You are on page 1of 23

MODUL 5

Teknik Penulisan dan Gaya Ucapan

A. PENGENALAN

 Pengucapan Awam berkait dengan komunikasi. Jadi, apakah komunikasi?

 Perkataan komunikasi secara definisinya bermaksud berkongsi sesuatu. Menurut


Berelsen (1964), komunikasi ialah penyampaian maklumat, buah fikiran, emosi,
kemahiran dan lain-lain yang menggunakan simbol, perkataan, gambar, graf,
angka, dan lain-lain.

 Komunikasi boleh dilakukan secara:

(a) lisan, iaitu melalui tulisan dan perkataan (bahasa)


(b) bukan lisan, iaitu melalui bahasa isyarat seperti gerakan badan, pernyataan
wajah dan pergerakan mata.

 Komunikasi yang berjaya ialah komunikasi yang berkualiti. Dari sudut kualiti,
perkara yang penting dalam komunikasi ialah kepercayaan orang yang mendengar
kepada orang yang bercakap. Untuk memastikan kepercayaan orang, pengucap
perlu bercakap perkara yang benar sahaja.

 Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2005), kajian pakar-pakar komunikasi
mendapati perbuatan memperbesar sesuatu cerita boleh merendahkan kreadibiliti
seseorang di hadapan mata khalayak yang mendengar.

 Aristotle mengemukakan tiga cara mempengaruhi khalayak dengan menggunakan


kata-kata sebagai alat ucapan:

1. Pengucap hendaklah memberitahu khalayaknya bahawa dia berpengalaman


luas tentang perkara yang diperkatakan, seorang yang jujur dan dapat
dipercayai, serta mempunyai reputasi sebagai individu yang terhormat.
2. Pengucap perlu mempengaruhi khalayak dengan menyentuh hati mereka
dengan membangkitkan emosi atau perasaan marah, kasih, simpati, harapan,
semangat ingin berjuang atau melawan, dan sebagainya.
3. Pengucap perlu mempengaruhi khalayak dengan membentangkan hujah atau
bukti.
B. JENIS-JENIS UCAPAN

1. Ucapan Majlis Anugerah

Terdapat dua jenis ucapan anugerah iaitu hadiah atau pengiktirafan awam, seperti ucap
jasa daripada pihak yang memberi anugerah dan ucapan balas daripada penerima
anugerah. Ucap jasa sejenis ucapan khusus iaitu perlu mewawancara tokoh, mengkaji
pencapaian dan latar belakangnya. Ucap jasa ini memuatkan sumbangan, pengorbanan,
pencapaian, keistimewaan tokoh dalam sesuatu bidang yang diceburi. Ucapan balas pula
menyatakan pandangan dan harapan terhadap tokoh berkenaan.

2. Ucapan Makluman

Ucapan jenis ini bersifat informatif, padat dengan fakta, maklumat dan penjelasan
berkenaan sesuatu hal. Ucapan makluman menyentuh dasar negara, negeri, syarikat,
jabatan, kelab, persatuan, sekolah, dan sebagainya.

3. Ucapan Perpisahan

Terdapat dua jenis ucapan perpisahan iaitu ucapan penganjur dan ucapan orang yang
diraikan. Ucapan perpisahan disampaikan semasa seseorang hendak berpisah, sama ada
berpindah kerja, berhenti kerja dan sebagainya. Dalam ucapan seperti ini dinyatakan rasa
penghargaan, bangga, harapan dan sebagainya. Ucapan pihak penganjur pula perlu
menyatakan terima kasih atas jasa dan khidmat orang yang diraikan serta pujian terhadap
keperibadian, pembaharuan yang dilaksanakan dan kejayaan yang dilakukan dan harapan
terhadap masa depan orang yang diraikan.

4. Ucapan Politik

Ucapan ini sering disampaikan oleh ahli politik pelbagai peringkat bagi pelbagai tujuan
termasuk pada masa perhimpunan agung, kem motivasi, kempen pilihan raya, dan parti.
Penulis ucapan politik perlu menguasai isu politik semasa, kepemimpinan, strategi politik
dan isu sosial, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya.

5. Ucapan Penghargaan

Sumbangan seseorang perlu dihargai. Ucapan sering disampaikan bagi menyatakan


penghargaan dan terima kasih. Sumbangan individu mungkin dalam bentuk tenaga,
kewangan atau kepakaran. Lazimnya ucapan jenis ini ringkas, pendek dan memuji
individu berkenaan.

6. Ucapan Nasihat

Ucapan jenis ini menonjolkan panduan dan bimbingan dalam sesuatu perkara. Tujuannya
untuk memperbaiki peribadi, penampilan, dan pencapaian dalam sesuatu perkara atau
bidang. Pengucap biasanya mempunyai kepakaran atau wibawa dalam perkara yang
disampaikan bagi menyakinkan khalayak. Nasihat biasanya diberi oleh orang yang
berjaya, dewasa kepada golongan muda, guru kepada murid, dan sebagainya.

7. Ucapan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen

Wakil rakyat dikehendaki berucap di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bagi
menyampaikan masalah dan aspirasi rakyat yang diwakilinya. Komen dan cadangan
dikemukakan bagi memperbaiki keadaan. Ucapan jenis ini memerlukan pemahaman yang
mendalam terhadap isu.

8. Ucapan Tahniah

Ucapan jenis ini disampaikan bagi meraikan kejayaan ataupun pencapaian individu serta
majlis seperti meraikan pengantin, kejayaan mungkin dalam bidang sukan, akademik
kerjaya dan sebagainya. Pujian perlu diberikan kerana komitmen sehingga membawa
kejayaan. Bagi ucapan jenis ini, selalunya ucapan berlegar sekitar sikap positif dan faktor
yang menyumbang kejayaan.

9. Ucapan Motivasi

Ucapan motivasi atau memberi semangat kepada khalayak bertujuan menaikkan


semangat mereka dalam mengusahakan sesuatu seperti belajar, berlatih dalam sukan,
berperang dan sebagainya. Ucapan jenis ini bertujuan mendorong khalayak melakukan
sesuatu seperti yang dicadangkan dalam ucapan.

