You are on page 1of 5

Pakaian tradisonal Iban

Tidak salah untuk kita mengenali serba banyak tentang warisan kepelbagaian budaya di negara
kita yang tercinta. Saya berpeluang untuk mempelajari berkaitan dengan budaya masyarakat Iban
semasa pertama kali ditempatkan untuk berkhidmat di bahagian Betong, Sarawak. Dari situ saya
dapat melihat pakaian tradisional masyarakat Iban ini dan keunikannya mahu saya kongsikan
bersama dengan anda, rakan pembaca yang budiman.
Pakaian tradisional perempuan kaum iban adalah sangat unik dan hampir keseluruhannya
merupakan kain tenun yang mempunyai corak-corak yang menarik. Pakaian wanita Iban dapat
dilihat daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki.
Dalam bahasa Iban, pakaian tradisional perempuan kaum Iban disebut sebagai ngepan indu
iban. Asal usul ngepan indu iban dipercayai berasal daripada seorang gadis yang bernama
Kumang pada zaman dahulu. Kumang merupakan seorang wanita yang sangat cantik dalam
kalangan wanita Iban terdahulu. Beliau seorang wanita yang pandai membuat sebarang kerja
wanita. Contohnya, bertenun, ngebat, membuat anyaman dan lain-lain. Selain itu, beliau dahulu
bukan sahaja terkenal dengan kecantikan beliau tetapi juga mempunyai sikap yang baik kepada
orang lain.
Kemahiran yang ada pada Kumang telah menghasilkan pakaian yang menjadi rujukan pakaian
tradisional bagi masyarakat Iban. Lengkap dengan perhiasaan perak, tembaga, manik dan kain
yang dibuat daripada pelbagai corak telah menjadikan Kumang sebagai model bagi pakaian
tradisional ini.

Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi si
pemakai. Pelbagai jenis perhiasaan melengkapi pakaian tradisional perempuan kaum Iban pada
setiap bahagian tubuh badan. Di bahagian kepala, sugu tinggi atau tall combs iaitu merupakan
perhiasan yang berwarna perak yang memberi keunikan dan kilauan yang menarik semasa
menari tarian Ngajat Induk dan turut digunakan semasa pertandingan Ratu Cantik. Contohnya,
Kumang Gawai Beauty Pageant di Sarawak (LINK). Sugu tinggi ialah kraftangan corak dan

rekaan yang berbentuk tema bungaan. Dahulu, perhiasan ini dibuat daripada perak tetapi
sekarang sugu tinggi dibuat daripada aluminium yang bersalut perak.
Selain itu, Ensuga Tisir ialah perhiasaan yang terletak atau bersama dengan sugu tinggi yang
berbentuk flora atau bungaan.Ia diperbuat daripada perak atau aluminium yang bersalut perak.
Sugu pupung merupakan sikat yang menyokong sugu tinggi supaya tidak longgar atau terjatuh
dari kepala orang yang memakainya.

Di bahagian bahu hingga ke paras pinggang,marek empang atau marek tango ialah perhiasan
dada yang diperbuat daripada manik dan bebola kain bertujuan untuk menutup bahagian atau
baju kecil atau kemban. Marek empang dibuat daripada manik-manik yang disusun mengikut
corak yang dikehendaki. Ia seperti rantai yang besar yang menutupi bahagian dada dan dipakai
pada bahagian leher.

Bedong atau dikenali sebagai kain selempai merupakan kain selendang yang panjang dan sempit.
Ia dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang sangat halus. Panjang bedong hampir sama
dengan sirat. Bedong dipakai dibahu sebagai selendang atau diselempangkan di badan seperti
pangkahan di dada.

Rawai ialah gelungan yang dibuat daripada tembaga ataupun perak yang disusuk dengan rotan
seterusnya dibelit pada tubuh dari bahagian lengan hingga bahagian punggung. Saiz rawai dibuat
bergantung kepada saiz tubuh badan penggunanya. Ia merupakan gelungan yang sangat besar
pada bahagian badan.
Lampit merupakan tali pinggang yang besar.Lampit digunakan pada bahagian pinggang. Ia
diperbuat daripada aluminium yang bersalut perak.

Tumpa ialah sejenis perhiasan gelang yang diperbuat daripada tembaga atau aluminium yang
bersalut perak yang digunakan pada bahagian pergelangan tangan.Setiap saiz gelang tersebut
adalah berbeza dari saiz kecil hingga lah saiz yang besar. Manakala tumpa rajang pula ialah
sejenis perhiasaan gelang yang dibuat daripada tekuyung tasik. Terdapat juga jenis tumpa yang
dibuat daripada perak. Ia digunakan pada bahagian lengan dan berasa ketat semasa
menggunakannya.

Di bahagian tangan, terdapat sebuah perhiasaan iaitu Buah Pauh. Buah Pauh ialah sejenis
perhiasaan yang dibuat daripada logam perak yang menyerupai sejenis buah iaitu buah pauh. Ia
seperti cincin yang berantaikan buah pauh dan disarungkan di jari manis orang yang memakai
ngepan tersebut.

Sementing Ringgit atau dikenali sebagai gobeng merupakan lingkaran tali pinggang yang
berjuraian ibarat tali pinggang wang. Setiap wang atau duit syiling tersebut dicantum dengan
rapat. Pada bahagian atas sementing ringgit, duit syiling yang menyerupai duit 50 sen akan
dicantum rapat dengan duit syiling yang lain. Manakala pada bahagian bawah, duit syiling yang
mnyerupai duit 20 sen atau 10 sen dicantum dan dibentuk seperti tali yang berjurai ke bawah
yang bersambung dengan bahagian atas sementing ringgit tersebut.

Wanita iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain sarung ini sempit dan panjangnya
cuma lebih kuang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kain yang berukur
110cm X 60cm dan terdiri daripada dua bidang kain seumpamanya yang dicantumkan. Bidang
yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya. Kebiasaannya bidang ini
hanya dihias oleh reka corak jalur yang berwarna-warni. Bidang akan dipakai ketika upacara
tertentu. Sebarang perayaan pula dihias oleh pelbagai reka corak geomatrik dan diwarnakan
dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Malah ada di antara bidang tersebut yang
dihias dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak
di atas kain dasar yang berwarna merah.

Bahagian pergelangan kaki terdapat dua gelang perhiasaan digunakan iaitu kunkung kaki dan
gerunung.Kunkung kaki dikenali sebagai gelang kaki. Gelang ini diperbuat daripada tembaga.
Kunkung kaki tidak sama dengan gerunung. Gerunung ialah perhiasaan gelang kaki yang
mempunyai loceng kecil. Kungkung kaki tidak mempunyai loceng pada gelang tersebut.Semasa
individu berjalan, loceng ini akan berbunyi mengikut rentak pergerakan kaki.
Semoga informasi yang saya telah kongsikan ini memberi manfaat kepada anda semua. Segala
maklum balas dari anda adalah sangat saya hargai. Semoga berjumpa lagi di nukilan saya yang
akan datang.

You might also like