You are on page 1of 82

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Pendahuluan

Jajahan Padang

Padang ialah salah sebuah jajahan yang tertua di negeri Johor. Pada zaman
Kerajaan Melayu Melaka berkembang kuasanya, Muar telah sedia ada. Tetapi
nama “Padang” belum tersebut lagi. Pada zaman dahulu nama “Bandar
Maharani”, Muar itu hanya dikenal dengan sebutan “Teluk Dalam”, iaitu
kawasan sekarang di sekitar pasar bandar Muar. Pada masa itu juga Kesang
dikenali dengan nama “Beringin Songsang”.

Di sebelah hulu Muar pula, iaitu Pagoh, Kota Buruk dan Biawak Busuk
juga telah wujud sebelum Kerajaan Melayu Melaka terdiri, iaitu kira-kira antara
TM 1300-1400. Sebaliknya nama “Padang” yang bersejarah itu mula dinamakan
“Padang”, apabila berlaku kebakaran pada jajahan itu selama beberapa hari
sehingga menjadi padang terkukur. Pada masa itu Orang Kaya Aris dan
Penghulu Pabitah yang memerintah “Padang”. Semenjak kejadian tersebut
jajahan itu disebut orang “Padang”.

Pembukaan Padang

Setelah Kerajaan Melayu Melaka dirobohkan oleh orang Portugis pada TM 1511,
jajahan Padang dengan sendirinya termasuk di bawah pemerintahan Kerajaan
Melayu Johor dengan pusat pemerintahan yang sentiasa berpindah-randah,
sekejap di Kampar, Johor (Hulu Johor) dan sekejap di Riau. Pada zaman Sultan
Sulaiman Badrul Alam Shah (Sultan Johor XII) memerintah Kerajaan Johor (TM
1717-1760), Padang diperintah oleh Tun Aris yang akhirnya bergelar “Orang
Kaya Aris” dan berpenghulukan Penghulu Pabitah.

1 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Menurut sejarah dan salasilah teras pembesar yang memerintah dan


berkuasa di Padang dan masih ada dalam simpanan warisnya hingga sekarang,
Orang Kaya Aris ialah cicit kepada Raja Champa (Bugis), iaitu Orang Kaya Aris
bin Sulaiman bin Rapa Muhammad bin Seriwa bin Raja Champa.

Penghulu Pabitah itu pula ialah seorang daripada ahli majlis raja-raja
Bugis. Kedua-duanya (Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah) telah keluar dari
negeri Bugis ke Melaka lebih kurang pada masa yang sama dengan anak-anak
Raja Bugis (Raja Luwok) berlima saudara, iaitu Daeng Parani, Daeng Marewa,
Daeng Manambong, Daeng Chalak dan Daeng Kemase keluar dari negeri Bugis
ke Tanah Melayu dan Sumatera. Dari Melaka, bersama-sama orang Bugis dan
orang Melayu Melaka mereka datang dan membuka jajahan Padang. Oleh sebab
itulah sehingga sekarang kebanyakan penduduk sekitar Padang adalah daripada
keturunan Bugis dan Melayu Melaka.

Selain daripada dua golongan yang menjadi tonggak atau teras Padang,
iaitu golongan Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah, ada satu lagi golongan
yang telah datang memerintah tidak jauh daripada jajahan Padang, iaitu
golongan Daeng (Temenggung) Ahmad. Daeng Ahmad yang memerintah di
Bukit Mor Parit Jawa juga daripada keturunan Raja Bugis, iaitu Daeng Ahmad
bin Daeng Abd. Rahman bin Sintar Pulah bin Daeng Perpatah bin Indera Parma.
Daeng Perpatah pernah tinggal di Melaka dan mendapat gelaran “Orang Kaya
Patah” bersama-sama dengan angkatan orang-orang Melayu berperang
mempertahankan Melaka daripada serangan orang-orang Portugis pada TM
1511. Akhirnya mereka berundur bersama-sama Sultan Mahmud Shah. Cicit
kepada Daeng Ahmad telah meninggalkan Bugis dengan sebuah padewa perahu
besar Bugis menuju ke Bulang, Riau untuk berjumpa dan bersahabat dengan
pemerintahnya yang bernama Temenggung Abd. Rahman (moyang kepada
Sultan Johor sekarang). Dari Bulang Daeng Ahmad belayar ke Batu Pahat dan ke

2 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Bukit Mor, Parit Jawa lalu memerintah di sini. Pada masa itu, Padang telah lama
dibuka dan diperintah oleh Orang Kaya Aris serta Penghulu Pabitah.

Patut diingat, ketiga-tiga teras Padang ini ada campur tangan yang
memberikan khidmat baktinya kepada Kerajaan Johor untuk menghapuskan
huru-hara yang dilakukan oleh perompak lanun sekitar Tanjung Tohor, Kuala
Batu Pahat, Selat Kukup dan pulau-pulau di selatan Singapura. Akhirnya Daeng
Ahmad yang memerintah Bukit Mor meninggal dunia kerana sakit di laut.
Jenazahnya telah dikebumikan di Pontian Besar.

Menyimpan Kesusasteraan dan Sejarah Lama

Hingga sekarang di sekitar kawasan Parit Bakar dan Parit Jawa ada menyimpan
kesusasteraan dan sejarah lama yang indah-indah dan mengghairahkan.
Penduduknya sejak zaman berzaman telah biasa hidup berketua, bermasyarakat,
bergotong-royong dengan hidup dikandung adat dan mati dikandung tanah
serta mempunyai upacara yang diwarisi turun-temurun. Oleh itu tidak
hairanlah jika penduduknya hingga sekarang, terutama di kalangan angkatan
tua masih lagi mendendangkan beberapa buah pantun dan syair yang bernas,
padat serta elok bentuknya. Pantun dan syair ini dipusakai daripada ibu bapa
dan datuk nenek mereka.

Antara anak jati atau teras Parit Raja yang masih menghidupkan amanah
pusaka kesusasteraan yang berbentuk puisi lama itu, ialah Tuan Hj. Abd.
Hamid bin Ithnain bin Wahad. Tuan Hj Abd. Hamid ialah seorang pawang
Melayu Parit Raja yang berumur hampir 80 tahun. Menurut beliau, penduduk
Parit Raja dan Parit Bakar dahulu kuat azam apabila berkehendakkan sesuatu
benda, hendak menang perjuangan dan hendak berjaya dalam sesuatu pekerjaan

3 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

yang sukar. Maka di kalangan orang tua-tua telah menggubah beberapa


rangkap syair dan pantun yang menarik dan bernilai. Satu daripada pantun itu
ialah:

“Nyior gading tinggi mahligai,

Sayang ketupat berisi inti;

Hancur daging tulang bercerai,

Belum dapat tidak berhenti.”

Selain daripada ini, Orang Kaya Jusoh (Orang Kaya Parit Raja yang
pertama) telah berpesanan kepada orang ramai supaya bersabar, bertenang dan
jangan membuat rusuhan di mukimnya. Mereka dikehendaki berkhidmat
dengan tulus ikhlas untuk kemajuan dan kemakmuran Padang pada amnya.
Mari kita renungkan sebuah dari pusakanya itu:

“Jangan mengamuk jangan merusuh

Jangan disebut sial celaka

Siapa mengamuk siapa merusuh

Dikutuk Allah ditimpa bala.”

4 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Pada zaman Orang Kaya Ringgit (anak Orang Kaya Jusoh) menjadi Orang
Kaya di Parit Raja, anak buahnya telah memuji-muji kekuasaan, kebesaran dan
kekayaan Orang Kaya itu dengan serangkap syair:

“Zaman Tok Kaya Ringgit * Badannya kecil lagi pendek

Perintah ia tiga ruang parit * Pakai pedang jalan mengeret.”

Menurut Tuan Hj. Abd. Hamid lagi, iaitu yang didapatinya daripada
orang-orang tua dahulu, Sultan Abu Bakar Johor selalu datang ke rumah Orang
Kaya itu. Baginda telah berkahwin dengan salah seorang daripada kerabatnya
yang bernama Cik Timah (Fatimah). Penduduk Parit Bakar dan Parit Raja pada
masa itu kebanyakanya senang-lenang dan kaya-raya hidupnya. Sebab itu
mereka beramai-ramai telah memuji kebesaran Sultan Abu Bakar dan
kebahagian Cik Timah. Di antara puji-pujiannya ialah:

“Batu Pahat sungai Sarang Buaya,

Tiga dengan Parit Raja;

Orang besar daulat Seri Maharaja,

Orang miskin jadi kaya.”

Nama Batu Pahat, Sarang Buaya dan Parit Raja selalu dijadikan
pembayang atau penimbang dalam pantun kerana pada zamam itu, ketiga-
tiganya tempat tersebut terkenal dan mashyur. Di sini juga ramai penduduknya
dan banyak hasil mahsulnya. Ramai antara mereka yang menjadi orang kaya,

5 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

penghulu, ketua kampung. Mereka yang dahulunya susah penghidupannya


kini menjadi senang-lenang dan kaya-raya.

Tuan Hj. Abd. Hamid itu sebenarnya daripada keturunan jati tetapi telah
bermukim di Parit Raja semenjak datuk neneknya lagi. Wahad, nindanya datang
berkampung di Parit Raja dari Kelang bersama-sama Raja Mahadi yang
berperang saudara melawan Tengku Kudin kerana berebutkan takhta Kerajaan
Selangor. Ithnain, bapa beliau pula pernah beberapa tahun lamanya berkhidmat
sebagai pengangkat tepak sireh Sultan Abu Bakar semasa baginda berangkat
ke Parit Raja dan Parit Bakar. Beliau juga biasa bersama-sama dengan Orang
Kaya Bakar pergi berperang di Lenga dan Jementah.

Selain daripada kesusasteraan lama, Parit Raja juga terkenal kerana


mempunyai banyak dongeng atau sejarah yang indah-indah. Disebabkan
tempat-tempat ini terkenal sebagai tempat yang tertua di Johor, maka hingga
sekarang masih terdapat beberapa buah keramat. Antara yang terkenal ialah
Keramat Tok Imam dan Keramat Mat Piah di Parit Raja Laut serta Keramat
Lidah Hitam di Parit Sakai.

Parit Raja juga ada menyimpan sebuah riwayat tragedi yang sangat
menyedihkan, iaitu “Kurang Sa (Satu ) Seratus Terbunuh” atau lebih dikenali
dengan sebutan “Lembing Awang Pulang ke Dayang.” Peristiwa ini berlaku
kira-kira 200 tahun yang lalu, iaitu pada zaman Orang Kaya Aris dan Penghulu
Pabitah memerintah jajahan Padang. Ceritanya mengenai soal pertunangan dan
perkahwinan, serta adat yang diadat-adatkan, maka sebatang lembing pusaka
telah meminta korban darah lalu kurang sa seratus orang terbunuh.

Hendak mengetahui lebih jelas gambaran cerita yang sangat ngeri dan
menyedihkan itu, silalah tatap isi kandungan buku ini selanjutnya.

6 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Bulat Air kerana Pembetung

Bulat Fikiran Tegal Muafakat

“Tak ada satu kerja dalam dunia ini yang tak boleh dikerjakan, kalau kita bersatu
hati, muafakat dan bekerjasama,” kata Orang Kaya Aris kepada anak buahnya.
Mereka berhimpun di halaman rumahnya pada suatu petang Jumaat untuk
membincangkan soal melipatgandakan lagi tenaga bercucuk tanam bagi
memulihkan kemakmuran jajahan Padang selepas kebakaran kira-kira 250
tahun yang silam.

Dengan suara lantang, Orang Kaya Aris menyambung lagi katanya, “Kau
semua tentu ingat kata orang tua-tua kita, bulat air kerana pembetung, bulat
fikiran tegal muafakat. Tiap-tiap orang keluarkanlah fikiran untuk membangun
dan memajukan jajahan Padang yang baru lepas dimakan api ini.” Orang Kaya
Aris berkata-kata dengan penuh harapan sambil mulutnya mengunyah sireh.

Sejurus beliau berpaling ke kiri mendengar suara Bacok, iaitu seorang


pemuda yang agak besar, tinggi dan tegap tubuh badannya menjawab, “Maaf
Dato’, hamba dato’ fikir jangan pisang berbuah dua kali. Lebih baik kita semua
tinggalkan jajahan Padang yang telah jadi padang tekukur ini dan berpindah ke
tempat lain. Nampaknya di sini bukan tanahnya bertanam padi. Rezeki di sini
kalau secupak secupak juga, takkan boleh jadi segantang”.

“Berpindah ke tempat lain, Bacok?” Orang Kaya Aris menyampuk sambil


memandang Penghulu Pabitah yang ada disampingnya. “Benar Dato’,” jawab
Bacok dengan bersungguh-sungguh. “Cakap pindah memang mudah Bacok,
tetapi kerja berpindah itulah yang berat. Jangan lupa Bacok. Bukankah orang-

7 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

orang tua berkata, tujuh kali pindah akan jadi papa? Jadi sebelum kita semua
tujuh kali pindah, sekali pindah pun jangan.”

Mendengar kata Orang Kaya Aris ini, Bacok tersenyum kecil sambil
memandang sekalian yang hadir. Seketika Bacok menyambung katanya lagi,
“Nampaknya Dato’ kuat memegang adat pantang. Bukankah kita anak-anak
Bugis biasa merantau dan menyabung nyawa. Berpindah-randah itu sudah
menjadi darah daging kita! Kalau kita semua anak-anak Bugis sanggup
meninggalkan negeri Bugis yang jauh, mengapa sekarang kita tidak sanggup
berpindah meninggalkan Padang yang sudah tidak berguna ini?”

Mendengar kata-kata Bacok ini, Penghulu Pabitah dengan segera


memotong cakap, “Kita masih sayangkan tempat ini, Bacok . Buruk baiknya
telah kita ketahui dan rasai tetapi tempat lain … belum tahu lagi.”

“Benar Dato’. Hamba fikir pun begitu juga, sebab kita takut yang dikejar
tak dapat yang dikendong berciciran. Sedikit sebanyak, Padang sudah pun
memberi jasa kepada kita.” Awang seorang pemuda kacak berkeluarga dengan
Orang Kaya Aris menyokong pendapat Penghulu Pabitah. Mendengar
sokongan ini, Bacok berpaling memandang dengan marah dan berkata, “Yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran … macam nujum. Kalau negeri
sudah terbakar, takkan boleh pulih semula, jadi apa guna ditunggu lagi?”

Dengan tersenyum-senyum sambil menghalakan pandangannya kepada


Orang Kaya Aris yang sedang duduk memintal-mintal misainya di atas bendul
pintu rumahnya, Awang menjawab “Hamba bukan nujum, Dato’. Kita patut
berfikir dua kali, sebab ini kerja kita bersama. Sememangnya Padang telah
terbakar dan sekalian tanam-tanaman dan ternakan kita telah habis binasa, tetapi
jangan pula kita lupa berterima kasih kepadanya. Selama ini kita hidup
bukankah mendapat jasa daripadanya? Apa salahnya jika negeri yang telah
binasa ini kita usahakan semula? Belum dicuba belum tau. Boleh jadi kebakaran
8 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

ini dugaan Tuhan yang ada hikmahnya. Adakah umatnya sanggup bersabar
dan sanggup berjuang menghadapi rintangan? Macam mana hendak
mendapatkan sagunya kalau tidak dipecahkan ruyung, Dato’?”

Belum pun sempat Orang Kaya Aris menjawab, Bacok telah menjawab
dengan suara yang keras “Apakah hendak diusahakan lagi, Dato’? Berapa
tahun sudah kita semua berkhidmat pada tanah di sini? Akhirnya panas
setahun hujan sehari; terbakar habis semua rosak binasa. Memang bukan
tempatnya kita berkampung dan bernegeri”.

“Nampaknya kau lekas putus harap Bacok. Orang muda tak sanggup
susah dan tak sanggup menempuh rintangan. Apalah yang kau gaduhkan
hendak menetap di sini atau tidak, terpulanglah pada diri masing-masing. Aku
dan Tok Kaya Aris tetap kekal di sini. Sebab pada tilik pandang aku, tanah
Padang ini ada tuahnya di kemudian hari. Insyallah akan jadi sebuah jajahan
yang kaya-raya, hasil tanam-tanamannya akan terkenal ke mana-mana. Jangan
lupa, Bacok dan kau semua yang hadir. Tanah tidak bersalah, berkhidmat dan
berbudilah kapada tanah. Insya-Allah tanah akan membalas khidmat dan budi
kita. Yakinlah, sesiapa berbudi dengan tanah, dia tentu tidak akan kebuluran”.
Penghulu Pabitah menegaskan pendiriannya untuk tidak berpindah dan
menasihatkan sekalian anak buahnya. Masing-masing bersetuju dengan
pendapat dan nasihat Penghulu Pabitah.

Sedang mereka bercakap-cakap, tiba-tiba Bacok dengan kawan-kawannya


bangun bercakap, “Maaf, Tok Kaya. Rasanya lebih baik kita semua berpindah ke
Batu Pahat, kerana Batu Pahat pun tempat lama dan sudah dikenal orang
semenjak zaman Kerajaan Melayu Melaka besar lagi. Biarlah anak-anak Melaka
tinggal di sini.”

Orang Kaya Aris tersentak dan menghalakan pandangannya tepat


kepada Bacok dan menjawab, “Tidak Bacok, tidak. Jangan kau cuba hendak
9 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

memecah belahkan dua puak keturunan darah yang telah bersatu padu, hidup
aman damai dan telah susah senang bersama-sama menghadapi dugaan
kebakaran di Padang ini. Kau berniat hendak pisah-pisahkan merekakah? …
Bukankah daripada hidup seorang lebih baik hidup beramai-ramai? Bukankah
Melaka itu Bugis dan Bugis itu Melaka? Kedua-duanya Melayu, rakan sebaya
dan seagama? Aku tidak sekali-kali rela kedua-duanya dipisah-pisahkan dan
dibeza-bezakan. Sebagai ketua aku tidak mahu bersifat limau masam sebelah.
Marilah kita tolong-menolong usahakan balik jajahan Padang ini supaya
bertambah-tambah makmur seperti sedia kala.”

Mendengar seruan Orang Kaya Aris, sekaliannya menjawab, “Baiklah


Dato’. Terima kasih Dato’. Mudah-mudahan Allah lanjutkan usia Dato’
berdua.”

10 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

Kesudahan perhimpunan di halaman rumah Orang Kaya Aris itu, sekaliannya


kecuali Bacok dan kawan-kawannya telah sebulat suara bersetuju tinggal tetap
di Padang. Sebaliknya, Bacok dan kawan-kawannya yang membantah dan tidak
bersetuju itu, tidak pula berpindah ke Melaka atau ke Batu Pahat kerana Bacok
ialah pemuda yang tidak mempunyai pendirian tetap, tidak biasa berdagang
atau keluar belayar ke tempat lain.

