You are on page 1of 6

BAB 1 : TERAS PENDIDIKAN NEGARA

1.1
1.2
1.3
1.4

:
:
:
:

Rukun Negara
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Wawasan 2020
Islam Hadhari

1.1 : RUKUN NEGARA


Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
(1)Kepercayaan kepada Tuhan
(2)Kesetiaan kepada Raja dan Negara
(3)Keluhuran Perlembagaan
(4)Kedaulatan Undang-undang
(5)Kesopanan dan Kesusilaan
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan.
Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai
satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaankepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di
dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara
atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara
menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan
manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu
bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota
masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai
prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan
dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras
dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem
beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang
tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah
merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud,
bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas
kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat
dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka
bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan
keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber
perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap
rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga
negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan
kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua
pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak
boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak.

Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di


negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem
pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya
di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara
Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu
kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup
bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara
dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara
memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang
aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota
masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana
semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh
diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara
sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang
dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada
dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang
rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan
bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang.
Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat
penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai
kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi
membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi
yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini
membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung
perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu
darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan
bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara
dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
1.2 : FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua aktiviti
pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap
bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar
setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada
dilandasan yang betul. Intipati utama dalam FTK ini ialah melahirkan insan seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual Sosial yang sering disebut oleh guru-guru
sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat
unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau
sebaliknya.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."
Unsur-Unsur Penting FPK

Menjadi warganegara Malaysia yang baik


Unsur intelek
Unsur rohani dan emosi
Unsur jasmani
Memperkembangkan potensi individu
Menyeluruh dan bersepadu
Insan yang seimbang
Kepercayaan kepada Tuhan
Rakyat Malaysia yang boleh memberikan sumbangan.

Implikasi FPK Terhadap Sistem Pendidikan di Malaysia


Implikasi Terhadap Kurikulum.
Kurikulum di sekolah mengalami perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan
kepada program bersepadu. Setiap sekolah menerima sukatan pelajaran yang sama dan
selaras. Ini kerana mengelakkan dari berlakunya sifat iri hati di kalangan pelajar kerana
setiap sekolah belajar mengikut sukatan yang berlainan. Ini adalah bersalahan dengan
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang
seimbang. Bahan-bahan pelajaran yang dibekalkan juga diserapkan di dalamnya nilainilai murni dengan tujuan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sistem pendidikan juga diubah menjadi pendidikan yang umum. Semua rakyat mampu
untuk ke sekolah tetapi berlainan pada zaman dahulu hanya golongan berada sahaja
yang mampu untuk ke sekolah. Pelajaran untuk melatih pelajar mahir dalam teknologi
pula diserapkan bagi membawa Malaysia kea rah yang maju dan tidak ketinggalan.
Implikasi Terhadap Pendidik.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggalakkan guru memahami sistem pendidikan
selain daripada membimbing guru melaksanakan fungsi pendidikan. Ia boleh diperolehi di
mana-mana dan bila-bila diperlukan. Guru boleh menjadi ejen perubahan untuk mendidik
dan mengeluarkan generasi yang bertanggungjawab membantu merealisasikan
matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Guru
mendedahkan sesuatu kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
terutamanya dalam ICT untuk membolehkan pelajar mengikuti perubahan sistem
pendidikan yang berteraskan teknologi. Guru mempunyai sikap bertanggungjawab
sepenuhnya untuk menjadi guru yang baik, sentiasa cuba berlatih dan mendapatkan apa
yang telah dipelajari untuk memenuhi matlamat dan aspirasi falsafah ini. Pada masa
yang sama guru bertindak sebagai pengawal kepada aktiviti negatif. Guru
memperkembangkan dan memperkayakan pendidikan melalui perkembangan kurikulum
bilik darjah, seperti, menjalankan aktiviti dan lembaran kerja yang diusahakan oleh guru.
Implikasi Terhadap Institusi Pendidikan.
Institusi pendidikan juga mengalami perubahan demi untuk merealisasikan matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Pelbagai perubahan telah dilakukan. Kemudahankemudahan di sekolah diubah dan ditambah supaya pelajar mampu untuk
merperkembangkan kemahiran mereka dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani. Ini
adalah untuk melahirkan individu yang sempurna dan seimbang. Budaya di sekolah juga
diubah untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam diri pelajar supaya supaya saling
bekerjasama, toleransi dan mengamalkan sikap perpaduan. Ini adalah matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan individu yang mampu untuk menyumbangkan
keharmonian kepada negara. Suasana di sekolah juga diubah untuk melahirkan pelajar
yang cintakan ilmu dan membentuk budaya membaca di kalangan mereka.
Kesimpulannya, implikasi-implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mempunyai satu
matlamat dan tujuan dan ia dinyatakan dalam bentuk falsafah iaitu:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi


potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung
jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
* Nota Tambahan pengkhususan bidang ;
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional di
Malaysia
Falsafah Pendidikan Negara
Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara"
Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik
dengan mengemukakan ciri-ciri:
a. Percaya dan patuh kepada tuhan
b. Berilmu pengetahuan
c. Berakhlak mulia
d. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
e. Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.
f. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Falsafah Pendidikan Guru
"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung
aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan
individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan
berdisiplin."
1.3 : WAWASAN 2020
Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana
Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah
negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang
dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidangbidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial,
antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik,
sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga
keyakinan.
Cabaran utama
Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis
Perniagaan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad menghuraikan sembilan matlamat utama
Wawasan 2020:
Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi

bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat
wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan
terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi
kepada negara.
Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan
keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang
telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti
dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua
potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang
mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang,
berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara
membangun.
Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan
warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika
paling tinggi.
Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai
kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada
masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya
perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna
teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang
mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak
berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang
kukuh.
Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat
yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan
wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan
kental.
Menurut Dr Mahathir, kesembilan-sembilan matlamat utama ini tidak semestinya menjadi
urutan keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang. Tentunya
keutamaan dalam satu-satu masa mesti memenuhi keadaan khusus pada masa
berkenaan.
Adakah matlamat menjadi negara maju dari segi ekonomi itu realistik?
Pada dekad 1960-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata
sebanyak 5.1% setahun. Pertumbuhan purata ini dinaikkan menjadi 7.8% semasa dekad
pertama Dasar Ekonomi Baru dalam dekad 1970-an, dan 5.9% setahun pada dekad 1980an, akibat kemelesetan bertahun-tahun. Pertumbuhan KDNK pada 30 tahun tersebut
dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata 6.3 peratus setahun, dengan kadar pada
20 tahun yang lalu merupakan 6.9 peratus setahun pada puratanya. Oleh itu, yang
diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus untuk mencapai matlumat
ekonomi Wawasan 2020i, sesuatu matlamat yang bukannya tidak mungkin.
KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah $115 bilion, dengan sasaran kira-kira $920 bilion
dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini
memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar)
setahun untuk 30 tahun akan datang. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar

pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia
akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar), berbanding dengan tahun 1990. Inilah
ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK
Malaysia akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990.
1.4 : ISLAM HADHARI
Islam Hadhari (Arab: ) atau "Islam yang bertamadun" merupakan teori
kerajaan Malaysia pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berasaskan Islam dari al-Quran. Ia
bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukan mazhab baru. Ia adalah usaha untuk
mengembalikan umat Islam kepada asas fundamental menurut yang terkandung dalam
al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan Tamadun Islam.
Tujuan
Visi:
Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
Misi:
Melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam
yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang.
Objektif:
Melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak,
intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta
cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan
damai.
Prinsip
(1) Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t.
(2) Kerajaan Adil dan Beramanah.
(3) Rakyat Berjiwa Merdeka.
(4) Penguasaan Ilmu Pengetahuan.
(5) Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif.
(6) Kehidupan Berkualiti.
(7) Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
(8) Keutuhan Budaya dan Moral.
(9) Pemeliharaan Alam Semulajadi.
(10) Kekuatan Pertahanan.

You might also like