You are on page 1of 5

TEKNIK MENJAWAB BAHASA MELAYU 2015

Bahasa Melayu Penulisan


BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon
dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana
untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang
bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.

Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan
pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan
membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.
BAHAGIAN A

Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10
markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan
empat langkah, iaitu:
Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A
ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam
gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan
Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan
yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan
subjek (watak).
Langkah kedua
Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya
ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu
cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa
banyak kata kerja yang berkaitan.
Langkah ketiga
Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina
ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek
(watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di
mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan
sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa)
Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika
menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat
Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada
membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang
calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan
kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan
"membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.
Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang
berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini
membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.
Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula
dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon
menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama
khas.
Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas
terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu
mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan
sebagai pengulangan ayat.
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan
tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan
kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan
teratur.
BAHAGIAN B
Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan
yang baik.
Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B,
calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan
berdasarkan perenggan 233332.
Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan
keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga

ayat.
Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan
kelihatan lebih kemas.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.
Langkah pertama - Pilih soalan
Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak
dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis
karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.
Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya:
Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda
terdengar jeritan orang meminta tolong.
Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan".
Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan
jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh
membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.
Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi"
atau "Teknik Penyoalan".
Langkah ketiga - Menulis karangan
Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan
kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:
1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah
kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh
melancong di dalam atau luar negara.
Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh
menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi,
kesan dan contoh).
Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk
rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.
Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih
untuk menjawab Bahagian C.
BAHAGIAN C
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon
mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.
Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan
diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni
atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran.
Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang
dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang
menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".
Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas
pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah
dicadangkan iaitu:
Langkah pertama
Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan
gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya:
Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada
pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon
dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.
Langkah kedua
Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:
a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa
Langkah ketiga
Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar
lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda
wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.
Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang
digunakan betul.
Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat,
iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian
A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk
menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit
hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).
Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis
ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak
semua jawapan Bahagian A, B dan C.

You might also like