C. TEORI & TEKNIK UCAPAN BERKESAN/BERPENGARUH

Untuk menghasilkan ucapan yang berkesan dan berpengaruh, seseorang pengucap perlu :

1. Mempunyai pengalaman luas

 Permutter (1999) menyatakan, penulis teks yang baik merupakan mereka yang
luas pembacaan yang meliputi pelbagai bidang, terutama perkara yang
disampaikan kerana hal ini akan menghasilkan ucapan yang bermutu dan
meninggalkan kesan kepada pendengar. Hal ini kerana, fakta, hujah dan
maklumat yang didapati daripada ucapan seseorang boleh dimanfaatkan sebagai
panduan hidup, membaiki kehidupan dan menyelesaikan masalah yang mungkin
dihadapi oleh pendengar ucapan.

 Pembacaan luas membolehkan ucapan pengucap dipenuhi dengan fakta dan idea
yang bernas.
2. Menguasai Bahasa

 Keupayaan berbahasa membolehkan pengucap menulis ucapannya dengan jelas,


ringkas dan padat. Keupayaan dan kemahiran berbahasa hanya dapat dipupuk dan
diperkembang sekiranya penulis bersedia membaca dan menulis sebanyak
mungkin dengan cara yang betul. Penulis boleh “meniru” cara penulisan orang
lain melalui pembacaan dan pengalaman. Seseorang pengucap boleh
mempengaruhi khalayak sekiranya berjaya menggunakan bahasa dengan
berkesan.

 Oleh itu, bahasa dalam ucapan haruslah :

a. Jelas
 Idea dijelaskan secara straight forward menggunakan bahasa yang mudah
difahami
 Gunakan perkataan yang biasa digunakan umum.
 Menggunakan istilah teknikal apabila perlu sahaja
 Mengelakkan penggunaan bahasa konotatif (melebihi satu makna)
 Menghuraikan perkara yang mungkin sukar difahami untuk mengelakkan
kekeliruan, khususnya apabila pengucap menggunakan istilah-istilah khusus.
 Gunakan bahasa ekonomis (ringkas) iaitu bahasa yang terus kepada perkara
pokok yang ingin diperkatakan.

b. Menarik dan Menimbulkan Minat Audiens


 Mempelbagaikan corak percakapan atau mewujudkan variasi dalam penggunaan
bahasa
o Misalannya menggunakan bahasa yang cergas, bertenaga, kiasan, pantun,
dan perbandingan.
o Selain itu, digalakkan mengambil kata-kata daripada tokoh-tokoh terkenal.

 Menggunakan humor (sekiranya mempunyai bakat)


o Istilah lain untuk humor ialah lelucon atau lawak. Bahan lucu tidak boleh
menyentuh peribadi seseorang atau menjatuhkan air muka seseorang.
Humor boleh digunakan berdasarkan konteks.
o Panduan menggunakan humor :
o Humor tidak sesuai digunakan untuk orang-orang tua; gunakan
humor apabila aundiens kita kebanyakannya orang muda.
o Jangan menggunakan unsur humor apabila isu yang diperkatakan
agak sensitif kepada audiens. Sebagai contoh, isu gemuk
merupakan sesuatu yang sensitif kepada orang gemuk dan isu
botak mungkin sensitif kepada mereka yang botak.
o Humor tidak dapat mengubah pemikiran, nilai, sikap, dan
kepercayaan seseorang. Oleh itu, walaupun audiens seronok
mendengar ucapan kita, kita mungkin masih tidak dapat mengubah
tabiat mereka. Maka humor digunakan untuk menghilangkan rasa
bosan dalam sesuatu ucapan.

 Selitkan kisah-kisah atau cerita-cerita menarik yang berkaitan


dengan topik yang diperkatakan.

 Bertanya soalan
Melibatkan audiens dalam ucapan kita dan bertanya merupakan satu cara
kita bercakap terus kepada mereka :
Contoh :
“Apa pendapat tuan/puan kalau kita membuat gotong-royong setiap
bulan di kampung kita ni?”
“Saya ingin tahu apa pendapat tuan/puan tentang yuran bulanan tadika
di kampung kita ni”

 Mengaju soalan-soalan yang boleh mendorong audiens berfikir (soalan


retorik)
Contoh :
“…Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Kita sering
mendengar orang memperkata tentang pencemaran alam sekitar. Kita
juga selalu mendengar di corong-corong radio atau televisyen
mengenainya. Tetapi apakah langkah yang paling berkesan untuk
menanganinya? Apakah tanggungjawab kita sendiri untuk mengatasi
masalah ini?”

c. Menggunakan gaya bahasa positif


 Kajian menunjukkan bahawa hadirin suka mendengar orang yang bersikap positif
dan bercakap perkara-perkara positif. Hadirin melihat seseorang yang positif dan
berpandangan jauh sebagai seorang yang lebih berkeyakinan. Antara contoh gaya
bahasa positif dan negatif:
o “Kita ada harapan untuk menang “ (positif)
o “Ada kemungkinan kita akan kalah” (negatif)
o “Idea ini tinggi kosnya. Kita mesti mencari jalan untuk membiayainya”
(positif)
o “Idea ini mahal. Kita tak ada wang” (negatif)
o “70% lulus” (positif)
o “30% gagal” (negatif)
d. Menggunakan ayat aktif (lebih digalakkan)
 Ayat aktif bersifat terus dan langsung. Hal ini lebih memudahkan audiens untuk
memahami sesuatu ucapan.

e. Menggunakan gaya peribadi


 Contoh : “Kita akan guna cara ini” BUKANNYA “Cara ini ialah kesukaan
kebanyakan orang”

f. Menggunakan frasa-frasa penyambung


 Frasa-frasa ini memberitahu audiens bahawa pengucap sedang beralih daripada
satu idea ke idea seterusnya. Contohnya:
“Sekarang kita akan lihat pula…”
Seterusnya kita akan…”
Satu lagi pertimbangan yang kita…”
Selain alasan yang dinyatakan tadi,…”

g. Menggunakan perulangan
 Ulangi perkataan yang kita sebut jika kita mahu audiens ingat semula perkara
tersebut. Contohnya:
“Biar kita ulang apa yang kita telah sebutkan tadi…”

h. Ajak audiens membayangkan perkara yang berlaku pada masa hadapan


jika sesuatu dapat dipenuhi
Contoh :
“Dengan menggunakan teknik-teknik mempertahankan diri ini, maka kita akan
dapat mengelakkan…..”

