You are on page 1of 1

Kitani Bekal 50,000 Batang Tebu Sempena Ramadan Di Seluruh Selangor

Oleh Syarrizuan Abd Rashid

TANJONG KARANG, 24 Julai (Bernama) -- Kitani Tebu


Enterprise (Kitani), syarikat pengeluar dan pengusaha
tanaman tebu, membekalkan 50,000 batang tanaman itu ke
seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengerusinya, Ahmad Muhid Bidin berkata harga bagi setiap
batang tebu yang dibekalkan ialah RM1.50 dengan jumlah
keseluruhan pulangan hasil pengeluran tebu syarikat itu
berjumlah RM75,000 sepanjang bulan puasa ini.
"Tebu keluaran Kitani ini dihantar kepada pembekal di Bangi,
Rawang, Puchong, Kelana Jaya, Bukit Beruntung, Petaling
Jaya, Klang dan Shah Alam untuk diedarkan kepada peniaga
bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan," katanya kepada
Bernama di sini.
Beliau berkata tebu yang dibekalkan ialah jenis tebu kapur
iaitu mempunyai rasa yang kuat dan kandungan gula yang
tinggi.
Ahmad Muhid berkata penghantaran tebu berkenaan bermula sejak Khamis lepas ke kesemua destinasi
dan dijangka selesai pada minggu ini.
Beliau berkata Kitani turut membuat persiapan kemungkinan bekalan tebu perlu ditambah berdasarkan
jualan dan permintaan dari para peniaga.
Kitani menghimpunkan 83 petani yang mengusahakan ladang tebu yang mendapat kerjasama penuh
dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensinya seperti Jabatan Pertanian serta
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Selain itu, ia turut mendapat sokongan dari Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi),
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga (Tekun) dan Agrobank.
Kitani turut berperanan menyediakan bekalan tebu mentah untuk pasaran eksport negara melalui
pelaksanaan Projek Perintis Tanaman Tebu Parlimen Tanjong Karang serta tiga lagi kawasan Parlimen
iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.
Hasil tanaman tebu negara kini dieksport ke beberapa negara termasuk China dan Singapura malah
Malaysia dijangka mengeksport 2.7 juta batang tebu sebulan untuk pasaran Dubai menjelang 2013.
-- BERNAMA

You might also like