You are on page 1of 16

Beri tumpuan kepada isu

ekonomi
Written by Administrator   
Friday, 29 January 2010 05:13
Apakah masalah utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada hari ini? Adakah masalah
rasuah, perhubungan etnik atau isu-isu keagamaan?

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center,  masalah utama bagi rakyat Malaysia
adalah masalah ekonomi, iaitu 43 peratus, manakala 9 peratus pula mengatakan isu etnik, dan 9
peratus lagi mengatakan rasuah.
Sementara itu, kajian lain yang dikendalikan oleh syarikat pengeluar kad kredit, Visa
International, tiga isu terpenting bagi rakyat Malaysia adalah kos sara hidup, keselamatan
pekerjaan dan tabungan peribadi. 

Berdasarkan kepada rumusan daripada kedua-dua kajian, jelas bahawa isu ekonomi dan
kewangan merupakan persoalan utama dalam pemikiran masyarakat pengguna Malaysia.

Semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, terdapat satu ungkapan yang sering
diperkatakan iaitu “It is the economy, stupid!” untuk mengingatkan kepada  semua bakal calon
presiden bahawa walaupun pengundi mengalami pelbagai isu seperti peperangan, skandal dan
masalah sosial, namun isu terpenting bagi mereka adalah isu ekonomi seperti keselamatan
pekerjaan, harga barangan dan kualiti hidup.

Manakala, dalam satu kajian global yang dijalankan oleh BBC, penduduk dunia mengatakan
bahawa  isu terpenting yang perlu diberikan keutamaan bukanlah perubahan iklim atau
keganasan, tetapi masalah kemiskinan.

Namun begitu, apabila menatap surat khabar setiap hari, bukanlah isu ekonomi yang diberi
perhatian yang sewajarnya, tetapi pelbagai isu yang lain seperti keagamaan, skandal dan politik. 
Nampaknya, tumpuan lebih menjuruskan kepada isu-isu lain, tetapi bukannya isu ekonomi.

Keterlaluan dalam memberikan tumpuan kepada isu-isu ini juga sebenarnya boleh menjejaskan
kedudukan ekonomi negara kerana ia boleh mengurangkan keyakinan pelabur-pelabur asing
terhadap kestabilan dan perpaduan rakyat.

Untuk membina ekonomi pendapatan tinggi sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh Perdana
Menteri, pelbagai isu mesti ditangani dengan terus dan jujur.  Isu-isu ini termasuk gaji,
produktiviti, latihan dan latihan semula, cara untuk mengekalkan talent pool dan menggalakkan
inovasi dan kreativiti dalam perniagaan. Begitu juga usaha perlu dilakukan bagi melahirkan
pengguna yang matang, yang tidak hanya bergantung kepada subsidi kerajaan serta
berkeyakinan diri untuk dapat menyesuaikan diri dengan mengubah corak penggunaan diri
apabila menghadapi kegawatan ekonomi, bersedia menghadapi perdagangan yang adil dan
bebas, liberalisi, pencukaian dan pelbagai isu yang lain.

Walaupun terdapat beberapa kenyataan daripada kerajaan tentang isu ekonomi, tetapi arah dan
hala tujunya tidak begitu jelas. Sebagai contoh, dalam isu subsidi, Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sering membuat kenyataan yang berbeza-beza sehingga
mengelirukan pengguna Malaysia, apakah sebenarnya yang ingin kerajaan lakukan dalam isu
subsidi ini.

Demikian juga dengan kenyataan tentang ekonomi pendapatan tinggi?  Adakah ini akan
memberi manfaat kepada rakyat?  Apakah ia bermaksud para pengguna dan pekerja serta
keluarga mereka perlu membuat pengorbanan jangka pendek, untuk mendapatkan keuntungan
jangka panjang?

Ramai golongan remaja dan belia di negara kita, yang jika diberi peluang,  ingin pindah ke
negara lain. Apakah yang kita mampu lakukan untuk mengekalkan mereka untuk terus berada di
Malaysia?

Sudah tentu persoalan-persoalan ini bukan mudah untuk dijawab.  Namun jika kita ingin menuju
ke arah pencapaian tahap ekonomi berpendapatan tinggi, sudah tentu kita terpaksa meneliti dan
membahaskan isu-isu ini.

Pekerja, pengguna, belia, suri rumah tangga dan masyarakat hendak mempunyai ketahanan
mental dalam menangani cabaran-cabaran baru ini,.  Mereka harus diberikan kesedaran dan
pendidikan untuk memahami isu ini dan digalakkan untuk membahaskannya.  Proses pendidikan
yang serius dan sesi perundingan yang berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan rakyat
Malaysia memahami perubahan yang sedang berlaku serta ada buy-in dalam proses perubahan
ini.  Dengan melalui pendidikan dan sesi perundingan ini, kita dapat memastikan rakyat
Malaysia bersedia untuk melakukan pengorbanan jangka pendek demi merealisasikan hasrat dan
kepentingan negara untuk mencapai matlamat jangka panjang.  Justeru, kita harus memberikan
keutamaan yang sewajarnya kepada isu-isu ekonomi.

