You are on page 1of 13

PENGENALAN KARANGAN ( PENULISAN )

1. Lazimnya , dalam ujian penulisan Bahasa Melayu adik-adik dikehendaki menulis


dua buah karangan, iaitu soalan satu dan soalan dua.
2. Dalam soalan 1, adik-adik diberi dua tajuk karangan , oleh itu pilihlah salah satu
daripada dua tajuk tersebut sama ada soalan 1 (a) atau soalan 1 (b). Soalan 2 tiada
pilihan dan merupakan soalan wajib.
3. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kedua-dua soalan itu ialah satu jam.
4. Bagi tiap-tiap soalan, panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah
perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.
Jenis-Jenis Karangan :
A. Karangan Berformat
1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
3. Karangan jenis Ucapan
4. Karangan jenis Syarahan
5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
6. Karangan jenis Berita
7. Karangan jenis Catatan Diari
8. Karangan jenis Laporan
9. Karangan jenis Perbahasan
10. Kad Jemputan

B. Karangan Tidak Berformat
1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
4. Karangan Jenis Perbincangan
5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
7. Karangan Jenis Peribahasa

& TUJUAN ANDA MENGARANG
1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.
& PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk
atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup
A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam
pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang
mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya
supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am
sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan
meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu
pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada
kesalahan tatabahasa atau ejaan.
B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai
empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan
masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain.
Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan.
Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait
rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu
perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi
utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada
perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki.
Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli
tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak,
kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah,
rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan
dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis
sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.
Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan ) Kaedah II ( peta minda )
Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?

C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk
mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu
kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau
akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan
ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan
secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-
tiap karangan.


& CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2
- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
- Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti :
Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
Contoh :
Perhatikan soalan di bawah ini.
Soalan 1
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan
mengenainya.

Soalan 2
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya
untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza.
Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.
Tip
Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi
kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau
terkeluar daripada tajuk sebenar.

b. Menyusun rangka karangan
- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
- susun isi mengikut urutan kepentingannya.
- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
- Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih
dalu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan
contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan
tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada
tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan,
struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
a. 4 minit mencari isi
b. 24 minit menulis karangan
c. 2 minit menyemak semula karangan
Jumlah = 30 minit
Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.
Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah
melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih
baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.
Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang
panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan
tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.
Tahukah kamu ?
Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda.
Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat
contoh :
Contoh A ( dicadangkan )
"Kamu baru pulang ?"
"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya."
"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
Contoh B ( mengelirukan )
"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu
kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.

& PETUA BILA MENULIS KARANGAN
Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut
mana yang lebih penting.
Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi (
seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.
& PEMARKAHAN PENULISAN
A. Pemberian Markah
1. Penilaian aspek isi ( 10 markah )
a. Isi mestilah terdiri daripada 4 atau 5 isi penting.
( Setiap isi memerlukan HURAIAN, KETERANGAN dan CONTOH yang sesuai. Huraian
isi perlu jelas dan tepat. Contoh yang diberikan mestilah bersesuaian dengan isi atau
tema yang hendak ditulis. )
2 markah X 4 isi yang lengkap = 8 markah
1 markah pendahuluan = 1 markah
1 markah penutup = 1 markah