Awang dikenali sebagai seorang pemuda yang berpendirian tetap dan


bertanggungjawab atas apa yang dibuatnya. Setiap kata dikotakan. Sebab
itulah dia pernah diperintahkan oleh Orang Kaya Aris belayar ke Bukit Mor,
Parit Jawa dan ke Kesang, Melaka untuk membawa utusan kepada kaum
kerabatnya di sana.

Semasa menjadi utusan ke situ, Awang juga melanjutkan lagi


pengetahuan silat pencak dan menggunakan senjata keselamatan diri. Maka,
Awang berpeluang bercampur dengan orang-orang yang lebih pandai dan
mahir bermain catur, hingga akhirnya ia dikenali sebagai seorang muda handal
juga dalam permainan itu.

Semenjak hari itu, tidak kira lelaki dan perempuan, mahu pun pemuda
dan pemudinya telah keluar beramai-ramai tiap-tiap hari, bekerja bergotong-
royong menanam kelapa, pinang dan membuat sedikit dusun buah-buahan.
Sementara menunggu pokok-pokok itu mengeluarkan hasil untuk
diperdagangkan ke Melaka, Riau dan Seberang Sumatera, Penghulu Pabitah
telah memerintahkan mereka “berjagung-jagung dahulu sementara menunggu
padi masak”, iaitu becucuk tanam ubi keladi, pisang dan bersawah padi.

11 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Di samping itu, mereka yang muda-muda telah bergotong-royong


menebang dan menebas hutan di sebelah darat Padang untuk mendapatkan
kayu. Kayu ini digunakan untuk membuat rumah dan bangunan baru
menggantikan yang telah binasa dijilat api dahulu. Perempuannya yang tua-
tua, bekerja menganyam tikar dan membuat atap dari daun nipah yang didapati
dari kuala-kuala sungai berhampiran. Sesetengahnya bekerja berkarang di tepi
pantai.

Awang ada juga mengikut kawan-kawannya bekerja hutan dan bercucuk


tanam, tetapi kerja yang sangat digemarinya ialah mengail ikan di laut.
Walaupun perompak dan lanun sedang menjadi-jadi di sekitar Selat Melaka,
terutama sepanjang pantai dari Tanjung Tohor hingga ke Kukup, ini sedikitpun
tidak membimbangkan hatinya. Sememangnya Awang tebal dengan ilmu
pendekar dan terkenal sebagai pemuda yang pandai bersilat pencak.

Kira-kira dua tiga tahun kemudian, barulah nampak kemakmuran


Padang mula beransur-ansur pulih. Pokok-pokok pinang dan kelapa mula
nampak melaut-laut. Tepung-tepung sagu, ubi kayu kering dan pisang banyak
diperdagangkan keluar. Pada masa itu pengkalan-pengkalan di kuala Parit Raja
dan Parit Bakar penuh sesak dengan perahu serta sekuci-sekuci saudagar dari
Melaka, Riau, Acheh juga Bugis. Turut sama di pengkalan ialah perahu sekunar
dan padewa dari seluruh kepulauan Melayu, serta wangkang-wangkang dari
negeri China. Perahu ini semuanya kepunyaan saudagar-saudagar yang
berulang-alik ke sini kerana berniaga dan bertukar-tukar barang perniagaan.

Pendek kata, pada masa itu kemakmuran di Padang mula pulih. Dari hari
ke hari semakin ramai orang-orang dari Melaka, Riau dan Seberang Sumatera
menumpu masuk membuat tempat kediaman. Dari kuala Batu Pahat hingga ke
kuala Muar telah penuh semula dengan rumah-rumah, sama seperti sebelum
berlaku kebakaran Padang dahulu. Kemasyhuran jajahan Padang, nama Orang

12 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Kaya Aris dan Penghulu Pabitah mula terkenal hingga kemana-mana di Alam
Melayu ini. Oleh itu, masing-masing terutama ahli-ahli perniagaan dengan
seberapa daya membawa dagangannya berulang-alik berniaga dengan
penduduk Padang.

13 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Hidup Dikandung Adat


Mati Dikandung Tanah

Selepas beberapa tahun kemudiannya, Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah
merasa amat bersyukur ke Hadrat Allah Yang Maha Kuasa di atas izin dan
limpah kurnianya telah memulihkan balik kemakmuran jajahan Padang yang
bersejarah dan menyedihkan. Mereka berbesar hati melihat perpaduan erat
antara penduduk daripada dua golongan yang besar, iaitu keturunan darah
Melaka dan Bugis.

Kedua-dua tonggak dan teras Padang yang berjasa itu telah berniat,
kalau jajahan Padang itu dapat dipulihkan semula kemakmurannya, mereka
akan menjemput seorang ulama Islam datang ke Padang mengajar hukum
syarak kepada sekalian penduduk. Pada masa itu agama Islam telah
berkembang di beberapa buah negeri di Alam Melayu seperti di Acheh, Jawa
Timur dan Riau, tetapi Islam di Padang belum bertapak dengan kuat. Ajaran
dan hukum-hukamnya masih tipis dan ringan pada mereka.

Pada suatu hari, anak-anak raja Bugis yang berlima saudara, iaitu Daeng
Parani, Daeng Manambong, Daeng Marewa, Daeng Chalak dan Daeng Kemase
diiringi oleh Temenggung Ahmad datang melawat ke jajahan Padang.
Temenggung Ahmad adalah menantu Penghulu Pabitah yang memerintah di
Bukit Mor. Untuk menyambut mereka Orang Kaya Aris telah mengadakan satu
keramaian silat pencak dan ronggeng di kawasan rumahnya selama tiga hari tiga
malam. Ronggeng itu dijemput khas orang-orang dari Melaka dan Kesang.
Sekalian pemuda juga dijemput datang beramai-ramai untuk bersuka ria.

Bagi Bacok dan kawan-kawannya “Pucuk dicita ulam mendatang,”


kerana di tempat dan pada masa yang seumpama itulah terbuka peluang

14 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

mereka menunjuk-nunjuk gaya dan lakunya yang sombong dan bongkak itu.
Mereka mengetahui permainan silat pencak dan ronggeng itu tentu sahaja
menjadi sasaran mata orang ramai, termasuk pemuda dan pemudi yang datang
dari seluruh Padang. Temasya ronggeng dan silat pencak itu, mengingatkan
Bacok kepada sekuntum bunga cempaka seri Padang yang jelita yang dikenal
dengan nama timangan Dayang. Hati Bacok telah terpaut pada gadis ini. Gadis
seri Padang ini ialah saudara sepupu sebelah ibu kepada Awang. Ibu Dayang
adalah kakak kepada ibu Awang. Bacok telah mengenakan pakaian serba hitam
potongan Bugis, iaitu berbaju pesak sebelah, berseluar sangat kecil dan singkat
di bawah. Berikat kepala, bersamping dan tersisip sebilah badek di
pinggangnya. Pagi-pagi lagi Bacok dengan kawan-kawannya telah keluar
menuju ke rumah Orang Kaya Aris. Sejak semalam Bacok telah terfikir, di antara
pemuda dan pemudi yang datang menonton, sudah tentu akan ada Dayang,
bunga Cempaka Padang yang dimabuk kecubungkannya itu. Sangkaan Bacok
benar sekali kerana semenjak beberapa hari sebelum anak-anak raja Bugis
berlima saudara dan Temenggung Ahmad datang ke Padang, rumah Orang
Kaya Aris dan Penghulu Pabitah yang letaknya tidak berjauhan itu telah dihias
dengan berbagai-bagai perhiasan daun-daun dan mayang-mayang kelapa serta
pinang. Daun kelapa dibentuk dan dianyam menjadi bunga, ular dan
seumpamanya lalu digantung di sekeliling kedua-dua rumah. Orang yang
menghiasnya ialah Dayang dan gadis-gadis Padang sekalian, sementara
perempuan-perempuan yang lain pula menolong mengatur dan memadankan
perhiasan kedua-dua rumah tersebut. Ada yang menyediakan makanan untuk
orang-orang yang bekerja mendirikan balai, panggung dan membetulkan jalan-
jalan dari pengkalan-pengkalan kuala Parit Raja dan Parit Bakar menuju ke
rumah Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah. Jalan-jalan inilah yang bakal
dilalui oleh tetamu-tetamu agung itu.

15 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Awang turut memberikan khidmat baktinya untuk keramaian ini tetapi


sebaliknya Bacok dan kawan-kawannya hanya berlagak ke hulu, ke hilir, ke
timur dan ke barat memerintah orang-orang yang bekerja sahaja. Tetapi
perintahnya itu tidak dihiraukan oleh mereka sekalian sebab kuasa memerintah
dan mengetuai kerja-kerja itu adalah pada tangan Tun Yusuf, anak Orang Kaya
Aris.

Patut juga ditegaskan di sini, menurut kebiasaan adat dan peraturan


hidup orang-orang kampung dahulu, sesetengah adat dan peraturan itu hingga
sekarang masih digunakan oleh orang-orang kita. Apabila ketua-ketua
kampung atau jiran tetangganya membuat sesuatu kerja seperti nikah kahwin,
kenduri kendara atau membuat sesuatu keramaian, sekalian anak kampung
bergotong-royong membuat kerja-kerja itu. Bukan sahaja menyumbangkan
tenaga tulang empat keratnya, bahkan barang-barang dan wang ringgit.
Keadaan seperti ini juga berlaku di Padang. Ketibaan tetamu-tetamu agung
itu diraikan secara besar-besaran oleh penduduk Padang. Antara orang-orang
yang mengangkat usungan tetamu-tetamu agung itu ialah Awang, tetapi Bacok
hanya sibuk berlagak memperkenalkan dirinya supaya terkenal dari hujung ke
pangkal dalam perarakan itu. Sekejap-sekejap dia tertawa berdekah-dekah
dengan kawan-kawannya seraya menghunus badeknya selaku hulubalang
gagah perkasa konon.

Setelah diketahuinya Dayang ada bersama-sama dalam barisan orang


ramai itu, hati Bacok semakin bertambah-tambah gembira. Kelakuannya yang
tidak sopan itu pun semakin menjadi-jadi. Dengan tidak segan dan malu dia
telah menunjukkan tingkah laku yang angkuh dengan lagaknya yang sumbang
dan ganjil.

Perarakan dari pengkalan kuala Parit Raja hingga ke rumah Orang Kaya
Aris menjadi sangat meriah. Riuh rendah dengan suara nafiri, gong dan

16 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

gendang serta suara orang ramai bersorak berkumandang di udara. Orang


ramai tidak begitu menghiraukan tingkah laku Bacok yang janggal itu tetapi
Dayang dari sebalik kain tudung yang menarik pandangan itu sesekali
melantaskan pandangan matanya yang laksana bintang timur itu kepada Bacok.

Dayang merasa malu kerana dirinya menjadi sasaran pandangan nafsu mata
Bacok, si mata keranjang yang mabuk kecubung itu. Malunya bertambah,
terutama bila teringatkan bisikan kawan-kawannya beberapa hari lalu, yang
mengatakan Bacok bermegah-megah dengan kawan-kawan hendak
mengambilnya menjadi isteri. Di mana Bacok berada, mulutnya tidak sunyi
daripada memuji-muji kejelitan dirinya.

Keadaan hati Dayang pada masa itu tidaklah dapat hendak dilukiskan.
Sungguh-sungguh dia benci dan jijik melihatkan perangai dan kelakuan Bacok
yang kasar, angkuh dan sombong ketegar itu. Hatinya berbisik, “Ada rupanya
orang muda bangsaku berperangai dengan kelakuan seperti itu. Tidak sopan.
Bolehkah diharap? Kalau begini, harapkan pagar, pagar makan padi.”

Waktu itu Bacok tidak sedarkan diri, lupa daratan, tidak mengenal pantai,
karam ditengah-tengah lautan mabuk kecubung. Riuh rendah mulutnya
terpekik-pekik dan menyindir serta mengusik Dayang. Semua perbuatannya ini
sentiasa diperhatikan oleh Awang. “Kalau cubit peha kanan peha kiri terasa
juga,” begitulah lukisan yang terbayang di hati Awang. Awang terasa apabila
Dayang, saudara sepupunya itu disindir, diusik serta dipandang murah
maruahnya.

Melihatkan tingkah laku dan perangai Bacok seperti itu, Awang marah
dan teringat akan kata-kata, “Memang dalam kumpulan binatang tidak ada
manusia, tetapi dalam kumpulan manusia ada binatang dan dalam kumpulan
syaitan tidak ada manusia……” Sebab itu kelakuan dan perangai Bacok tidak
boleh ditegur dan dilarang. Hinggakan pada suatu masa, pernah Penghulu
17 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Pabitah menegur dan menasihat Bacok serta kawan-kawannya supaya berubah


laku dan berperangai baik, tetapi teguran dan nasihat Penghulu Pabitah itu sia-
sia sahaja. “Habis air setelaga arang dibasuh tak juga putih.” “Kalau sudah
gagak, gagak juga. Dimandikan tujuh kali sehari dengan air mawar pun tidak
akan putih bulunya.”

Sebab itu Awang tiada hendak membuat apa-apa kepada Bacok, terutama
semasa istiadat yang begitu meriah. Awang tidak patut bertindak atau
mengambil langkah menasihat atau menghalang kelakuannya yang tidak sopan
itu.

Ketibaan tetamu-tetamu agung ke rumah Orang Kaya Aris disambut dan


dijamu dengan pelbagai makanan yang bergulaikan ikan, ketam, udang dan
ayam serta karangan laut. Dihidangkan juga dengan kuih-muih yang diperbuat
daripada tepung beras, jagung, sagu, ubi dan pisang hasil titik peluh tanaman
dan perusahaan penduduk Padang sendiri. Minuman yang dihidangkan ialah
kopi dan teh hasil daripada pertukaran barang-barang dengan saudagar Cina.

Sungguhpun pada masa itu negeri Melaka diperintah oleh orang Belanda,
iaitu selepas ditinggalkan oleh orang Portugis tetapi pengaruh Barat yang telah
lama berkuku di sana, tidak sedikit pun masuk ke jajahan Padang. Jajahan itu
tetap bebas merdeka, bersatu dengan jajahan-jajahan lain di bawah Kerajaan
Melayu Johor dengan pusat pemerintahannya di Riau. Sebab itu jamuan
keramaian atau Jamuan Negara kata orang sekarang yang diadakan secara
besar-besaran di Padang, adalah jamuan cara Melayu tanpa minuman keras.
Sireh yang berasal daripada pengaruh dan kebudayaan Hindu pula tetap
menjadi santapan kebangsaan yang dihormat dan dimuliakan.

Selama tiga hari tiga malam tetamu-tetamu agung itu di Padang,


permainan silat pencak dan joget terus-menerus dilangsungkan. Bacok dan
kawan-kawannya menghabiskan masa dengan permainan-permainan itu.
18 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Tetapi Awang dan beberapa orang kawan-kawannya bercampur dengan orang


tua-tua, bermain congkak dan catur di anjung rumah Orang Kaya Aris.

Bacok dengan kawan-kawannya selepas penat bersilat, pergi pula


bertandak dan berjoget hingga tak sedarkan diri, semakin malam semakin
rancak. Semasa mereka bersilat pencak dan berjoget, hanya Panglima Hitam
sahaja yang merasa bangga dan menepuk-nepuk tangan menggalakkannya.
Panglima Hitam ialah bekas kepala perompak lanun Tanjung Tohor yang
ditewaskan oleh Orang Kaya Aris lalu menyerah diri. Panglima Hitam juga
adalah guru silat kepada Bacok dan kawan-kawannya. Oleh kerana selalu
berdamping rapat, tambah pula Bacok kerap berulang, datang dan bertunggu-
tangga di rumah Panglima Hitam, maka Panglima Hitam itu dianggap sebagai
mahaguru pujaannya. Selalulah Bacok membawa berbagai-bagai buah tangan
dan akhirnya Bacok mendapat gelaran “Orang Kuat Padang”.

Orang-orang Padang merasa hairan bagaimana gelaran itu diberikan


kepada Bacok kerana sepanjang yang diketahui, Bacok tidak pernah merantau,
tidak pernah berjuang senjata menentang lanun-lanun dan tidak pernah
didengar berlawan silat dengan orang-orang lain; melainkan dia hanya berani
berlawan dengan kawan-kawannya sendiri. Pemuda-pemuda Padang yang lain
merasa kecewa dan tidak berpuas hati, kebolehan dan khidmat bakti mereka
tidak dipandang dan dihargai. Walaupun mereka masing-masing telah berkali-
kali diperintahkan oleh Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah melawan dan
menghapuskan perompak lanun yang bermaharajalela menghalang perahu-
perahu perniagaan di Tanjung Tohor, kuala Batu Pahat dan Selat Kukup. Oleh
kerana tidak berpuas hati dengan gelaran tersebut, mereka beberapa kali telah
berhimpun membahaskan hal ini. Keputusan perbahasan itu hendak
disampaikan kepada Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah tetapi untuk
mengelakkan pertumpahan darah sesama sendiri di Padang, maka Awang telah
menghalang. “Perkara yang sekecil itu tidak patut diberitahu Orang Kaya dan

19 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Penghulu” Awang menasihatkan mereka. “Memang adat dunia, kalau tak kenal
maka tak cinta. Demikian juga kalau tidak baik maka tidak kisah. Apa
digaduhkan, semenjak dunia ini terbentang, manusia sudah pandai mepilih
kasih, tidak amanah dan berhawa nafsu. Kalau tidak, tak kanlah Kerajaan
Melayu Melaka yang besar itu dapat dirobohkan oleh orang-orang Peringgi”.
Awang menyambung lagi katanya.

20 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Mabuk Kecubung dan


Adat yang Diadat-adatkan

Malam kedua adalah malam yang paling meriah sekali kerana pada malam itu
kaum perempuan pula berhimpun untuk beramah-mesra dengan isteri dan
anak-anak Temenggung Ahmad yang turut sama mengiring angkatan anak-anak
raja Bugis berlima saudara itu. Di anjung dan di serambi rumah Orang Kaya
Aris penuh sesak dengan gadis-gadis termasuk Dayang yang menyaksikan
temasya pada malam itu.

Pada malam itu Bachok dan kawan-kawannya telah terlebih


menunjukkan kelakuan dan perangainya yang kasar dan bongkak. Selepas
penat bersilat, mereka pergi pula bertandak dan berjoget. Semakin malam
semakin rancak mereka bertandak. Berbagai-bagai bunyi pantun yang dinyanyi
dan disenandungkan oleh mereka. Bachok dengan kelakuan yang tidak sopan
menyanyi serta berpantun, kemudian disuruh pula kawan-kawannya menjawab.
Sungguppun pantun-pantun yang dinyanyikan itu pantun-pantun yang telah
mashyur dan diketahui ramai, tetapi hasrat hatinya menyanyikan pantun-
pantun itu ialah untuk ditujukan kepada Dayang yang sedang leka menghalakan
pandangannya ke bangsal-bangsal orang bersilat. Antara pantun-pantun yang
dinyanyikan oleh Bachok dan kawan-kawannya ialah:

Bachok: “Perahu baru temberang pun baru,

Baru sekali masuk ke Melaka

Tuan baru saya pun baru,

21 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Baru ini berpandangan mata.”

