You are on page 1of 5

TIPS CEMERLANG UPSR : BAHASA MELAYU PENULISAN

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan
datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan.
Persediaan awal itu penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu
benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai peringatan, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan
ayat, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti
dijawab.

(a) Bahagian A

1. Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10
markah.

2. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah,
iaitu.

a. Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga,
iaitu tentang, aktiviti atau situasi.

Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat Cara-
Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat. Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat.

Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar
memulakan ayat dengan subjek (watak).

b. Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar.

Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan.
Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang ada.


c. Langkah ketiga.

Calon mula membina ayat berdasarkan kata kerja yang telah disenaraikan.

Dinasihatkan agar calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting,
mulakan ayat dengan subjek (watak).

Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana,
mengapa dan bila).





Contoh:

Watak Kata Kerja Maklumat

Beberapa orang murid - menyertai - pertandingan lukisan

- melukis - sempena Hari Kebangsaan

- mewarna - di dewan

Jawapan contoh: Beberapa orang murid yang menyertai pertandingan lukisan sedang melukis dan
mewarna lukisan mereka sempena Hari Kebangsaan di dewan.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat
tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.

Calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini
dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah
kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan.

Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas
dan teratur.


d. Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina
ayat pasif.

Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah.

Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya,
antara memangkas dengan mencantas, dan membelah dengan mengerat. Maknanya berbeza
mengikut keadaan atau konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza.
Contohnya, Ayah menjual ikan dengan Ayah penjual ikan. Kedua-dua ayat ini membawa maksud
berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan
huruf besar.

Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan
perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.






(b) Bahagian B

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang
baik. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit.

Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan kaedah FMK iaitu Formula Menulis Karangan, iaitu
kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332. Setiap karangan mempunyai enam
perenggan.

233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua
hingga kelima, masing-masing tiga ayat.

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan
kelihatan lebih kemas.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.


a. Langkah pertama

Pilih soalan. Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak
dijawab.

Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini
kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya;

Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar
jeritan orang meminta tolong. Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu.

Kunci soalan ini ialah Ceritakan tindakan. Kehendak soalan ialah menceritakan tindakan selepas
mendengar jeritan. Manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat.

Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.


b. Langkah kedua

Merangka karangan. Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada Peta Minda,
Melakar Isi atau Teknik Penyoalan.


c. Langkah ketiga

Menulis karangan. Pastikan ada enam perenggan bagi karangan yang calon tulis.

Pastikan calon tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam
perenggan pendahuluan. Contohnya:

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita
dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di
dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2.

Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK, iaitu isi, contoh
dan kesan atau IKC, iaitu isi, kesan dan contoh.

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti berbentuk rumusan,
nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.


d. Langkah keempat

Semak karangan. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum
beralih untuk menjawab Bahagian C.


(c) Bahagian C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti
bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan
diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau
pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran.

Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari
dalam bilik itu.

Pengajaran bagi ayat ini ialah menghargai, manakala perbuatan yang menunjukkan adanya
pengajaran ialah Abang mengucapkan terima kasih.

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas
pengajaran yang sepatutnya.

Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan.


a. Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan
perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran.

Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran waktu malam.

Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah mengulang kaji.

Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak
pengajaran yang ada dalam petikan.


b) Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

Pengajaran-Perbuatan-Agar-Siapa

Rajin mengulang kaji pelajaran - lulus periksa

- Zaidi


c) Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap.

Contohnya: Kita mestilah rajin mengulang kaji pelajaran agar lulus peperiksaan seperti Zaidi.

Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina
lebih menarik.


d) Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan
betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1
jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Dicadangkan;

Bahagian A - tiga minit faham gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak.

Bahagian B - 10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap
dan lima minit lagi untuk semakan.

Bahagian C - Lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan
lengkap dan lima minit lagi menyemak.

Masa lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.

You might also like