You are on page 1of 2

MEMPERKUKUH TRADISI HIDUP BERJIRAN

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, tradisi hidup berjiran atau


semangat kejiranan berdasarkan perbezaan bangsa dan agama sudah sinonim
sejak sekian lama. Perbezaan tersebut tidak seharusnya dijadikan sempadan
untuk membina benteng daripada amalan hidup berjiran. Namun, realiti
masyarakat hari ini mengambil mudah berhubung semangat kejiranan. Mungkin
alasan kesibukan seharian dan mengejar karier menyebabkan amalan kejiranan
semakin dilupakan, malah ada jiran tetangga yang saling tidak mengenali antara
satu sama lain, malah tidak pernah bertegur sapa. Oleh itu, usaha untuk
mengekalkan hubungan baik sesama jiran mestilah dijaga bagi menjamin
keharmonian dan keselamatan berkekalan.

Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia perlu


menanamkan semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakatnya
khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Hal ini demikian kerana
tradisi hidup berjiran sememangnya menjadi amalan masyarakat di luar Bandar
semenjak dari dahulu lagi. Hubungan dan keutuhan semangat kejiranan ini
merupakan teras perhubungan sosial dalam komuniti luar Bandar dan menjadi
sebahagian daripada tradisi yang masih dipertahankan. Perubahan yang berlaku
dalam masyarakat Malaysia umumnya telah mempengaruhi pola hubungan
kejiranan yang telah sedia ada. Walau bagaimanapun, semangat ini semakin
terhakis dalam masyarakat bandar. Bagaikan enau melepaskan pucuk masingmasing, mungkin itu perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan
sikap sesetengah masyarakat bandar ini. Sikap individualistik dan ego hanya
akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan
mereka kepada pelbagai risiko jenayah. Oleh itu, usaha bersepadu perlu
dilakukan bagi menyuburkan kembali tradisi hidup berjiran tidak kira di manamana sahaja kita berada.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana


kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya.
Hubungan yang erat antara sesama anggota masyarakat merupakan ciri-ciri
masyarakat yang berkualiti, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya
mewujudkan suasana harmoni dan aman sesame mereka, bahkan menjadi aset
paling penting kepada negara. Menyedari hakikat inilah maka Islam awal-awal
lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat
dalam kalangan masyarakatnya. Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan
kerana merupakan salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks hidup
berjiran, umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra
sesama mereka. Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan
masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin, dan kesatuan

sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak, dan


banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran berganding bahu dan
mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Faktor teknologi turut menyebabkan kita kurang menghiraukan
semangat kejiranan. Hal ini kerana dengan perkembangan teknologi yang
canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli
masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksimili dan Internet, kita
tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubung. Ekoran daripada
itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah.
Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi
dengan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan
akan pudar kerana semangat ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat
tidak dapat berhubung antara satu sama lain dengan baik. Struktur perumahan
moden juga menyukarkan penanaman semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat kita. Kebanyakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan
tembok yang tinggi dan berpagar. Hal ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di
kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah satu jiran
daripada rumah jiran yang lain.
Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk
membina hubungan yang baik dengan jiran tetangga kita. Kemuncak hubungan
kejiranan yang baik adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan
kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan.
Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh
sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat. Semakin kerap kita menolong jiran
maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab
itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam
mengekalkan hubungan kejiranan yang baik meskipun telah berpindah rumah.
Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita. Jika jiran sibuk
dengan majlis kenduri-kendara, hulurkanlah bantuan biar pun dengan menolong
membersihkan kawasan mereka. Dengan amalan sedemikian akan lebih
mengeratkan hubungan kejiranan serta dapat mencerminkan kehidupan yang
harmoni dan bersatu padu.

Secara tuntas, usaha memperkukuh tradisi hidup berjiran yang harmoni menjadi
aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat. Tradisi
hidup berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain
perlu dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menggugat
keharmonian dan kesejahteraan masyarakat tidak berlaku.

You might also like