You are on page 1of 9

Impak Perubahan Pengintegrasian ICT Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran

Impak Perubahan Pengintegrasian ICT Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Nurul Shuhada Binti Mashudi Abstrak Kertas ini membincangkan berkaitan dengan impak perubahan pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kertas ini bertujuan untuk mengenal pasti impak-impak positif dan negatif daripada perubahan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di samping membincangkan berkenaan manfaat dan strategi dalam mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini berdasarkan Model ACOT (Apple Classroom Of Tomorrow) oleh Apple Staff Development yang mana ia mempunyai lima langkah dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang menerapkan penggunaan ICT. Keseluruhan hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan impak positif cenderung kepada hasil terhadap pelajar dan impak negatif lebih kepada sikap guru. Implikasi dari usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam menjadikan sistem pendidikan negara berada pada tahap setanding dengan negara maju ini, sekolah perlu membuat perancangan dan persediaan rapi untuk reformasi proses P&P yang lebih berpusatkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Kata Kunci : Impak, Pengintegrasian ICT, Proses Pdp

Pengenalan Selama berdekad lamanya teknologi telah menjadi sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, kepentingan teknologi terhadap proses pengajaran dan pembelajaran juga telah menghadapi gelombang perubahan saban hari sehingga memberi implikasi yang positif dalam pendidikan (Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim & Rohaya Abu Hassan, 2012). Ini didokong kenyataan oleh Abdul Manaf (2006) dan Jamalludin& Zaidatun (2005), mereka menyatakan bahawa teknologi memberi implikasi yang baik terhadap dunia pendidikan apabila maklumat digital boleh diulang dan dipindahkan ke lokasi-lokasi yang lain, sistem capaian semula atau mendapatkan kembali dan pelbagai jenis perisian telah menjadi umum di seluruh pelusuk dunia. Contohnya, pelajar boleh mengakses buku pelajaran melalui pangkalan data atas talian atau laman web, atau mendengar pembelajaran dalam bentuk fail audio pada pemain MP3 (Johari Surif,et. al, 2012). Rasional pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran telah dinyatakan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam anjakan ke-7 iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Usaha kerajaan dalam anjakan ke7 tersebut ialah memastikan 10.000 buah sekolah mendapat akses internet dan pembelajaran maya pada tahun 2013. Justeru, asas-asas dalam Dasar ICT Dalam Pendidikan yang telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin Pada 12 Oktober 2011 turut menekankan supaya menggunakan teknologi ICT yang bersesuaian dalam pendidikan dan mentransformasi proses pendidikan melalui penggunaan teknologi. Selain itu, jika kita lihat di dalam dasar pembangunan Negara RMK ke-8 (2001-2005) yang mana ia menggariskan berkenaan kepentingan membangunkan dan memperluaskan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi meningkatkan produktiviti di samping semua lapisan golongan rakyat termasuk warga sekolah mendapat manfaat dari penggunaan ICT. Menurut Md.Nor Bakar & Rashita A.Hadi (2011), terdapat dua aspek integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Aspek yang pertama ialah aspek pengajaran di mana guru menggunakan ICT sebagai alat demonstrasi dan alat persembahan dalam proses P&P dalam bilik darjah. Manakala aspek yang kedua ialah aspek pembelajaran iaitu di mana murid menggunakan ICT dalam bentuk pembelajaran seperti tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Jika dilihat pendidikan di Malaysia hari ini, sekolah bestari merupakan salah satu contoh inisiatif KPM dalam mengupapayakan sekolah dalam pengurusan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan ICT. Sekolah bestari

melaksanakan corak pengajaran dan pembelajaran bercorakkan tearah kendiri, akses kendiri dan reflektif dengan adanya bekalan teknologi yang pelbagai media serta jaringan internet yang lengkap. Definisi ICT ICT merujuk kepada teknologi (hardware, software, telecomunication dan networks). Sesuatu yang nyata (tangible) contohnya komputer peribadi, servers, routers, kabel dan sesuatu yang tidak nyata (intangible) contohnya software (Ward & Peppard, 2003). Pengajaran Pengajaran merupakan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Di mana pengajaran meliputi perkara perkara seperti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian, dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar dengan cara berkesan (Mok Soon Sang, 2003). Pembelajaran Pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru (Woolfolk, 1980). Integrasi ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penerapan teknologi ICT serta menggunakan bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Ia juga mesti digabungjalin bersama kaedah pengajaran yang berkesan mengikut kesesuaian isi kandungan yang hendak disampaikan. (Dr. Rusmini Ku Ahmad, 2002; Bayrei, Jered B. Yutui, Mohd. Nurul Faishal Ab. Ghani& Khairul Azmi B. Ibrahim, 2008).