Datuk Marimuthu Nadason,


Presiden FOMCA
TUMPUKAN PERHATIAN SELESAI ISU
EKONOMI
Putrajaya, 1 Jun 2009 :   YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri telah
menyampaikan ucapan semasa Program Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang dan Cintailah Negara
Kita bagi bulan Jun di  Jabatan Perdana Menteri ( JPM ), Dataran Perdana, Bangunan Perdana
Putra, Putrajaya.

1. Dalam Perhimpunan Bulanan JPM tersebut yang turut dihadiri oleh pegawai dan kakitangan
Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri berkata petugas awam
hendaklah memberi perhatian terhadap usaha untuk menyelesaikan isu ekonomi agar negara
dapat keluar daripada situasi ekonomi yang tidak begitu baik.

2. Beliau juga  menyatakan supaya perhatian utama harus diberikan dengan menggariskan satu
tempoh masa yang sesuai selain menyusun keutamaan, membuat keputusan dan memanfaatkan
masa.

3. "Dalam masa terdekat, khususnya tahun ini dan tahun hadapan, selaras dengan apa yang
digariskan oleh kerajaan (kita perlu) menyelesaikan soal pokok iaitu isu ekonomi, menangani
banyak masalah berlaku di peringkat bawah, menguruskan hal penting dalam soal pentadbiran, di
peringkat wilayah dan sebagainya, untuk memastikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama,
Malaysia akan dapat keluar daripada situasi ekonomi yang tidak berapa baik.

4. "Perhatian yang harus diberikan ialah cara bekerja, menyelaraskan tugas dan tanggungjawab,
menggerakkan segala program yang telah disusun, cara wang dan sumber yang telah
diperuntukkan dibelanjakan dan mempunyai kesan yang diharapkan oleh pimpinan negara,"

 KEMBALI
Last Updated ( Monday, 01 June 2009 11:51 )

 Langkah Pemulihan Ekonomi Malaysia


Respon Polisi Malaysia

Pendekatan Malaysia dalam menangani masalah krisis ekonomi boleh dibahagi kepada 3
tahap (Suresh Narayanan, 1998). Pada tahap permulaan, krisis dilihat sebagai berpunca
daripada kelemahan sektor kewangan, pertambahan defisit akaun semasa, pinjaman yang
terlampau kepada sektor tertentu (hartanah dan pasaan saham) dan aliran keluar modal.
Oleh itu, dasar kewangan dan fiskal yang ketat telah diaplikasikan. Lebihan kecairan cuba
diserap, menghadkan pertumbuhan kredit dan menghalang pinjaman kepada sektor
hartanah dan pembelian saham. Kadar bunga dinaikkan untuk tujuan cuba menghalang
aliran keluar dana melalui pendekatan galakan tabungan dan menarik dana asing. Tindakan
ini dianggap juga dapat menstabilkan nilai Ringgit. Kadar upah di sektor awam dan swasta
dikurangkan atau disekat demi menghadkan penggunaan swasta.

Kesan daripada strategi kerajaan dalam tahap pertama tadi kurang memuaskan (rujuk
bahagian keberkesanan dasar). Oleh itu, strategi counter-cyclical mula digunakan,
menandakan bermulanya tahap kedua. Dalam tahap ini, polisi kewangan mula dilonggarkan
dan stimuli fiskal digunakan untuk mengurangkan kesan yang dibawa oleh krisis.

September 1, 2000 menandakan bermulanya tahap ketiga apabila Malaysia mula


mengimplikasikan dasar kawalan modal terpilih. Namun, secara kekeluruhannya, polisi dan
strategi pemulihan ekonomi dapat dianalisis dengan lebih lanjut seperti berikut:

(i) Polisi Kewangan

Kerajaan telah mengambil langkah berani untuk menetapkan kadar pertukaran Ringgit
kepada satu dolar Amerika sebanyak RM 3.80 per dolar. Selain itu, Ringgit juga tidak boleh
diniagakan di pasaran luar negara dan transaksi akaun modal tidak boleh dipinda. Dasar
kewangan longgar diamalkan dengan kadar bunga diturunkan dari semasa ke semasa.
Struktur penentuan Base Lending Rate (BLR) juga berubah. BLR tidak lagi dikira
menggunakan Kuala Lumpur Interbank Offer Rate (KLIBOR) tetapi menggunakan kadar
bunga (3 bulan) campur tangan Bank Negara (Bank Negara intervention rate) demi
mempercepatkan impak dasar kewangan kerajaan. Pada 3 Ogos 1998, kadar bunga
campurtangan Bank Negara itu dikurangkan dari 11% kepada 10.5% dan hanya sekadar
8% pada 3 September 1998. Kini, pada 1 September 1998, kadar ini ialah 5.5% sahaja.

