You are on page 1of 3

SEIKAT BAGAI SIRIH,SERUMPUN BAGAI SERAI

Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai merupakan satu peribahasa yang dalam
maknanya untuk diambil oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup .
Peribahasa ini menggesa seluruh pekerja atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka
dapat hidup dalam suasana yang aman sejahtera , utuh dan harmoni. Contohnya, mengadakan
gotong-royong membantu jiran yang dalam kesusahan dan membanteras jenayah dalam
kawasan perumahan. Sebaliknya, jika kita bercerai, berpecah-belah dan mementingkan diri
sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran. Namun begitu, pada era globalisasi
ini yang serba mencabar akal fikiran kita telah membuat kita terlalu sibuk bekerjaya sehingga
melupakan aspek kehidupan yang penting iaitu menjalinkan kerjasama antara jiran tetangga.
Gaya hidup barat hidup segan mati tak mahu hendaklah dielakkan kerana terdapat pelbagai
manfaat sekiranya kita saling bekerjasama sehingga mewujudkan semangat kejiranan yang
utuh. Sekarang tibalah masanya untuk saya merungkaikan kepentingan semangat kejiranan
sekiranya kita bekerjasama kerana saya tidak mahu rumah siap pahat berbunyi.

Pada perspektif saya yang pertama, antara kepentingan semangat kejiranan dalam
memupuk perpaduan antara setiap ahli masyarakat di negara ini. Malaysia merupakan sebuah
negara yang unik kerana kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Namun disebalik perbezaan kita berjaya mencari persamaan dan berbekalkan nilai-nilai
murni seperti hormat menghormati serta saling bertolak ansur sering menjadi amalan
masyarakat. Akhir-akhir ini, timbul anasir-anasir yang ingin memecah belahkan perpaduan
yang telah terjalin begitu lama oleh masyarakat kita. Semangat kejiranan yang mantap dapat
menjadi solusi bagi melawan polemik yang semakin membarah dalam komuniti pada masa
kini. Persis kata peribahasa melayu, buang yang keruh ambil yang jernih. Natijahnya,
perpaduan yang erat antara satu sama lain akan lahir apabila semangat kejiranan timbul di
kawasan yang didiami oleh kita akan menjadi suri teladan hidup berjiran. Bahawasanya sikap
mengambil berat adalah antara langkah-langkah untuk mengelakkan tidak kefahaman antara
satu sama lain.
Jika dipandang dari sudut berlainan, semangat kejiranan dapat memudahkan
penganjuran program atau aktiviti yang berbentuk komuniti. Umum sedia maklum bahawa
pihak kerajaan melalui agensinya akan melakukan aktiviti di peringkat komuniti tempatan
bagi menyampaikan bantuan dan sebaginya. Seandainya, masyarakat setempat mempunyai
semangat kejiranan yang baik, pastinya objektif seperti penyampaian bantuan dapat diberikan
kepada mereka yang berhak mendapatkannya. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan
cepat dan lancar apabila ramai pihak menyumbangkan tenaga bagai aur dengan tebing. Selain
itu, kita juga dapat menjimatkan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti bermanfaat
yang lain seperti menganjurkan majlis rumah terbuka. Intihannya, masyarakat yang memupuk
semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan
menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk semua.

Pada masa yang sama, semangat kejiranan yang kukuh akan menjamin keselamatan
diri dan ahli masyarakat setempat. Keselamatan adalah perkara yang mustahak dalam
menentukan seseorang untuk memilih kawan kediaman masing- masing. Sebagai masyarakat
yang bertanggungjawab, persatuan jiran tetangga boleh ditubuhkan bagi menjalankan tugas
keselamatan seperti meronda pada waktu malam. Langkah ini dapat menimbulkan rasa
selamat dikalangan penduduk. Kejadian seperti rompakan, ragut dan penculikan dapat
dibanteras sekiranya terdapat mata-mata yang mengawasi kawasan perumahan kita.
Penjenayah juga tidak berani untuk melakukan jenayah dalam kawasan yang mempunyai
semangat kejiranan yang kukuh. Tambahan pula, ibu bapa akan berasa selamat untuk
membiarkan anak-anak bermain di taman permainan yang berdekatan kerana ancaman
jenayah telah dikurangkan. Izharnya, keselamatan masyarakat dalam membuat sesuatu
perkara boleh meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.

Dalam pada itu, semangat kejiranan yang utuh dapat menarik pelancong asing untuk
berkunjung ke negara kita. Keunikan kehidupan masyarakat majmuk merupakan antara
tarikan pelancong asing di samping keindahan pulau dan gunung-ganang yang dimiliki oleh
tanah air ini. Hasil kehidupan yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, agama bangsa dan
terdapat diversiti budaya dan tradisi yang berpotensi untuk dipersembahkan kepada
pelancong. Tamsilannya, penganjuran rumah terbuka pada hari perayaan menjadi medan
perpaduan antara semua rakyat Malaysia dan pelancong asing berasa kagum bagaimana kita
mampu menyambut perayaan bersama-sama. Kita sebenarnya mampu menjadi ejen
penyatuan masyarakat antarabangsa kerana kemampuan kita tinggal di bawah satu negara
yang sama sejak dahulu lagi. Kesannya, semangat kejiranan bukan sahaja memberikan imej
yang baik kepada negara malah semangat kejiranan dapat meningkatkan ekonomi dengan
kedatangan pelancong asing ke pusat-pusat pelancongan dalam negara.

Secara keseluruhannya, kita dapat menyimpulkan bahawa penggunaan peribahasa


"seikat sirih , serumpun serai" yang membawa maksud kerjasama dalam masyarakat telah
membawa makna yang besar untuk menjalankan semangat kejiranan bahkan ianya
merupakan tradisi turun temurun yang diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu. Ibarat
petikan daripada lagu hasil artis tempatan ikan di laut asam di darat dalam periuk bikin
muafakat. Oleh itu, pelbagai pihak harus memainkan peranan penting bagai aur dengan
tebing dalam menjaga kepentingan semangat kejiranan. Saya berharap rakyat kita bersatu
padu dalam menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan dan seterusnya menjadi imej
perpaduan kepada masyarakat dunia demi kebaikan manusia sejagat.

You might also like