap dan masalah guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik
Darjah (PBD) bagi subjek Bahasa Melayu.

Metodologi
Reka bentuk kajian ini ialah kajian kuantitatif iaitu kaedah kajian tinjauan terhadap sampel dan
populasi yang dipilih. Penyelidik kajian ini telah memilih sampel kajian daripada populasi
kajian yang terdiri daripda 98 orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah rendah di
daaerah Betong. Sampel kajian dipilih secara rawak yang melibatkan 18 buah sekolah yang
terdiri daripada 98 orang guru Bahasa Melayu yang terlibat secara langsung dalam PBD
Bahasa Melayu.

Penyelidik kajian ini telah memilih soal selidik sebagai instrumen kajian untuk
pengumpulan data. Dalam soal selidik ini mempunyai lima bahagian iaitu bahagian A
demografi responden, bahagian B tentang tahap pengetahuan guru Bahasa Melayu dalam
melaksanakan PBS, bahagian C tentang kemahiran guru dalam melaksanakan PBS, bahagian
D tentang tahap sikap guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan PBS dan bahagian E tentang
tahap masalah yang dihadapi oleh guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan PBS.

4
Penyelidik telah menjalankan kajian rintis kepada 10 orang responden yang dipilih
untuk memastikan ketepatan soal selidik dari sudut kefahaman responden. Soal selidik tersebut
dianalisis secara deskriptif iaitu mencari nilai kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai.
Penyelidik menggunakan SPSS versi 23.0 untuk menganalisis data soal selidik tersebut.
Penyelidik merujuk skala min Mohd Majid (2005) untuk menentukan skor min iaitu 1.00 –
2.66 (rendah), 2.67-3.66 (sederhana) dan 3.67-5.00 (tinggi).

Dapatan Kajian

Dapatan kajian ini dibahagikan kepada lima bahagian seperti yang terdapat dalam soal selidik.
Bahagian pertama ialah tentang demografi responden. Berdasarkan dapatan tersebut, seramai
51 orang responden (53.70%) berbangsa Melayu dan 44 orang responden (46.30%) terdiri
daripada lain-lain bangsa iaitu Bumiputera Sarawak. Dari segi jantina pula, seramai 58 orang
responden (61.10%) merupakan guru lelaki dan 37 orang responden (38.90%) merupakan guru
perempuan. Dari segi umur pula, seramai 18 orang responden (18.90%) berumur antara 20
hingga 30 tahun, 29 orang responden (30.50%) berumur antara 31 hingga 40 tahun dan seramai
48 orang responden (50.50%) berumur antara 41 hingga 60 tahun. Dari segi akademik pula
menunjukkan seramai 27 orang responden (28.40%) memiliki SPM, 4 orang responden
(4.20%) memiliki STPM, 62 orang responden (65.30%) memiliki Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan dan 2 orang responden (2.10%) memiliki Ijazah Sarjana. Dari segi lokasi pula, 55
orang responden (57.90%) mengajar di kawasan luar bandar dan 40 orang responden (42.10%)
mengajar di kawasan pedalaman.

Dapatan kajian bahagian kedua iaitu berkaitan dengan tahap pengetahuan guru Bahasa
Melayu dalam melaksanakan PBD menunjukkan tahap yang tinggi iaitu min keseluruhan
4.075. Item yang mendapat min yang tinggi sebanyak 3.99 iaitu responden bersetuju sangat
setuju tahu melaksanakan PBD semasa proses P&P. Seterusnya item yang mendapat nilai min
tinggi juga sebanyak 4.05 iaitu responden bersetuju dan sangat setuju bahawa kriteria PBD
berdasarkan arahan dalam buku pentaksiran yang disediakan oleh KPM. Hal ini juga diperkuat
oleh 51.60% orang responden menyatakan sangat setuju dan setuju bahawa setiap pentaksiran

5
perlu mengikuti DSKP dan tahu melaksanakan PBD dengan mengikuti garis Panduan
Pelaksanaan PBD yang ditetapkan oleh KPM.