Kawan Bachok : “Perahu baru temberang pun baru,

Baru sekali masuk ke Padang;

Kekanda baru adinda pun baru,

Manakah dia kekasihnya abang?”

Bachok: “Dari Padang ke Pulau Lawan,

Jauh belayar singgah di Deli;

Kasih abang kepadamu tuan,

Bersusah-payah datang ke mari.”

Jauh belayar singgah di Deli,

Layar diganti panglima Rawa;

Bersusah-payah datang ke mari,

Menyerahkan hati dengan jiwa.”

Di sini kedengaran hingar bingar tepuk sorak kawan-kawan Bachok


dengan masing-masing menunjukkan kelakuan yang tidak sopan di hadapan
perempuan joget yang tersenyum-senyum malu mendengar pantun-pantun itu.

22 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Tetapi mereka tidak tahu pantun-pantun itu ditujukan kepada siapa. Sejurus
kemudian dengan suara lembut dan halus kawan Bachok menjawab,

“Jikalau roboh kota Melaka,

Rakyat dikerah soldadu Belanda;

Jikalau sungguh abang berkata,

Badanku serah kepada kekanda.”

Bacok : “Pasang kajang di Tanjung Bidara,

Orang kaya naik haji;

Kekanda bujang adinda pun dara,

Sama setia memegang janji.”

Mendengar pantun-pantun yang dinyanyikan oleh Bachok dan kawan-


kawannya itu, Syawal yang sedang bermain catur bersama-sama Awang dan
Ragam berkata, “Dengar Awang. Apa yang dipantunkan oleh orang-orang itu?
Tidakkah mereka memukul dinding kepada salah seorang yang ada di sini pada
malam ini?” Dengan tenang Awang menjawab, “Biarkanlah mereka berpantun,
menyanyi dan menari dengan menunjukkan kelakuan biadab dan tidak sopan.
Berilah mereka peluang memuaskan hawa nafsunya beberapa hari ini. Kalau
orang siuman tak akan berkelakuan seperti itu. Tidak menghormati maruah dan

23 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

kehormatan diri orang lain. Pengecut berani memukul dinding. Kalau jantan
cubalah pukul tiang baru tau penangannya.”

“Apa kau marah dan cemburu Awang?” Ragam pula bertanya. “Marah
tidak, cemburu pun tidak, Ragam. Tetapi perangai dan kelakuan seperti itu tak
ada siapa yang suka. Sememangnya kalau kita kuat, gagah dan segak, kita boleh
berbuat sekehendak hati anak orang? Kalau pun Dayang itu bukan anak Mak
Long dan Pak Long aku, aku patut juga bercakap seperti itu. Kalau sungguh dia
berhajatkan Dayang, bukankah lebih baik dia suruh orang pergi meminang?
Jalankan mengikut adat. Bukankah selagi kita dalam lingkungan yang
dikatakan bangsa Melayu, tidak terlepas daripada adat Melayu? Selagi kita
mengaku beragama Islam tentu tidak lepas daripada undang-undang Islam?
Bukankah agama ialah aturan dan undang-undang hidup, dan adat ialah
pakaian bangsa?”

“Benar sangat kata kau, Awang” Syawal menjawab, “tidak ada dalam
adat kita, anak-anak Bugis dan Melayu perkara seperti itu. Daripada pantun-
pantun yang dinyanyikan tadi, dapat kita fahamkan bahawa Bachok dengan
biadab hendak mengajak Dayang berkasih-kasihan. Berpura-pura hendak
menyerahkan hati dan jiwanya. Dengan terus-terang dia hendak mencarikkan
kemuliaan adat resam bangsa kita yang sudah turun-temurun. Bukankah
sebaik-baik perkahwinan adalah dengan izin dan persetujuan daripada ibu bapa
dan saudara-mara? Perkahwinan adalah soal kaum keluarga, bukan hanya soal
diri si bujang dengan si dara sahaja. kerana perkahwinan merapatkan lagi
perhubungan antara puak, iaitu puak lelaki dengan puak perempuan hingga
menjadi satu keluarga besar dan teguh.

“Sudahlah Syawal. .Jahanam dengan dia. Kalau dia berani buat, bairlah dia berani
tanggung. Kalau Bacok berani mencarik adat dan tergamak mengatakan biar mati adat jangan
mati anak, dia akan terima kutukan daripada orang ramai,’’ Awang menjawab dengan marah.

24 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Mendengar ini Ragam tersenyum sambil memandang Dayang yang


sedang asyik melihat orang-orang bersilat pencak di bawah dan berkata, “Apa
disusahkan Awang, Syawal, bertepuk sebelah tangan tangan takkan berbunyi.”

“Tetapi manalah tahu, bukankah hati perempuan macam kerak nasi? Belakang parang
lagikan tajam bila diasah. Jarang didapati orang perempuan yang memandang pada budi bahasa
dan tingkah laku yang sopan santun. Kebanyakan memandang pada kebendaan, wang,
kekayaan dan kebesaran pangkat. Mereka tidak memandang berkat dan kebahagian yang
berkekalan. Yang mereka kirakan ialah kemegahan, walaupun kemegahan itu tidak berkekalan.”
Awang berkata lagi dengan suara sedih.

“Hai Awang, apa kau cemburukan Dayang? Bukankah aku sudah


katakan tadi tetapi kau tidak mengaku. Agaknya kau irihati? ‘Ragam memotong
cakap. Kalau kau fikir Dayang adalah seperti yang aku katakan tadi, nah
masanya belum terlambat. Lebih baik kau suruh ibu bapa kau pergi berjumpa
dengan Mak Long dan Pak Long kau untuk meminang Dayang. Ingat, sebelum
bunga Cempaka Padang itu diragut yang berkuku besi, lebih baik kau
selamatkan. Petiklah dan suntinglah ia baik-baik.” Ragam menyambung katanya
lagi dengan bersungguh-sungguh sambil memandang Dayang yang sedang
tersenyum bergurau senda dengan kawan-kawannya.

Dengan tersenyum Awang menjawab kata-kata Ragam, sahabatnya.


“Cakap memetik tidaklah susah, Ragam, tetapi kerja memtik itulah yang susah.
.Yang aku tahu cempaka itu tinggi, terpaksa disediakan galah dan tangga
terlebih dahulu.”

“Hai Awang. Bukankah cempaka itu kepunyaan Mak Long dan Pak Long
kau sendiri?” Ragam mendesak dengan hairan.

“Ya, tetapi aku tidak boleh memetik begitu saja. Bukankah kita ini hidup
dikandung adat, mati dikandung tanah. Adat yang tak lapuk dik hujan dan tak
lekang dik panas,” Awang menjelaskan.

25 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Apa maksudmu Awang? Kalau kau kahwin dengan Dayang, kau mesti
berbelanja besar?” Syawal pula mendesak.

Dengan rupa sedih dan suara yang tertahan Awang menerangkan, “Tentu
sekali, Syawal. Bukan kau tak tahu akan hal Pak Long aku itu. Mak Long aku tu
kakak mak aku, bolehlah berlebih kurang tetapi Pak Long tu orang lain.
Orangnya pun suka bermegah-megah dan mengangkat-angkat taraf diri sendiri.
Bertambah pula, Dayang anaknya hanya seorang, itulah nyawanya dan itulah
buah hatinya.”

“Kan bagus, ibarat tutup dengan cembulnya. Dia anak tunggal, kaupun
anak tunggal.” Ragam memotong cakap sambil mencapai dan menunjukkan
tutup dan cembul tempat sirih yang terletak di sisinya.

Memandang ini Syawal dan Awang tersenyum.

Awang menjawab lagi, “Kau pandang pada tunggalnya, tetapi kau tak
pandang pada cara penghidupannya dan cara didikan yang diberikan oleh
bapanya.”

“Sudahlah, Awang. Jangan berkira sangat antara yang ia dan yang


bukan,” ‘sahut Syawal menasihatkan Awang. “Yang kau pandang didikan, yang
kita mahu Dayang sukakan dengan kau sudahlah. Pak Long kau kita tolak
belakang, sebab bukan Pak Long kau yang berkahwin,” sambungnya lagi.

“Betul kata kau, Syawal. Tengok aku berkahwin dengan Siti, aman damai
dan berbahagia juga bukan?” Ragam menyokong pendapat Syawal.

Awang tesenyum-senyum dan mengeleng-gelengkan kepalanya


menegaskan katanya lagi, “Bukankah aku sudah katakan tadi, perkara hendak
memetik dan menyunting bunga cempaka Pak Long dan Mak Long itu taklah
susah. Bila sudah dalam genggaman kita, tahulah kita menjaga dan

26 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

memeliharanya, tetapi bukan itu maksudku. Ingatlah kataku tadi, kerja memetik
itulah yang susah. Yang aku tahu pokok itu tinggi, terpaksa disediakan galah
atau tangganya dahulu.”

“Oh ya, fahamlah aku, Awang.” Ragam segera memotong cakap.


“Agaknya wang belanja hantaran Dayang itu sangat tinggi dan kau tak terdaya,
Awang?” Tanya Ragam lagi.

“Begitulah,” Awang menjawab dengan sepatah kata.

Ketika itu juga Syawal bertanya “Berapakah agaknya wang hantaran


Dayang itu Awang?”

“Aku dengar daripada mak aku, Pak Longku akan mengahwinkan


Dayang dengan hantaran belanja tiga ratus tujuh puluh dan tujuh duit,”

“Apa pula ada dengan tujuh duitnya?” Syawal bertanya dengan hairan.

“Tujuh duit ialah anaknya. Sebagai pemanis, mengikut adat keturunan


kita semua.” Awang menjawab dengan tenang sambil tangannya mengapur sirih
dan matanya masih tetap memandang papan catur di hadapan mereka.

“Ah, apa dihairankan dan apa disusahkan. Belanja hantaran sebanyak itu
boleh dicari, Awang. Hendak seribu daya. Kalau kita bersungguh-sungguh
berkehendakan tentu ada ikhtiar mencarinya. Berjimat, lama-lama selamat,
berdikit-dikit lama-lama jadi bukit,” Ragam memberi penerangan. “Berakit-rakit
ke hulu berenang-renang ke tepian, Awang ,” sambungnya.

“Apa Ragam? Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian? Apa


kau fikir aku kahwin dengan Dayang aku sampai ke mana? Hanya tinggal pada
kita bertiga saja. Tapi akan senang? Belum tentu lagi, Ragam. Kalau tuah ayam
dapat dilihat, tetapi tuah manusia siapa yang tahu,” Awang menjawab.

27 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Ragam berkata lagi, “Apa tidaknya? Dayang kan anak tunggal Pak Long
kau, orang berharta dan ada dua tiga buah kelongnya di laut. Masa semua kebun
orang lain di Padang habis terbakar dahulu, kebunnya sahaja yang selamat.
Bertambah pula ada tiga buah ladang kopi di Pagoh, hulu Muar”

“Sudahlah Ragam. Peduli apa dengan harta orang. Usaha dan jasa titik
peluh sendiri lebih manis, berkat dan selamat. Sebenarnya bukan kerana itu
yang aku fikirkan.”

“Kalau tidak itu, apa pula yang engkau susahkan? Susahkan duit belanja
hantaran itu?” Ragam mendesak.

Dengan sedih Awang menjawab, “Itu satu perkara, tetapi perkara yang
besar ialah Pak Long aku hendakkan kain mastuli, lengkap dengan kain baju dan
tudungnya berwarna kuning telur untuk Dayang. Kalau aku berkahwin dengan
Dayang seperti kehendak kau tadi, sudah tentu aku terpaksa menyabung nyawa,
meninggalkan Padang untuk belayar merantau ke seberang laut. Untuk
mendapatkan kain mastuli itu bukannya mudah, terpaksa ke Bugis. Bukan kau
tak tau hal laut sekarang, penuh dengan perompak dan lanun.”

“Kalau terpaksa begitu, apa boleh buat Awang. Ke laut api sekali pun
mesti diharungi. Ajal maut di tangan Tuhan. Kalau hendak mati di dalam
rumah sendiripun mati juga.” Syawal menjawab. “Benar kata kau Syawal. Yang
lebih tidak menyenangkan hatiku ialah peraturan menghantar belanja itu.
Zaman ini wang sebanyak itu sangat tinggi. Aturan seperti itu tak patut
digalakkan. Sebab tabiat orang-orang kita suka meniru-niru. Kalau Pak Long
kahwinkan Dayang, hantaran belanjanya tiga ratus tujuh puluh lebih, esok
mungkin Pak Ngah pula kahwinkan anaknya dengan hantaran empat ratus.
Lepas itu orang lain pula dengan hantaran belanja lima ratus pula. Masing-
masing cuba berlawan-lawan hendak megah kerana nama konon, tahan menjual
kebun, sawah ladang dan kelong. Yang ada pula bila menerima hantaran mahal
28 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

terpaksa menyediakan jamuan yang mahal. Oleh itu terpaksa juga berhutang
dan bergadai-golok. Mereka sangka semakin besar kerja kahwin, semakin ramai
orang yang memuji-muji. Sebaliknya kebiasaan yang aku tahu semakin besar,
semakin ramai dan semakin tak sempurna, oleh itu semakin ramai pula orang
yang mencerca dan caci akan kekurangan serta kesilapan kerja kahwin itu.”

Awang terkejut apabila pahanya ditepuk oleh Ragam. Ragam berkata,


“Perlahan-lahan sedikit bercakap Awang. Tengok siapa tu?” Ragam
menunjukkan ke arah tangga naik rumah Orang Kaya Aris. Awang dan Syawal
segera berpaling memandang. Didapatinya Pak Longnya, ayah Dayang
bersama-sama dengan beberapa orang tua-tua naik ke rumah dan terus masuk
menghadap Orang Kaya Aris. Sejurus kemudian, dituruti pula oleh Penghulu
Pabitah dan anak-anak perempuannya.

“Ha, tengok itu anak-anak perempuan Tok Beta (Panggilan orang kepada
Penghulu Pabitah), berapa pula hantaran belanjanya esok? Kalau Dayang sekian
ratusnya, berapa pula anak-anak Penghulu kita? Katalah lima ratus, kemudian
berapa pula hantaran anak Orang Kaya kita?” Awang menyambung katanya
dengan perlahan. Syawal segera menyokong, “Benar, kata kau Awang. Macam
menjual anak pula.”

“Ah, cakap kau itu keras sangat Syawal. Kalau didengar orang, kau akan
dimarah nanti. Kau dikatakan orang muda yang tak mampu dan tak ada rupa
untuk memberi hantaran belanja sebanyak itu kepada anak perempuan orang.
Sebab itu kau katakan mereka menjual anak.” Ragam menasihatkan Syawal.
Syawal tersenyum sahaja. Awang menyambung katanya lagi, “Aku ini hanya
bercakap sahaja Ragam, Syawal. Sebenarnya cakap aku tak sampai ke mana
pun. Hanya tinggal pada kita bertiga sahaja. Tapi biarlah aku terangkan lagi.
Mak aku ada bercerita, masa Mak dan Ayah aku duduk di Melaka dulu, mereka
tengok keadaan orang-orang kita yang suka berlawan-lawan, beratas-atas dan

29 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

bermegah-megah kahwinkan anak perempuan dengan hantaran belanja dan


jamuan yang besar seperti hendak mengalahkan orang kaya atau raja. Tak lama
lepas kerja kahwin, ramai yang menanggung hutang dan rosak
penghidupannya.”

“Kalau begitu kau tak bersetujulah orang-orang kita bekahwin dan


berbelanja besar? Dan kau tak bersetuju berkahwin dengan Dayang? Ragam
bertanya. “Sudahlah Awang, kita tak perlu banyak bicara lagi. Adat biarlah
tinggal dengan adat dan aturan biarlah tinggal dengan aturan. Kedua-duanya
adalah perbuatan manusia yang boleh diubah dan diada-adakan.” Ragam
menyambung katanya lagi.

Awang menjawab, “Sebenarnya bukan aku tak bersetuju dengan adat


yang diadat-adatkan dan aturan yang dibuat oleh Pak Long itu. Tetapi kalau
adat dan aturan seperti itu turun-temurun diikut oleh orang-orang kita, besar
bahayanya dan boleh merosakkan kehidupan mereka. Tentang ini, biarlah aku
ubah perumpamaan orang tua-tua kita dari biar mati anak jangan mati adat itu
kepada biarlah mati adat jangan mati anak. Biar kita kahwinkan anak dengan
perbelanjaan yang sederhana tetapi anak kita hidup senang bahagia.
Rumahtangga, kampung halaman dan harta tidak tergadai, kita tidak memikul
beban hutang dan penghidupan kita tetap teguh”.

“Siapa hendak mendengar kata kau Awang? Selagi dunia masih terus
terbentang, selagi itu manusia tidak akan puas dengan apa yang didapatinya.
Selagi manusia ada miskin kaya serta tinggi rendah peringkat penghidupan,
selagi itu manusia tak terlepas daripada adat yang diadat-adatkan dan aturan
yang diatur-aturkan.” Syawal pula berkata dengan putus harap, “tetapi demi
untuk menguatkan ikatan persaudaraan kau Awang, aku berharap benar kau
akan berkahwin dengan Dayang.” Syawal menyambungkan katanya dengan
tegas.

30 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Benar Awang. Aku pun begitu juga. Jangan gentar menghadapi adat
yang diadat-adatkan itu. Sekurang-kurangnya adat itu menjadi pengalaman
kepada kita.” Ragam menyokong harapan Syawal. Awang dengan tenang
menjawab, “Terima kasih Syawal, Ragam. Walau bagaimanapun perkahwinan
adalah soal kaum keluarga seperti yang telah aku katakan tadi, jadi biarlah aku
menunggu kehendak dan persetujuan kedua-dua ibu bapaku dulu. Itulah yang
sebaik-baiknya untuk kebahagiaan rumahtangga dan keluarga.”

Diringkaskan cerita, hingga jauh malam temasya itu dijalankan,


baharulah Orang Kaya Aris mengizinkan sekalian yang hadir itu bersurai balik
ke rumah masing-masing dengan bersuluhkan andang-andang yang diperbuat
daripada daun-daun kelapa kering dan lampu minyak kelapa.

Dayang bersama ibu bapanya balik bersama-sama dengan Awang dan


kawan-kawanya. Sampai separuh jalan, Dayang dengan ibu bapanya mengambil
simpang ke kiri menuju ke rumah mereka (yang sekarang ini ke laut sedikit
perenggan Jalan Juned Lama tepi Jalan Parit Raja Laut). Melihatkan Awang dan
kawan-kawannya yang mengiringkan Dayang dan ibu bapanya balik, Bachok
amat marah dan sakit hati. Tetapi Bachok tidak boleh berbuat apa-apa kerana
memang diketahuinya yang Awang dan Dayang itu saudara sepupu.
Bertambah pula Awang tidak mempedulikan hal-hal Bachok dan kawan-
kawannya pada malam itu. Jadi tiada jalan untuk Bachok memusuhi Awang.

