You are on page 1of 4

RAJA HAJI

Pahlawan Teragung Nusantara


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada


beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela
kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.
Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir
penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada
termasuklah seorang ulama sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam
di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang
terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.
Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah
Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya
berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung
dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan
maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel
ini.
Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis,
negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja
Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat
pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.
Hubungan dengan ulama
Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini,
disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan
beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein alQadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu
Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu.
Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan
demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu,
berpengaruh terhadap Raja Haji.
Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin
Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua,
menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut Keramat Pokok Sena
terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan
Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga
sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu
Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi
ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau

yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan
lain-lain.
Gelaran yang disandang
Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana
(1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang
terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran
Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh
Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.
Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang
Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang
berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.
Sewaktu Syarif Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai
Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M
sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman
al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun
kerangka pentadbiran kerajaan itu.
Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya
hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor,
Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah
dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama
Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan
saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan
Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam
peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.
Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang
yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada
penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang
tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada
menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh
sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter
van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan
sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, ... Raja Haji
bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung
dan terhebat sesudah Hang Tuah....
Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos.
Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan
data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti
Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.

Kejadian aneh
Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja
Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, Syahdan adalah
aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi
ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di
dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah alMarhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar
memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka
gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh
itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke
udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.
Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah
ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari
negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh
Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya.... (Tuhfat an-Nafis,
Naskhah Terengganu, hlm. 151)
Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat
dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau
memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian
mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan
Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja
Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan
Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, Sebermula di balik kebun kompeni
itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya
iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang
memerangi Melaka pada zaman Holanda maka adalah daripada zaman itu sampai masa
ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih
sedikit daripada 60 tahun maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling
jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah
Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa
yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling,
Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah
beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas
nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun
yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian
ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari
Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya
kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi.... (Hikayat
Abdullah, hlm. 57 - 58)
Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar
diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti
tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah
dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa orang-orang yang mati
syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki. Dalam hadis Nabi s.a.w.

pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini
bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam
tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, Ada pun khabarnya
yang kudengar. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar
yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan
penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu
Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua,
kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis
sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang
ditulisnya.
Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada
konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah
Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada
zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji
adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi
menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi
tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat
diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak
kepada Raja Haji sukar dipadamkan.

You might also like