You are on page 1of 3

TEKNIK PENULISAN BAHAGIAN A

Tip UPSR: Penulisan Bahagian A

Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon
dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting
kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar
bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan
pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C
berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan
peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon
perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam
Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh
diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas
Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat.
Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon
dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara
caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang
berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat.
Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon
membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat
dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat
dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam
dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari
Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan
mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari
Kebangsaan.

Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan
daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan
perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau
perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas"
dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut
konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud
yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat
ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina
bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika
calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang
adalah nama khas.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas
terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu
mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini
dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang
disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas
peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang
dibina agar lebih kemas dan teratur.

You might also like