(c) Menyertakan Ucapan dengan Bukti

 Dengan mengemukakan bukti dalam teks ucapan, maka ucapannya menjadi lebih
kukuh dan meyakinkan, sekali gus meningkatkan keyakinan audiens kepada
pengucap. Caranya:
o Gunakan bukti daripada pandangan peribadi (jika anda pakar dalam
perkara/bidang yang dibincang)
o Gunakan bukti daripada pakar dalam bidang tersebut. Lebih baik jika
perucap mengambil bukti/rujukan daripada pakar yang terkenal dan
nyatakan sumber maklumat diperoleh.
o Gunakan statistik atau fakta.
Contoh:
“…Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, menurut Laporan Kajian Separuh
Penggal Rancangan Malaysia Kelapan, terdapat 140 ribu jawatan kosong
yang masih dibekukan oleh kerajaan sebagai langkah berjimat-cermat.
Kini terdapat….”
4. Membuka Ucapan dengan Pembukaan yang Baik (Lampiran A)

 Buka dengan kata-kata aluan dan puji-pujian, misalnya puji-pujian kepada Allah,
selawat dan doa.
 Pembukaan yang baik memberi persepsi awal (first impression) yang baik.
 Elakkan memulakan ucapan dengan sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan
pendengar.
Contohnya:
“Maafkan saya kerana saya diminta menyampaikan ucapan ini secara bidan
terjun”
“Maafkan saya kerana saya tidak bersedia….”
“Saya agak gementar kerana inilah kali pertama saya memberi ucapan di
hadapan khalayak ramai”
“Betulkan kalau saya salah kerana saya tak berapa mahir dalam bidang ini…”

5. Menutup Ucapan dengan Penutup yang Baik (Lampiran B)

 Boleh gunakan pantun, penegasan, gaya ajakan


o Contoh gaya ajakan : “Jadi marilah kita bersama-sama membanteras
masalah dadah ini sebelum nasi menjadi bubur”
o Contoh gaya penegasan : “Jadi sekali lagi saya ingin menegaskan,
janganlah kita menjadi seperti katak di bawah tempurung sekiranya kita
ingin menjadi masyarakat yang berjaya”.
 Elakkan ucapan yang meleret-leret atau berulang-ulang menyatakan “akhir
sekali…” atau menyatakan yang anda “susah nak berhenti”.
 Apabila pengucapan menyatakan yang beliau ingin berhenti, maka lakukannya
dengan segera.
 Boleh juga gunakan persoalan dan “quotation” untuk mengakhiri ucapan.
o Contohnya : “Jadi, bagaimana dengan anda, adakah anda akan berhenti
merokok?”
o “Sudahkah anda bersedia untuk memperjuang hak anda sebagai
pengguna?”
6. Menyesuaikan Ucapan dengan Audiens

 Sesuaikan tingkat bahasa dengan pendengar, misalnya jangan menggunakan


bahasa yang terlalu tinggi dengan masyarakat kampung. Hal ini menyebabkan
mesej pengucap tidak dapat diterima oleh audiens.
 Untuk berucap dengan berkesan, ucapan kita mesti sesuai didengar oleh hadirin
kita. Jadi, pengucap perlu mengetahui siapa audiens ucapannya. Jadi pengucap
perlu memikirkan hal berikut sebelum berucap :
o Siapakah audiens ucapan?
o Apakah saiz (bilangan) audiens kita?
o Apakah golongan usia mereka?
o Adakah audiens lelaki, perempuan atau bercampur?
o Apakah bangsa dan agama mereka?
o Apakah profesion mereka?
 Abdul Mua’ti (2003) menyatakan seseorang pengucap sebaik-baiknya datang
awal ke tempat berucap dan bergaul dengan audiens untuk mendapat sedikit
maklumat tentang audiens. Amalan ini dikatakan dapat menambah kemesraan
antara pengucap dengan audiens.

7. Menggunakan Alat Bantuan Visual

 Alat bantuan ini boleh membantu pendengar atau audiens lebih memahami
perkara yang disampaikan oleh pengucap, apatah lagi apabila pengucap
menyampaikan sesuatu yang bersifat teknikal dan kurang difahami oleh audiens.

8. Mempelbagaikan rentak, kecepatan dan panjang pendek ayat

 Untuk itu, pelbagaikan kosa kata dan jenis ayat dengan menyelang-nyelikannya
dengan ayat mudah, ayat tanya, ayat seru, dan sebagainya.
 Perlu diingat bahawa teks ucapan bukan untuk “mata” ataupun bacaan tetapi
untuk “telinga” (pendengaran). Hal ini berbeza dengan akhbar atau majalah yang
tujuannya untuk bacaan khalayak.

D. ASPEK BUKAN LISAN DALAM UCAPAN

1. Gerakan Badan
 Pengucap harus memastikan tidak ada tingkah laku yang mengganggu
penyampaian ucapan beliau seperti menggoyang-goyangkan tangan atau
memegang barang yang tidak berkaitan.
2. Penampilan Diri
 Pastikan penampilan diri bersesuaian dengan majlis dan menarik. Kesempurnaan
aspek ini boleh menimbulkan keyakinan diri.
 Pastikan solekan dan hiasan diri tidak melampau.
 Memiliki wajah yang tampan dan cantik belum cukup untuk dipandang menarik
dari sudut sosial. Kajian menunjukkan bahawa apabila seseorang individu tersebut
tampan, dengan hujah yang bernas, mereka akan dapat mempengaruhi orang yang
mendengar mereka bercakap. Manakala apabila seseorang individu itu tampan
tetapi hujahnya lemah, orang tidak terpengaruh.
 Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang berpakaian kemas lebih dihormati.

3. Sifat suara
 Intonasi suara harus berubah-ubah mengikut perkara yang diperkatakan. Intonasi
yang mendatar boleh menimbulkan rasa bosan pendengar. Mutu suara harus
diselang-seli kenyaringannya. Vokaliser seperti “ya”, “um” dan “e” akan
mengganggu kelancaran ucapan jika digunakan dengan kerap.

