You are on page 1of 3

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

Semua ibu bapa mahu melihat anak-anak sihat dengan memastikan mereka mendapat makanan yang
cukup serta berkhasiat. Meskipun begitu, ada di antara ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak
sehingga gagal mengawal pemakanan mereka. Pengambilan makanan yang berlebihan serta tidak
sesuai menyebabkan anak-anak mengalami obesiti. Meskipun masalah tersebut adalah biasa di
kalangan kanak-kanak, namun ia sukar dirawat.

Walaupun banyak usaha boleh dilakukan, ramai kanak-kanak obes akan terus mengalami kelebihan
berat badan sepanjang hayat mereka. Situasi ini boleh menyebabkan kenaikan dalam kes sakit
jantung, diabetes dan juga sesetengah jenis barah di dalam beberapa dekad yang akan datang.
Setiausaha Persatuan Pediatrik Gastroentorologi dan Pemakanan Eropah, Dr. Johannes Taminuau
berkata, ibu bapa harus memainkan peranan untuk menghalang anak-anak mendapat obesiti sejak dari
awal. Ini kerana kajian menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak yang obes akan terus mengalami
kelebihan berat badan sepanjang hayat mereka.
“Merujuk kepada kajian terbaru, semakin awal kanak-kanak menjadi obes, semakin obeslah mereka di
kemudian hari.
“Dengan ini, risiko mereka mengidap penyakit kronik juga meningkat,” katanya.
Pensyarah dari Universiti Amsterdam, Belanda ini berkata demikian semasa menyampaikan ceramah
yang bertajuk Obesiti: Adakah Anak Anda Berisiko Tinggi pada seminar Program Permulaan
Pemakanan Ceria di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut Dr. Taminuau, ibu bapa yang mempunyai
anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul
adalah satu perkara yang sukar. Ia juga memerlukan kefahaman tentang masalah ini dan menekankan
kepentingan tabiat makanan yang sihat.
Jelas beliau, cara yang terbaik ialah dengan mendapatkan khidmat nasihat pakar pediatrik, pakar
pemakanan atau pakar diet kerana obesiti adalah satu keadaan yang kompleks.
“Nasihat pakar penting bagi mengelak penggunaan teknik-teknik diet yang mungkin memberi kesan
buruk.
“Suplimen untuk mengurangkan berat badan dan lain-lain penawar juga mungkin membahayakan
kesihatan dan pemakanan kanak-kanak,” tegasnya.
Namun begitu, kata beliau, bantuan pakar tidak menjamin keputusan yang positif.
Faktor-faktor yang menyebabkan obesiti
Obesiti di kalangan kanak-kanak boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor yang pertama ialah
keturunan atau struktur genetik. Dr. Taminuau menyatakan, hampir 35 peratus kes obesiti dikesan di
kalangan kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka mempunyai berat badan normal. Namun begitu,
secara amnya, kanak-kanak mempunyai risiko menjadi obes yang lebih tinggi jika ibu bapa mereka
juga obes.
Bercakap dengan lebih lanjut tentang peranan genetik, Dr. Taminuau menyebut bahawa sesetengah gen
seperti leptin, MC4R, MC3R dan protein berkaitan agouti mengawal selera dan rasa kenyang.
“Kajian ke atas tikus menunjukkan ketidakseimbangan ke atas gen-gen ini boleh menyebabkan
kecenderungan untuk makan dengan lebih.
“Walaupun ini merupakan satu maklumat yang menarik, masih terlalu awal untuk kita boleh mengurus
masalah obesiti menerusi gen,” katanya.
Tambah beliau, obesiti terjadi apabila terdapat kelebihan tenaga yang positif iaitu berlaku pengambilan
makanan lebih dari apa yang diperlukan. Situasi begini wujud apabila kita makan dengan berlebihan
serta tidak melakukan aktiviti fizikal.
“Sebenarnya, badan yang gemuk bukan hanya menyimpan lemak, tetapi ia juga mengandungi otot
pejal.

“Jika kita lebih berat, maka lebih banyaklah otot pejal yang diperlukan untuk bergerak dan penggunaan
tenaga sewaktu rehat juga lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal,”
katanya.
Jelas Dr. Taminuau, hal ini berkaitan dengan faktor belajar yang mana kanak-kanak mencontohi tabiat
makan yang kurang sihat seperti makan dengan berlebihan seperti mana yang dilakukan oleh ibu bapa
mereka. Sehubungan itu, ibu bapa mesti menjadi teladan yang baik dan mengamalkan tabiat makan
yang sihat untuk kebaikan anak-anak mereka.
“Makan dengan berlebihan menyebabkan kanak-kanak menjadi obes. Apabila mereka obes, kanak-
kanak cenderung untuk terus makan dengan berlebihan kerana mereka memerlukan lebih tenaga untuk
bergerak.
“Jika kita membiarkan kanak-kanak memupuk tabiat makan dengan dengan berlebihan ia boleh
menyebabkan satu kitaran yang sukar diputuskan,”tegasnya.
Menurut Dr. Taminuau, ibu bapa mesti terlibat secara aktif di dalam program pengurangan berat badan
anak mereka yang obes. Ini kerana kanak-kanak lebih mudah mengikuti program pengurangan berat
badannya jika ibu bapa turut mengambil bahagian.
“Senaman yang banyak mungkin tidak dapat membantu kanak-kanak mengurangkan berat badan
dengan dramatik.
“Namun demikian, adalah mustahak bagi kanak-kanak mengikut pelan aktiviti fizikal yang bersesuaian
kerana tahap lemak badan berkait secara langsung dengannya,” katanya.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu memantau pengambilan makanan kanak-kanak sebagai langkah
pertama. Jelas Dr. Taminuau, makanan karbohidrat kompleks (berkanji) adalah mengenyangkan dan
mengurangkan kemungkinan untuk makan dengan berlebihan.
“Lemak penting bagi kanak-kanak mendapatkan tenaga, tetapi pengambilan lemak berlebihan akan
menyebabkan 90 hingga 95 peratus daripadanya disimpan sebagai lemak di dalam badan.
“Sementara karbohidrat pula, walaupun tenaga berlebihan darinya juga akan disimpan sebagai lemak di
dalam badan, jumlahnya adalah lebih kurang 10-20% lebih rendah lemak,” katanya.
Tambahnya, walaupun makanan berprotein adalah penahan selera yang paling mujarab, namun ibu
bapa dinasihatkan tidak mengamalkan diet tinggi protein dalam mengurangkan berat badan anak-anak
kerana ia mungkin merbahaya.
“Lebih baik menggalakkan pengambilan serat yang tinggi seperti makanan kekacang, buah-buahan dan
semua jenis sayur-sayuran kerana ia juga turut mengenyangkan.
“Makanan-makanan ini juga rendah lemak dan mengandungi kandungan tenaga yang rendah ke
sederhana,” katanya lagi.
Oleh kerana lebih mudah untuk mengawal pengambilan cecair berbanding makanan pepejal, ibu bapa
dinasihat mengehadkan pengambilan minuman bergula. Ini kerana rasa manis menggalakkan makanan
dimakan dengan lebih cepat dan pengambilan lemak sebanyak 11 peratus.

You might also like