Model ACOT Model yang berdasarkan Project Apple Classrooms Of Tomorrow (ACOT), iaitu kajian pengenalan komputer di dalam bilik darjah. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa kehendak perubahan dalam P&P telah berkembang secara beransur-ansur. 5 langkah perubahan dalam proses P&P iaitu : 1.Kemasukan (Entry) 2. Memilih (Adoption) 3. Menyesuaikan (Adaptation) 4. Penggunaan (Appropriation) 5. Rekaan (Invention) Peringkat 3 Peringkat 2 Peringkat 1

Apple Staff Development telah membahagikan 5 langkah dalam model ACOT kepada 3 peringkat utama secara ringkas seperti di atas. Peringkat pertama merupakan proses di mana guru mempelajari asas-asas penggunaan ICT untuk menyokong pembelajaran secara tradisional yang sedia ada. Peringkat pertama merupakan peringkat paling penting dan perlu diberi perhatian yang serius dalam aspek kemasukan guru-guru dari segi tahap kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengintegrasian ICT. Ini adalah kerana peringkat pertama memberi implikasi terhadap peringkat kedua dan ketiga. Jika pada peringkat pertama, kemasukan dari segi tahap kemahiran guru-guru terhadap ICT adalah positif dan memberangsangkan maka ia memberi kesan yang positif juga pada peringkat seterusnya dan sebaliknya. Oleh sebab ini, pentadbir perlu memastikan tahap pengetahuan dan kemahiran guru-guru berada pada tahap yang memberangsangkan untuk dimasukkan kepada peringkat yang pertama dan guru perlu berusaha untuk memantapkan diri bagi menjayakan matlamat dalam mengintegrasikan ICT dalam P&P. Manfaat Pengintegrasian ICT Dalam Proses P&P

Pengintegrasian ICT dalam P&P mampu memberi manfaat kepada kepada warga sekolah terutamanya guru dan murid itu sendiri di mana mereka terlibat dengan proses P&P dalam bilik darjah. Pusat Perkembangan Kurikulum (2001) menggariskan beberapa manfaat pengintegrasian ICT dalam P&P kepada guru antaranya ialah guru berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap mata pelajaran serta guru mendapat hasil pengajaran yang memberangsangkan apabila pengintegrasian ICT tersebut menjurus kepada kesesuaian dan keperluan murid berdasarkan isi kandungan yang hendak disampaikan. Manakala manfaat kepada murid pula ialah motivasi dapat dipertingkatkan lagi, daya kreativiti dan imganisasi juga boleh dipertingkatkan lagi, murid dapat belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimu kerana corak pembelajaran berpusatkan kepada murid, murid mendapat peluang pembelajaran yang sama disebabkan kepelbagaian maklumat keupayaan dan dapat meningkat kemahiran ICT kepada murid dan juga guru. Selain itu, ia juga boleh mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar dalam proses P&P serta memberi guru nilai tambah kepada aktiviti P&P.

(Sumber : Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001)

Impak Positif Dan Negatif Pengintegrasian ICT Dalam Proses P&P Berdasarkan kajian oleh Rosenberg (2001) mendapati bahawa pengintegrasian ICT dalam proses P&P memberi guru-guru peluang untuk memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid. Manakala kajian oleh Mohd Bilal & Muhammad Kasim (2001) pula membuktikan bahawa ICT membantu mengatasi kelemahan pendidikan sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer secara lebih produktif tetapi integrasi ICT hendaklah disesuaikan dengan topik yang ingin diajar . Ini adalah bertentangan dengan kajian oleh Harison Bakar (2008) yang mana kajiannya mendapati bahawa masih ramai guru tidak mengaplikasikan alat canggih tersebut secara optimum. Kenyataan ini sokong oleh kajian dari KPM (2010) yang mana didapati lebih kurang 80% guru menggunakan ICT kurang daripada satu jam dalam tempoh seminggu. Ini menunjukkan penggunaan ICT masih belum mencapai tahap optimum dan produktif.