Soalan 1 = 25 markah
Soalan 2 = 25 markah
50 markah.
Jumlah keseluruhan =
50 X 2 = 100 markah
Jumlah = 10 markah
2. Penilaian aspek Bahasa ( 15 markah )
Aspek bahasa terbahagi
a. Perbendaharaan kata = 3 markah
b. Struktur ayat = 3 markah
c. Imbuhan = 3 markah
d. Tanda baca = 3 markah
e. Ejaan = 3 markah
Jumlah 15 markah
3. Jadi jumlah markah keseluruhannya ialah 15 + 10 = 25 markah untuk satu
soalan
4. Markah penuh diberi untuk satu-satu isi yang dapat disampaikan dengan baik
iaitu pengolahannya menarik dan sangat berkesan.
5. 1 markah diberi untuk satu-satu isi yang pengolahannya kurang menarik.
6. markah pula untuk satu-satu isi yang pengolahannya lemah.
7. Penulisan yang kemas, bersih, teratur serta senang dibaca juga mempengaruhi
markah.
8. Pembahagian markah adalah sama banyak bagi kedua-dua soalan tersebut. Adik-
adik mesti menjawab kedua-dua soalan untuk lulus dengan gred yang baik.
* Peringatan
: karangan yang terpesong, markah yang diberi tidak melebihi 5 markah daripada
25 markah. Ini bermakna walau baik sekali pun karangan tersebut , jika terpesong,
markah tertinggi hanyalah 5 markah sahaja.
: isi yang berunsur negatif tidak akan diberi markah. ( ukuran nilai ialah yang
berteraskan budaya Melayu / Islam )
Tahukah kamu ?
Ada markah tambahan (bonus) diberikan untuk karangan yang mempunyai susunan
isi dan jalinan idea yang baik.
Kata aluan dan ucap terima kasih bagi karangan berbentuk surat kiriman dan
ucapan adalah dikira sebagai format.
B. Potong Markah
1. Bilangan perkataan tidak mencukupi
- kurang daripada 40 perkataan ( markah penuh tidak melebihi 10 )
- 41 hingga 50 patah ( tolak 3 markah )
- 51 hingga 60 patah ( tolak 2 markah )
- 61 hingga 70 patah ( tolak 1 markah )
2. Bagi setiap satu kesalahan
- imbuhan tolak markah
- tanda baca tolak markah
- ejaan tolak markah
3. Karangan yang terpesong langsung
- markah yang diperolehi tidak melebihi 10 markah
4. Format
Isi 10
B a perbendaharaan kata b struktur ayat c imbuhan d tanda baca e
ejaan 33333
Jumlah Tolak bilangan perkataan - format - tiada perenggan 25332
Jumlah keseluruhan 17
- salah format tolak 3 markah daripada jumlah markah yang diperolehi untuk soalan
itu. (markah keseluruhan)

Contoh pemotongan markah surat kiriman ;
tiada alamat tolak 1
tiada nama pengirim tolak 1
tiada tanda tangan tolak 1
tiada tarikh tolak
tiada kata panggilan hormat tolak 1
tiada ucapan terima kasih tolak 1
Salah letak format tolak
tiada tajuk bagi surat rasmi tolak
Tahukah kamu ?:
Kesalahan yang melebihi enam (6) kali bermakna anda tidak mendapat sebarang
markah (0) bagi setiap satu aspek tatabahasa.
Tiada potongan bagi kesalahan ejaan yang berulang.
Potongan keseluruhan bagi tiap-tiap 5 aspek tatabahasa tidak lebih daripada 3
markah.

& TANDA MEMERIKSA
isi
salah guna perkataan _____________________
kesalahan struktur ayat /\/\/\/\/\/\/\/\/\/\/\/\
kesalahan ejaan /
kesalahan ejaan yang berulang //
tanda yang tertinggal /
kesalahan imbuhan
kesalahan tanda baca O
isi yang tidak berkaitan ( )