Selain itu, nisbah keperluan wajib bank atau statustory requirement ratio (SRR) juga telah
titurunkan secara berperingkat dari 13.5% pada Februari 1998 kepada 6% pada 16
September 1998. Dengan anggaran RM 4 billion akan disuntik semula ke dalam pasaran
antara bank bagi setiap peratus penurunan SRR, maka sebanyak RM 38 billion telah masuk
ke sistem ekonomi Malaysia. Demi mengembangkan penggunaan domestik dan mengatasi
masalah pengucupan kredit, Bank Negara mengarah bank-bank perdagangan untuk
mencapai kadar pertumbuhan kredit tahunan tidak kurang daripada 8% pada tahun 1998.
Bank-bank yang gagal berbuat demikian atau enggan memberi pinjaman akan dikenakan
tindakan termasuklah menarik balik lesen mereka.

(ii) Polisi Fiskal

Selepas melihat keadaan ekonomi masih merosot, kerajaan telah mula mengubah pendirian
dasar fiskalnya untuk mengambil peranan yang lebih dalam ekonomi negara pada tahun
1998. Oleh itu, pakej stimulus fiskal berjumlah sebanyak RM 7 billion telah
diimplimentasikan (Daim Zainuddin, 2000). Sumber dana ini kebanyakannya dari punca
tempatan seperti Sekurities Kerajaan malaysia (MGS) dan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP). Sumber pinjaman dari luar dibuat kerana kerajaan tidak ingin
menghauskan dana sektor swasta dalaman.

Peruntukan RM 7 billion tersebut adalah untuk tujuan perbelanjaan pembangunan pada


tahun 1998 seperti untuk pembiayaan projek tertentu, menfasilitikan penggantian import
serta pertambahan eksport, untuk menjana permintaan domestik dan untuk projek-projek
sosial (kesihatan, pendidikan, kemiskinan). Dana kedua sebanyak RM 5 billion
diperuntukkan untuk projek infrastruktur yang kritikal seperti lebuh raya, perlabuhan,
lapangan terbang, pembekalan sumber air dan sistem pembentungan (Narayanan, 1998).

Sehingga tahun 1998, dasar pengembangan fiskal kerajaan hanya dilakukan melalui
pengembangan perbelanjaan kerajaan tanpa melibatkan pengurangan kadar cukai. Namun,
Belanjawan tahun 1999, beberapa keistimewaan pengecualian cukai telah disarankan.
Antaranya ialah pengecualian cukai (tempoh 5 tahun) sebanyak 70% daripada pendapatan
bagi pertumbuhan jualan eksport untuk syarikat-syarikat perdagangan antarabangsa yang
layak. Duti eksis atas peti sejuk, televisyen dan peti hawa dingin telah dimansuhkan.
Syarikat yang terlibat dalam mengorganisasi pakej perlancongan dikecualikan daripada
cukai untuk menggalakkan industri perlancongan Malaysia. Kakitangan awam turut diberi
cuti pada hari sabtu pertama dan ketiga untuk tujuan yang sama. Pelbagai jenis
pengecualian cukai juga diberi kepada aktiviti sukan demi mengalakkan aktiviti tersebut.
Duti setem untuk proses pembiayaan semula pinjaman dan perdagangan dikecualikan untuk
merangsang pertumbuhan perniagaan. Sebalik daripada pengurangan cukai, kerajaan juga
ada menaikkan cukai sesetengah item seperti cukai eksais bagi minuman alkohol dan
tembakau serta cukai perjudian. Levi atas minyak kelapa sawit dankernel kelapa sawit juga
dikenakan bagi tingkat harga yang melebihi RM 2000 per tonne.

Kaedah pengiraan cukai pendapatan diubah dari pengiraan menggunakan pendapatan tahun
lepas kepada pendapatan tahun semasa mulai tahun 2000. Dengan itu, pendapatan tahun
1999 adalah bebas daripada cukai. Namun, kerugian pada tahun 1999 dibenarkan untuk
dibawa ke tahun 2000. Keseluruhannya, belanjawan kerajaan pada tahun 1998 ialah defisit
sebanyak RM 9.6 billion (3.7% daripada KNK) dan defisit RM 49.6 billion (6% daripada KNK)
pada tahun 1999.

(iii) Penstrukturan semula Sektor Kewangan

Proses penstrukturan ini terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa aktiviti penstabilan dan
kemudiannya proses reformasi (Mahani, 1999). Tahap penstabilan melihat Danaharta
ditubuhkan untuk membeli pinjaman tidak berbayar (NPL) dan Danamodal ditubuhkan
untuk menyuntik modal kepada institusi kewangan. Fasa untuk proses reformasi sektor
kewangan meliputi penstrukturan sektor koperat di bawah Corperate Debt Restructuring
Committee (atau CDRC), penggabungan bank dan pembangunan pasaran bond.

