You are on page 1of 1

Tiada Isu Gaji Guru Sekolah Agama

Tertangguh
Ditulis oleh Aivizanoorwani Shah Shahroni   
Khamis, 08 Julai 2010 18:39 | 196 hits

NUSAJAYA:  Gaji guru sekolah agama di Johor bukan satu isu kerana Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ada
menyediakan peruntukan bantuan kewangan tahunan kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SMAR) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Dato’ Zainal Abidin Osman, berkata Kerajaan Negeri tidak berhadapan
dengan sebarang masalah untuk menyalurkan bantuan kewangan itu kepada sekolah terbabit, tetapi ada
kemungkinan wang yang disalurkan digunakan oleh sekolah untuk tujuan-tujuan lain.

“Saya tidak mengatakan semua sekolah seperti ini tetapi mungkin ada segelintir yang menggunakan wang bantuan
itu untuk tujuan lain, bukannya bagi pembayaran elaun guru atau pelaksanaan kerja-kerja baik pulih sekolah,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Sheikh Ibrahim Md Salleh (PAS-Sungai Abong) yang
membangkitkan  aduan bahawa guru SMAR tidak menerima tunggakan gaji, pada Persidangan Dewan ke-12 di
Dewan Negeri di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri dan MAIJ menyediakan peruntukan sebanyak RM25.5 juta kepada kesemua sekolah
terbabit untuk membayar elaun guru yang terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Sekolah (JPS).

“Pada tahun ini, MAIJ turut memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM4.2 juta bagi menampung elaun guru,
manakala RM2.3 juta pula diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih sekolah.

“Kerajaan Negeri dan MAIJ sentiasa prihatin dengan kemajuan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang
dilaksanakan di SMAR, dengan memberikan elaun kepada guru-guru berkenaan,” katanya.

Zainal turut menangkis dakwaan Dr. Sheikh Ibrahim berkaitan isu Kerajaan Negeri menandatangani memorandum
persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal pengambilalihan pentadbiran SMAR yang dikatakan
menyebabkan ada guru terpaksa berhenti secara sukarela bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh sekolah
masing-masing.

“Sebenarnya, MoU ini belum di peringkat muktamad dan proses menandatanganinya akan dilakukan pada tahun ini,”
katanya.

Menjawab soalan Jaafar Hashim (BN-Senggarang) mengenai faedah yang bakal dinikmati oleh guru-guru SMAR
setelah ditukar kepada SABK, Zainal menjelaskan bahawa isu elaun guru dan kekurangan infrastruktur akan dapat
diatasi.

“SMAR akan didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan secara tidak langsung, guru-guru sekolah
agama ini akan dapat menikmati faedah sama seperti yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan lain,” katanya.

Apa yang penting, jelas  Zainal Abidin, adalah memastikan kokurikulum dan mata pelajaran yang diajar di sekolah
berkenaan akan mengikut kehendak aliran perdana.
http://www.bharian.com.my/bharian/Section/index_html?section=Pendidikan

You might also like