Menurut Zalina Yahaya (2001) dalam kajian beliau mendapati murid memperolehi banyak bahan baru dalam portal pendidikan yang sentiasa dikemaskini berbanding dengan buku teks yang diperbaharui 5 tahun sekali. Disamping itu, perbezaan pencapaian akademik murid adalah berkaitan dengan penerapan ICT dalam P&P, buktinya kajian oleh Becta (2002) mendapati skor pencapaian sebenar murid lebih tinggi daripada skor jangkaan apabila mengintegrasikan ICT dalam proses P&P. Justeru kajian dari Mohd Sani (2011) mendapati bahawa pelajar dapat menguasai kemahiran manipulative seperti pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentengan dengan menggunakan peralatan ICT. Ini akan mendidik pelajar tersebut lebih bersedia dengan teknologi akan datang dan berkeyakinan dalam mengintegrasikannya. Seterusnya, hasil kajian oleh Kaistos (2007) pula mengatakan bahawa murid tidak suka dengan tugas yang terlalu berstruktur tetapi mereka lebih cenderung kepada tugasan yang berasaskan enquiry-based tasks iaitu tugasan berdasarkan siasatan. Tugasan berdasarkan siasatan ini adalam dalam bentuk analisis, penyelesaian masalah dan aktiviti-aktiviti kreatif. Selain itu, beliau turut mendapati murid dapat menggunakan pengetahuan mereka dengan cara yang lebih kritis dan kreatif. Walaupun pengintegrasian ICT diakui mempunyai pelbagai kelebihan, namun tahap penerimaan pengguna khususnya GURU terhadap inovasi tersebut masih lagi berbeza-beza (Jurnal Pendidikan Malaysia, Bil 2, No1, 2012). Dalam kajian ini mendapati guru yang berusia 35 tahun ke bawah tiada masalah dalam mengintegrasikan ICT dalam P&P kerana mereka sudah terbiasa dengan perkembangan teknologi tetapi bagi guru yang berusia 35 tahun ke atas lebih cenderung menggunakan kaedah tradisional iaitu chalk and talk yang dianggap lebih mudah, ringkas dan cepat. Selain itu juga, kebanyakan guru cenderung mengambil kesempatan menggunakan kelengkapan peralatan ICT yang disediakan oleh pihak sekolah atas urusan peribadi. Ini turut didapati dalam kajian oleh Johari Bin Hassan & Siti Norazlina Binti Kamisan (2007) mendapati guru lebih cenderung menggunakan komputer dan ICT hanya terhad kepada penggunaan peribadi sahaja dan bukan untuk tujuan P&P dalam bilik darjah. Strategi Mengintegrasikan ICT dalam P&P

Dalam merealisasikan pengintegrasian ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran, kesemua pihak perlu memainkan peranan masingmasing supaya matlamat ini memperoleh hasil yang positif terutamanya kepada modal insan iaitu pelajar. Terdapat 3 pihak paling penting dalam memainkan peranan tersebut iaitu pentadbir, guru dan agensi luar. Peranan-peranan secara terperinci adalah seperti berikut : Peranan Pentadbir Menurut Mohd Sani (2002), dalam mengintegrasikan ICT pentadbir bukan hanya memberi sokongan dari segi kewangan semata-mata tetapi perlu memainkan peranan utama dalam membentuk budaya ICT di sekolah dan menjadi role model kepada guru dan pelajar di sekolah. Pentadbir perlu membuat satu dokumen polisi bertulis untuk membantu dalam mereka bentuk dan mengurus program-program ICT serta polisi tersebut hendaklah disemak setahun sekali terutamanya apabila mendapati kepakaran guru dalam ICT semakin meningkat. Selain itu, pentadbir juga perlu memastikan prasarana yang lengkap dan digunakan secara optimum semasa P&P. Misalnya, pentadbir perlu sentiasa memantau penyelenggaran alatan ICT yang dibuat oleh penyelaras ICT sekolah, memastikan jadual penggunaan makmal tersusun mengikut giliran dan memastikan pemberian komputer oleh pihak PIBG dan pihak swasta dilengkapkan dalam bilik darjah. Di samping itu juga, pentadbir perlu memberi perhatian terhadap perkembangan dan pembangunan staf berkaitan ICT misalnya, memantau keperluan latihan dan kursus berkaitan dengan teknik pengintegrasian ICT dalam P&P yang diperlukan dari semasa ke semasa. Peranan Guru Dalam teori pembelajaran behaviorisme dan kognitivisme menekankan bahawa guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada. Aktiviti pembelajaran yang mengaplikasikan teori ini ialah pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan isi kandungan mata pelajaran. Contohnya melalui demonstrasi, CD ROM, laman web dan latihan yang dikawal oleh sistem. Kaedah ini juga memerlukan pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kategori lemah dan cemerlang bagi memudahkan guru membuat penilaian di hujung sesi pengajaran.

