You are on page 1of 2

Timur: UiTM tanam rumput Napier - Berita Harian

Oleh Ramli Hussin


bhkb@bharian.com.my

Projek dimulakan enam bulan lalu bertujuan ringankan beban penternak

BACHOK: Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan sedang berusaha memperluaskan
tanaman rumput Napier di kalangan penduduk negeri ini kerana tumbuhan itu berpotensi menjana
pendapatan lumayan berikutan permintaan tinggi di kalangan penternak.

Rumput Napier yang berprotein tinggi hasil penyelidikan UiTM itu, mampu dituai untuk kali pertama
selepas tiga bulan, sebelum tuaian seterusnya dilakukan setiap 45 hari.

Projek tanaman rumput napier dimulakan UiTM Kelantan sejak enam bulan lalu dengan matlamat
meringankan beban golongan petani yang mempunyai ternakan dan pada masa sama memberi
pendapatan sampingan kepada mereka.

Ketua Unit Jaringan Industri UiTM Kelantan, Prof Madya Mohd Zaki Zakaria, berkata berdasarkan kajian
pihaknya, tanaman rumput Napier yang diperkenalkan UiTM itu mampu memberi pulangan sehingga
RM1,000 sebulan bagi kawasan seluas 0.4 hektar.

Beliau berkata, projek tanaman rumput itu boleh dilakukan sesiapa saja sama ada penternak untuk
memenuhi keperluan ternakan masing-masing atau pemilik tanah terbiar yang tidak mempunyai ternakan
boleh menjual rumput yang ditanam itu kepada kilang memproses makanan ternakan.

"Pengilang sedia membeli rumput napier segar pada harga 10 sen sekilogram kerana perlu
memprosesnya menjadi kering untuk tempoh simpanan lebih lama sebelum dijual kepada penternak yang
memerlukan makanan bagi ternakan masing-masing. Harga rumput napier kering hanya kira-kira 30 sen
sekilogram, berbanding makanan ternakan sedia ada dalam pasaran yang mencapai lebih 50 sen
sekilogram.

"Menerusi kaedah penjagaan dan pembajaan yang betul, penternak tidak lagi berdepan dengan kos
makanan yang mahal. Kandungan protein dalam rumput ini lebih tinggi iaitu 18 peratus berbanding
keperluan ternakan sekitar 12 peratus saja," katanya.

Sejak mula diperkenalkan UiTM Kelantan kira-kira enam bulan lalu, ketika ini tujuh penduduk Kampung
Permatang Pasir menyertai projek tanaman rumput itu dengan masing-masing mempunyai keluasan 0.4
hingga 0.8 hektar seorang, bagi memenuhi keperluan ternakan masing-masing.

Mohd Zaki berkata, rumput sesuai ditanam atas semua jenis tanah dan mampu mencapai ketinggian tiga
meter dalam tempoh tiga bulan, jika mendapat pembajaan dan jagaan yang sempurna.

"Setiap benih akan mengeluarkan enam batang rumput. Apabila matang dan dipotong, setiap batang
akan mengeluarkan dua tunas baru yang mampu membesar seperti induknya.

"Proses tuaian akan menyaksikan setiap rumpun rumput ini berkembang besar dan mampu
mengeluarkan sehingga setahun sebelum ia dibuang untuk tanaman semula," katanya.

Mohd Zaki berkata, berdasarkan perkembangan dan potensi rumput terbabit, pihaknya berharap mampu
menarik lebih ramai penduduk untuk menanamnya.
"Kebetulan pula saya adalah pensyarah dalam bidang ekonomi pengkhususan yang menekankan
mengenai ke arah memperbaiki taraf kehidupan masyarakat yang tergolong dalam kategori miskin
tegar.

"Saya perhatikan banyak bantuan yang kerajaan salurkan tetapi malangnya tidak dimanfaatkan golongan
petani atau mungkin tidak sampai ke sasaran, jadi untuk itu saya mengambil inisiatif melalui UiTM
dengan menjalankan beberapa kajian dan penyelidikan untuk memastikan apa yang diperlukan petani
dapat dikecapi sebaik mungkin.

"Khusus untuk projek ini, saya lakukan kerana rumput adalah sejenis tanaman yang paling senang
diuruskan dari segi penjagaannya serta hasilnya sangat cepat," katanya.

Penternak lembu di Kampung Permatang Pasir, Johari Jaafar, 26, berkata beliau menyertai usaha
menanam rumput itu sejak enam bulan lalu dengan harapan dapat mengurangkan kos makanan
ternakannya yang suatu ketika mempunyai 30 ekor lembu.

"Dulu saya perlu berbelanja sehingga RM1,000 sebulan untuk membeli dedak sebagai makanan kepada
lembu yang dipelihara. Kos yang tinggi, menyebabkan dari semasa ke semasa, saya terpaksa menjual
sebahagian ternakan itu untuk menampung keperluan makanan.

"Menerusi tanaman rumput Napier ini, saya berazam meningkatkan jumlah ternakan yang dipelihara
kerana sumber makanan segar kini boleh diperoleh dengan mudah," katanya yang menanam kira-kira 0.4
hektar rumput.
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

You might also like