4. Penggunaan Ruang
 Bergantung kepada jenis ucapan. Jika ucapan rasmi, tidak memerlukan
pergerakan yang banyak. Jika memberi ceramah dan sebagainya, atau dalam
ucapan yang tidak formal, pengucap boleh bergerak bebas untuk memberi
peluang kepada pengucap mewujudkan hubungan fizikal dan komunikasi yang
lebih berkesan kepada pendengar.

5. Penggunaan Masa
 Pengucap perlu bijak menggunakan masa berucap. Jangan berucap terlalu panjang
hingga membosankan audiens. Pengucap harus menepati waktu yang diberikan
kepadanya.

6. Hubungan Mata
 Hubungan mata boleh membantu mengekalkan minat audiens. Pengucap perlu
mengekalkan hubungan mata dengan audiens sekurang-kurangnya tiga perempat
daripada masa berucap.
 Elakkan membaca teks.
 Hubungan mata membolehkan pengucap mengesan daya tumpuan audiens
terhadap ucapannya.

7. Mimik Muka

 Tunjukkan kita seronok hadir dalam majlis tersebut. Jangan tunjukkan muka letih,
tergesa-gesa atau muka tidak tenang.
 Untuk memulakan ucapan, pengucap perlu berdiri sebentar di mikrofon. Jangan
terus bercakap. Pandang wajah audiens seketika. Kemudian baru mula berucap.
 Selepas mengakhiri ucapan, jangan serta-merta meninggalkan mikrofon dan balik
ke tempat duduk. Diam sebentar. Pandang wajah hadirin. Mereka mungkin mahu
memberi tepukan. Tunggu hingga tepukan berhenti barulah balik ke tempat
duduk.

E. PANTANG LARANG BERUCAP

1. Meminta Maaf

Jika terdapat kekurangan atau kelemahan, hadirin boleh melihat dan mendengarnya
sendiri. Tidak perlu memberitahu mereka tentang kelemahan tersebut.

 “Terlebih dahulu, saya minta maaf jikalau…”


 “Ucapan ini hanyalah ucapan bidan terjun…”
 “Ini kali pertama saya berucap…”
 “Sepatutnya orang lain yang berucap, tetapi kerana orang itu tidak hadir…”

2. Memberi Janji Kosong

Terdapat orang yang berani berjanji, sedangkan mereka tidak mampu menunaikannya.
Perbuatan ini hanya merosakkan kredibiliti pengucap.

 “Jika tuan puan memilih saya pada pilihan raya kali ini, saya berjanji akan menaik
taraf kampung Muara Tuang menjadi sebuah bandar.”
 “Saya akan memastikan pembangunan yang pesat akan dilakukan untuk
memajukan kampung ini.”

3. Membuat Gimik

Gimik ialah perkara-perkara yang kita buat dengan niat hendak memperdayakan hadirin
supaya mereka berminat mendengar kita, padahal perkara yang kita lakukan itu tidak
mempunyai kaitan dengan topik ucapan.

4. Pendahuluan

Jangan membuat pendahuluan sebelum memulakan ucapan.

 “Sebelum saya memulakan ceramah ini, saya rasa gembira dan ingin
menyatakan…”
 “Saya sangat seronok dapat berada di sini, oleh itu sebelum saya memulakan
ceramah ini, saya ingin…”
 “Saya harap tuan-tuan akan sabar mendengar ceramah saya sampai tamat…”

5. Menyebut Perkara Baru

Dalam penutup, jangan menyebut maklumat baru. Gunakan penutup untuk mengulang isi
kandungan dalam ucapan kita dan beri ringkasan berkenaannya.

6. Penutup yang Panjang

Tutup sekali dan tutup pendek. Adakalanya kita berkata;

 “Akhir sekali…”
 “Sebagai penutup…

sebagai tanda ayat tersebut akan berakhir. Jadi, perlulah berhenti di situ.

Nota :
Salutasi panggilan protokol –sila rujuk nota Kesantunan Bahasa

RUJUKAN

Abdul Halim A. Karim. (1992). Pengucapan Awam. Sungai Petani: Institut Tadbiran
Awam Negara.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd (Edisi Kemas Kini). (2005). Teori & Teknik Ucapan
Berpengaruh. Pulau Pinang: PTS Professional Publishing.

Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. (1995). Panduan Pengucapan Awam. Serdang:


Penerbitan Universiti Putra Malaysia.

Abdul Rahim Abdul Rashid & Yap Kim Fat. (1995). Bahasa Melayu: Komunikasi
Berkesan Pengucapan Awam. Selangor: Siri Pendidikan Longman.

Jeniri Amir. (2005). Teknik Menulis Ucapan. Pulau Pinang: PTS Professional Publishing.

Jeniri Amir. (2009). Retorik: Senjata Tajam dalam Ucapan. Bahasa Negara dan Bangsa.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lampiran A

A. JENIS-JENIS PENDAHULUAN UCAPAN

1. Memulakan dengan menyatakan susunan

Ada pengucap atau teks yang menjelaskan terlebih dahulu susunan ataupun struktur
ucapan atau struktur ucapan. Pengucap akan menyatakan perkara yang diliputi dalam
bahagian awal, pertengahan dan bahagian akhir ucapannya.

2. Mulakan dengan menyatakan tajuk

Tidak salah memberitahu tajuk ucapan kepada khalayak. Khalayak akan diingatkan
berkenaan topik itu, sekali gus menjangkakan persoalan yang bakal diliputi.

3. Mulakan dengan menyatakan pokok persoalan

Penulis dan pengucap boleh menyatakan persoalan atau fakta-fakta utama yang bakal
disentuh dalam ucapan. Cara ini mudah menarik perhatian khalayak yang ternanti-
nantikan tajuk yang hendak diperkatakan. Contoh, “Puan-puan, pada pagi ini saya akan
menghuraikan cara-cara mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran semasa
berbelanja.”