Dapatan kajian bahagian ketiga iaitu tahap kemahiran guru Bahasa Melayu
melaksanakan PBD menunjukkan tahap yang tinggi juga iaitu skor min keseluruhan melebihi
4.00. Ini menunjukkan bahawa guru boleh menetapkan objektif pentaksiran yang hendak diuji
semasa membina instrumen PBD. Item kemahiran guru dalam perkaitan antara penetapan
objektif pentafsiran yang hendak diuji semasa membina instrumen PBD mendapat min yang
tinggi iaitu skor min sebanyak 4.06. Bagi item menjadikan Dokumen Standard Prestasi
Pentaksiran sebagai panduan terbaik untuk tahap 1 dan DSKP untuk tahap 2 menunjukkan skor
min 4.07. Seterusnya, bagi item tahap kemahiran dalam mengendalikan band atau tahap
penguasaan dan evidens murid berdasarkan sukatan pelajaran menunjukkan skor min paling
tinggi iaitu 4.38. Secara keseluruhannya, berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahun
yang dimiliki tentang PBD, guru-guru Bahasa Melayu ini mempunyai kemahiran yang tinggi
tentang PBD.

Dapatan kajian bahagian keempat pula, iaitu tahap sikap guru Bahasa Melayu dalam
melaksanakan PBD menunjukkan skor min yang tinggi juga iaitu 4.078. Item yang
menunjukkan skor min tertinggi (4.26) iaitu mengikuti perancangan serta waktu yang telah
ditetapkan oleh KPM. Item yang mendapat skor yang tinggi (4.23) iaitu menjadikan maklum
balas prestasi PBD murid untuk memperbaiki pengajaran saya. Item yang menunjukkan skor
min yang tinggi juga (4.15) iaitu menghadiri taklimat berkaitan PBD yang dianjurkan oleh
pihak PPD dan JPN dan mengajar mengikut kehendak PBD. Item yang lain iaitu berbincang
dengan guru-guru Bahasa Melayu yang lain tentang pelaksanaan PBD, menyediakan fail untuk
menyimpan rekod prestasi sebelum menjalankan PBD di sekolah dan menyediakan rekod
prestasi murid sebelum menjalankan PBD menunjukkan skor yang sama tinggi (4.06). Justeru,
sikap positif yang ditunjukkan ini menunjukkan guru telah bersedia untuk melaksanakan PBD.

Dapatan kajian bahagian yang terakhir, iaitu masalah dalam pelaksanaan proses PBD
di sekolah rendah menunjukkan bahawa 7 item berada pada tahap tinggi, 2 item berada tahap

6
sederhana dan 1 item berada pada tahap rendah. Item masalah pentaksiran yang banyak dalam
setiap band atau tahap penguasaan menyebabkan pentaksiran tidak dapat dilakukan secara
mendalam dan menyeluruh menunjukkan skor min paling tinggi (4.08). Seterusnya dengan
skor min (4. 01) ialah item masalah mentaksir secara berulang kerana kekangan masa.
Permasalahan lain iaitu terlalu banyak topik yang perlu diselesaikan dalam masa yang sangat
terhad juga dipersetujui sebanyak 81%. Bagi item kesukaran kerana ketidaksungguhan saya
dalam menaksir menjejaskan seluruh sistem pentaksiran PBD tidak disokong oleh ramai guru
dan hanya disokong sebanyak 35.80%. Begitu juga dengan item masalah kesukaran dalam
proses pentaksiran kerana jumlah murid yang ramai juga hanya disokong seramai 31.60% dan
selebihnya tidak menyokong item tersebut. Secara keseluruhannya, guru-guru Bahasa Melayu
sekolah rendah ini masih juga menghadapi masalah dalam melaksanakan PBD.

Implikasi Kajian

Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah telah
bersedia untuk melaksanakan PBD walaupun PBD ini boleh dikira masih baru dalam sistem
pendidikan kita. Guru yang mengajar di luar bandar mahupun pedalaman telah menunjukkan
tahap kesediaan mereka melaksanakan PBD dengan mengetahui, memahami dan
melaksanakan PBD seperti yang dikehendaki oleh KPM. DSKP dan buku Panduan
Pelaksanaan PBD dijadikan sebagai pegangan dan panduan dalam melaksanakan PBD.