Setelah tiga hari lamanya tetamu-tetamu agung itu di Padang, Orang


Kaya Aris, Penghulu Pabitah dan penduduk Padang berhimpun di tepi pantai
Parit Raja untuk mengucapkan selamat belayar dan berpisah. Maka angkatan
tetamu-tetamu agung itu pun bertolak menuju ke Riau dan Lingga. Sementara
Temenggung Ahmad dan anak isterinya pula dihantar oleh Awang dan kawan-
kawannya belayar balik ke Bukit Mor di Parit Jawa.

31 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Suka dan Duka:

Hilang di Mata di Hati Jangan

“Jangan begitu, Awang. Dua tidak, tiga pun tidak, hanya kau seorang anak dan
jantung hatiku, Awang. Sebelum aku mati, aku ingin tengok kau
berumahtangga. Janganlah kau putuskan harapanku.” Ibu Awang memujuk
pada satu hari di serambi rumahnya supaya Awang bersetuju dikahwinkan
dengan Dayang.

“Awang tak menolak kehendak mak, tetapi Awang fikir kalau berkahwin
dengan Dayang tentu saja rumahtangga Awang tak aman. Mak bukan tak tau,
kan ramai orang-orang muda tergila-gilakan Dayang. Yang datang meminang
Dayang untuk dijadikan isterinya pun ada, tetapi ditolak oleh Pak Long.
Perempuan kalau ramai orang meminang, kemudian kita berkahwin dengannya,
biasanya kita dimusuhi atau sekurang-kurangnya tak digemari orang,” jawab
Awang.

Dengan penuh harapan ibu Awang mendesak lagi, “Benar juga Awang,
tetapi tidaklah kesemuanya begitu, sebab jodoh di tangan Tuhan. Jika orang itu
memusuhi kita, ia menunjukkan mereka cuba menentang kuasa Tuhan yang
maha berkuasa. Sekarang janganlah dirunsingkan sangat hal itu Awang. Aku
harap kau bersetuju sebab Dayang itu pun bukannya orang lain, anak saudaraku
sendiri. Hartanya tak akan ke mana perginya.”

Dengan tertawa kecil dan menggeleng-gelengkan kepalanya, Awang


menjawab. “Mak memikirkan harta orang saja tetapi mak tak mengirakan syarat
hendak berkahwin dan beristeri supaya berbahagia.” “Apa hendak dikirakan itu

32 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

semua. Bukankah kita sama-sama kita?” Ibu Awang menyampuk dengan suara
keras.

“Benar mak, tetapi orang Melayu kuat memegang adat. Adat terpaksa
dijalankan juga. Menghantar tanda dan menghantar belanja mestilah dibuat.”
“Benar Awang. Kita orang jantan, mau dapat untung mestilah sanggup
bermodal dulu. Apa kau takut Mak Long dan Pak Long kau minta hantaran
belanja mahal? Aku tak fikir begitu.” Mendengar pertanyaan ibunya ini, Awang
terdiam sambil tangannya mengasam badeknya yang bernama “Berulang
Mambang” itu dengan asam limau.

“Apa kau tak sayang kalau Dayang terlepas ke tangan orang lain?” Ibu
Awang mendesak lagi. “Suka hati maklah. Awang mengikut saja. Kalau mak
dan ayah bersetuju, Awang taat, walau terpaksa menggadai nyawa sekalipun.”
Awang menjawab dengan tenang.

“Bagus Awang. Lega sedikit hati dan fikiran mak.” “Tetapi bukankah
Dayang itu pangkat kakak kepada Awang, mak? Mengikut adat, tidak begitu
baik pangkat kakak dibuat isteri.” “Ah, janganlah dikira sangat pangkat-
pangkat itu semua. Sekarang kita mesti kirakan bagaimana hendak
menyelamatkan harta Pak Long dan Mak Long kau itu. Jangan sampai terlepas
ke tangan orang lain, lebih baik kita selamatkan.”

“Tetapi apakah diterima pinangan kita itu mak? Tidakkah nanti Pak Long
kata kita tak setaraf?” Awang bertanya dengan sedih. Serta merta ibu Awang
menjawab, “Apa lagi yang Pak Long kau tu nak pilih. Biasanya kalau orang
terlampau memilih kelak kecewa. Makin hari, umur semakin bertambah, ibarat
bunga mekar yang semakin hari semakin malap, layu dan hilang baunya dan
akhirnya peroi bertaburan ke tanah. Jangankan disunting, dipunggut pun tidak
oleh sesiapa. Jangan lupa Awang, kecantikan dan penghargaan tiap-tiap bunga
itu kerana kelopaknya yang segar menguntum indah, serta baunya yang harum
33 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

semerbak, tetapi kalau sudah malap dan peroi bertaburan, tidaklah berharga lagi
sebab kesemuanya yang dikatakan tadi telah habis binasa dimakan hari.
Pendeknya janganlah disusahkan hati, mak dan ayah boleh pergi meminang
Dayang esok.”

Pada petang esoknya, ibu bapa Awang telah pergi berjumpa ibu bapa
Dayang di rumahnya. Sungguhpun maksud kedatangan ibu bapa Awang itu
telah diketahui oleh mereka, tetapi adat yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang
dek panas, terpaksa dijalankan juga. Pekerjaan pinang-meminang sesama
sendiri itu dijalankan dengan beradat, iaitu dimulakan cakap-cakapnya dengan
bentuk puisi lama (pantun). Antara kata-katanya ialah:

Ibu Awang: “Nampak lantang di hujung sana,

Tanah rata tidak bertepi;

Kami datang membawa makna,

Salah kata harap maafi.”

Ibu Dayang: Sarang tempua di tepi kota,

Pokok semalu di hujung negeri;

Makna dibawa silalah kata,

Jangan malu sesama sendiri.”

Ibu Awang: “Kayu lintang di tengah huma,

34 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Nampak bercantum di hujung dahan:

Kami datang hendak bertanya,

Bunga sekuntum sudahkah bertuan?”

Ibu Dayang: “Nampak bercantum di hujung dahan,

Tempat memanjat panglima kota;

Bunga sekuntum belum bertuan,

Apakah hajat bertanya kita?

Ibu Awang: “Kampung Pagoh berpagar kota,

Bunga kenanga sedang berkembang;

Kalau sungguh bagai dikata,

Sudahkah bunga disunting kumbang?”

Ayah Dayang: “Kalau Pagoh kampung jati,

Tempat penambang orang Melaka;

Kalau sungguh kumbang berhati,

Sanggupkah terbang tinggi Cempaka?”

Ayah Awang: “Jangan gugup ke bukit Linggi,

35 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Makan nangka dari Asahan;

Kumbang sanggup terbang tinggi,

Kalau Cempaka merendah dahan.”

Ayah Dayang: “Walaupun nangka dari Asahan,

Makanlah lembang Tanjung Batu;

Tidak cempaka merendah dahan,

Sudah memang tinggi begitu.”

Ibu Awang: “Dari Penyengat pergi Melaka,

Buat desa bersenjata panah;

Hendaklah ingat setinggi Cempaka

Sampai masa jatuhlah ke tanah.”

Ibu Dayang: “Bandar Melaka Bukit Cina,

Tempat panglima berjual barang;

Belum Cempaka layu hina,

Patut terima petikan orang.”

36 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Beberapa kali ibu bapa Dayang cuba berhelah mengatakan mereka belum
ingin hendak bermenantu. Dikatakannya umur Dayang masih rendah, belum
cukup ilmu menguruskan rumahtangga. Bapa Dayang menegaskan niat hatinya
hendak menjodohkan Dayang dengan orang lain yang bukan saudara maranya.
Kalau dapat biarlah Dayang berkongsi hidup dengan orang yang berdarah raja
atau temenggung yang berpangkat hulubalang atau perajurit negara.

Tetapi setelah puas bersoal jawab dan berunding antara kedua-dua belah
pihak dengan berbalas-balas pantun, maka akhirnya ibu bapa Dayang terpaksa
juga menerima lamaran ibu bapa Awang. Perbelanjaannya tiga ratus tujuh
puluh dan tujuh duit. Pengiringnya serba lengkap kain mastuli siap dengan kain
baju dan tudung yang berwarna kuning telur, iaitu sebagaimana yang dikatakan
oleh Awang kepada Ragam dan Syawal di rumah Orang Kaya Aris pada malam
kedua, temasya bersilat pencak dan ronggeng semasa meraikan Temenggung
Ahmad dan anak isterinya itu.

Tempoh pertunangan itu ialah selama tiga tahun kerana menunggu


pihak ibu bapa Awang menyediakan wang perbelanjaan dan kain mastuli yang
dijanjikan itu.

Beberapa hari kemudian, baharulah diadakan istiadat secara besar-


besaran oleh ibu bapa Dayang bagi upacara menghantar tanda Awang kepada
Dayang. Ibu bapa Awang menghantar pancang pertunangan itu dengan
sebentuk cincin tumpat belah rotan emas, iaitu cincin pusaka ibu Awang yang
didapati daripada ibunya dahulu. Upacara itu telah dihadiri dan disaksikan
oleh Orang Kaya Aris, Penghulu Pabitah dan orang-orang tua Padang sekalian.

Cincin tumpat belah rotan itu diletakkan dalam sebuah tepak sireh, iaitu
di atas duit-duit timah (duit yang digunakan zaman itu) yang berharga lebih
kurang sepuluh ringgit sekarang. Wang ini sebagai hadiah kepada Dayang.
Pengiringnya bebeberapa buah piring dan pinggan yang berisi penuh dengan
37 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

kuih-muih dan buah-buahan seperti duku, rambutan dan limau Bali juga
diletakkan dalam sebuah talam.

Pada zaman itu kadi atau imam yang bertauliah daripada raja belum ada
lagi dan perjalanan agama Islam juga belum kuat serta sempurna, maka segala
perjanjian yang dibuat oleh orang ramai di Padang, seperti pertunangan dan
nikah kahwin dijalankan di hadapan Orang Kaya dan Penghulu sahaja.
Sebagaimana daripada pihak Awang, begitulah juga pihak Dayang telah
membalas hantaran dengan berbagai-bagai kuih yang dibuat dari beras, ubi dan
sagu.

Sejak hari itu, hebohlah di seluruh Padang mengatakan Dayang


“Cempaka Padang” yang jelita itu telah mengikat pertunangannya dengan
Awang, pemuda “Berulang Mambang” yang tampan, segak dan gagah. Syawal
dan Ragamlah yang paling gembira. Hinggakan pada suatu hari, ketika mereka
berjumpa untuk pergi mengail bersama-sama di laut Parit Raja, Syawal dan
Ragam telah mengusik-usik Awang yang bertunang dengan Dayang. Mereka
telah berbalas-balas pantun mengusik Awang yang dahulunya buat-buat mahal
tidak hendakkan Dayang.

Sambil menyanyi lagu “Dondang Sayang” Syawal berpantun,

“Bukan parang sebarang parang,

Parang pinang dari Jati;

Bukan girang sebarang girang,

Girang mengenang buah hati.”

38 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Ragam : “Rama-rama terbang di tepi,

Anak memerang terlompat-lompat;

Sudah lama kubermimpi,

Baru sekarang aku mendapat.”

Syawal: “Dari mana hendak ke mana,

Dari kota datang ke mari;

Sudah lama kubermimpi,

Baru sekarang aku mendapat.”

Syawal: “Dari mana hendak ke mana,

Dari kota datang ke mari;

Tahun mana musim mana,

Dapat kita bersuami isteri.”

Ragam: “Gagah pahlawan panglima ratu,

Datang mohon berangkat pergi;

Mengapa tuan tanya begitu,

Tiga tahun masanya lagi.”

39 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Syawal: “Api pelita terang haluan,

Bawa ke mari gantung di pohon;

Malang derita jiwaku tuan,

Masa sehari macam setahun.”

Ragam: “Pasir Panjang kampung pusaka,

Redup teduh di sini sana;

Masa panjang jangan dijangka,

Kalau jodoh tidak ke mana.”

Syawal dan Ragam menyanyi “Dondang Sayang” untuk mengusik


Awang dan disambut oleh Awang dengan senyum kecil sahaja. Tetapi jiwanya
semenjak beberapa hari ini sentiasa sedih apabila memikirkan hal yang akan
dihadapi, iaitu terpaksa keluar negeri, berikhtiar sedaya upaya bagi
mendapatkan wang sebanyak tiga ratus tujuh puluh dan tujuh duit serta kain
mastuli yang dikehendaki oleh ibu Dayang itu.

Oleh kerana Awang, Syawal dan Ragam bersahabat baik semenjak kecil
lagi, maka segala giat dan usikan mereka diterima oleh Awang dengan sabar dan
tenang. Kadang-kadang dilawannya juga ejekan dan bergurau senda untuk
menambahkan lagi keakraban persahabatan mereka.

Semenjak pertunangan antara Awang dengan Dayang diumumkan


kepada orang ramai, Dayang telah bertambah-tambah dipingit oleh ibu bapanya.

40 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Oleh itu tidak berpeluanglah Awang hendak melihat atau berjumpa dengannya.
Tambahan pula semenjak bertunang, Awang terasa malu pula. Jangankan
hendak berjumpa dengan Dayang dan ibu bapanya, hendak melintas di
hadapan rumah mereka pun tidak sanggup.

Pada suatu hari oleh kerana keadaan sudah memaksa, Awang telah
berterus-terang kepada ibu bapanya bahawa dia hendak meninggalkan Padang
untuk belayar keluar negeri mencari wang dan kain mastuali yang dikehendaki
bagi perbelanjaan perkahwinannya nanti.

“Baguslah Awang, tetapi mak harap janganlah lama sangat sebab hari
perkahwinan kau semakin dekat. Kita dalam perjanjian dengan orang olrh itu
janji mesti ditepati.” Ibu Awang menjawab dengan berlinangan air mata.
Melihatkan ibunya bersedih hati, ayah Awang berkata, “Pergilah kau belayar
Awang. Ayah sedia doakan kau, selamat pergi dan balik. Bukan saja kerana
mencari wang dan kain itu, tetapi kau terpaksa juga menjalankan adat kita
daripada dulu hingga sekarang. Orang-orang muda yang hendak berkahwin,
mesti meninggalkan kampung halaman, keluar negeri mengadu nasib dan
mencari rezeki supaya berjauhan daripada tunangnya.”

“Kalau begitu, apakah Awang juga terpaksa menjalankan adat itu ayah,
mak?” Awang bertanya. “Tentulah Awang. Adat itu menduga orang-orang
muda kita apakah sebelum beristeri dan berumahtangga, sanggup menghadapi
penderitaan atau tidak. Sanggup atau tidak bersusah payah mencari nafkah
kerana anak isteri tanpa mengharapkan bantuan ibu bapa. Ujian ini mesti
dilalui oleh orang-orang muda kita supaya menjadi suami atau bapa yang
bertanggungjawab bagi kebahagian rumahtangga. Oleh itu adat itu mesti
dijalankan, sebab hilang adat tegal muafakat. Adat boleh ditiadakan oleh
muafakat semua orang di Padang ini. Adat itu tak boleh ditinggal atau diubah-
ubah. Kalau dianjak layu, dianggur mati.” Bapa Awang menegaskan.

41 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Apa kau takut untuk melalui ujian itu Awang?” Ibu Awang pula
bertanya seraya memandang Awang yang sedang berlinangan air matanya.
“Apa ditakutkan Awang. Anak muda harapan bangsa dan kaum, tidak patut
takut menempuh susah. Bagaimana hendak mandapat kesenangan kalau tak
sanggup bersusah payah dulu?” Ayah Awang pula memberi penerangan.

“Kerana adat, wang dan kain mastuli itu, biarlah Awang bercerai dulu
dengan tanah Padang yang bertuah ini, tetapi adakah Dayang sanggup
menunggu Awang kalau Awang balik lewat daripada tiga tahun?” Awang
menjawab dan bertanya. Bapa Awang segera menjawab, “Sanggup atau tidak
terpulanglah kepada Mak Long dan Pak Long kau. Aku rasa kalau lebih
daripada tiga tahun, mereka tak sabar. Maklum memelihara anak perempuan
bukannya mudah. Mengapa kau kata begitu, Awang?” ibu Awang bertanya.

“Maklumlah hal pelayaran sekarang ini mak. Laut penuh dengan


perompak lanun. Manalah tau malang tak berbau, Awang mungkin berkubur di
laut.” Mendengar penerangan Awang ini, ibu dan bapa Awang terdiam sejurus.
Di mata kepalanya terpandang-pandang malapetaka rompak, samun dan
bunuh-membunuh di sekitar laut sekeliling Singapura dan gugusan pulau-pulau
Riau yang dilakukan oleh perompak serta lanun yang sedang bermaharajalela.
Saudagar-saudagar dan pelayar-pelayar yang berulang-alik dari Melaka ke Riau
yang terselamat daripada malapetaka dan singgah di Padang pernah
menceritakan ancaman dan keganasan perompak serta lanun di situ.

“Hendak mengelakkan perompak dan lanun itu, terpaksalah Awang


belayar menuju ke seberang Siak dulu dan berlindung beberapa lama di sana.
Kalau dengar tak ada lanun di laut, barulah sambung belayar lagi.. Ini akan
mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Kalau termasuk perangkap atau
bertembung dengan lanun terpaksa pula berjuang, menghadap maut dan nyawa

42 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

di hujung tanduk.” Awang menyambung katanya lagi sambil mengesat air mata
yang masih membasahi kedua-dua pipinya.

“Apa boleh buat Awang. Berjuanglah untuk menegakkan adat. Kalau


niat kita suci, kau akan selamat pergi dan balik. Perkahwinan kau dengan
Dayang bukan kesukaan kau sendiri, bahkan dengan suka dan izin aku dan mak
kau, serta sekalian kaum keluarga, sahabat handai dan orang tua-tua di sini.”
Bapa Awang memberi perangsang.

“Terima kasih ayah. Awang minta ayah dan mak jumpa Pak Long dan
Mak Long. Kalau Awang terlewat, mintalah mereka bersabar. Tunggu hingga
Awang balik.” Dengan mengeluh bapa Awang menjawab, “Minta itu boleh
Awang. Sebab kita orang jantan tetapi yang aku risaukan ialah hal Pak Long
kau itu. Hatinya keras seperti batu. Tak hendak bertolak ansur dan berhulur
sambut.” “Hal itu kau serahkan pada mak saja Awang. Batu yang keras, air
pelekoknya. Hati yang keras, lidah pelembutnya.” Ibu Awang menyampuk.
“Nanti aku pergi berjumpa dengan Mak Long kau.” Sambungnya lagi.