Dua SPV, iaitu Danaharta dan Danamodal telah ditubuhkan pada tahun 1998. Danaharta
ditubuhkan pada Jun 1998 dengan modal sebanyak RM 25 billion untuk mengambil alih NPL
daripada institusi kewangan pada harga adil pasaran dan memaksimumkan nilai pemulihan
NPL tersebut. Tujuannya ialah untuk mengurangkan beban kewangan NPL institusi
kewangan di Malaysia. Dalam fasa pertama pengoperasiannya, Danaharta berjaya
mengumpul RM 23.1 billion NPL atau 31.8% daripada jumlah NPL dalam sistem perbankan
negara. Fasa kedua melibatkan operasi pengurusan aset oleh Danaharta. Antara corak
pengurusan danaharta termasuklah perlantikan pentadbir khas untuk mentadbir syarikat
dan penjualan semula aset melalui sistem tender terbuka yang diurus oleh firma
profesional.

(a) Peranan Special-porposes vehicle (SPV)

Dua SPV, iaitu Danaharta dan Danamodal telah ditubuhkan pada tahun 1998. Danaharta
ditubuhkan pada Jun 1998 dengan modal sebanyak RM 25 billion untuk mengambil alih NPL
daripada institusi kewangan pada harga adil pasaran dan memaksimumkan nilai pemulihan
NPL tersebut. Tujuannya ialah untuk mengurangkan beban kewangan NPL institusi
kewangan di Malaysia. Dalam fasa pertama pengoperasiannya, Danaharta berjaya
mengumpul RM 23.1 billion NPL atau 31.8% daripada jumlah NPL dalam sistem perbankan
negara. Fasa kedua melibatkan operasi pengurusan aset oleh Danaharta. Antara corak
pengurusan danaharta termasuklah perlantikan pentadbir khas untuk mentadbir syarikat
dan penjualan semula aset melalui sistem tender terbuka yang diurus oleh firma
profesional.

Danamodal pula telah menyuntik modal sebanyak RM 6.4 billion kepada 10 institusi
kewangan untuk mengelakkan risiko sistematik kepada sektor kewangan. Namun,
penyuntikan modal ini diikuti dengan penyerapan kerugian oleh pemegang saham asal
melalui pengurangan dalam sumbangan modal dan pertukaran lembaga pengarah atau
kumpulan pengurusan. Danamodal ini juga berperana memastikan syarikat yang menerima
suntikan modal akan beroperasi dengan cekap dan berusaha mengkukuhkan syarikat.

(b) Penggabungan bank

Pada 29 Julai 1999, kerajaan telah mengarahkan 58 institusi kewangan bergabung kepada
6 kumpulan besar. Tarikh akhir mewujudkan Memorandum Persetujuan (MOU) diberi
sehingga akhir bulam September, 1999. Kemudian, anchor bank yang dipilih dikehendaki
menandatangani persetujuan jual beli sebelum Ogos, 31 tahun 2000. Enam kumpulan
kewangan ini akan mengandungi bukan saja bank kewangan tetapi juga bank saudagar dan
firma sekuriti. Langkah penggabungan bank ini adalah untuk mengkukuhkan sektor
perbankan negara untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Namun, rancangan penggabungan ini tidak berakhir seperti mana yang dirancang pada
awalnya kerana isu tempoh masa, penilaian, pemilihan anchor bank, nasib bank kecil dan
sederhana, serta motif politikal dan bangsa. Bank Negara berperanan menyediakan
panduan cara penggabungan dan penilaian, mengawal selia, memudah dan melicinkan
proses penggabungan. Akhirnya, 10 anchor bank (tersenarai dalam Lampiran 1) telah
berjaya menandatangi perjanjian jual beli pada masa yang ditetapkan (The Star; 31 Ogos
2000). Mulai tarikh tersebut, program penggabungan bank tersebut akan diperhatikan
untuk tempoh satu hingga dua tahun dari segi kesan pertumbuhan pinjaman, penjimatan
kos, pembuangan kakitangan selepas penggabungan, peningkatan pulangan ke atas ekuiti
dan lag masa untuk penyelesaian penggabungan.

(c) Penstrukturan hutang koperat dan CDRC

Dalam hal tersebut, fungsi CDRC adalah terpenting. CDRC berperanan untuk membantu
syarikat menstruktur semula tanpa melibatkan bantuan kerajaan, mengatur mesyuarat
antara penghutang dengan pemiutang serta merupakan penasihat dan rujukan bagi hal
penstrukturan semula.

(c) Pasaran bon

Tun Daim Zainuddin dalam ucapannya sempena konferens Bank Negara pada 28 Ogos 2000
menyatakan bahawa Malaysia perlu mengambil langkah untuk mewujudkan pasaran ekuiti
dan bon yang cekap untuk melengkapkan sistem perbankan yang ada. Satu pasaran bon
yang dibangunkan sepenuhnya lebih sesuai untuk memenuhi permintaan pembiayaan
kewangan untuk pelaburan modal yang besar dan berjangka panjang pada satu kadar
bunga yang tetap. Contohnya ialah projek infrastruktur.