2.3 Ulasan Artikel 3: Lestarikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) demi Kemenjadian Murid
oleh Noel Jimbai Balang, Kiah Sakudan dan Mohamad Faizal Semion (2021).

Tujuan Kajian
Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti kesan pelaksanaan penarafan PBD
dalam pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah. Terdapat dua objektif khusus untuk kajian ini
iaitu menilai pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah dan meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran guru melaksanakan PBD semasa PdP. Kajian ini merungkai pelaksanaan lima

7
program intervensi yang dijalankan bertujuan untuk meningkatkaan pengetahuan dan
kemahiran guru-guru melaksanakan PBD secara terancang dan sistematik.

Metodologi
Reka bentuk kajian ini ialah mengaplikasikan Model Kajian Tindakan Kemmis & McTaggart
(1988) melalui pelaksanaan penarafan untuk melihat perubahan pelaksanaan PBD di sekolah.
Pelaksanaan penarafan ini dilakukan dengan menyemak fail pengurusan PBD dan eviden-
eviden yang disediakan oleh penyelaras PBD di sekolah berdasarkan senarai semak yang
digunakan semasa penarafan. Kajian ini dilaksanakan terhadap 11 orang guru lelaki dan 11
orang guru perempuan yang bertugas sebagai penyelaras PBD di sekolah. Pemilihan sampel
kajian ini kerana pengurusan pelaksanaan PBD di sekolah masih kurang memuaskan pihak
pengurusan pelaksanaan PBD di peringkat PPD.

Kriteria penarafan ini dibahagikan kepada lima aspek utama iaitu pengurusan dokumen
PBD, pengurusan fail induk, pengurusan fail PBD guru mata pelajaran, pelaksanaan PBD dan
pengurusan fail penjaminan kualiti peringkat sekolah. Instrumen kajian yang digunakan adalah
analisis skor dalam borang penarafan pelaksanaan PBD, analisis dokumen seperti fail-fail
pengurusan pelaksanaan PBD dan temubual bersama penyelaras.

Dapatan Kajian

Dapatan kajian melalui penarafan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan PBD di 22 buah
sekolah telah bertambah baik selepas melalui lima langkah intervensi yang dijalankan.
Berdasarkan kepada skor penarafan pelaksanaan PBD menunjukkan 9 buah sekolah
menunjukkan skor cemerlang ( 80-100), 4 buah sekolah mendapat skor baik (65-79), 8 buah
sekolah mendapat skor memuaskan (50-64) dan sebuah sekolah mendapat skor tahap minimum
(40-49). Secara keseluruhannya, selepas menjalani lima intervensi ini, penyelidik kajian ini
mendapati bahawa pengetahuan dan kemahiran guru-guru melaksana PBD turut bertambah
baik.

8
Bagi skop penarafan dalam borang instrumen yang digunakan untuk menaraf PBD di
sekolah menunjukkan skop pengurusan dokumen, 3 buah sekolah telah mendapat min di bawah
3. 82. Bagi skop pengurusan fail induk menunjukkan 12 buah sekolah mendapat min di bawah
3.16. Bagi skop pengurusan fail PBD guru mata pelajaran pula menunjukkan 11 buah sekolah
mendapat min di bawah 3.16. Seterusnya, bagi skop pelaksanaan PBD menunjukkan 11 buah
sekolah mendapat skor min di bawah 3.58. Bagi skop terakhir iaitu skop pengurusan fail atau
penjaminan kualiti di peringkat sekolah menunjukkan 13 buah sekolah mendapat skor di
bawah 2.26. Justeru, bagi skop pengurusan fail atau penjaminan kualiti di peringkat sekolah
perlu ditambah baik dalam pengurusan dan pentadbiran PBD.

Implikasi Kajian

Implikasi daripada kajian ini menunjukkan bahawa program intervensi ini telah berjaya
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penyelaras PBD dan seterusnya dapat
meningkatkan profesionalisme guru. Hal ini kerana, penyelaras PBD memainkan peranan
penting dalam memastikan pelaksanaan PBD dirancang dan dilaksanakan dengan sistematik.
Penyelaras PBD yang dapat menguruskan PBD dapat memastikan kualiti pentaksiran yang
dilaksanakan.