4. Mulakan dengan pernyataan yang mengemparkan

Salah satu ciri pengenalan yang mudah diingat adalah pendahuluan yang mengandungi
pernyataan yang hebat dan menggemparkan. Khalayak mudah terpesona dengan
ungkapan sedemikian. Cara ini ialah salah satu cara terbaik bagi menarik minat mereka
dan menumpukan perhatian terhadap tajuk yang akan dibincangkan.

 “Semua orang termasuk anda boleh menjadi jutawan dalam masa kurang daripada
sebulan sekiranya anda menyertai program ini!”

5. Mulakan dengan sesuatu yang saspens

Unsur saspens akan menyebabkan khalayak terus bertanya, apakah yang bakal
diperkatakan oleh pengucap? Sebagai kesannya, mereka terus terpaku dan ingin tahu
maklumat selanjutnya. Belajarlah daripada penulis cerpen dan novel, cara mereka
memanfaatkan unsur saspens dalam karya.
6. Kemukakan soalan retorik

Kemukakan beberapa soalan penting dan berkaitan langsung dengan khalayak.

 “Berapa orangkah dalam kalangan audiens yang pernah terlibat dalam


kemalangan.?”
 “Tahukah anda jumlah kematian di jalan raya di seluruh dunia dalam setahun?

Anda akan segera dapat mencengkam minat khalayak dengan soalan yang berkait rapat
dan langsung dengan kepentingan khalayak.

7. Mulakan dengan contoh

Memberikan beberapa contoh yang mudah difahami berkaitan tajuk yang hendak
diperkatakan merupakan satu cara yang berkesan dalam penulisan teks ucapan.

8. Mulakan dengan berita terkini ataupun kejadian terbaru

Sesuatu perkembangan, kejadian dan berita terkini sentiasa bermain dalam fikiran
khalayak. Pasti khalayak akan mudah tertarik dan hendak mengikutinya.

 Semasa perang Iraq tercetus, mereka tentu ingin tahu kejadian terkini yang
menimpa Saddam Hussein. Adakah beliau masih hidup atau sudah terkorban?
 Semasa penyakit SARS melanda rantau ini, mereka ingin tahu kedudukan dan
kejadian terkini berkenaan penyakit itu.

9. Mulakan dengan takrif

Mulakan ucapan dengan definisi apabila sesuatu konsep, istilah dan sebagainya
merupakan sesuatu yang asing bagi khalayak.

10. Pendahuluan lukisan

Pendahuluan lukisan sesuai bagi menggambarkan sesuatu suasana terutamanya yang


berunsur saspens ataupun ketegangan.

 “Pada suatu hari pada pertengahan bulan Julai, 1929, di sebuah rumah nelayan di
sisi Sungai Sedili yang tenang telah lahir seorang bayi lelaki kepada keluarga
Awang Cik…” (Ucapan Prof. Dr. Muhamad Haji Salleh di Anugerah Sastera
Negara untuk Usman Awang)

11. Pendahuluan petikan

Menggunakan petikan yang menarik, padat, dan relevan dapat meraih perhatian khalayak.
Petikan yang sesuai digunakan sekiranya petikan itu datang daripada tokoh terkenal
ataupun petikan itu luar biasa, memiliki daya tarikan yang kuat kerana falsafah,
pemikiran yang tinggi dan hebat ataupun cara pengucap menyatakannya. Petikan yang
digunakan perlu mampu melukiskan perasaan dan pengalaman menarik orang yang
mengucapkannya dan memberi fokus kepada inti ucapan.

12. Pendahuluan ringkasan

Kebanyakannya digunakan oleh pemberita semasa menghasilkan berita jenis berat.


Dalam pendahuluan jenis ini, penulis mengemukakan fakta ataupun inti cerita supaya
khalayak terus mengetahui persoalan yang diketengahkan.

 “Sejak beberapa tahun lalu, kedudukan petani agak tenggelam dalam arus
kemjuan industri negara ini. Sumbangan petani dalam pertanian serius kerana
bidang itu lebih menumpukan guna tenaga manusia berbanding bidang industri
yang menekankan penggunaan jentera sains dan teknologi.”

13. Pendahuluan penglibatan peribadi

Pendahuluan jenis ini boleh digunakan apabila penulis terlibat secara langsung dalam
sesuatu peristiwa ataupun mengalami sendiri peristiwa itu. Teknik ini sesuai bagi
mengungkapkan perasaan dan pengalaman tokoh yang menyampaikan ucapan.

14. Pendahuluan latar belakang

Pendahuluan latar belakang atau sejarah merujuk maklumat yang berkaitan dalam teks.

 “Sejak wujudnya kilang semikonduktor yang pertama di Pulau Pinang pada tahun
1972, perusahaan elektronik yang berasaskan eksport telah berkembang begitu
pesat sehingga menjadi salah satu sektor industri yang besar dan penyumbang
kepada ekonomi negara.” (Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di majlis
perasmian kilang Wafer Silikon S.E.H di Shah Alam)

15. Pendahuluan harapan


Teks ucapan menjurus kepada harapan tokoh sebaik sahaja kata-kata aluan disampaikan.

 “Bagi saya, merasmikan perhimpunan seperti ini memberi peluang kepada saya
untuk menyampaikan sedikit pandangan saya kepada ahli-ahli Barisan Nasional,
di samping bertemu dengan para pemimpin dan ahli-ahli parti komponen Barisan
Nasional. Saya percaya perhimpunan seperti ini akan digunakan sepenuhnya oleh
ahli-ahli MIC untuk mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan mereka, di
samping membolehkan ahli-ahli parti…” (Ucapan Tun Dr. Mahathir di majlis
perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-42 di Dewan Bandaraya Ipoh, Perak)

16. Memulakan dengan syukur

Terdapat teks ucapannya yang dimulakan dengan kata-kata syukur.

 “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhannahu wa Ta’ala. Kita boleh berada
di sini, di Perhimpunan UMNO ini, adalah dengan izin Allah…” (Ucapan Tun Dr.
Mahathir Mohamad di majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Pusat
Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur)

17. Pendahuluan madah

Ucapan boleh menggunakan madah, pantun, puisi, perumpamaan atau peribahasa yang
sesuai.