Tip :
Cara membilang perkataan
Nama khas yang terdiri daripada beberapa patah perkataan dikira sebagai satu
perkataan saja contoh Bahasa Melayu Tahun Enam
& BAGAIMANA MENDAPAT MARKAH TINGGI (A) ?
1. Baca semua soalan yang diberi
Fahami arahan kehendak soalan.
Kenal pasti format yang perlu digunakan.
Karangan yang tidak terlalu panjang atau pendek mengikut jumlah perkataan yang
ditetapkan.
2. Guna isi yang berlainan
susun isi secara berturutan
letak isi mengikut perenggan
memberi huraian yang tepat kepada isi.
sebaik-baiknya karangan mengandungi nilai-nilai murni.
3. penggunaan perkataan yang pelbagai
ada menggunakan perkataan yang terkini
elak penggunaan perkataan sama yang berulang / kerap
penggunaan perkataan teknikal dengan tepat
elak perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima.
4. susun ayat dengan kemas
elak pengaruh struktur ayat percakapan daerah / dialek
guna ayat yang pendek tetapi lengkap
kebolehan menggunakan rangkai kata / ungkapan yang menarik
5. penggunaan tanda baca pada tempat yang betul
gunakan tanda baca pada tempat yang diperlukan
gunakan huruf kecil dan huruf besar pada tempatnya.
6. dapat membezakan antara kata depan dan kata imbuhan
dapat membezakan imbuhan an dan kan
guna imbuhan yang pelbagai - awalan / akhiran / sisipan / apitan ( sekurang-
kurangnya 5 imbuhan yang berbagai jenis )
7. tulis mengikut ejaan yang betul
elak mengikut sebutan dialek / daerah
elak menulis huruf yang mengelirukan / cermat dalam bentuk tulisan
Tahukah kamu ?
Hanya terdapat 29 perkataan sahaja menggunakan ejaan yang disatukan.( contoh
keretapi, jawatankuasa, dan lain-lain )
& KELEMAHAN KARANGAN
A] Kesalahan memilih tajuk
Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang
dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru
menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.
B] Kekurangan isi
Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar
atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang
sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.
C] Pembahagian perenggan
Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan
sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya
satu perenggan untuk satu karangan !
D] Tidak merangka karangan
Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak
merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan
tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil
mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).
E] Kesalahan tatabahasa
Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan
karangan mendapat A.
Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih
ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan
"daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak
menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan
imbuhan langsung untuk karangannya.
F] Kesuntukan masa
Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan
penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini
menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor
soalan pun tidak sempat ditulis.
Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan
baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi.
Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( C ) sahaja.
G] Kesalahan lain
Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.
Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa
Kelantan )
Di bawah ini adalah contoh kesalahan tatabahasa. Ayat di dalam kurungan adalah
pembetulannya.
A. Penggunaan Perkataan Yang Berulang Dalam Suatu Ayat.
Selepas mandi Yusri bersarapan , selepas itu dia memakai baju , selepas itu dia
pergi ke sekolah pula dengan menaiki basikal.
R( Selepas mandi , Yusri bersarapan dan memakai baju. Kemudian Yusri pergi ke
sekolah dengan menaiki basikal. )
B. Salah Menggunakan Perkataan
dari dan daripada
Kain batik itu datang daripada Terengganu.
R( Kain batik itu datang dari Terengganu.)
Saya baru terima surat itu dari kakak.
R( Saya baru terima surat itu daripada kakak.)
untuk , supaya dan selama
Cikgu Zaidi pergi ke pasar untuk membeli sayur.
R( Cikgu Zaidi pergi ke pasar membeli sayur.)
Ahmad menjerit untuk meminta tolong.
R( Ahmad menjerit meminta tolong.)
Saya bercita-cita untuk menjadi doktor.
R( Saya bercita-cita hendak menjadi doktor.)
Aminah belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dalam ujian.
R( Aminah belajar bersungguh-sungguh supaya lulus dalam ujian.)
Kami akan tinggal untuk dua minggu.
R( Kami akan tinggal selama dua minggu.)
Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung untuk satu jam.
R( Ujian mata pelajaran Bahasa Melayu itu berlangsung selama satu jam.)
adalah dan ialah
Adalah dengan hormatnya dimaklumkan
R( Dengan hormatnya dimaklumkan . )
Tuduhan itu adalah fitnah belaka.
R( Tuduhan itu fitnah belaka.)
Keperluan asas manusia adalah makanan, perlindungan dan pakaian.
R( Keperluan asas manusia ialah makanan, perlindungan dan pakaian.)
bila dan apabila
Zainal pun bangun bila namanya dipanggil.
R( Zainal pun bangun apabila namanya dipanggil.)
Bila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.
R( Apabila dimarahi ayah, adik menangis tersedu-sedu.)
ramai, banyak, semua dan para
Ramai murid-murid menonton pertandingan bola sepak itu.
R( Ramai murid menonton pertandingan bola sepak itu.)
Banyak pakaian-pakaian terpakai dijual oleh Ali.
R( Banyak pakaian terpakai dijual oleh Ali.)
Semua guru-guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.
R( Semua guru Sekolah Kebangsaan Darau diberi penghargaan.)
Para-para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.
R( Para jemputan dipersilakan masuk ke dewan.)
Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah-hadiah pemenang-
pemenang.
R( Guru Besar tampil ke hadapan untuk menyampaikan hadiah pemenang-
pemenang.)
yang dan bahawa
Hasri memberitahu yang dia tidak dapat hadir ke sekolah.
R( Hasri memberitahu bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah.
Mereka memberitahu yang tindakan itu tidak adil.
R( Mereka memberitahu bahawa tindakan itu tidak adil.)
kata ganti nama
Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja sini.
R( Ambil lauk-pauk itu dan hidangkan di meja ini. )
Entah siapa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.
R( Entah apa yang difikirkannya, sejak tadi asyik termenung.)
kata ganti "dia" dan "ia"
nota : kata ganti "dia" ialah kata ganti nama untuk manusia sahaja. Kata ganti nama
"ia" ialah untuk binatang, benda, pokok masalah dan sebagainya.
Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Dia dijaga dengan rapi oleh Sani.
R( Pokok bunga itu tumbuh dengan subur. Ia dijaga dengan rapi oleh Sani.)
Perut Rosli memulas. Ia memulas sejak malam tadi lagi.
R( Perut Rosli memulas sejak malam tadi lagi.)
apa, mana dan bagaimana
Baju apa yang kamu pakai ?
R( Baju mana yang kamu pakai ? )
Mana katanya betul belaka.
R( Apa katanya betul belaka.)
Apa pendapat tuan mengenai soal itu ?
R( Bagaimana pendapat tuan mengenai soal itu ? )
penjodoh bilangan
Ibunya seorang yang baik hati.
R( Ibunya baik hati.)
Amran pulang ke rumah dengan sebuah bas sekolah.
R( Amran pulang ke rumah dengan bas sekolah.)
Di dan pada
Di dan pada
Beri surat ini pada Hasrul.
R( Beri surat ini kepada Hasrul.)
Di masa rehat saya ke kantin.
R( Pada masa rehat saya ke kantin.)

