You are on page 1of 6

3.

0 ISU DAN CABARAN 1: INTEGRASI NASIONAL


3.1 Integrasi Nasional
Shamsul Amri (2007) memberikan maksud integrasi sebagai satu proses
bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang
terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.
Noriati A.Rashid (2010) menyatakan integrasi nasional merupakan satu
proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar
belakang,status sosial dan budaya untuk membentuk entiti yang mempunyai
pegangan norma serta mengamalkan kehidupan bersama. Daripada
penyatuan yang terbentuk, maka akan wujudlah perkongsian persefahaman
dan pemikiran antara kaum di dalam sesebuah negara.

Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan
batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses
kerohanian atau spiritual yang merupakan hasil daripada satu penghayatan
di mana akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati, jauh merentasi
perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional merupakan satu
proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati
dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).

Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun (1991) menyatakan bahawa
Integrasi Nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan
masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri
di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu
Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Membentuk satu bangsa Malaysia merupakan salah satu cabaran
kepada negara walaupun setelah mengecapi kemerdekaan. Ini ialah kerana
masalah perkauman tetap menjadi satu isu yang serius dan perlu diambil
tindakan dan perhatian.

Antara peristiwa yang telah mencetuskan ketegangan antara kaum
ialah peristiwa 13 Mei 1969. Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah
Malaysia. Peristiwa ini telah mewujudkan prasangka, amalan diskriminasi
dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik yang akhirnya
mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu. Peristiwa
rusuhan kaum ini memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk
mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia.

Justeru itu, pada tahun 1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua
perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk
mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan
dalam kalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting
untuk menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu
untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian
Dasar Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila
kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang
bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui
Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar.
Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek
dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan
yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini
menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan
yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada
sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka
terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri.
Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum
kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal
dalam kaum masing-masing.

Justeru itu, bagi mewujudkan integrasi nasional daripada pelbagai
kaum di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan
Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan ialah berusaha untuk
melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara
dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang seragam
yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu
pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama.

Ini bermaksud penggabungan sekolah berkenaan sudah pasti akan
menemukan pelajar kepada satu andaian baru dalam hidup mereka. Ia
bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan menyatupadukan kaum dalam
kalangan pelajar. Walaupun semangat perpaduan dan integrasi antara kaum
telah diberi penekanan sejak murid berada di sekolah rendah lagi, namun
penubuhan Sekolah Wawasan akan lebih mencapai objektifnya kerana
murid berbilang kaum dipertemukan di bawah satu tapak persekolahan yang
sama.


3.2 Kesan Integrasi Nasional Kepada Masyarakat
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat
dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat
penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan masyarakat
yang bersatu padu dan hidup dalam suasana yang harmoni. Integrasi
nasioanal telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam
kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna
kulit dalam masyarakat hari ini. Ini dapat dibuktikan daripada interaksi yang
baik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia baik antara satu sama lain
walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah
menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar
dalam satu sekolah yang sama.

Tujuan penubuhan Sekolah Wawasan ialah untuk mengeratkan
perpaduan yang sudah sedia ada terjalin kukuh dalam masyarakat majmuk
di Malaysia. Penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum
sejak kecil lagi iaitu di bangku sekolah rendah akan lebih memudahkan
kerana mereka ini masih kanak-kanak yang boleh dilenturkan.

Sekolah Wawasan yang menempatkan tiga aliran sekolah yang
berbeza di dalam sebuah kawasan akan membolehkan pelajar-pelajar SRJK
menguasai bahasa Melayu. Ini kerana penguasaan bahasa Melayu dalam
kalangan pelajar SRJK agak lemah. Implikasinya, dengan adanya interaksi
pelajar pelbagai keturunan ini telah membuka ruang seluas-luasnya untuk
mereka berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Dalam masa
yang sama pula, ia membolehkan pelajar memahami budaya, bahasa serta
pemikiran rakannya daripada kaum lain.

Selain itu, usaha kerajaan untuk mencapai perpaduan melalui
kokurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian
tinggi telah menunjukkan hasil yang positif. Melalui aktiviti kokurikulum
seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan telah menunjukkan
semangat perpaduan di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum.

Tambahan pula, aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan
membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan
saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang
terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang kokurikulum akan
melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam
perhubungan dan bersosial dalam masyarakat.


3.3 Cara Guru Menangani Cabaran Integrasi Nasional
Seseorang pendidik memainkan peranan yang dominan dalam
merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru
ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru
terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi
disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional.

Berdasarkan kepada garis panduan KPM dan PIPP, peranan guru
sebagai Pembina negara bangsa dan modal insan dilaksanakan menerusi
cara berikut :
1) Memperkasakan bahasa kebangsaan
2) Memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional
3) Memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa
Justeru itu, bagi melaksanakan garis panduan tersebut, guru perlulah
menangani cabaran integrasi nasional dengan cara menggalakan
penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah sebagai bahasa perpaduan.
Guru haruslah mengutakan mencintai bahasa Malaysia serta menanamkan
rasa cinta itu ke dalam jiwa pelajarnya. Di antara cara untuk
memperkasakan bahasa ini ialah dengan mengadakan program-program
seperti pertandingan pidato, pertandingan debat dan bahas, Pertandingan
menulis artikel, Minggu Bahasa dan Kebangsaan serta program Wacana
Ilmu dan lain-lain.

Bagi menyempurnakan garis panduan yang kedua iaitu memantapkan
perpaduan negara dan integrasi nasional, KPM telah memperkenalkan
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). RIMUP ialah satu
program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru
dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta
penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan
kepakaran. Justeru itu, guru perlulah menerima cabaran ini dan berusaha
untuk memantapkan lagi perpaduan masyarakat di Malaysia.

Untuk menangani cabaran Integrasi Nasional, guru perlulah menyemai
dan memupuk semangat patriotisme secara berterusan dalam kalangan
pelajar. Contohnya, semangat ini boleh dipupuk ke dalam diri pelajar
daripada aktiviti perbarisan untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu
patriotik iaitu Negaraku. Ianya dapat diaplikasikan ke dalam perhimpunan
mingguan di sekolah. Selain itu juga, semangat patriotisme dapat dipupuk
melalui sambutan bulan Kemerdekaan yang diadakan di sekolah. Pelajar
boleh melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan oleh pihak
sekolah seperti mendeklamasikan sajak, syair, pantun, puisi, penulisan
karya kreatif, pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik dan lain-lain.
Penyertaan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan ini akan meningkatkan
serta menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air yang tercinta.

Selain itu juga, guru juga boleh memberikan peluang kepada semua
pelajar yang terdiri daripada pelajar yang berbilang kaum dan agama untuk
berinteraksi antara satu sama lain dan melibatkan diri dengan semua aktiviti
yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Contohnya, penglibatan mereka dalam
aktiviti kokurikulum seperti Kempen Cintakan Warisan Seni, Kempen Kibar
Jalur Gemilang, Pertandingan Menceriakan Kelas sempena Hari
Kemerdekaan, Perbarisan Badan Beruniform dan lain-lain akan dapat
membina kekuatan jati diri serta menanamkan rasa cintakan kepada bangsa
dan negara Malaysia.

You might also like