You are on page 1of 3

http://nota-budak-ipg.blogspot.

com/2012/12/peranan-seni-
dalam-pendidikan-perkaitan.html

PERANAN SENI DALAM PENDIDIKAN (PERKAITAN
DENGAN SUBJEK BM)

Seni dalam pendidikan (SDP) memainkan peranan penting ke arah perkembangan
kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativitinya.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan
mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan
mempunyai jati diri yang tinggi. Pengabungan tiga jenis seni yang terdiri daripada
seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu pembentukan insan
yang lebih bersifat holistik.

Terdapat beberapa peranan SDP yang boleh dikaitkan dengan mata
pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Antaranya adalah SDP berperanan
untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah
menjadi lebih seronok, menarik dan berkesan. Hal ini sangat penting dalam
mewujudkan interaksi positif dalam kalangan murid dan guru serta murid dan murid.
Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru dalam memastikan perintegrasian
seni dalam pendidikan ini, guru bolehlah mengadakan aktiviti nyanyian. Terdapat
tiga unsur seni dalam pendidikan iaitu seni muzik (irama), ruang dan warna. Unsur
seni muzik terdapat dalam aktiviti nyanyian yang dijalankan berikutan adanya irama
yang dialunkan oleh murid-murid dan guru. Misalnya, guru menyanyi bersama
dengan murid-murid lagu Pak Mamat Ada Kebun selepas mengajar teks cerita
haiwan. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu guru dan murid-murid mendengar
muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang
untuk mendengar muzik tersebut berulang kali. Oleh yang demikian, jelas
menunjukkan penggabungjalinan seni dalam pendidikan dalam P&P Bahasa
Melayu, dapat mewjudkan sesi P&P yang lebih menarik, seronok serta berkesan.
Di samping itu, SDP juga berperanan untuk menghargai keindahan ciptaan
Tuhan. Warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan. Warna juga turut
digunakan dalam SDP iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna dapat
dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu warna primer, warna sekunder dan juga
tertier. Kesemua warna ini sebenarnya wujud di sekeliling kita. Contoh-contohnya
adalah seperti warna hijau yang terdapat pada daun, warna-warni yang terdapat
pada pelangi dan sebagainya. Jika dikaitkan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu,
guru bolehlah mengintegrasikan unsur seni visual (warna) dalam sesi P&P di dalam
kelas. Sebagai contoh, selepas guru mengajar murid tentang jenis-jenis bunga
misalnya, guru bolehlah meminta murid mewarnakan gambar bunga tersebut
mengikut kreativiti masing-masing. Di sini, guru boleh menyelitkan nilai mensyukuri
ciptaan Tuhan yang indah lagi menakjubkan itu kepada diri murid-murid. Di samping
dapat mengintegrasikan unsur seni visual dalam P&P, guru juga dapat menerapkan
nilai-nilai murni dalam diri murid-murid. Jadi, di sini jelas menunjukkan
pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berperanan dalam
mewujudkan nilai menghargai keindahan ciptaan Tuhan dalam kalangan murid-
murid.
SDP juga berperanan dalam memupuk budaya pengamatan, persepsi dan
ekspresi dalam proses penghasilan. Ketiga-tiga budaya ini dapat diterapkan
dalam pengintegrasikan unsur seni pergerakan dalam sesi P&P di dalam kelas. Jika
dikaitkan dengan sesi P&P mata pelajaran Bahasa Melayu, guru boleh menjalankan
aktiviti seperti aktiviti lakonan. Semasa berlakon, mereka akan menghayati lakonan
serta membuat ekspresi yang sesuai menggunakan anggota fizikal mereka.
Misalnya, selepas guru menerangkan konsep tatabahasa mengenai kata adjektif
yang menunjukkan sifat seperti marah, sedih, gembira dan sebagainya, guru boleh
meminta murid-murid melakonkan watak-watak yang menggambarkan perasaan-
perasaan tersebut. Mereka akan memikirkan gaya yang sesuai untuk
mengekspresikan perasaan-perasaan tersebut. Oleh yang demikian, jelas
menunjukkan pengintegrasian SDP dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat
mewujudkan budaya pengamatan, persepsi dan ekspresi dalam kalangan murid.
Selain itu, SDP berperanan dalam meningkatkan pengetahuan, daya
kreativiti, inovasi serta kemahiran dalam bidang seni visual, seni muzik dan
seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P. Guru perlulah mempunyai
pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik,
memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan
ruang yang sesuai bagi meransang minda kanak-
kanak sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Ketiga-tiga unsur SDP ini juga
boleh diterapkan sekali gus dalam satu aktiviti semasa sesi P&P. Misalnya, dalam
sesi P&P Bahasa Melayu, guru boleh menjalankan aktiviti menyanyi lagu warna
pelangi sambil menari. Tarian yang dibuat adalah mengikut kreativiti murid.
Jadi, hal ini akan dapat membuatkan mereka lebih kreatif dalam menghasilkan
pergerakan yang sesuai dengan lagu yang dinyanyikan. Murid juga akan
berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif.
Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama iaitu
pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Oleh yang demikian, di sini
jelas menunjukkan, guru dapat meningkatkan pengetahuan murid-murid, daya
kreativiti dan pemikiran yang inovasi serta berkemahiran dalam bidang seni
visual, seni muzik dan seni pergerakan yang diamalkan dalam P&P.
Tuntasnya, kesemua peranan SDP ini menunjukkan usaha guru dalam
membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

You might also like