 Sirih berlipat sirih pinang,


Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

18. Pendahuluan imbasan lalu

Penulis teks ucapan boleh memasukkan peristiwa yang berlaku ataupun dialami oleh
tokoh sebelum itu.

 “Sebulan yang lalu – tanggal 1 Jun – saya memulakan kempen pidato politik di
mimbar ini. Pada saat itu, dua agenda kebangsaan saya sampaikan kepada seluruh
rakyat Indonesia…” (Ucapan Susilo Bambang Yudhoyono semasa berkempen
merebut kerusi Presiden)

19. Memulakan dengan memuji khalayak

Ada ucapan yang memuji khalayak dengan menyatakan rasa bangga tokoh kerana sikap
positif khalayak.

20. Pendahuluan lelucon


Pendahuluan humor selalu digemari oleh pendengar. Pembicara yang membaca teks tentu
seronok apabila khalayak ketawa ataupun tersenyum selepas mendengar pendahuluan itu.
Dengan cara ini, hubungan dengan khalayak terjalin, sekali gus mengurangkan rasa
gementar penyampai teks itu.

 “Saya berasa serba salah sedikit untuk berucap di hadapan saudara sekalian,
kerana saya percaya pengadil-pengadil Pertandingan Juara Pidato 82 ini, ada
bersama-sama kita hari ini; begitu juga pemenang-pemenang pertandingan ini,
terutama sekali juara pidatonya, tentu ada di dalam dewan ini. Saya takut kalau-
kalau mereka, secara senyap-senyap akan menilai dan mengadili kebolehan saya
berucap di khalayak ramai” (Ucapan Datuk Hassan Ahmad di Majlis
Penyampaian Hadiah Juara Pemidato Gabungan Penuntut Melayu Semenanjung
(GPMS) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)

Lampiran B

B. JENIS-JENIS PENUTUP UCAPAN

1. Tutup dengan merumuskan idea dalam kandungan

Melalui teknik ini, khalayak akan dapat mengingati semula hujah-hujah penting.

2. Tutup dengan rayuan supaya tindakan diambil

Rayuan yang sesuai dengan tujuan ucapan perlu ditegaskan pada bahagian akhir ini. Bagi
ucapan kempen ataupun bersifat memujuk, adalah penting mengulangi rayuan. Dalam
kempen politik, derma darah, kempen supaya khalayak mendermakan wang kepada
tabung dan sebagainya sesuai diakhiri dengan rayuan supaya mereka bertindak mengikut
objektif kempen.

 “Justeru, sertailah kami, sokonglah kami dan sama-samalah kita berganding bahu
memerangi musuh utama negara.”

3. Tutup dengan meninggalkan tanggapan positif

Teks dan pengucap yang berwibawa dan mempunyai penampilan semasa menyampaikan
ucapan akan dapat meninggalkan tanggapan yang positif dalam kalangan khalayak.
Penutup merupakan peluang terakhir bagi pengucap meninggalkan kesan positif.

4. Penutup ulangan pendahuluan

Penutup jenis ini mengulangi perkara yang sudah disampaikan dalam pendahuluan.
Tema, peristiwa dan data dalam bahagian pendahuluan boleh diulangi. Teknik
mengulangi pendahuluan mudah diterapkan. Sekiranya digunakan dengan betul dan
berkesan, penutup yang mengulangi bahagian pendahuluan dengan memetik kembali
peristiwa, memparafrasa ayat ataupun merumuskan tema boleh menjadi penutup yang
menarik dan menghiburkan khalayak.

5. Penutup terdekat

Penulis memanfaatkan bahan daripada perenggan sebelumnya, sebagaimana


diperlihatkan dalam contoh berikut. Dalam perenggan sebelum perenggan akhir, penulis
mungkin mengemukakan soalan. Soalan itu dijawab dalam penutupnya.

6. Penegasan semula tujuan

Setiap ucapan mempunyai tujuan tertentu. Kadang kala penegasan semula tujuan itu
boleh dijadikan penutup yang berkesan. Jika tidak mempunyai idea atau ilham cara yang
diperlukan untuk menutup ucapan, mungkin teknik menegaskan semula tujuan boleh
diterapkan.

 “Demikianlah bagaimana minda bekerja. Minda akan mengeluarkan semua


pengetahuan yang disimpan sepanjang kehidupan anda untuk memberikan anda
satu jawapan…” (Ucapan H.M.Tuah Iskandar)

7. Tutup dengan mengulangi idea pusat

Satu cara yang berkesan bagi menutup ucapan adalah dengan mengulangi idea pusat atau
idea utama yang sudah dibentangkan. Langkah ini boleh mengingatkan khalayak
berkenaan idea-idea itu. Teknik ini dapat meningkatkan pemahaman pembaca.

8. Penutup pernyataan langsung

Penutup jenis ini juga dikenali sebagai penutup penilaian. Bahagian penutup hanya terdiri
daripada beberapa ayat ataupun pemikiran akhir berkenaan persoalan yang disampaikan
tanpa mengulangi kata-kata dalam mana-mana bahagian ucapan. Ayat-ayat itu perlu yang
terbaik dan paling berkesan dari segi pengungkapan dan idea.

9. Penutup kejutan

Biar khalayak tidak dapat menduga penutup yang anda gunakan. Teknik penutup kejutan
sekiranya digunakan dengan teliti pasti memberi kepuasan kepada audiens.

10. Penutup kata-kata nasihat

Nasihat disampaikan secara langsung tanpa berselindung. Mungkin bagi ucapan yang
berkaitan dengan bahaya dadah, anda boleh membuat penutup satu ayat seperti,
 “Lain kali jika anda berfikir hendak menyalahgunakan dadah, jangan!”.
11. Penutup soalan

Sekiranya anda sudah menggunakan soalan dalam bahagian awal ucapan, mungkin anda
juga mahu mengemukakan soalan sekali lagi dalam bahagian penutup. Soalan tentu akan
menyebabkan khalayak berfikir isu yang anda kemukakan dalam ucapan tersebut.
12. Penutup petikan

Petikan berdasarkan pendapat tokoh terkenal boleh dimasukkan dalam bahagian penutup.
Anda mungkin boleh memasukkan dalam teks kata-kata berikut;

 “Sekarang saya akan mengakhiri ucapan saya dan sebelum meninggalkan tuan
puan sekalian, saya ingin memetik kata-kata daripada sebuah lagu yang selalu
membuat saya terkesan. Lagu gubahan John Lennon itu berbunyi, ‘Kehidupan
ialah sesuatu yang terjadi semasa anda sibuk membuat pelbagai rancangan’. Saya
percaya, kita perlu mula menangani masalah pendidikan dan bukannya
mendengar jumlah program dan statistik sahaja”.