Oleh itu, langkah-langkah beikut telah diambil (Mahani: 1999):

i) mewujudkan skim pendaftaran shelf untuk sekuriti hutang swasta untuk memberi
fleksibiliti kepada korperasi untuk mengeluarkan pelbagai siri bon pada jangka masa yang
lebih panjang;

ii) pendalaman pasaran untuk repo dan meluaskan sasaran pelabur;

iii) membangunkan rancangan strategik jangka panjang untuk mempromosi satu pasaran
bon yang aktif dengan satu gagasan besar penulis bon, pelabur, trader dan institusi
kewangan;

iv) mewujudkan bentuk jaminan kewangan kepada pasaran bon untuk mengeluarkan
sebahagian risiko kredit dari sistem perbankan.

(v) Ringkasan langkah/polisi lain

Antara langkah-langkah dan polisi-polisi lain termasuklah Pelan Perindustrian Kedua dan
projek Multimedia Super Corridor (MSC) untuk menggerakkan sektor industri negara ke
arah aktiviti penambahan nilai dan intensif teknologi. Rancangan Pembangunan Ekonomi
Nasional (NEAC) turut dirancang dan dilaksanakan. Selain itu, kerajaan telah berusaha
memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) melalui pengwujudan dana pelaburan dan
menyeru agar syarat pinjaman untuk IKS dilonggarkan.

Walau bagaimanapun, langkah yang paling drastik ialah pengawalan modal selektif. Ini
meliputi penetapan kadar pertukaran Ringgit kepada Dollor Amerika pada RM 3.80 dan
mengharamkan perdagangan Ringgit di luar Malaysia. Aliran keluar-masuk modal ke
Malaysia dikawal. Selain itu, kerajaan juga mengharamkan perdagangan kaunter saham
Malaysia di pasaran Clob (Centre Order Limit Book) di Singapura untuk mengurangkan
aktiviti spekulasi saham.

MUKADIMAH
PERMASALAHAN ekonomi yang dihadapi negara kini kembali menjadi bahan perbincangan di
semua peringkat masyarakat terutama selepas negara berjaya dibawa keluar daripada dari krisis
kewangan 1997/98 lalu.

Seperti ketika krisis itu, keupayaan kerajaan khususnya peranan yang dimainkan oleh Bank
Negara Malaysia (BNM) menangani masalah ekonomi serta juga dalam pengurusan kewangan
kembali menjadi perhatian ramai, terutama apabila kita dihadapi pula dengan krisis ekonomi
dunia yang tidak kurang hebatnya mencabar kedudukan ekonomi negara.

Bagi mendapatkan gambaran yang menyeluruh mengenai dasar kewangan dan peranan Bank
Negara itu wartawan Utusan, ABU HAKIM TANZIMUDDIN dan FAUZI JAAFAR telah
menemu bual Gabenor,Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini genap setahun memegang
jawatan penting di bank pusat itu bagi menjelaskan beberapa kemusykilan itu. - Pengarang

UTUSAN:Adakah tahap pemulihan ekonomi yang dicapai kini menyamai dengan


jangkaan awal Datuk sebelum ini?

Datuk Dr. Zeti Akhtar: Pencapaian Bank Negara dalam masa setahun ini adalah dalam
jangkaan kami. Saya patut nyatakan bahawa urusan Bank Negara merupakan satu proses yang
berterusan. Sebelum saya dilantik Gabenor, saya telah bertugas sebagai Timbalan Gabenor dan
sebelum itu sebagai Penolong Gabenor. Semasa krisis tahun 1997-98, saya telah terlibat dalam
menangani krisis tersebut, menghadapi para spekulator dan menguruskan pengawalan ringgit,
menubuhkan Danaharta, Danamodal dan bekerja rapat dengan kementerian-kementerian serta
agensi-agensi lain untuk menangani pemulihan ekonomi. Saya telah mempengerusikan
Jawatankuasa Pemandu yang menyelia tugas-tugas penyediaan pelan Induk Sektor Kewangan
selama lebih setahun. Cabaran seterusnya ialah untuk memastikan kemajuan dan keberkesanan
pelaksanaan cadangan-cadangan yang terkandung dalam pelan tersebut. Pada masa ini perhatian
saya juga difokuskan kepada penggabungan institusi perbankan. Berikutan langkah tersebut ada
banyak isu yang terpaksa diatasi. Saya berpuas hati bahawa dalam jangka masa yang diberi,
sebanyak 96 % daripada jumlah aset telah berjaya digabungkan.

Datuk mengambil alih ketika ekonomi negara masih belum pulih. Apakah pencapaian
yang dirasakan telah diperoleh?