“Tetapi bolehkah Awang berjumpa Dayang, mak, ayah?” Awang


bertanya ibu dan ayahnya dengan penuh harapan. “Berjumpa Dayang?” bapa
Awang bertanya dengan hairan dan marah. “Kau ini nampaknya mengigau di
siang hari Awang. Bukankah kau sedang bertunang dan kita mesti menjalankan
adat? Orang muda yang bertunang tidak boleh berjumpa dengan tunangnya.”
Sambungnya lagi.

“Benar ayah, tetapi Awang pergi ini entahkan hidup, entahkan mati.
Benarkanlah Awang berjumpa Dayang di pantai.” “Di pantai? ….
Astaghfirullahal’adzim … Berani kau berkata begitu Awang. Ingat Awang, tak
ada dalam adat resam kita, anak teruna bebas berjumpa dengan anak dara di
tempat seperti itu.” Bapa Awang menegah dan menasihatkan.

43 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Maaf ayah. Awang minta untuk berjumpa sekali saja.” “Apa yang kau
hendak cakap kepada Dayang itu, Awang? Nampaknya beria-ia benar kau
hendak berjumpa. Bukankah lebih baik kau cakapkan pada mak saja, nanti mak
boleh cakapkan kepadanya?” ibu Awang pula mengingatkan. “Boleh juga mak,
tetapi tak puas rasanya hati, kalau Awang tak bercakap sendiri dengannya.”
Awang menegaskan hasrat hatinya.

“Ha, budak-budak zaman sekarang. Tak puas dengan orang tua saja.
Berperi-peri hendak berunding sendiri. Bercakap dan bertukar-tukar fikiran
dengan tunangnya.” Bapa Awang marah dengan kesal. “Bukan begitu ayah.
Awang hanya ingin berpesan dan bertanya saja.” “Bertanya apa? Sepuluh kali
kau berjumpa, seratus kali kau berpesan dan bertanya itu dan ini. Kalau tak ada
wang tiga ratus tujuh puluh dan tujuh duit serta kain mastuli, usah haraplah kau
dapat berkahwin dengan Dayang. Ingat, hanya menyempurnakan syarat,
menghormati adat dan menepati janji saja yang boleh menjodohkan kau Awang.
Kau tak berfikir dua kali, kau ingat hanya empat biji mata kau dengan Dayang
saja yang berpandang-pandang di pantai itu? Kau tak fikir berapa banyak biji
mata orang-orang yang berkarang dan turun naik di pantai itu yang akan
memerhatikan hal kau?”

“Biarlah mereka memerhati, asalkan Awang tak berbuat apa-apa ayah.”


jawab Awang dengan tenang. “Betul, tetapi pada pandangan adat, tetap salah.
Seribu satu macam sangkaan orang yang boleh dihadapkan kepada kau. Aku
hairan, kau cuba hendak merosakkan adat dan mencarikkan resam. Orang lain
bertunang juga tapi tak macam kau. Hendak kawin bersibuk. Pada hal dulu, aku
bertunang juga dengan mak kau. Tak ada pun berkenal-kenal dan berjumpa-
jumpa macam kau. Perkahwinan aku kekal juga dan aman damai.” Bapa
Awang menempelak Awang sambil bangun berjalan menghalakan
pandangannya ke laut.

44 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Mendengar percakapan ini, ibu Awang dengan segera menjawab. “Ayah


kau dah mula membaca balik cerita lama yang entahkan ya entahkan tidak.
Macam pisau raut dan ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul.
Kononnya orang, disuruh ikut macam dia. Dulu siapa yang tertinjau-tinjau dan
terjengah-jengah di hujung pelantar?”

“Siapa?” Bapa Awang bertanya sambil memandang ibu Awang pura-pura


hairan. “Siapa lagi kalau bukan awak. Tak menyabar masa bertunang.
Menyelam sambil minum air. Berpura-pura tangan menambat perahu di hujung
pelantar rumah, tapi mata bersepah-sepah, leher macam bangau tinjau sana,
tinjau sini, pandang sana pandang sini ke dapur rumah orang. Awak ingat kita
bertunang dengan awak, kita macam awak, tertinjau-tinjau dan menunjuk-
nunjukkan diri di hujung pelantar, di tepi tingkap atau bersiar-siar di serambi
rumah?”

Dengan tersenyum-senyum malu, bapa Awang segera menjawab kata-


kata ibu Awang. “Sudahlah, awak hendak menyebelahi anak. Mengata dulang
paku serpih.” “Apa pula mengata dulang?” Ibu Awang bertanya. “Apa
tidaknya, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi, Mak Awang,” Ayah
Awang menempelak. “Siapa pula bertepuk dua belah tangan?” “Siapa lagi?
Awaklah. Awak lupa, baru tadi awak katakana, masa kita bertunang dengan
awak, kita tak menyabar, menyelam sambil minum air, mata bersepah-sepah,
leher macam bangau dan itu ini. Kalau sudah awak sendiri yang tahu akan hal
kita begitu, menunjukkan awak pun begitu juga. Agaknya masa tu, awak bukan
main galak lagi, macam ikan terpandang umpan. Terlari-lari, terkam sana
terkam sini mencari lubang dinding dan lubang tingkap. Di sebalik pintu awak
mengintai tunang awak.” Bapa Awang menempelak balik sambil menunjukkan
dirinya.

“Sudahlah bising. Sengaja awak membuka pekung di dada orang.” “Awang


bukakan pekung di dada kita, tak dikira busuknya? Sudahlah mak Awang. Jangan hendak

45 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

tunjuk benar dan baik. Semua manusia dalam dunia ini ada kudis pada anggotanya, tak banyak,
sedikit. Sekurang-kurangnya, parut akan ada juga, bukan?” Ayah Awang bertanya dan
menyambung lagi katanya, “Kalau semua manusia di dunia ini baik, tak ada penjara dan
neraka.”

Dengan marah dan serba salah, ibu Awang segera memotong cakap,
“Sudahlah. Melarat-larat nampaknya hingga menyebut penjara dan neraka. Hal
Awang ini biar kita saja yang selesaikan. Begini saja Awang. Mak benarkan kau
berjumpa dengan Dayang di rumahnya saja. Nanti mak pergi berjumpa dengan
Mak Long kau. Jangan diharap ayah kau. Ayah kau dengan Pak Long kau tu
sama saja, tak ada berular kendur.”

“Ya, berular kendurlah, jaga jangan tersimpul nanti. Kalau sudah


tersimpul, jangan minta kita sama-sama membukanya. Ajarlah anak dengan beri
muka. Ingat baik-baik bila lulus jarum, lulus kelindan. Sekali dibenar dan
dibebaskan berjumpa, lain kali tak payah beritahu orang tua. Boleh bersiar-siar
pula di pantai dan di mana-mana mencucuk mata orang ramai,.” bapa Awang
memberi ingatan.

“Tidak begitu, ayah Awang. Bukan kita biarkan Awang dengan Dayang
saja. Kita ada sama-sama,” ibu Awang menerangkan. “Suka hati awaklah.
Orang jantan ikut saja, macam kerbau dicucuk hidung. Kalau suruh jadi tali
barut pun kita sanggup.” Bapa Awang menjawab dengan marah.

Kesudahan daripada perundingan antara tiga beranak itu berakhir


dengan ayah Awang yang terpaksa beralah dan bersetuju membenarkan Awang
berjumpa dengan Dayang di rumah Dayang.

Dua hari kemudian, iaitu sesudah mendapat persetujuan ibu Dayang dan
terlepas daripada mata orang ramai, terutama Bacok dan kawan-kawannya,
Awang pergi ke rumah Dayang bersama ibunya. Awang bercakap-cakap
dengan Dayang di anjung rumah dengan ramah mesranya, sementara ibu
kedua-duanya berbual-bual di dapur. Hari itu dipilih oleh ibu Dayang untuk

46 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Awang dan Dayang berjumpa kerana bapa Dayang tiada di rumah. Ayah
Dayang pergi ke Teluk Dalam (nama bandar Maharani dahulu) dan ke Beringin
Songsang (nama Kesang dahulu) dengan perahunya menjalankan perniagaan di
sana.

Awang telah mencurahkan segala apa yang terbuku di hatinya kepada


Dayang kerana itulah kali pertama dan mugkin juga yang terakhir dapat
bertentang muka dan mata dengan Dayang. Awang telah menggambarkan
bagaimana sedihnya dia terpaksa berpisah dengan Dayang kerana adat dan
kewajipan tersebut. Dengan berlinangan air mata, Dayang mengeluh, “Apa
boleh buat Awang, kerana adat dan kewajipan, kita terpaksa berpisah.”

Benar Dayang. Adat dan kewajipan itu akan memisahkan kita, tetapi aku
harap tidak pula dapat memisahkan hati kita.” Awang menjawab dengan suara
yang tertahan-tahan. Dengan tenang Dayang berkata lagi, “Tetap tidak, sebab
hati kita telah lama berpadu Awang. Sekarang bertambah teguh lagi bila diikat
dengan pertunangan kita.”

“Awang sudilah terima hadiah pantun pusaka ini dariku.

Pucuk pauh delima batu,

Anak sembilang di tapak tangan;

Kau jauh di negeri satu,

Di mata hilang di hati jangan.”

Mendengarkan Dayang berpantun, dengan segera Awang menjawab,

47 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Di tepi jalan Tanjung Gading,

Pohon kelapa pokok kepayang;

Matahari bulan bila bersanding,

Barulah aku lupa kau Dayang.”

Dayang menjawab,

“Nampak teguh pintu kota,

Tempat kuda lalu bertiti;

Kalau sungguh kau berkata,

Apa tanda kenangan hati?”

Awang menjawab,

“Pohon selasih di tepi titi,

Di hujung desa pohon delima;

Tandanya kasih kenangan hati,

Sepanjang masa sebutlah nama.”

48 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Dengan ini juga Awang terus menyambung lagi,

“Ingatlah Dayang wahai juita,

Aku datang membawa berita;

Kepada mu saja aku berkata,

Teguh kasihku seperti kota.

Wahai Dayang pujaan hati,

Wajahmu terbayang diingati;

Di ruangan mata kekal sebati,

Walau seribu tahun hingga mati.

Oh Dayang “Seri Cempaka Padang”,

Awang memuja hati berdondang;

Hasratku terkulai kecundang,

Kita akan berpisah tidak berpandang.

49 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Dengan penuh hasrat hatiku bersempoh,

Tunggulah Kelanamu lama tempoh,

Mengharap setia apa ditempuh;

Pertunangan kita tidaklah tersepoh.

Wahai Dayang “Cempakaku” sayang,

Istana rumahtangga mula terbayang;

Harapanku tidak hampa layang,

Walau seribu tahun aku berdagang.

Ingatlah Dayang bakal permaisuri,

Beta berpesan setiap hari;

Jangan terpedaya enggang berperi,

Termasuk lubuk binasa diri.

Ingatlah Dayang, Teguhkanlah janji kita. Mudah-mudahan pertunangan


kita selamat membawa perjodohan suami isteri yang bahagia. Ingat, jangan
berhati dua!”

Sambil mengesat air matanya, Dayang menjawab, “Jangan bimbang


Awang. Hati Dayang tetap Dayang pertaruhkan kerana keselamatan kau,

50 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Awang.” “Apa ertinya itu, Dayang?” Awang memotong bertanya, “Kalau kau
selamat pergi dan balik, Dayang tetap kepunyaan kau, Awang. Tetapi
sebaliknya, kalau layu pokok pujaanku itu, tentu diri Dayang dijudikan kepada
orang lain. Sebab kaupun tahu Awang, kita hidup dikandung adat dan mati
dikandung tanah. Adat kita, anak perawan mesti di bawah kuasa ibu bapa. Kita
tak boleh sekehendak hati kita, oleh itu kau belayar janganlah terlalu lama di
rantau orang Awang.”

“Aku tak boleh janji Dayang. Kalau lekas dapat wang belanja hantaran
dan kain mastuli itu, lekaslah aku balik. Itu pun bergantung hal keamanan
perompak dan lanun di laut. Dalam pada itu, aku akan cuba seberapa lekas
untuk balik ke Padang.” “Terima kasih Awang. Itulah yang aku harapkan,”

“Hari aku hendak bertolak, sudikah kau sama-sama menghantar aku di


pantai? Awang bertanya dengan penuh harapan. “Itu janganlah kau
bimbangkan Awang, sebab Mak Long dan Pak Long akan sama-sama turun ke
pantai pagi itu.”

“Terima kasih Dayang. Ada apa-apa bekalan yang kau hendak beri aku?”
tanya Awang lagi. “Tak ada apa-apa, hanya itulah barangnya yang tak dapat di
pandang dan dipegang tetapi berat memikulnya, Awang.”

“Apakah barangnya itu, Dayang? katakanlah.” “Barang itu adalah


pesanan tadi, iaitu lekas balik.” “Apa-apa barang yang kau hendak pesan atau
kirim?” Awang bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh. Dayang dengan
segera menjawab, “Aku hanya kirim doa saja Awang. Selamat kau pergi dan
selamat kau balik. Pesan aku kau jangan lupa, di mana kau berada dan di mana-
mana kau sampai, ingatlah pucuk pauh delima batu, anak sembilang di tapak
tangan …” “Baiklah Dayang.” Awang menjawab.

51 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Setakat ini percakapan mereka terhenti kerana ibu-ibu mereka keluar


mendapatkan mereka dengan membawa dua cawan kopi dan sepiring bingka
ubi.

52 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Malang Tidak Berbau:


Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata

“Baik-baik jaga diri di negeri orang Awang. Masuk kandang kambing


mengembik, masuk kandang kerbau menguak. Kalau kita hendak selamat di
rantau orang, buatlah resmi ayam betina.” Ibu Dayang menasihatkan Awang di
Pengkalan Kuala Parit Raja, tatkala menghantar Awang belayar. Antara orang-
orang yang turut ke pantai menghantar ialah ibu bapa Dayang, ibu bapa Awang
dan Dayang. Penghulu Pabitah tidak dapat turut sama kerana dia dan Orang
Kaya Aris telah meraikan Awang di rumah pada malam semalamnya dengan
jamuan dan doa selamat.

Bacok dan kawan-kawannya yang berkelakuan tidak sopan juga tidak


ketinggalan ikut sama ke pantai, namun mereka memerhati daripada jauh
sahaja.

“Cakap mak kau itu betul juga Awang, tetapi aku fikir kalau buat resmi
ayam betina di rantau orang, janganlah terlalu sangat hingga kepala kita dapat
dipijak orang. Pendeknya begini saja Awang. Kalau orang sanggup menjual,
kita mesti sanggup membeli. Tetapi jangan kita terlebih dulu menjual dan kalau
orang menjual dulu pun patut ditawarlah dulu, jangan terus membeli. Manalah
tau kita dikenakan harga mahal,” bapa Dayang pula memberikan fikirannya.

Mereka menunggu sekuci yang akan membawa Awang di pengkalan.


Sekuci sibuk memunggah barang-barang dagangannya yang dibawa dari
Melaka ke Padang dan mengisi pula barang-barang dagangan Padang yang

53 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

hendak diperdagangkan ke Sumatera, Riau dan gugusan pulau-pulau Melayu


yang lain.

Dayang yang berdiri di sebelah ibunya diam sahaja. Hanya matanya


basah oleh cucuran air mata daripada pagi tadi mengenangkan perpisahannya
dengan Awang. Sesekali ibunya berpaling memandang Bacok dan kawan-
kawannya yang sedang bersorak-sorak dengan pandangan marah dan
menghina. Bacok dan kawan-kawannya bertenggek di hujung pelantar rumah
kawan mereka, di tepi Kuala Parit Raja.

Dayang tiada berkata apa-apa, matanya tajam memandang ke laut, arah


Tanjung Tohor, tempat sarang lanun yang sangat berbahaya. Sementara hatinya
pula merasa cemas kerana akan berpisah dengan Awang. Yang lebih-lebih tidak
menyenangkan hatinya ialah kerana bapanya tidak kisah menerima Bacok dan
kawan-kawannya datang ke rumah.

Setelah siap sekuci itu memunggah dan mengisi dagangannya, nahkoda


pun memberi isyarat hendak bertolak belayar kepada Awang dan sekucinya.
Sekalian tali-tali tambatannya mula dilucutkan. Awang dengan tenang bersalam
dan mencium tangan ibu bapa Dayang dan ibu bapanya sendiri. Kepada
Dayang dia hanya mengucapkan “Selamat tinggal”.

Kalau ada sumur di Kajang,

Rumput melata tepi perigi;

Kalau ada umur ku panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.”

54 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Dengan bermandikan air mata, Dayang hanya dapat menjawab dengan


suara tertahan-tahan. “Selamat belayar, Awang. Lekas-lekas balik. Jangan lupa
Awang, Pucuk pauh delima batu, anak sembilang …,” suaranya terhenti sambil
mengesat air matanya dengan hujung selendangnya.

Awang yang menumpang sekuchi itu hanya membawa badeknya yang


bernama “Berulang Mambang” dan sebuah bungkusan pakaian serta sedikit
bekalan makanan seperti lempuk durian, wajik pulut dan beberapa batang
lemang. Lempuk dan lemang ialah pemberian ibu Dayang. Wajik pulut pula
pemberian ibunya. Lempuk durian itu dibawa oleh bapa Dayang dari kebunnya
di Pagoh. Udara pada pagi itu redup, seolah-olah ikut berdukacita akan
perpisahan antara Awang dengan Dayang yang sedang bertunang dan berkasih
sayang. Keadaan seperti ini menyebabkan sekuci itu dikayuh perlahan-lahan
menuju ke tengah laut.

Ketika Awang berdiri di tepi sekuci menghalakan pandangan matanya


yang berlinang-linang ke pengkalan, air mata Dayang bercucuran mengalir. Ibu
bapa Awang dan ibu Dayang turut mengesat-gesat air mata kesedihan,
memandang ke arah sekuci mengharungi laut yang luas terbentang. Sebaliknya
bapa Dayang tenang, sambil tangannya menggulung-gulung daun rokok dan
dihisapnya. Matanya turut memandang ke arah sekuci itu.

“Ya, kalau aku bersayap seperti burung, sekarang juga aku terbang
dapatkan kau, Awang. Kalau aku sakti boleh menjelma jadi ikan, aku kejar
sekuci kau dan ikut kau pergi.” Hati kecil Dayang berbisik sambil matanya
memandang ke air laut yang sedang tenang laksana air dalam talam lakunya.

“Aku kesal melepaskan kau pergi Awang, namun kerana adat dan
kewajipan kita terpaksa juga berpisah.” Dayang menyambung kata hatinya
dengan matanya dihalakan ke sekuci Awang yang sedang dinaikkan layarnya
menuju ke Siak.
55 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Sedang masing-masing itu menghalakan pandangan mengikut pelayaran


sekuci, tiba-tiba mereka terkejut mendengar suara, “Menghantar Awang, Pak
Long?” Bapa Dayang dengan segera berpaling memandang dan menjawab, “Kau
Bacok? Ya, maklumlah belayar jauh.”