13. Penutup ucap tahniah dan syabas

Ucapan tahniah dan syabas juga boleh diselitkan dalam bahagian penutup.

 “Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada


G.P.M.S. kerana menganjurkan peraduan pidato ini. Usaha ini saya percaya akan
memupuk bakat dan kebolehan pidato dalam kalangan pemuda pemudi kita yang
akan menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan…” (Ucapan Datuk
Hassan Ahmad)

Nota: Apakah yang boleh dilakukan oleh penutup? Penutup boleh menyemak semula
perkara utama dalam ucapan, menekankan hujah yang paling penting, mengulangi gesaan
supaya bertindak mengikut objektif ucapan, mengukuhkan buat kali terakhir hujah yang
masih lemah, meninggalkan tanggapan yang positif, dan memisahkan pengucap daripada
khalayak.
Lampiran C

C. CONTOH RANGKA UCAPAN

Bismillahirrahmanirrahim…

 Yg. Berbahagia Encik ....... Residen Bahagian Miri


 Yg. Berbahagia Encik .......Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cwgn Swak
 Yg. Dihormati Encik ...... Penolong Pengarah DBP Cwgn Swak
 Yg. Berusaha Encik …… Pengetua Taman Negara Lambir Miri
 Yg Berusaha Encik ……. wakil Taman Negara Lambir Miri
 Yg. Berusaha................
 Para urus setia, fasilitator dan seterusnya peserta – peserta program Khemah
Bahasa 2009.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera/Selamat pagi para


hadirin sekalian.

PENDAHULUAN
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi dengan limpah dan kurnia-NYA dapat kita
bersama-sama bertemu dan berkumpul bagi merealisasikan Program Khemah Bahasa
2009, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan kerjasama
Universiti Malaysia Sarawak dan Pejabat Residen Miri atau jenis-jenis pendahuluan
ucapan

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati/para peserta Khemah Bahasa sekalian,
ISI UCAPAN…

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati/para peserta Khemah Bahasa sekalian,
ISI UCAPAN…

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati/para peserta Khemah Bahasa sekalian,
ISI UCAPAN

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati/para peserta Khemah Bahasa sekalian,
ISI UCAPAN

PENUTUP

Sekian. Terima kasih.


Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh atau jenis-
jenis penutup ucapan.

CONTOH TEKS UCAPAN PERASMIAN

Penyampai : DATO SRI NAJIB TUN RAZAK


Tajuk : MAJLIS PERASMIAN STUDIO DIGITAL MIXSTAGE
Lokasi : KOMPLEKS FINAS, HULU KELANG, SELANGOR
Tarikh : 01-02-2009
 
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

YB Dato' Seri Mohd Shafie Hj. Apdal;


Menteri Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan,

YB Dato' Razali Ibrahim;


Pengerusi FINAS

YBhg Datuk Dr. Muzahet Masruri;


Ketua Setiausaha KPKKW,

Yang Berusaha Encik Mohd Mahyidin Mustakim;


Ketua Pengarah FINAS,

Dif-dif jemputan,
Para penerbit, karyawan dan penggiat filem,
Para hadirin yang dihormati.

1. Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kementerian
Kebudayaan, Perpaduan, Kesenian dan Warisan dan FINAS atas kesudian menjemput saya ke
majlis yang penuh bermakna ini. Saya berpendapat majlis pada malam ini amat penting dalam
perkembangan pembangunan industri perfileman tanah air, dengan majunya kita setapak lagi
dalam lapangan teknologi pembikinan filem.

2. Saya amat berbesar hati atas penghormatan yang diberikan kepada saya merasmikan Studio
Digital Mixstage FINAS ini, yang merupakan komponen penting dalam melonjakkan industri
perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Industri ini sebenarnya telah wujud sejak zaman pramerdeka lagi, iaitu lebih 75 tahun yang
lampau, ketika filem Melayu pertama diterbitkan di Singapura pada tahun 1932. Dalam tempoh
yang panjang itu, industri perfileman telah mengalami pelbagai perubahan, pembaharuan,
kejayaan dan juga cabaran. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa industri ini telah mengecap
detik kegemilangan pada tahun 50-an dan 60-an, iaitu ketika filem-filem tempatan mendapat
sambutan hebat dan berjaya mengharumkan nama negara di negara-negara serantau.
4. Namun kini, industri filem tempatan agak ketinggalan disebabkan fenomena globalisasi yang
mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia kepada filem antarabangsa, khususnya dari barat. Hal
ini memberi kesan kepada industri filem tempatan, terutamanya dari segi perisian teknologi
terkini yang memudahkan para pengguna mendapatkan filem asing dalam bentuk pita video dan
cakera padat yang bukan asli, yang secara tidak langsung menyebabkan penularan kegiatan cetak
rompak secara berleluasa.

5. Oleh yang demikian, jelas faktor-faktor ini merupakan salah satu punca yang mempengaruhi
pasaran filem dan membawa kesan negatif kepada industri filem tempatan. Justeru, bermulalah
“vicious cycle” apabila kutipan daripada jualan filem berkurangan yang menyebabkan modal
pusingan serta pelaburan bagi pembikinan filem juga berkurangan dan akhirnya faktor kewangan
ini mempengaruhi mutu dan hasil kerja pengusaha-pengusaha filem tempatan.