Manakala, peranan-peranan guru yang lain pula antaranya ialah memastikan pengintegrasian selaras dengan isi kandungan mata pelajaran dan menekankan implikasi atau hasil pembelajaran, bersifat positif dalam segala hal, mempunyai kreativiti yang tinggi dalam penciptaan alat dan bahan pengajaran, peka dalam hal perubahan perubahan dan pembaharuan-pembaharuan berkaitan pendekatan atau kaedah - kaedah P&P serta aktif dalam tugasnya di bilik darjah berhubung dengan pengelolaan, pengurusan dan pengawasan aktiviti yang berjalan dalam bilik darjah. Peranan Agensi Luar Untuk memantapkan integrasi ICT dalam proses P&P sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat. Contohnya, Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah P&P menggunakan ICT. Selain itu, teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guruguru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam P&P secara berkesan. Implikasi Terhadap Pendidikan Di Malaysia Dasar dan polisi pembangunan negara menunjukkan Malaysia amat menitikberatkan pengintegrasian ICT dalam pendidikan, oleh itu impak ICT dalam pendidikan amat ketara sekali. KPM telah melancarkan Sekolah Bestari pada awal 1999 yang bertujuan untuk melakukan perubahan sistematik terhadap budaya ekolah dengan menggunakan ICT sebagai alat pemudah cara dalam P&P (Ab.Rahim, 2000). Implikasi dari usahausaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam menjadikan sistem pendidikan negara berada pada tahap setanding dengan negara maju ini, sekolah perlu membuat perancangan dan persediaan rapi untuk reformasi proses P&P yang lebih berpusatkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Pola perkembangan ini mengutarakan penggunaan pendekatan konstruktivisme yang mana ia lebih menekankan kepada berpusatkan pelajar (Jonassen, 2000 dan Moursund, 2003). Kesimpulan

Kesimpulannya, pembaharuan dan perubahan dalam P&P perlu dibuat dalam era globalisasi ini. Banyak cabaran perlu dilaksanakan untuk menjayakan pembaharuan ini. Antaranya ialah guru perlu sentiasa berusaha untuk memajukan diri, sentiasa membuat refleksi dalam proses P&P dan memantapkan kemahiran serta teknik dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Sememangnya perubahan pengintegrasian ICT dalam P&P memberi impak positif yang besar terhadap murid. Namun, sedikit sebanyak terdapat impak negatif terhadap guru terhadap perubahan penngintegrasian ICT dalam P&P. Guru perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan perubahan ICT khususnya kaedah-kaedah yang berkesan dalam mengintegrasi ICT dalam proses P&P kerana mereka memainkan peranan penting sebagai perlaksana perubahan kurikulum di sekolah. Ini seiring dengan halatuju PPPM 2013-2025 dalam anjakan ke-7 yang menekankan bahawa memanfaat ICT perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Rujukan Ab. Rahim Selamat. 2000. Kemahiran dalam sekolah bestari. Johor Baru : Badan Cemerlang Sdn. Bhd. Dr. C. Paul Newhouse. December 2002. The Impact Of Ict On Learning And Teaching A Literature Review For The Western Australian Department Of Education. Jonassen, D. H. 2000. Computers as mindstools for school : Engaging critical thinking. 2nd ed. New Jersey. Merrill-Prentice Hall. Johari Bin Hassan & Siti Norazlina Binti Kamisan. 2007. Halangan Terhadap Penggunaan Komputer Dan Ict Di Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P) Di Kalangan Guru Di Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar Di Daerah Kulai Jaya, Johor Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Mohammed Sani Hj Ibrahim. 2002. Pengetua dan pembestarian sekolah. Kertas Kerja dibentangkan di dalam Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-IX di Hotel Pan Pasific, KLIA, Sepang pada 16-19 Disember 2012. Moursund, D. 2003.Project-based learning using information technology. Ed. Ke-2. Eugune : International Society for Technology in Education. Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: KPM. Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad. 2007. ICT Dalam Pendidikan : Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007) 139-152.

You might also like