Bacok dengan segera berkata lagi, “Benar Pak Long, kita harap Awang
tetap Awang. Pergi balik pun Awang.” Sekalian kawan-kawan Bacok tertawa
mendengar kata-kata Bacok itu. “Apa maksud kau, Bacok? Apa kau tak
percayakan Awang?” Bapa Awang pula bertanya dengan hairan. Dengan
tersenyum-senyum kerengga Bacok menjawab, “Percaya sementara ada di depan
kita. Di belakang mata kita, siapa tau. Kebiasaan kebanyakan orang-orang
bujang, kalau merantau atau keluar negeri, bila balik berubah laku dan ada yang
membawa teman hidup berlainan bangsa atau berlainan puak. Ada juga yang
hidung tinggi dan tergamak mengata kita semua seperti katak di bawah
tempurung.”

“Benar juga kata kau Bacok, tetapi bukan semua orang mudah
terpengaruh hingga lupa daratan. Orang-orang yang tetap pendirian dan insaf,
serta menepati janji saja yang tak kenal apa yang kau kata tadi.” Dayang
menyampuk dengan rupa marah.

“Apa disusahkan, Bacok. Kita yang tinggal menunggu yang pergi. Dia
yang pergi diminta ingat yang tinggal. Walau bagaimanapun, hujan emas di
negeri orang, hujan keris lembing di negeri sendiri, tentulah baik di negeri
sendiri. Kita doakan selamat sahaja.” Bapa Dayang pula berkata dengan tenang.

Dayang yang matanya masih tajam memandang sekuci Awang yang telah
sayup dan jauh mengharungi laut luas itu, serta merta berundur perlahan-lahan
meninggalkan pengkalan, bila mendengar percakapan Bacok yang menggigit
dan menyindir. Sejurus kemudian barulah diikuti oleh ibu bapanya dan ibu
bapa Awang. Masing-masing balik ke rumah dengan membawa perasaan sedih.
56 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Beberapa bulan setelah meninggalkan jajahan Padang, maka Awang


selamat sampai ke Siak. Oleh kerana sifat rajin dan taat setianya, Awang telah
berpeluang menjadi penolong seorang saudagar Bugis yang menjalankan
perniagaannya antara Makasar Bugis dengan Siak. Dengan pekerjaan ini,
Awang mula mengumpulkan sedikit wang dan dapat menyara hidupnya
sendiri. Berbulan-bulan lamanya Awang bersama-sama dalam padewa (perahu
besar Bugis) menyusur pantai timur Sumatera untuk menjalankan
perniagaannya.

Kemudian barulah Awang berpeluang belayar ke Makasar Bugis, iaitu


negeri yang dihajati olehnya untuk mencari kain mastuli.

Di Makasar Bugis, Awang berpeluang pula menetap lama dan bekerja di


sebuah gedung perniagaan rempah. Sungguhpun demikian, wang yang
dikumpulkan oleh Awang masih belum mencukupi dan kain mastuli yang
dihajatkan juga belum dapat dibelinya. Tukang tenun kain mastuli sibuk
menyediakan pesanan kain mastuli raja-raja dan saudagar-saudagar untuk
diperdagangkan ke Eropah dengan saudagar-saudagar Belanda, Inggeris dan
Sepanyol.

Sifat peramah, jujur dan setia yang ada pada Awang telah
memudahkannya bersahabat dengan beberapa pembesar dan saudagar Bugis
yang terkenal. Oleh kerana selalu berdamping rapat dengan mereka, maka
Awang juga pernah dibawa ke istana dan diperkenalkan kepada kerabat diraja
Bugis. Awang terkenal dengan kebijaksanaannya dalam bermain catur dan
bersilat pencak.

Pada suatu hari, iaitu semasa hari menyambut puja umur raja Bugis, telah
diadakan satu upacara besar-besaran di istana. Antara acaranya ialah
pertandingan bermain catur antara Awang dengan orang-orang besar dua belas
dan Raja Muda Bugis. Pertaruhannya ialah Awang akan dihadiahkan dua batang
57 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

lembing pusaka raja-raja Bugis iaitu sebatang lembing jantan dan sebatang
betina (Lembing laki bini) kalau Raja Muda Bugis tewas. Sebaliknya pula kalau
Awang tewas, Awang akan dijadikan hamba seumur hidupnya.

Semasa Awang mempertaruhkan dirinya, dia sengaja melupakan yang


dirinya sedang bertunang dengan Dayang. Lebih kurang setahun lagi dia mesti
balik ke Padang menyempurnakan janjinya itu.

Awang berbuat demikian kerana dia sedar tanpa wang hantaran belanja
yang mencukupi, iaitu sebanyak tiga ratus tujuh puluh dan tujuh duit dan kain
mastuli, adalah sia-sia untuk dia balik ke Padang. Oleh itu, dia berazam kalau
menang pertandingan bermain catur, tentu dia dapat memiliki lembing-lembing
sakti pusaka raja-raja Bugis dan namanya akan mashyur. Tatkala itu
pengaruhnya pun semakin besar di kalangan pembesar dan kaum kerabat raja
Bugis. Jadi segala maksudnya hendak mencukupkan wang dan mempunyai
kain mastuli itu dengan mudah boleh didapati.

Pada hari pertandingan bintang Awang bersinar cemerlang. Dia berjaya


menewaskan lawannya, lepas seorang, seorang orang besar dua belas dapat
ditewaskan. Penyudahnya Raja Muda Bugis juga dapat dikalahkan. Oleh
sebab kata dikota dan janji ditepati, dua batang lembing pusaka pun dikurniakan
kepada Awang. Dengan kejayaan itu juga, kain mastuli yang dihajati oleh
Awang selama ini dengan mudah didapatinya, iaitu dikurniai oleh raja.

Tidak berapa bulan lagi akan genaplah tiga tahun Awang merantau di
luar negeri, maka Awang berhempas pulas membanting tenaganya siang dan
malam untuk mencukupkan wang hantaran perkahwinannya. Pada masa itu
wajah Dayang sentiasa bermain-main di ruangan matanya. Istana rumahtangga
yang dicita-citakan itu kerap terbayang-bayang dalam mimpinya.

58 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Sementara itu, hal Dayang di Padang pula, semenjak berpisah dengan


Awang, masa sehari dirasakan setahun. Siang malam berdoa, semoga Tuhan
selamatkan Awang dan dijayakan maksudnya berdagang dan merantau di
negeri Bugis itu.

Walau bagaimanapun setelah hampir tiga tahun Dayang dan ibu bapanya
tidak menerima apa-apa perkhabaran daripada Awang, maka timbullah
berbagai-bagai sangkaan buruk orang ramai. Ada yang mengatakan Awang
telah berkahwin di Siakdan ada yang mengatakan Awang telah tewas berlawan
catur dan dijadikan hamba seumur hidup di istana raja Bugis di Makasar dengan
tidak dibenarkan balik ke Padang lagi.

Di antara mereka yang mereka-reka perkhabaran bohong dan


mengelirukan itu ialah Bacok dan kawan-kawannya. Bacok telah membuat
perundingan sulit dengan dua tiga orang saudagar dan nakhoda sekuci
perniagaan yang berulang-alik dari Siak, Riau dan Makasar Bugis ke Padang.
Mereka menghebahkan berita Awang telah terkorban, mati dalam pertempuran
dengan perompak dan lanun di Selat Riau, iaitu semasa Awang menuju balik ke
Padang. Wang simpanannya yang berjumlah hampir-hampir empat ratus dan
beberapa helai kain berharga termasuk kain mastuli telah dirampas oleh
perompak laun itu. Awang turut terkorban di laut.

Mendengar berita yang telah menjadi buah mulut ramai ini, ibu bapa
Awang terus bertenang tetapi sebaliknya ibu bapa Dayang merasa tidak puas
hati. Berkali-kali mereka telah datang ke rumah ibu bapa Awang bertanyakan
hal perjanjiannya yang termaklum itu. Ibu bapa Awang mengatakan
perkhabaran itu janganlah dipercayai dan dimintanya ibu Dayang bersabar.
Bertambah pula masa yang dijanjikan selama tiga tahun itu belum cukup lagi.

Untuk menghiburkan hati Dayang dan ibunya, terpaksalah ibu Awang


berulang ke rumah Dayang mendustakan perkhabaran tersebut. Ibu Awang
59 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

telah memberikan jaminan bahawa pendirian dan sifat Awang tidak mudah
terpengaruh hingga tergamak memungkirkan perjanjian dan memutuskan
harapan ibu bapanya.

Tetapi setelah masanya genap tiga tahun dan Awang masih belum juga
balik ke Padang, bapa Dayang sudah tidak sabar lagi. Dia segara mendapatkan
ibu bapa Awang menuntut perjanjiannya untuk kali yang terakhir. Disuruhnya
ibu bapa Awang memutuskan pertunangan dengan alasan tiada jodoh antara
Awang dengan Dayang. Ibu bapa Awang tiada terkata apa-apa, melainkan hal
pertunangan itu diserahkan sahaja kepada ibu Dayang menimbangnya. Ini
kerana sejak dari dulu, ibu Dayang juga berkehendakkan Dayang dikawinkan
dengan Awang. Keputusan pertunangan itu terpaksa ditangguhkan dalam
tempoh tiga bulan lagi. Selepas tempoh itu, sekiranya Awang tidak juga balik,
terpaksalah perjanjian itu diputuskan dan ibu bapa Dayang bolehlah menerima
sesiapa sahaja yang meminangnya.

Setelah genap tiga bulan dan Awang masih tidak balik ke Padang juga,
maka pertunangan antara Awang dengan Dayang pun diputuskan dengan
persetujuan antara kedua-dua belah pihak dan disahkan oleh Orang Kaya Aris
dan Penghulu Pabitah. Sungguhpun Dayang masih tetap berharap lambat laun
Awang akan balik juga ke Padang, tetapi apakan daya, sebab dia seorang gadis
yang hormat dan taatkan ibu bapanya, terpaksalah dia menurut keputusan itu.

Semenjak itu, ibu bapa Dayang tidak sunyi dihujani dengan berbagai-
bagai kata caci dan tempelak daripada jiran-jirannya. Dikatanya ibu bapa
Dayang bersifat hidung tinggi. Hendak bermenantu terlalu memilih, belanja
hantaran terlalu mahal, hendak menjual anak, membuat adat supaya diadat-
adatkan, menghidupkan perasaan berperingkat-peringkat dan berbagai-bagai
lagi.

60 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Ada juga yang tergamak menempelak Dayang akan menjadi anak dara
tua, ibarat bunga sudah mala, baru hendak disandingkan. Tempelak dan kata
caci ini semua menjadikan hati ibu Dayang tidak sabar lagi. Maka apabila
beberapa bulan kemudian datang lamaran daripada Bacok, dalam keadaan
terpaksa, ibu bapa Dayang telah menerimanya. Sungguhpun hantaran belanja
Dayang masih tetap sama seperti Awang, tetapi Bacok yang terkenal bongkak,
sombong dan biasa bercakap besar itu telah mengaku akan menghantar belanja
Dayang itu dengan suka hatinya sendiri empat ratus serta iringannya kain
mastuli, lengkap dengan selendang dan cincin belah rotan emas.

Sebenarnya untuk menyampaikan cita-citanya hendak berjaya


menyunting “Seri Cempaka Padang” yang terkenal itu, Bacok dengan bersulit-
sulit telah meminjam wang daripada beberapa orang kawan-kawannya yang
tinggal di Bukit Mor dan Teluk Dalam. Demikian juga dengan kain mastuli
yang dibelinya dengan berhutang daripada Panglima Hitam, guru silatnya.
Kain mastuli yang ada di tangan Panglima Hitam itu ialah kain yang dirampas
daripada salah seorang saudagar yang berniaga di antara negeri Bugis dengan
negeri Melaka. Semasa itu, Pangalima Hitam menjadi kepala lanun di Tanjung
Tohor. Piutang-piutang itu percaya Bacok berhutang, memandangkan ibu bapa
Bacok adalah orang yang berada juga di jajahan Padang.

Bacok bertunang dengan Dayang selama dua bulan sahaja, iaitu


sementara menunggu hari dan bulan yang baik. Pertunangan itu telah
dihebahkan ke seluruh jajahan Padang oleh Penghulu Pabitah dan Orang Kaya
Aris. Kawan-kawan Bacok turut bergembira dan masing-masing hendak
memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit untuk meraikan majlis
perkahwinan itu dengan besar-besaran. Mereka bercadang untuk mengadakan
ronggeng, silat pencak dan wayang kulit yang dijemput dan disewa khas dari
Melaka. Bacok sendiri berangan-angan hendak mempersilakan Orang Kaya

61 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Aris, Penghulu Pabitah dan Temenggung Ahmad serta sekalian anak isterinya
hadir ke majlis perkahwinannya itu.

Sekarang marilah kita sama-sama mengikuti balik hal Awang. Setelah


berjaya pertandingan bermain catur dengan orang besar dua belas, Raja Muda
Bugis dan dikurniakan dua batang lembing pusaka dan kain mastuli, Awang
dengan bersungguh-sungguh berikhtiar untuk mencukupkan wang hantaran
yang termaklum itu.

Semenjak Awang berada di negeri Bugis, sekali dua sahaja Awang


mencuba berkirim pesan melalui saudagar-saudagar yang menjalankan
perniagaannya antara negeri Bugis dengan Melaka. Sekiranya saudagar-
saudagar itu singgah di Padang mereka akan menyampaikan perkhabaran
dirinya kepada ibu bapanya dan ibu bapa Dayang. Walau bagaimanapun
perkhabaran itu telah tenggelam lenyap di laut kerana dalam pelayarannya
saudagar-saudagar itu telah dirompak samun barang-barang perniagaannya dan
mereka dibunuh. Mayat-mayatnya dibuang ke laut oleh perompak lanun.

Lebih kurang sebulan sebelum genap tiga tahun Awang bertunang


dengan Dayang, baharulah Awang dapat mengumpulkan wang yang berjumlah
tiga ratus tujuh puluh dan tujuh duit. Awang pun segera bertolak
meninggalkan Makasar menumpang sebuah padewa saudagar Bugis, belayar
menuju ke Banjar Masin. Dari Banjar Masin menuju pula ke pulau-pulau Riau.
Di pulau-pulau Riau itulah perahu padewa itu telah mendapat rintangan,
diserang oleh kumpulan perompak lanun yang datang dari Teluk Ramunia,
selatan negeri Johor. Dengan menggunakan lembing-lembing jantan dan betina
yang ada ditangannya itu, akhirnya padewa itu selamat dilayarkan menyimpang
terus menujuk ke pantai barat Sumatera.

Di Pagar Ruyung, Awang telah berlawan main catur dengan seorang


hartawan. Di sini juga Awang telah berjaya mengalahkakn hartawan tersebut
62 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

dan mendapat hadiah sebuah sekuci lengkap terhias pada haluannya dengan
selaras pemuras untuk menentang musuh seperti perompak, lanun dan lain-lain
lagi. Dengan pengalamannya selama tiga tahun merantau dan belayar serta
menjalankan perniagaan di pulau-pulau Melayu hingga ke negeri Bugis, Awang
telah menjadi nakhoda sekucinya lalu belajar balik ke Padang.

Kebetulan pada waktu sang matahari menyinarkan cahayanya yang


girang gemilang di kaki langit timur, sekuci Awang selamat sampai ke
Pengkalan Kuala Parit Raja. Awang sampai kira-kira lima bulan lewat dari masa
yang dijanjikan. Awang tidak berputus harap hendak berkahwin dengan
Dayang kerana kelewatannya bukan salah dirinya, melainkan salah keadaan
keamanan laut angkara perompak lanun. Awang tetap yakin, Dayang setia
kepadanya dan ibu bapa Dayang masih bersabar dan bertimbang rasa kepada
dirinya yang merantau berdagang kerana menjalankan adat dan kewajipan.

Sebaik Awang naik ke pengkalan dengan mengepit kain mastuli dan


mengandar kedua-dua batang lembing sakti itu, beberapa orang daripada
kawan-kawan lamanya telah berlari-lari datang mendapatkannya dengan hairan.

“Kau balik Awang? Kau masih hidup? Apa khabar?” mereka bertanya.
“Baik, mengapa? Kamu semua hendak mengusik-usik aku?” Awang menjawab
dengan hairan juga. “Bukan mengusik-usik, Awang. Kita semua di sini
ingatkan kau sudah mati.” Syawal menjawab. “Ah, mengarut sahaja kamu
semua. Bukankah ajal maut di tangan Tuhan? Tak mati sebelum ajal. Apa
khabar ibu dan ayahku?”

“Khabar baik, Awang. Mereka tentu terperanjat bila nampak kau balik.”
Ragam pula menjawab dengan bersungguh-sungguh. Dengan rupa gembira
Awang berkata, “Aku telah menjalankan adat, adat kita orang-orang muda
Melayu, bila bertunang mesti keluar negeri. Tak berapa hari lagi kau semua

63 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

boleh bersuka ria. Tengok ini wang dan kain mastuli hantaran Dayang.”
Mendengar kata Awang ini, kawan-kawannya terdiam dengan sedih.

Sejurus kemudian dengan suara sedih, Syawal menjawab “Sudah terlewat


Awang. Wang dan kain mastuli yang kau bawa itu tidak berharga dan tidak
berguna lagi.” “Apa kata kau?” Awang mendesak dengan terkejut. “Jangan
marah, Awang. “Seri Cempaka Padang” telah terlepas ke tangan orang lain.”
Syawal menyambung katanya.

Mendengar keterangan ini, Awang terus terkejut dan kain mastuli yang
dikepitnya itu dengan serta-merta jatuh ke tanah. Sambil termenung panjang,
air matanya mula mengalir. Awang menurunkan lembingnya dari bahu, lalu
dihentak-hentakkan pangkalnya ke tanah. “Dayang terlepas ke tangan orang
lain. Ayam tambatan disambar helang.” Awang mengeluh kesal. “Siapakah
helangnya yang sanggup menyambar ayam yang telah ku tambat sekian lama?”
tanyanya lagi. “Siapa lagi, Bacok yang bongkak ketegar itulah.” Ragam segera
menjawab.

Mendengar nama Bacok, Awang termenung panjang, kemudian dengan


suara terharu dia berkata lagi, “Tak ku sangka rupa-rupanya cempedak boleh
jadi nangka. Sampai hati kau, Dayang. Kau lupa dengan pesanan kau sendiri.
Pucuk pauh delima batu, anak sembilang di tapak tangan. Bukankah aku
meninggalkan kau kerana kau? Sampai hati kau, Dayang, macam mana rumput
tak layu, kalau embun menitik ke tempat lain.”