6. Fenomena ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal pembikinan filem terjejas, tetapi aspek-
aspek lain juga terganggu, termasuklah penghasilan skrip dan pemilihan bakat-bakat bagi
menjayakan sesebuah filem. Apabila mutu filem dari segi penerbitan dan hasil seni terjejas akibat
faktor kos, lama kelamaan filem-filem yang dihasilkan dalam keadaan demikian mengalami
kesukaran untuk menambat hati penonton. Lebih-lebih lagi dengan mengambil kira kematangan
penonton filem hari ini yang mempunyai cita rasa tinggi dalam memilih filem yang ingin
ditonton.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Kita bersyukur kerana industri filem tempatan masih terus bertapak, dan masih terdapat filem-
filem yang diterbitkan mendapat sambutan hebat dalam kalangan penggemar filem Melayu. Kita
semua menyedari sememangnya masih banyak ruang untuk kita perbaiki dan memantapkan lagi
industri perfileman kita agar dapat setanding dengan industri-industri filem negara lain yang
lebih maju dan terkenal. Pengusaha-pengusaha filem perlu sentiasa sedar dan peka akan cita rasa
penonton filem yang sering berubah dan sentiasa berkeinginan untuk menonton sesuatu yang
baru.

8. Peranan FINAS amat besar dan penting. Pemerhatian serta bimbingan FINAS diperlukan bagi
menjamin mutu filem yang dihasilkan. Saya amat gembira dengan sasaran FINAS yang
dinyatakan menerusi Pelan Strategik bagi tahun 2009 sehingga 2013 untuk memastikan
penerbitan 50 filem daripada pelbagai genre dalam tempoh setahun, berbanding purata 20 hingga
25 filem dalam setahun pada masa sekarang. Saya benar-benar berharap sasaran 50 filem ini
boleh dicapai. Saya percaya dalam mengejar sasaran ini, mutu dan nilai seni setiap penerbitan
akan diberikan penekanan yang sewajarnya oleh pihak FINAS agar bukan sahaja matlamat kita
tercapai dari segi kuantiti, tetapi juga tercapai dari segi kualiti. Saya juga difahamkan bahawa
FINAS menyasarkan purata 500,000 penonton bagi setiap filem dalam tempoh Pelan Strategik
tersebut. Hal ini merupakan satu cabaran yang besar bagi FINAS, namun begitu, saya yakin
bahawa sasaran ini mampu dicapai jika semua pihak yang terlibat dalam industri filem
termasuklah pemilik panggung wayang bekerjasama dan filem-filem yang dihasilkan berkualiti
tinggi dan menepati cita rasa penggemar-penggemar filem.

9. Dari segi pengukuhan aspek teknikal industri ini pula, dengan adanya Studio Digital Mixstage
ini, FINAS bukan sahaja mampu memantapkan penghasilan filem-filem tempatan, tetapi lebih
daripada itu, iaitu berupaya untuk memposisikan Malaysia sebagai antara destinasi “post-
production” terbaik di rantau ini.

10. Dalam kata lain, bukan sahaja filem-filem tempatan tidak perlu lagi ke negara jiran untuk
proses “Post–Production” yang melibatkan adunan suara dan suntingan kesan bunyi (dubbing
and sound effects editing), malah penerbit-penerbit filem asing juga boleh ditarik ke Malaysia
untuk menjalankan proses yang sama bagi filem-filem mereka. Hal ini amat selari dengan hasrat
kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi perfileman yang baik, yang memiliki
kepelbagaian lokasi yang sesuai untuk pelbagai bentuk filem.

11. Oleh itu, Malaysia dapat menjadi salah satu destinasi perfileman terbaik, di samping
mempunyai kemudahan teknologi yang canggih. Insya-Allah, FINAS akan mampu
memanfaatkan sepenuhnya studio canggih ini dan hasrat serta sasarannya akan mampu dicapai
dalam masa yang ditetapkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Bagi pihak kerajaan, industri ini dianggap penting dan akan terus diberikan perhatian
sewajarnya. Antara perancangan yang akan dilaksanakan termasuklah menyalurkan inisiatif-
inisiatif yang selaras dengan Dasar Perfileman Negara, iaitu:

• Mempertimbangkan tambahan dana Skim Pinjaman Filem Cereka daripada RM50 juta kepada
RM100 juta;
• Mewujudkan peruntukan khas bagi menyokong usaha-usaha mempromosikan serta penerokaan
pasaran baru bagi filem-filem Malaysia ke peringkat antarabangsa;
• Memperluas kerjasama penerbitan dokumentari dan animasi dengan saluran antarabangsa;
• Mempertimbangkan untuk melengkapkan kemudahan Kompleks FINAS bagi kegunaan
industri; dan
• Mengkaji insentif khas galakan penggambaran filem asing di Malaysia.

13. Selain itu, bagi memperkasakan aktiviti persatuan perfileman, terutamanya yang bernaung di
bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan juga persatuan yang
memperlihatkan kemampuan menjalankan program kebajikan dan peningkatan profesionalisme,
saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju agar geran bantuan
pengurusan yang disalurkan melalui FINAS kepada setiap persatuan ditingkatkan daripada
RM20,000 setahun kepada RM30,000 setahun. Hal ini dilakukan bagi membolehkan persatuan
terus merangka dan melaksanakan program pembangunan dalam kalangan ahli-ahlinya.

14. Demikianlah keprihatinan kerajaan terhadap industri perfileman tanah air, yang sebenarnya
memiliki potensi besar untuk maju dan berkembang sebagai salah satu industri utama yang
menyumbang kepada ekonomi negara. Saya berkeyakinan bahawa hasrat dan wawasan kita bagi
industri ini akan mampu kita capai jika semua pihak berusaha dan memainkan peranan masing-
masing. Insya-Allah dengan bimbingan daripada pihak Kementerian dan dengan pemantauan
serta inisiatif-inisiatif yang khusus daripada pihak FINAS terutamanya, Industri Filem Malaysia
akan lebih kukuh dan mantap, dan diharap filem-filem yang diterbitkan akan mampu bersaing
dengan filem-filem yang dihasilkan dari seluruh dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Perpaduan,
Kesenian dan Warisan, dan syabas serta tahniah saya rakamkan kepada pihak FINAS atas
bermulanya operasi studio yang serba canggih ini. Saya doakan agar usaha-usaha kita untuk
memajukan lagi industri filem negara akan terus berjaya. Maka, dengan lafaz
Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Studio Digital Mixstage Finas
ini.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

You might also like