Pemulihan ekonomi negara adalah hasil daripada dasar-dasar yang dilaksanakan sejak
pertengahan tahun 1998 hingga 1999. Salah satu dasar yang penting ialah pelaksanaan
pengawalan pertukaran wang dalam minggu pertama bulan September 1998. Dan peristiwa ini
boleh dianggap sebagai cabaran paling besar bagi Bank Negara Malaysia. Saya telah dilantik
sebagai Pemangku Gabenor pada masa itu. Keadaan kewangan pada masa itu sangat tidak stabil
dan langkah yang diambil adalah luar biasa kerana kita menempuh keadaan yang belum pernah
dialami pada masa lalu. Dalam pertengahan 1998, Danaharta dan Danamodal telah ditubuhkan
untuk menghadapi masalah sektor kewangan. Kadar faedah telah diturunkan secara agresif.
Semua ini telah menghasilkan pemulihan. Dalam tahun 2000 kami telah mengambil kesempatan
sepenuhnya daripada keadaan yang positif dan stabil itu untuk terus memperkukuhkan serta
menggabungkan kekuatan sehingga membolehkan kami menghadapi keadaan yang lebih
runcing. Pada masa yang sama Pelan Induk Sektor Kewangan telah dirangka bagi mencarta arah
pembangunan sektor kewangan. Pelan tersebut telah diumumkan pada awal tahun ini.

Apakah cabaran paling getir sepanjang tempoh berkenaan?

Saya boleh katakan pengalaman paling getir ialah menangani serangan spekulasi terhadap ringgit
dalam tahun 1997-1998. Kemudian pelaksanaan kawalan pertukaran wang. Kami menempuh
keadaan yang tidak pernah dilalui sebelum ini. Semua isu terpaksa dihadapi dari setiap sudut
untuk memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan. Kemudian timbul pula isu bon global.
Seluruh dunia telah memandang negatif terhadap Malaysia. Tetapi dalam tahun 1999 kita telah
berjaya mengeluarkan bon AS$1 bilion dalam suasana pasaran yang sukar dengan jumlah
langganan yang diterima melebihi tiga kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.

Sejauh mana benarnya spekulasi mengatakan Datuk mahu meletakkan jawatan?

Itu semua tidak benar dan sengaja didesas-desuskan oleh pihak-pihak yang ingin melihat
keadaan yang tidak stabil. Saya telah terlibat dengan Bank Negara Malaysia selama lebih 30
tahun. Dalam tahun 1968, sebagai seorang mahasiswa, saya telah menulis tesis bertajuk Credit
Multiplier and its Implication for Financial Policy (Pengganda Kredit dan Implikasinya untuk
Polisi Kewangan). Ia telah ditunjukkan kepada Tun Ismail Mohamed Ali, Gabenor Bank Negara
pada masa itu dan saya terus ditawarkan jawatan di dalam Bank Negara. Tetapi saya memilih
untuk melanjutkan pelajaran. Dalam seluruh kerjaya saya, saya telah terlibat dengan pelbagai
aspek Bank Pusat termasuk selama lima tahun dalam pasaran kewangan antarabangsa di London.
Insya-Allah saya akan berusaha dengan penuh komitmen, ketekunan dan kekuatan untuk Bank
Negara Malaysia demi untuk bangsa dan negara.

Benarkah terdapat `campur tangan luar' dalam BNM dan sejauh mana Datuk membuat
sendiri segala keputusan di BNM?

BNM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam kerajaan untuk memastikan semua dasar
sentiasa konsisten demi mencapai matlamat dan wawasan yang dituju oleh negara. Saya tidak
menganggap input atau cadangan daripada pihak lain sebagai campur tangan. Bank Negara
mempunyai pasukan yang profesional dan dedikasi yang bertanggungjawab serta sentiasa
mengutamakan kepentingan negara.

Umum berpendapat terdapat campur tangan ketara Perdana Menteri (PM) dan Menteri
Kewangan (MOF) dalam urusan BNM. Sejauh mana penglibatan itu?
Sebarang penglibatan PM dan MOF adalah mengenai isu-isu berkaitan kepentingan negara.
Malah sebelum saya dilantik sebagai Gabenor, saya telah mempunyai hubungan profesional
dengan kedua-dua mereka dan hubungan (rapport) di antara kami adalah baik.

Dari segi pandangan orang biasa, sejauh mana kesan ekonomi semasa terhadap mereka
berbanding dengan pencapaian ekonomi pada tahun lalu?

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan adalah disebabkan terutamanya oleh faktor
luaran. Asas ekonomi dan sistem perbankan Malaysia masih kukuh. Bagi Malaysia, pendapatan
masih terus berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan tahun 2000.
Kesan di atas orang perseorangan bergantung pada sektor mana mereka itu terlibat. Bagi orang
biasa, yang penting ialah inflasi tidak akan bertambah buruk. Keadaan inflasi kita ternyata lebih
baik berbanding dengan keadaan di negara-negara jiran. Dalam keadaan ini pendapatan tidak
akan terhakis oleh kerana inflasi dijangka terus rendah dalam tahun 2001 ini. Sesetengah industri
akan menggabungkan operasi mereka, khususnya industri-industri berasaskan eksport, tetapi
prospek pekerjaan pada keseluruhannya kekal stabil dengan peluang pekerjaan yang tinggi pada
sektor-sektor yang lain. Tambahan pula, langkah-langkah fiskal yang diperkenalkan pada
Belanjawan 2001 dan pada bulan Mac 2001 akan membantu untuk mengukuhkan pendapatan
boleh guna isi rumah di Malaysia. Pada keseluruhannya, paras pendapatan pekerja seharusnya
dapat dikekalkan.