3.0 Perbincangan
Berdasarkan kepada ketiga-tiga analisis artikel tersebut menunjukkan bahawa pengetahuan
yang mendalam dalam pelaksanaan PBD perlu dititikberatkan bagi memastikan pelaksanaan
PBD lebih telus dan sistematik. Hal ini kerana, pemansuhan peperiksaan UPSR dan
peperiksaan dalaman bagi tahap 1 menunjukkan bahawa PBD merupakan kayu ukur utama
dalam menentukan tahap perkembangan murid secara menyeluruh.

Namun begitu, terdapat kelompangan dalam ketiga-tiga kajian tersebut yang boleh
diperbaiki. Bagi kajian pertama menunjukkan kelompangan bahawa terdapat ketidakselarian
guru-guru melaksanakan PBD. Hal ini kerana terdapat guru-guru yang melaksanakan PBD
bermotifkan untuk pembelajaran dan ada berfokus kepada tahap penguasaan. Kedua-dua

9
perkara ini mempunyai kepentingannya dalam pelaksanaan PBD namun PBD yang
dilaksanakan haruslah memberikan perhatian kepada perkembangan murid secara menyeluruh.
Bagi kajian kedua pula terdapat isu berkaitan dengan tahap kepercayaan, kepuasan dan
keyakinan orang lain terhadap pengetahuan guru dalam pelaksanaan PBD masih berada dalam
keadaan yang kurang memuaskan. Oleh itu, pendedahan dengan kepelbagaian kaedah
pelaksanaan PBD melalui latihan atau bengkel perlu diadakan untuk menambahkan
pengetahuan dan keyakinan guru dalam melaksanakan PBD. Bagi kajian yang terakhir
menunjukkan isu tentang kepentingan latihan dan bimbingan bagi membantu guru-guru
melaksanakan PBD yang diyakini oleh semua orang.

Kesimpulannya, saya telah memberikan fokus kepada cadangan kajian tentang analisis
keperluan pembangunan modul pentaksiran Bahasa Melayu sekolah rendah untuk guru dalam
PBD untuk mengetahui dan mengenal pasti keperluan pembinaan modul dan item-item yang
diperlukan dalam pembangunan. Hal ini kerana, penggunaan modul dibuktikan lebih
sistematik dan dapat menjimatkan masa. Penggunaan modul juga boleh membantu
mengurangkan beban guru dalam melaksanakan PBD yang sesuai.

4.0 Rumusan
Kesimpulannya, kajian-kajian yang telah dilaksanakan berkaitan dengan PBD menunjukkan
bahawa kepentingan pelaksanaan PBD di sekolah. Ini kerana PBD merupakan perkara utama
dalam menilai tahap perkembangan murid secara menyeluruh. Pengurusan dan pelaksanaan
PBD yang sistematik dapat memberikan keyakinan, kepuasan dan kepercayaan kepada orang
ramai. Tambahan pula, pelaksanaan PBD ini bertumpu kepada murid di samping murid dapat
belajar dengan seronok dan guru hanyalah bertindak sebagai fasilitator.

10
Rujukan

Kalai Selvan Arumugham. (2020). Kurikulum, Pengajaran dan Pentaksiran dari Perspektif
Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Asian People Journal, 3(1), 152-161.

Noel Jimbai Balang, Kiah Sakudan, dan Mohamad Faizal Semion. (2021). Lestarikan Pentaksiran
Bilik Darjah (PBD) demi Kemenjadian Murid. Retrieved October 1 2021 from
https://www.researchgate.net/publication/351135097_LESTARIKAN_PENTAKSIRAN_
BILIK_DARJAH_PBD_DEMI_KEMENJADIAN_MURID

Sh, Siti Hauzimah Wan Omar. ( 2018). Pengetahuan, Kemahiran, Sikap dan Masalah Guru dalam
Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1), 56-67.

11

You might also like