“Sudahlah Awang, sabarlah. Dayang tak bersalah. Bacok yang bersalah


kerana dialah yang hendakkan Dayang. Bacok buat fitnah mengatakan kau telah
mati. Sebab kau sudah terlewat hingga tiga tahun lima bulan, Mak Long dan
Pak Long kau memutuskan pertunangan kau dengan Dayang.” Ragam berkata
menasihatkan Awang.

64 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

“Tetapi tidakkah boleh dipertimbangkan hal pelayaran laut sekarang?”


Awang menjawab dengan kesal dan marah. Syawal menjawab, “Mak Long kau
telah menimbangkan, menunggu kau lewat hingga tiga bulan tetapi sebab Mak
Long kau tak tahan dikata nista oleh jiran-jiran. Mereka mengatakan Mak Long
dan Pak Long kau terlalu memilih, membuat adat belanja kahwin terlalu mahal
hingga akhirnya Dayang lewat kawin jadi anak dara tua. Akhirnya mereka
terpaksa menerima Bacok menjadi menantunya”.

Awang segera mencapai bungkusan kain mastuli dan menimang-nimang


lembingnya marah. Melihatkan keadaan ini, Ragam menasihatkan, “Sudahlah
Awang. Bukan jodoh kau. Apa hendak dikesalkan. Kumbang bukan seekor
dan bunga bukan sekuntum. Marilah pulang berjumpa ibu bapa kau. Mereka
tentu gembira kau sudah selamat balik.” Dengan suara kasar dan marah Awang
segera menjawab, “Aku tak kesal sebab menjalankan adat dan kewajipan, tetapi
aku tak tergamak menengok Cempaka pujaan hatiku diragut dan dirampas oleh
tangan yang kasar itu. Bilakah Dayang akan berkahwin?” Awang bertanya
sambil berjalan diiringi kawan-kawannya.

“Hari ini. Malam tadi nikah dan petang ini pukul empat setengah
bersanding.” Syawal menjawab. Sambil menimang-nimang lembing betinanya,
Awang menyambung pertanyaannya lagi, “Apa khabar Orang Kaya dan
Penghulu?” Khabar baik Awang.” Jawab Syawal. Ragam menyambung, “Malam
tadi mereka datang menyaksikan Bacok bernikah. Ayah Dayang sendiri yang
menikahkan. Khabarnya petang ini mereka tak dapat hadir menengok Bacok
bersanding dengan Dayang kerana mereka ke Teluk Dalam dan bermalam di
sana kerana ada mesyuarat.

“Bagus.” Awang menjawab, “Biar putih tulang jangan putih mata.


Orang-orang kita sekarang berpandukan siapa kuat dialah menang.”
Mendengar jawapan ini, kawan-kawannya terkejut cemas. Syawal segera

65 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

bertanya, “Apa kau hendak menebus dengan darah akan diri Dayang itu,
Awang?” “Tak mudah Awang. Sanggup kau mengambil balik ‘Seri Cempaka
Padang’ yang telah dilengkar ular berbisa?” Ragam pula menyambung sambil
menggelengkan kepalanya.

“Alangkan lautan luas yang penuh dengan jerung buas dapat ku harungi,
inikan pula tanah daratan tempat aku bertapak yang lebih luas medannya.
Setiap yang sanggup menebus mesti sanggup membayar. Walau dengan darah
dan nyawaku sekalipun. Benar tiap-tiap bara api itu panas, tetapi kalau hendak
digenggam, genggamlah betul-betul hingga menjadi abu.” Awang menjawab
dengan marah.

“Sia-sia Awang, kerana sekuntum bunga terpaksa berkelahi. Aku tak


sangka kau yang telah jauh perjalanan dan luas pandangan masih sempit fikiran.
Kau tak memandang pada hikmat dan takdir Tuhan. Kau tak dijodohkan
dengan Dayang, tentu ada hikmat di belakang hari yang akan mendatangkan
kebaikan dan kebajikan kepada diri kau.”

“Benar kata Syawal itu Awang. Fikirlah hingga tiga kali. Dulu aku tak
hendak cakap apa-apa hal kau hendak berkawin dengan Dayang. Sebab kau
dengan Dayang bukan orang lain. Aku tak suka campur, takut muka
berpandangan dan budi kedapatan, tetapi sekarang sebab Dayang hendak
kahwin dengan Bacok, barulah aku hendak campur bercakap. Aku dengar kalau
kau berkahwin dengan Dayang, ibu dan ayah kau hendak bawa Dayang pindah
duduk sama-sama serumah. Rumahtangga kau takkan boleh aman Awang.
Bukan kau tak tau adat orang-orang kita atau lain bangsa, anak menantu
perempuan tak boleh serumah dengan mentua. Menantu dipandang oleh
mentuanya macam madu. Demikian juga sebaliknya. Lainlah kalau kau duduk
serumah dengan Mak Long dan Pak Long kau, kerana Dayang anak mereka.
Tetapi sanggupkah kau hidup dipandang orang menumpang dan di bawah

66 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

perintah mentuanya? Walau tiap-tiap hari kau bawa balik ikan besar dan seguni
beras untuk menyara hidup Mak Long dan Pak Long kau, orang tetap kata kau
menumpang juga.” Uteh pula campur cakap.

“Sudahlah Awang. Kau baru saja balik daripada belayar, berehatlah


dulu. Hilangkan ingatan kau kepada Dayang. Kalau bukan rezeki dan jodoh
kita, janganlah dikejar. Mudah-mudahan jodoh kau pada orang lain akan lebih
bahagia.” Syawal memotong cakap menasihatkan. Mendengar nasihat
kawannya ini, Awang mendiamkan diri.

Apabila sampai ke rumahnya, didapati pintu rumahnya tertutup. Ibu dan


bapanya ada di rumah Dayang kerana sama-sama menolong dan merayakan
hari perkahwinan Dayang dengan Bacok. Tetapi setelah diberitahu yang Awang
telah balik, dengan gopoh-gapah ibu bapa Awang balik mendapatkannya.
Peristiwa gembira perjumpaan kembali antara anak-beranak yang dikasihi dan
dirindui itu tiadalah dapat hendak dilukiskan.

Di ringkaskan cerita, setelah bertanya-tanya khabar dan ibu Awang


menceritakan hal pertunangan Awang dengan Dayang yang terpaksa
diputuskan itu, kawan-kawan Awang pun balik ke rumah masing-masing. Bapa
Awang pula pergi semula ke rumah Dayang. Ibu Dayang bersibuk bertanak nasi
dan memasak gulai ayam yang sangat-sangat disukai oleh Awang.

Semasa ibunya sedang memasak dan menyediakan makanan untuk


makan tengahari, Awang termenung di hujung serambi rumahnya sambil
tangannya mengasam mata lembing betinanya. Sementara lembing jantannya
disandarkan ke tiang penjuru rumahnya. Awang mengasam mata lembing itu
dengan asam limau nipis. Sebentar-bentar dia berhenti mengasam lembing dan
digantinya pula mengasam badek yang bernama ‘Berulang Mambang’.
Badeknya sentiasa tersisip di belakang pinggangnya.

67 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Melihatkan keadaan Awang yang asyik dan tekun mengasam senjata-


senjata itu, ibunya keluar mendapatkannya lalu bertanya, “Apa yang kau buat
itu Awang?” “Tak ada apa-apa, mak.” Jawab Awang pendek. “Kalau hendak
mengasam senjata, nanti-nantilah dulu. Bukan tak ada masa panjang. Besok,
lusa dan bila-bila masa pun boleh. Kau bukan hendak belayar lagi. Simpanlah
dulu senjata-senjata itu.”

“Benar mak, tetapi mengasam lembing ini bukan boleh sebarang hari.
Setahun hanya sekali saja. Hari ini terkena hari setahunnya, ia mesti diasam. Itu
pun sebelum matahari jatuh.” “Kalau tak diasam, apalah susahnya Awang? Aku
tengok ayah kau dan Pak Long kau ada menyimpan keris, badek dan tombak
tetapi tak pernah diasam.”

“Itu lain mak. Lembing ini, lembing pusaka dari Bugis. Beradik abang
dengan lembing ‘Pulau Sari’ di Melaka, ‘Pulau Mambang’ atau ‘Mambang
Bersambut’ yang ada di Batu Bahara itu. Kalau tak diasam, tuannya akan
didakwa atau dapat susah.” “Susah apa Awang?” ibunya bertanya dengan
hairan dan seram.

“Susah kerana ia meminta darah.” Mendengar ini ibunya terkejut.


“Tetapi janganlah disusahkan. Oleh kerana lembing ini menjaga kita, maka tiap-
tiap tahun mesti diasam dan diberi minum darah dua ekor ayam putih.”

“Pagi-pagi ini, mana kita nak cari dua ekor ayam putih tu Awang?”
ibunya bertanya dengan rupa kesal dan sedih. “Sudah tau susah membelanya,
buat apa kau bawa pulang lembing ini?” sambung ibunya lagi, seraya duduk di
sebelah Awang dan membelek-belek mata lembing pusaka itu dengan hairan
dan cemas. Dengan tenang Awang berkata lagi, “Lembing ini kurnia Raja Bugis,
pusaka mesti diterima tanda rakyat menghormati Rajanya. Kalau tak ada ayam
betina dua ekor warna putih pun tak mengapa mak. Hari pun tinggal setengah
jam lagi matahari jatuh ke petang.” Sambil Awang memandang matahari yang
68 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

menyinarkan cahayanya yang amat terik di luar serambi itu. “Masanya sudah
suntuk. Biarlah karang petang Awang cari darah lain menggantikannya.”
Sambung Awang lagi. “Darah apa Awang?” ibunya mendesak dengan hairan,
sambil tangannya memegang-megang rambu kuning hitam yang terikat pada
pangkal mata lembing itu.

“Darah apa-apalah yang patut. Cuba mak tengok pada mata lembing ini.”
Awang menjawab seraya menunjukkan mata lembing itu kepada ibunya.
Ibunya hairan sambil merasakan hujung jari manisnya ke mata lembing itu.
“Airnya berkilat mak.” “Air limau asam agaknya Awang?” ibunya bertanya.
“Bukan mak, dari tadi airnya nampak berkilat keluar basah. Puas sudah air
limau asam itu disapukan tetapi habis kering. Cuba mak cari sedikit warangan
untuk mengeringkannya.” “Susah benar, hati mak ni Awang. Rumah ini tak
ada menyimpan warangan hinggakan Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah
hendakkan warangan pun tak dapat, terpaksa berpesan dengan orang,
membelinya di Melaka. Entah dapat entah tidak.”

“Air yang keluar itu tanda lembing itu menangis. Ia malu dan tak hendak
didekat atau disatukan dengan lembing jantan itu.” Awang menerangkan
sambil menunjukkan lembing jantan yang ada tersandar di tepi tiang penjuru
rumah. Sebab itulah Awang terpaksa jauhkan lembing jantan, ia sepatutnya
dicerai dan dijauhkan berasing rumah, sebab bukan jodohnya. Kalau tak
diceraikan, kita sebuah rumah pula akan menangis mak.”

“Siapalah orangnya dan rumah manalah yang sanggup menyimpan


lembing jantan itu Awang? Bukan mudah hendak diceraikan sebatang di sana
dan sebatang di sini. Mak fikir, sementara ini biarlah kedua-duanya kita simpan
serumah dulu.”

“Kalau begitu, apa boleh buat mak. Ketawa biarlah kita sama-sama
ketawa dan menangis biarlah sama-sama kita menangis. Biarlah kita serumah
69 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

menangis, kalau sudah puas bertadbir tak juga berhasil. Terimalah takdirnya
pula mak.” Awang memberi kata putusnya sambil menutup mata lembing itu
dengan sarungnya. Perlahan-lahan dia bangun menyarungkan pula badeknya,
dan lembing itu disandarkan berhampiran dengan lembing jantan itu.

Sebenarnya segala kiasan yang diperkatakan oleh Awang tadi, sedikitpun


tidak difahami oleh ibunya. Beberapa minit kemudian, ibu Awang
memanggilnya masuk makan tengahari bersama-sama dengannya. Sungguhpun
Awang tidak begitu hendak makan, tetapi dilawan juga ibunya berbual
bertanyakan itu dan ini, selama dia berlayar meninggalkan jajahan Padang lebih
tiga tahun lalu.

Dalam perbualan itu, ibu Awang membayangkan untuk menjodohkan


Awang dengan anak saudara bapanya yang ada tinggal di Teluk Dalam.
Tawaran ibunya itu dengan berterus-terang ditolak oleh Awang, dengan alasan
jodohnya jauh di seberang laut. Sungguhpun ibunya mengetahui yang Awang
telah berputus harap tiada dapat berkahwin dengan Dayang, tetapi dicubanya
juga memberi berbagai-bagai nasihat supaya Awang melupakan Dayang.
Kesudahan nasihat ibunya. dijawab dengan mendiamkan diri sahaja.

Tidak lama selepas makan dan setelah memberitahu Awang, ibunya pun
pergi semula ke rumah Dayang untuk menyaksikan upacara persandingan
antara Dayang dengan Bacok yang akan dilangsungkan pada pukul empat
setengah petang itu. Awang juga dijemput oleh ibu Dayang supaya bersama-
sama hadir dalam istiadat yang meriah itu.

Berita Awang telah balik dari belayar juga didengar oleh Dayang
menerusi beberapa orang anak-anak gadis kawan-kawannya yang ada bersama-
sama di dalam bilik, ketika dia sedang berhias dan bersiap pakaian pengantin.

70 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Semasa tukang andam sibuk memakai dan menghiaskan Dayang, hati


Dayang berdebar-debar dan ingatannya tidak tentu arah. Wajah Awang
semakin nyata terbayang-bayang di hadapan matanya. Oleh kerana tiada
tertahan hatinya, tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi kedua-dua
belah pipinya. Tukang andam tidak dapat menyelam akan lubuk hati Dayang
yang sedang bergelora iut. Disangkanya seperti sesetengah anak gadis pada
zaman itu yang menangis bila hendak dikahwinkan, kerana terlalu gembira
terlepas daripada kongkongan atau pinggitan ibu bapanya. Oleh itu tangisan
Dayang itu hanya dinasihatkan supaya bersabar dan bertenang sahaja.

Kebetulan pada pukul empat suku petang itu, dengan tersisip badek
‘Berulang Mambang’ di belakang pinggangnya, sementara tangan kanannya
memegang lembing betina itu, Awang telah sampai di halaman rumah Dayang.
Pada masa itu tiada larangan orang memakai senjata, bertambah pula di
halaman rumah Dayang telah penuh sesak dengan jemputan yang hendak
menyaksikan upacara perarakan dan persandingan. Maka kedatangan Awang
tidaklah dihalang, malah tidak disedari oleh orang ramai. Dalam kesibukan
orang ramai itu, dapatlah Awang meloloskan diri dan menyembunyikan
lembingnya di bawah rusuk tempat persandingan. Dari celah tingkap Awang
berpeluang memandang wajah Dayang yang sedang dibawa oleh mak
andamnya keluar dan didudukkan di atas peterna tiga tingkat. Hati Awang
terus berdebar-debar bila terpandang air mata Dayang yang berlinangan dan
wajahnya yang pucat lesi tidak berseri. Apabila Awang terpandang sahaja kain
baju selendang pemberian Bacok yang dipakai oleh Dayang, hatinya terus
bertukar menjadi marah yang amat sangat.

Sedang Dayang bersanding di atas peterna dengan matanya memandang


ke bawah, tiba-tiba dia tersentak dan berdebar-debar apabila terpandang Awang
yang sedang berdiri di tepi tingkap, sebelah peternanya. Dadanya terus
berombak bila terlihat tangan Awang menarik lembing daripada bawah rusuk

71 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

lalu dikepitnya. Kebetulan pada waktu itu orang ramai mula riuh-rendah
bersorak-sorak bila mendengar suara nafiri, gong dan gendang mengarak Bacok
di atas sebuah usungan yang ditandu oleh beberapa orang kawan-kawannya.
Semasa diarak itu, Bacok memakai baju pesak sebelah, berseluar singkat dengan
kaki kecil dan bertanjak, serba hitam.

Ketika angkatan perarakan masuk ke halaman rumah Dayang, Awang


dengan segera mencabut tutup mata lembingnya dan dimasukkan ke dalam
gulungan kainnya. Sebaik-baik usungan Bacok sampai di hadapan tangga
rumah Dayang, dalam keadaan suasana yang riuh-rendah dengan sorak-surai
orang ramai dan kanak-kanak, bersambut pula dengan bunyi nafiri, gong dan
gendang yang semakin rancak, Awang melompat ke hadapan dan meradakkan
lembingnya ke perut Bacok. Orang ramai terus gempar apabila mendengar
suara Bacok mengaduh dan mengerang kesakitan. Mereka riuh-rendah dan
terrpekik-pekik ke sana ke mari, terutama bila terpandang lembing yang
tercucuk di perut Bacok.

Setelah usungan itu diturunkan, kawan-kawan Bacok bersusah payah


mencabut lembing tersebut, tetapi sebaik sahaja tercabut lembing itu daripada
perut Bacok, tiba-tiba ia menikam pula ke perut salah seorang daripada kawan-
kawan Bacok. Oorang ramai yang hadir seperti hilang akal, tidak berbuat apa-
apa, terpaku memerhatikan peristiwa yang berlaku di hadapan mata mereka.

Setelah Bacok dan kawannya itu menghembuskan nafas yang terakhir,


maka bergilir-gilirlah lembing itu menikam dan mengorbankan jiwa orang-
orang lain. Cara lembing itu menikam, samalah seperti ia menikam kawan
Bacok yang mula-mula tadi.

Akhirnya lembing itu melarat naik ke atas rumah dan menyucuk perut
bapa Dayang yang sedang termenung kaku di sisi Dayang. Baya Dayang adalah
orang yang kesembilan puluh sembilan terkorban. Sebelum menghembuskan
72 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

nafasnya yang terakhir, bapa Dayang berjaya mencabut lembing yang tercucuk
di perutnya lalu pergerakan lembing itu terhenti di situ. Setelah dibelek sebentar
mata lembing yang telah berlumuran darah orang, kurang sa (satu) seratus
orang itu, bapa Dayang menekan-nekan perutnya dan merangkak menyerahkan
lembing yang bersejarah itu ke ribaan Dayang.

“Nah, terimalah lembing Awang ini, ku pulangkan kepada kau Dayang.”


Sebaik habis sahaja bapa Dayang berkata-kata, dia pun rebah dan meninggal
dunia di atas pangkuan Dayang.