Meskipun pengangguran dijangka dapat dibendung, kerajaan telah mengambil beberapa langkah
pre-emptive untuk menangani isu-isu guna tenaga yang disebabkan oleh penyederhanaan dalam
ekonomi. Satu pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai kerajaan yang terpilih telah
ditubuhkan pada bulan April tahun ini untuk mengawasi dan memberi maklumat mengenai
peluang-peluang pekerjaan yang sedia ada. Hasil daripada langkah-langkah yang telah diambil,
lebih kurang 18 % daripada pekerja tempatan yang telah diberhentikan telah berjaya mendapat
semula pekerjaan pada suku tahunan pertama tahun 2001. Rancangan latihan semula sedang
dikelolakan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk melatih penganggur dalam bidang yang
lain, terutamanya bidang-bidang yang berkaitan dengan IT. Dalam sektor kewangan pula, projek
melatih semula pekerja atau ``StarRs'' sedang dikelolakan oleh Majlis Institut Bank-Bank
Malaysia (IBBM).

Bagi industri minyak sawit, pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani
kesan daripada harga minyak sawit yang rendah ke atas pekebun kecil dan pekerja estet kelapa
sawit. Sejumlah RM350 juta telah diperuntukkan untuk aktiviti menanam semula di bawah Skim
Pinjaman Mudah Bagi Penanaman Semula Kelapa Sawit kepada pekebun kecil; Felda juga telah
menangguhkan kutipan bayaran semula pinjaman daripada para penerokanya di samping
membayar kepada mereka tambahan sebanyak RM12 bagi setiap tan metrik minyak sawit
mentah dan 15 sen sekilogram bagi getah yang dijual; kutipan ses industri minyak sawit juga
telah dikurangkan daripada RM11 setan metrik kepada RM7 setan metrik berkuat kuasa 1
Februari 2001; dan pekerja estet kini menerima gaji bulanan minimum sebanyak RM325.

Dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) bagi meningkatkan
harganya, kerajaan telah menyokong, melalui tawaran harga yang lebih rendah daripada harga
pasaran bagi minyak sawit mentah kepada TNB, Projek Diesel MSM sebagai sumber bahan api
di loji jana kuasa, yang dijangka akan menggunakan kira-kira 500,000 tan metrik minyak sawit
mentah setiap tahun.

Adakah Malaysia akan dapat mencatat KDNK melebihi lima peratus sedangkan para
pemerhati lain sama ada tempatan dan asing memberikan ramalan yang berbeza?

Ramalan rasmi bagi KDNK disemak semula dua kali setahun. Pertama pada bulan Mac semasa
BNM mengeluarkan Laporan Tahunan sementara satu lagi adalah pada bulan Oktober semasa
Kementerian Kewangan mengumumkan Belanjawan. Ramalan-ramalan tersebut mengambil kira
perkembangan-perkembangan terkini, di dalam dan juga di luar negara. Ianya juga mengambil
kira kapasiti negara untuk mengimbangi atau memperkukuhkan kesan kelembapan atau
pengukuhan ke atas ekonomi Malaysia. Jika perkembangan luar negara berlaku di luar jangkaan,
hasilnya mungkin adalah lebih teruk daripada yang diramalkan. Begitu juga hasilnya mungkin
boleh menjadi lebih baik daripada jangkaan. Contohnya, pada tahun 2000, hasilnya adalah lebih
baik disebabkan oleh prestasi eksport yang lebih baik daripada jangkaan. Kesannya, KDNK
benar meningkat pada kadar 8.5 % pada tahun 2000, iaitu lebih tinggi daripada ramalan
terdahulu kami sebanyak 7.5%. Justeru, adalah penting untuk membuat penelitian terhadap
andaian-andaian yang digunakan dalam ramalan, bagi menilai sama ada ramalan tersebut adalah
realistik. Walau bagaimanapun, ramalan pertumbuhan selalunya adalah berdasarkan kepada
perkembangan jangka pendek yang dipengaruhi oleh sentimen pasaran.

Sesetengah pihak melihat perbezaan antara BNM dengan jangkaan sesetengah pakar
ekonomi sama ada dalam dan juga luar sebagai satu kelemahan kepada ekonomi?

Dalam keadaan yang tidak menentu sekarang tiada seorang pun boleh membuat jangkaan dengan
tepat. Sehubugan itu, BNM menggunakan berbagai penunjuk dan teknik pengurusan risiko
dalam pengurusan ekonomi supaya langkah-langkah awalan dapat dilaksanakan tepat pada
masanya. Sehingga hari ini, track record Malaysia adalah bagus. Contohnya, penyusunan semula
sektor kewangan telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kos yang rendah. Kejayaan ini
kerana kita dapat mengenal pasti masalah berkaitan lebih awal dan seterusnya melaksanakan
langkah-langkah awalan. Langkah-langkah awalan adalah sangat penting. Oleh itu, penilaian
hendaklah berasaskan track record prestasi BNM.

