You are on page 1of 2

Aktiviti Untuk Belia

Bercuti Sambil Belajar

Melaka menyediakan pelbagai peluang dan aktiviti di dalam Pelancongan Belia. Pelancongan Belia bertujuan untuk
membantu masyarakat muda dari seluruh dunia mempelajari, menghargai dan mendapat pengalaman melalui sejarah,
budaya, pembangunan dan cara hidup di Melaka. Di sini, pelancong belia berpeluang menerokai khazanah yang
terdapat di Negeri Melaka yang bertuah ini yang pasti menjanjikan keseronokannya yang berpanjangan.

 Program Mesra Belia

Kumpulan Pelancongan Melaka telah menubuhkan program mesra belia dengan menyediakan kemudahan,
pelbagai tarikan yang tersendiri, acara dan festival yang menghiburkan dan pelbagai keenakan sajian masakan
Melaka yang mampu menarik perhatian pelancong belia untuk merasai sendiri keistimewaan Negeri Melaka.
Pelbagai promosi telah dilakukan untuk memperkenalkan kekayaan Melaka melalui persembahan keunikan
kebudayaan dan cara hidup masyarakat Melaka yang berbilang kaum, terhasil daripada pakaian etnik yang
unik, adat resam, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan yang menarik, nyanyian dan tarian serta
permainan tradisional yang pasti memikat hati pelancong untuk datang ke Melaka.

 Kem Motivasi

Kem motivasi di Negeri Melaka ini menggabungkan pelbagai konsep daripada kem tradisional yang berasaskan
alam semulajadi yang meningkatkan daya fikiran, fizikal dan semangat peserta. Melaka juga terkenal dengan
pelbagai aktiviti yang mencabar seperti sukan lasak, permainan padang, lawatan kota yang menarik dan
cabaran-cabaran lain yang memberikan pilihan kepada pelancong belia untuk menyertainya.

 Perjalanan Profesional

Melaka juga mempunyai pakej lawatan yang menarik sama ada lawatan santai mahupun lawatan di dalam
skop yang lebih professional dengan memfokuskan kehebatan sejarah dan lagenda agung negeri Hang Tuah
ini. Melaka juga kaya dengan kepelbagaian budaya dengan perbezaan keunikan seni rekabentuk rumah dan
bangunan yang masih kukuh sehingga ke hari ini. Berjalan kaki merupakan salah satu cara yang terbaik untuk
melihat sendiri dengan lebih dekat lagi tempat-tempat bersejarah yang terdapat di sini seperti muzium, masjid,
gereja dan tugu peringatan. 

Perjalanan akan menjadi lebih menarik jika menggunakan perkhidmatan beca mahupun perkhidmatan bas
berhawa dingin yang lebih selesa. Jangan lupa melengkapkan perjalanan anda dengan berkunjung ke Istana
Kesultanan Melaka, Bukit Cina, Perigi Hang Li Poh, Tokong Poh San Teng, Tokong Cheng Hon Teng,
Makam Hang Jebat, Perkampungan Baba & Nyonya, Tugu Portugis, Kompleks Stadhuy's dan Muzium Maritim
Melaka.

 Perjalanan Rekreasi 

Melaka juga menyediakan persembahan berunsurkan cahaya dan bunyi yang terdapat di Taman Mini Malaysia
& Mini Asean, A' Famosa Water World serta Safari World. Pencinta alam juga akan mendapat keseronokan dan
kepuasan apabila berkunjung ke Taman Rama-Rama & Reptilia, Zoo Melaka, Taman Botanikal Melaka, Taman
Buaya, Auyin Hill Resort, Air Panas Gadek mahupun D'Paradise. Juga terdapat Pulau Besar Fantasi di Umbai,
Melaka. 

Pulau ini turut menjanjikan aktiviti yang menyeronokkan seperti berenang, snorkeling, berkayak, belayar dan
memancing. Kedudukan Melaka yang berhampiran dengan laut menyebabkan sukan air seperti jet ski, luncur
air, berkayak dan berlayar juga diminati ramai. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti di darat bolehlah mencuba
bermain tenis, squash dan sukan raket yang lain. Bagi permainan tradisional pula, pelbagai jenis
permainan seperti gasing, congkak dan silat pasti memikat hati anda.

 MICE Untuk Pelajar 

Melaka juga menawarkan berbagai kemudahan untuk persidangan, konvensyen, seminar, symposium dan
pameran. Kebanyakan daripada kemudahan ini disediakan oleh beberapa buah rangkaian hotel-hotel dan
resort yang bertaraf dunia. Kombinasi hotel-hotel mewah, fasiliti MICE, tempat-tempat rekreasi dan
keramahan penduduk tempatan serta sejarah dan kebudayaannya yang unik menjadikan Melaka
sebagai sebuah destinasi MICE yang terbaik. Sudah pasti pengalaman yang menarik di Melaka menjadikannya
sebagai sebuah kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan.

 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Kompleks Stadium Tun Fatimah,

Jalan Taman Perbandaran,

75150 Melaka.

Tel : +606 286 8820

(http://www.melaka.gov.my/v3/view_article.php?pageid=24)

You might also like