Pada masa itu barulah orang ramai yang berada di atas rumah itu riuh
rendah menangis. Masing-masing tidak tentu arah, berlari ke sana ke mari,
turun naik mengenal dan memerhatikan mayat-mayat yang bergelimpangan di
halaman, di tangga dan di anjung rumah. Perempuan-perempuan dan gadis-
gadis yang melarikan diri berlindung di atas peran rumah pun masing-masing
perlahan-lahan turun, dengan cemas dan kebingungan. Mereka amat hairan
memikirkan bahawa mayat-mayat yang bergelimpangan itu adalah mayat lelaki
sahaja, tiada seorang pun perempuan. Sepatutnya sebaik lembing itu tercabut
daripada perut bapa Dayang, lembing itu menikam pula Dayang yang di sebelah
bapanya. Namum kerana Dayang itu perempuan, maka lembing itu pun terhenti
di tangan bapa Dayang dan tidak bergerak seperti sebelumnya. Keadaan
lembing itu sebelumnya macam ditarik-tarik orang.

Berita pertumpahan darah pada petang itu dengan segera disampaikan ke


pengetahuan Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah yang sedang bermesyuarat
di Teluk Dalam (Bandar Maharani sekarang). Pada pagi-pagi esoknya barulah
Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah sampai balik ke Parit Raja. Kedua-
duanya sangat terharu dan dukacita memerhatikan mayat-mayat yang masih
bergelimpangan di sana sini. Undang-undang negeri ketika tidak seperti
sekarang. Soal bicara membicara masih terserah bulat-bulat di tangan Orang

73 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Kaya Aris dan Penghulu Pabitah, maka pertumpuhan darah pada petang itu
hanyadianggap sebagai satu kemalangan atau mala petaka yang menimpa
jajahan Padang. Akhirnya mayat-mayat itu telah diperintahkan ditanam begitu
sahaja, iaitu tidak lengkap sempurna menurut agama Islam yang sepatutnya.
Sebuah lubang panjang seperti parit telah digali, kemudian mayat-mayat itu
semuanya disusun di sepanjang parit itu. Setelah ditimbus, di atasnya dicacak
kayu-kayu nisan.

Tetapi kini sudah tiada kayu nisan tersebut pada tanah perkuburan itu.
Hanya kesan tanah perkuburan itu sahaja yang masih kelihatan, iaitu betul-betul
pada pokok kayu terap yang telah tumbang mati. Kawasan ini hingga sekarang
masih tetap dikenang dan diingati orang, walaupun terbiar tidak terbela. Kalau
kita masuk dicelah-celah atau di bawah belukar di situ, kita masih boleh
memerhatikan keadaan tanah perkuburan yang bersejarah, sedih dan
mengerikan itu, lapang, rendah dan lekok seperti parit.

Di sekelilingnya pula terdapat beberapa batang pokok buah-buahan tua


seperti duku, manggis dan durian. Kebanyakan pokok duku yang ditanam oleh
penduduk Padang sekarang, benihnya diambil daripada pokok buah-buahan
yang ada di sekeliling tanah perkuburan ini. Sebab itulah hingga sekarang tanah
perkuburan ‘Kurang Sa Seratus’ itu dikenal orang dengan nama ‘Dusun Tua’,
iaitu antara Parit Besar dengan Parit Raja Laut.

Berhubung dengan hal tanah perkuburan ini juga, ada pihak yang
mengatakan, selain daripada perkuburan yang ada di Dusun Tua, ada satu lagi
tanah perkuburan di tepi jalan Parit Raja Laut. Kubur di tempat ini katanya
adalah kubur orang-orang pihak Bacok yang terbunuh berjumlah kurang sa
(satu) lima puluh. Tetapi sekarang lebih ramai orang mengatakan tanah
perkuburan Dusun Tua itulah sebenarnya kubur “Kurang Sa Seratus” yang
terkorban oleh lembing Awang.

74 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Berbalik kepada cerita Awang tadi, setelah dia meradakkan lembingnya


kepada Bacok yang sedang di atas usungan dan diarak itu, dia pun segera
menghunus badeknya yang bernama ‘Berulang Mambang’ itu untuk
mempertahankan diri kalau-kalau ada kawan-kawan Bacok atau sesiapa saja
yang hendak membalas bela menikamnya pula. Pada masa orang ramai riuh-
rendah terpekik-pekik dan mengerang kesakitan akibat menerima tikanan
lembing itu, Awang cuba beberapa kali untuk naik berjumpa dengan Dayang.
Awang hendak mengajak Dayang mengikutnya berundur daripada rumah itu
agar tidak terkorban sama. Tetapi keadaan di serambi dan tingkap-tingkap
rumah telah penuh sesak dengan orang ramai yang berebut memanjat untuk
melarikan diri daripada ancaman lembing. Maka terpaksalah Awang berlindung
di bawah rumah sahaja.

Tidak beberapa lama kemudian, selepas dilihat ramai orang yang


terkorban dan mayat bergelimpangan di sana sini, termasuk mayat Bacok dan
kawan-kawannya, barulah puas hati Awang. Perlahan-lahan Awang pun
berundur meninggalkan kawasan rumah Dayang dan terus menuju ke sekucinya
di Pengkalan Kuala Parit Raja. Sungguhpun Awang berpuas hati atas
tindakannya membunuh Bacok supaya sama-sama berputih mata tidak dapat
berkahwin dengan Dayang, tetapi hatinya sedih dan terkilan tidak dapat
berjumpa Dayang yang terpaksa ditinggalkannya itu.

Dengan tidak bertangguh lagi dan tanpa disedari oleh sesiapa pun,
Awang meninggalkan jajahan Padang pada petang itu juga. Sekucinya telah
dilayarkan menuju ke seberang Sumatera. Sebenarnya, Awang meninggalkan
jajahan Padang itu kerana merajuk. Merajuk untung nasib dirinya yang telah
puas hidup menderita, sanggup menggalang nyawa kerana menjalankan
kewajipan dan adat, tetapi cita-cita dan kebahagiaan hidup hendak beristana
rumahtangga yang diangan-angankan selama ini tidak tercapai.

75 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Awang membawa sekucinya mengharungi laut yang luas terbentang


semasa matahari sedang ayun temayun memancarkan cahayanya yang kemerah-
merahan hendak masuk ke peraduannya di sebalik tirai maghrib. Sambil
tangannya memegang sekuci, Awang menghalakan pandangan matanya yang
berlinangan ke pantai Padang, tanah airnya yang tercinta. Awang mula merasa
kesal dan teresak-esak menangis kerana tidak dapat berjumpa dan
mengucapkan selamat berpisah buat penyudahan dengan ibu bapanya yang
tidak bersalah itu.

Namun sebenarnya Awang sememangnya tidak hendak berjumpa


dengan ibu bapanya kerana dia malu dengan perbuatannya yang amat kejam
itu. Dia sedar selama ini ibu bapanya telah memberikannya didikan yang
sempurna, bersopan santun, bertolak ansur dan didikan bermasyarakat yang
sebenar. Awang juga kesal kerana tidak dapat berjumpa dengan Dayang untuk
memberikan ucapan selamat berpisah dan memohon maaf atas perbuatannya
yang mengorbankan Bacok, suami Dayang.

“Apa boleh buat, aku terpaksa memilih satu antara dua. Putih tulang
atau putih mata? Aku telah memilih biar putih tulang. Aku sedar, manusia
hanya boleh memilih jodoh, tetapi kuasa untuk menjodohkan terletak di tangan
Tuhan.” hati Awang berbisik dengan sedih dan kesal.

Hal Dayang pula, apabila didapati bapanya terkorban disisinya dan


ketika itu juga ibunya datang memeluk jasad bapanya dengan raung tangisnya
yang amat sangat. Dayang yang sedang kebingungan menerima lembing tadi
pun tersedar akan persitiwa yang telah berlaku. Dayang pun menjerit dan
menangis, lalu dipeluk mayat bapanya. Tangannya memegang-megang luka di
perut bapanya yang sangat mengerikan itu. Baju dan kain samping bapanya
penuh dibasahi darah. Melihatkan hal ini, ramai antara kaum perempuan yang
pitam. Ibu Dayang tidak putus-putus menyebut kesalnya akan perbuatan

76 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Awang yang kejam itu. Langsung dia tidak sangka Awang tergamak bertindak
demikian hanya kerana kasih sayangnya kepada Dayang. Dayang hanya
mencucurkan air matanya sahaja. Sementara mulutnya terkunci tidak dapat
berkata-kata.

Beberapa orang tua-tua yang berada disitu menasihatkan ibu Dayang


supaya perkara yang berlaku itu diserahkan dalam pertimbangan dan hukuman
Orang Kaya Aris dan Penghulu Pabitah. Maka ibu Dayang pun mendapatkan
lembing yang berlumuran darah, yang berada di tangan Dayang itu dan
berkata, “Kerana kau, nyawa kurang sa seratus terbunuh. Ya, Lembing Awang
Pulang ke Dayang …….. Simpanlah dia baik-baik, Dayang.

Hal ibu bapa Awang pula, apabila didapatinya orang ramai sibuk ke sana
ke mari riuh-rendah terpekik-pekik, mengerang di halaman rumah Dayang,
mereka suami isteri terburu-buru menjengah ke anjung. Mereka juga telah
hilang fikiran dan terpegun memandang peristiwa lembing itu menikam lepas
seorang, seorang hinggakan bapa Dayang turut terbunuh.

Setelah didengarnya orang ramai di bawah menjerit-jerit mengatakan


Awang telah menikam Bacok dengan lembing, ibu bapa Awang pun tersedar
dan terus berlari turun ke bawah mencari-cari Awang, tetapi tidak berjumpa.
Bila terpandangkan darah dan mayat-mayat bergelimpangan, mereka menangis
dan segera memeriksa setiap mayat, kalau-kalau Awang juga terkorban sama.
Sesudah didapati Awang tidak terkorban, mereka segera berlari-lari anak balik
ke rumah sambil mengesat-gesat air mata kesedihan. Setiba di rumah,
didapatinya Awang tiada. Hanya lembing jantannya sahaja yang tersandar pada
tiang.

Sesudah puas mereka bertanya orang-orang di sekeliling rumah dan


kepada orang-orang yang lalu lalang pergi balik ke rumah Dayang tentang
Awang, lalu mereka berlari ke Pengkalan Kuala Parit Raja. Kasihan! Sampai
77 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

sahaja di sana didapatinya sekuci Awang itu telah bertolak sedang belayar di
tengah-tengah laut. Ibu Awang meraung dan melambai-lambaikan
selendangnya sambil memanggil Awang pulang. Malangnya panggilan dan
lambaian itu tidak didengar dan dipandang oleh Awang. Kesudahannya,
dengan perasaan yang cemas dan hampa bapa Awang membawa isterinya yang
telah hilang akal itu balik ke rumahnya dengan menanggung duka nestapa
beberapa lamanya.

Majlis perkahwinan antara Bacok dengan Dayang telah rosak binasa dan
terpaksa dibatalkan dengan air mata kesedihan. Jemputan serta saudara mara
yang jauh dan dekat yang ada bersama merayakan majlis bersejarah itu telah
balik ke rumah masing-masing. Tinggallah Dayang dengan ibunya berendam
air mata beberapa lamanya terkenangkan peristiwa sedih dan ngeri yang telah
berlaku, terutama atas kematian bapa Dayang yang tidak disangka-sangka itu.

Beberapa bulan kemudian, Dayang telah dilamar oleh beberapa orang


pemuda tetapi lamaran itu semuanya ditolak, dengan alasan yang dia tak
hendak kahwin sehingga akhir hayatnya.

Berhubung dengan hal Lembing Awang Pulang ke Dayang, ianya


disimpan oleh Dayang. Dia meletakkannya di atas katil sebelah tempat dia
tidur. Di tepi katil itu Dayang sediakan pula sebuah peti atau almari kecil
tempat menyimpan sikat, bedak, celak, cermin, tepak sirih dan alatan-alatan
perhiasan diri yang lain. Peralatan ini semuanya ialah alat solek yang
digunakan oleh Dayang pada hari persandingannya dengan Bacok. Peralatan
solek tersebut diletakkan bersebelahan dengan lembing betina itu untuk
digunakan oleh lembing itu untuk bersolek. Dayang dan ibunya mendapat
alamat yang demikian sekiranya dia menyimpan lembing yang bersejarah itu.

Pada tiap-tiap waktu senja, terutama pada petang hari Khamis atau
malam hari Jumaat, lembing itu telah dibakarkan kemenyan dan dipuja oleh
78 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Dayang. Kalau tidak diamalkan perbuatan memuja, lembing itu akan


mengulangi sejarah sedih dan ngeri yang mengorbankan banyak jiwa dan
menumpahkan banyak darah.

Beberapa tahun kemudian, iaitu setelah ibu Dayang dan Dayang


meninggal dunia, tiadalah dapat dapat dikesan akan hal lembing itu yang
berpindah dari satu tangan ke satu tangan yang lain dalam warisnya sehingga
zaman Orang Kaya Abu Bakar memerintah Parit Bakar kira-kira lima puluh
tahun lalu. Kita difahamkan bahawa pada zaman Orang Kaya Abu Bakar
menjadi Orang Kaya, lembing itu berada dalam simpanannya. Setelah Orang
Kaya Abu Bakar meninggal dunia, lembing itu berpindah dan bersalin tangan
dipusakakan kepada beberapa orang hingga terlepas ke tangan pihak yang tidak
berhak menyimpannya.

Pada suatu masa lembing itu pernah dipindahkan ke Johor Baharu untuk
dijadikan khazanah lama dan bersejarah kerajaan Johor, tetapi apabila berlaku
berbagai-bagai hal yang kurang baik terhadap negeri dan kerajaan Johor,
lembing itu dipulangkan semula kepada ahli warisnya. Antara kejadian kurang
baik yang berlaku ke atas kerajaan Johor ialah kilat petir yang mengakibatkan
kebakaran serta pertumpahan darah atau kejadian pembunuhan yang berlaku di
rumah salah seorang pembesar negeri. Oleh yang demikian apabila ada
beberapa antara waris menuntut, lembing itu dipulangkan kepada mereka
sehingga sampai ke tangan Encik Abdullah (anak bungsu Orang Kaya Abu
Bakar yang menjadi Penghulu Parit Bakar pada zaman pemerintahan Jepun).

Pada masa perang Jepun, lembing itu telah dibawa berpindah randah
dengan cara terang-terangan tetapi dengan kuasa Tuhan lembing itu terlepas
daripada pandangan mata tentera Jepun yang sedang mengawal. Cerita terakhir
yang diketahui tentang lembing tersebut ialah ia telah menunjukkan tanda dan
alamat kepada anak-anak dan keluarga Encik Abdullah beberapa hari sebelum

79 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Encik Abdullah meninggal dunia. Encik Abdullah kemalangan apabila motokar


yang dinaikinya melanggar pokok di Johor Baharu. Sehingga cerita ini ditulis
lembing itu masih berada dalam simpanan keluarga Allahyarham Encik
Abdullah, iaitu waris yang berhak dan diwasiatkan untuk memelihara dan
menjaganya.

Menurut apa yang diceritakan, bentuk lembing itu lebih kurang sama
seperti lembing biasa sahaja. Matanya tajam di tepi dan terus tajam ke
hujungnya, hanya kira-kira sejengkal lebih panjang daripada biasa. Pada masa
tertentu mata lembing itu berkilat-kilat mengeluarkan air seperti air mata. Ini
menunjukkan lembing itu menangis. Kadang-kadang lembing itu menghentak-
hentak untuk menunjukkan alamat bahawa keluarga atau ahli waris lembing itu
akan menghadapi kesusahan atau mala petaka. Kalau berlaku demikian,
terpaksalah waris atau pemegang lembing itu mengadakan sedikit bacaan doa
selamat tolak bala, dan lembing itu diasam dengan asam limau dan mata yang
berair itu disapu dengan warangan supaya kering.

Adat menyemah dan membasuh mata lembing setahun sekali hingga


sekarang masih dijalankan, iaitu dibasuh atau disapu dengan darah dua ekor
ayam putih. Pendek kata lembing itu telah beratus tahun dan turun-temurun
menjadi pusaka tidak boleh diabaikan oleh ahli waris berkenaan dan hingga
sekarang masih tetap dihormat dan dimuliakan. Walaupun dipandang salah
dari segi agama Islam, upacara menyemah dan memuja sesuatu benda tetapi
oleh sebab di kalangan orang-orang Melayu, terutama yang tua-tua masih
berfahaman lama dan masih kuat memegang adat, mereka tergamak
mengatakan biar mati anak jangan mati adat. Maka tidak hairanlah sekiranya
kehormatan dan kemuliaan yang diberikan kepada lembing itu masih dilakukan
oleh orang kita sekarang dan akan datang.

80 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Telanjur kita mengemukakan sedikit riwayat “Lembing Awang Pulang Ke


Dayang” yang mengemparkan itu, molek juga rasanya kita terangkan sama hal
lembing jantan yang tersandar di rumah ibu bapa Awang semasa Awang
meninggalkan jajahan Padang itu.

Oleh kerana lembing jantan itu tiada membuat apa-apa riwayat yang
menggemparkan lagi menghairankan, maka lembing itu tidaklah begitu dikenal,
dihormat dan dimuliakan oleh ahli waris berkenaan. Mata lembing itu
panjangnya tidak lebih daripada sejengkal lurus dan tajam pada kiri kanan dari
pangkal hingga ke hujungnya. Sekarang hujung matanya telah patah dan masih
tersimpan dengan baik di rumah Che Safiah binti Abd. Majid (ibu Allahyaham
Che Abdullah bin Orang Kaya Abu Bakar) di Parit Bakar, Muar. Kedua-dua
lembing yang bersejarah itu seperti lembing biasa, iaitu berhulu kayu yang
panjangnya hampir sedepa dan matanya juga bertutup.

Menurut ahli waris, sehingga sekarang kedua-dua lembing itu dipisahkan


kedudukannya (tidak boleh serumah). Adalah dipercayai kalau diserumahkan,
lembing betina (Lembing Awang Pulang Ke Dayang) akan merasai malu
menangis dan tegal. Ini akan mendatangkan kesusahan dan sesuatu hal yang
tidak diingini akan terjadi di kalangan ahli waris itu sendiri.

Terdapat pelbagai cerita tentang lembing itu menyucuk dan membunuh jiwa yang
kurang seorang seratus itu, selain daripada yang diceritakan ini. Ada yang mengatakan Awang
sendiri yang mengamuk dan menikam lembing itu ke perut Bacok, dan seorang lepas seorang
yang ada dalam perarakan itu hingga berjumlah sembilan puluh sembilan orang, termasuk bapa
Dayang. Masuk orang yang ke seratus, Awang terpandang Dayang di atas peterana lalu Awang
menyerahkan lembing itu kepada Dayang.

Cerita yang lain pula mengatakan, sebaik-baik Awang menikam Bacok,


orang ramai pun gempar dan berjuang senjata, bertikam-tikam antara puak
Bacok dengan puak Dayang dan Awang sehingga memakan korban sembilan
puluh sembilan orang.

81 / 82
LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Antara cerita ini, yang lebih munasabah dan boleh diterima akal ialah
yang diceritakan ini kerana cerita ini datangnya daripada penceritaan orang tua-
tua yang boleh dipercayai. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada pembaca
memutuskannya.

82 / 82

You might also like