C. Kesalahan Struktur Ayat (ayat bercelaru dan berbelit-belit)
Dengan cepat berjalan adik kerana mengikut emak hendak ke pasar.
R( Adik berjalan dengan cepat kerana hendak mengikut emak ke pasar.)
Semua kuih di atas meja itu telah dimakan oleh saya.
R( Semua kuih di atas meja itu telah saya makan.)
Bila bangun tidur saya mandi dan makan pagi lepas itu pergi ke sekolah
R( Apabila bangun tidur saya mandi dan bersarapan. Kemudian, saya pergi ke
sekolah.)
Mamat kelihatan muram ibunya meninggal dunia
R( Mamat kelihatan muram semenjak ibunya meninggal dunia.)
Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai selama-lamanya.
R( Saya tidak akan melupai peristiwa itu sampai bila-bila.)
Apakah nama kamu ?
R( Siapakah nama kamu ? )
D. Tanda baca
menggunakan tanda baca pada tempat yang salah
Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik , gitar , piano dan , dram.
R( Rahman pandai bermain pelbagai alat muzik ; gitar , piano , dan dram.)
tidak menggunakan tanda baca pada tempat yang betul
Jangan bergerak Kalau bergerak kamu akan ditembak ,jerit polis kepada perompak
itu.
R( "Jangan bergerak ! Kalau bergerak kamu akan ditembak," ,jerit polis kepada
perompak itu.)
Penggunaan huruf kecil / besar tidak pada tempat
Siapakah pemenang dalam Pertandingan Syarahan anjuran berita harian
itu ?
R ( Siapakah pemenang dalam pertandingan syarahan anjuran Berita Harian
itu ? )
Jarak rumah saya dari Bandar Jerteh ialah 2.5 Kilometer.
R( Jarak rumah saya dari bandar Jerteh ialah 2.5 kilometer.)
E. Imbuhan
Tidak dapat membezakan antara kata depan dengan.imbuhan "di" dan "ke"
Masukkan buku ini didalam beg.
R( Masukkan buku ini ke dalam beg.)
Semua murid di kehendaki beratur dipadang sebelum masuk ke dewan.
R( Semua murid dikehendaki beratur di padang sebelum masuk ke dewan.)
Tidak dapat membezakan imbuhan "an dan "kan"
Masakkan ibu sungguh lazat.
( Masakan ibu sungguh lazat.)
Masukan buku ini ke dalam almari.
R( Masukkan buku ini ke dalam almari.)
Lain-lain kesalahan
Kejayaan Najib membanggakan dan mengembirakan ibu bapanya.
R( Kejayaan Najib membangga dan menggembirakan ibu bapanya.)
Pasar Besar Jertih mempunyai tempat meletak kereta yang menyelesa.
R ( Pasar Besar Jertih mempunyai tempat letak kereta yang selesa.)

You might also like