Kenapa kita gagal mempengaruhi pemikiran pakar-pakar ekonomi asing?

Dari masa ke masa Malaysia telah berjaya mengubah pandangan sektor swasta serta
antarabangsa. Satu ketika yang penting adalah semasa pelaksanaan langkah-langkah kawalan
pertukaran mata wang. Apabila Malaysia telah melaksanakan dasar kawalan pertukaran mata
wang pada bulan September 1998 apabila krisis kewangan sedang memuncak, pihak kerajaan
telah menerima kritikan antarabangsa yang hebat.

Seterusnya apabila keadaan ekonomi mula pulih, adalah nyata bahawa penilaian yang dibuat
oleh Kerajaan telah dibuktikan betul. Ramai para penganalisis yang dahulu hebat mengkritik
langkah-langkah kita telah mengubah pendapat mereka. Namun demikian, secara umumnya,
kebanyakan ahli ekonomi dari negara-negara membangun melalui pengalaman mereka
berpendapat bahawa sebarang bentuk campur tangan pasaran adalah tidak boleh diterima. Bagi
mereka yang datang daripada latar belakang akademik pula, yang tidak mempunyai pengalaman
di dalam pasaran, pemikiran mereka adalah berasaskan buku teks juga menyokong sistem
pasaran. Pandangan mereka mengenai rejim kadar pertukaran adalah terhad oleh pengetahuan
dan pengalaman mereka dan tertakluk kepada ideologi orientasi pasaran. Mereka gagal untuk
memahami bahawa keadaan ini hanya berjaya dalam keadaan yang stabil.

Sememangnya pihak kerajaan mengakui bahawa proses memberi penjelasan dan mendidik para
penganalisis dan pelabur merupakan proses yang perlu terus diusahakan.

Kegagalan kerajaan dalam memberikan maklumat yang jelas dan segera, menyebabkan
sebahagian awam berpendapat dasar-dasar kerajaan tidak memberikan kesan kepada
usaha mengukuh dan memulihkan ekonomi?

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai standard pemakluman yang tertinggi.
Walaupun semua data-data utama ekonomi dan kewangan disiarkan kepada pihak awam beserta
dengan analisis, ramai masih tidak menyedari sumber-sumber data tersebut atau tidak
mempunyai kemahiran untuk mentafsir sumber-sumber data tersebut atau tidak mempunyai
kemahiran untuk mentafsir data tersebut dengan betul. Sebahagian daripada usaha untuk
mengatasi isu ini, Bank Negara Malaysia telah mempertingkatkan peranan komunikasi bagi
mempertingkatkan pemahaman mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan serta dasar yang
dilaksanakan. Objektif utama bukan sahaja untuk meningkat kesedaran dan pemahaman ke atas
dasar yang dilaksanakan tetapi juga untuk membantu pelabur membuat keputusan pelaburan
berasaskan maklumat yang lengkap.

Ramai yang mendakwa pakej RM3 bilion yang merupakan tambahan kepada Belanjawan
2001 berjumlah RM26.8 bilion tidak berkesan?

Keberkesanan langkah-langkah fiskal sepatutnya dinilai melalui perspektif yang betul.


Perbelanjaan telah ditingkatkan dan dipercepatkan. Kesan ke atas ekonomi memerlukan satu
jangka masa. Banyak lagi langkah-langkah fiskal yang masih di dalam proses untuk
dilaksanakan. Perbelanjaan tambahan sebanyak RM3 bilion adalah diperuntukkan kepada projek-
projek tertentu yang mempunyai kesan yang cepat ke atas ekonomi.

Begitu juga dengan penghapusan levi, langkah yang dipertahankan dahulu tetapi akhirnya
dihapuskan sedangkan kesannya tidak kelihatan?

Penghapusan levi pada 2 Mei 2001 merupakan kemuncak kepada satu siri liberalisasi secara
berperingkat-peringkat yang dilaksanakan sejak bulan Februari 1999 kepada langkah-langkah
yang telah diperkenalkan pada bulan September 1998. Sementara reaksi serta-merta pasaran
saham tempatan terhadap langkah tersebut adalah positif, ianya bersifat sementara. Julat bagi bon
Kerajaan Malaysia yang telah melebar mula mengecil berikutan penghapusan levi tersebut. Julat
bagi bon global Malaysia 1999/2009 kini dalam lingkungan 180-190 mata asas, hampir sama
parasnya dengan bon Kerajaan Korea Selatan (225 mata asas sebelum pengumuman levi
tersebut).
Adakah institusi kewangan kita masih kukuh dalam menghadapi gelombang kegawatan
Amerika Syarikat?

Secara keseluruhannya, sistem perbankan berada pada kedudukan yang kukuh dengan tahap
modal berada pada paras yang tinggi dan keadaan pinjaman tidak berbayar (NPL) pada tahap
yang terkawal.

Bagi tahun 2000, institusi perbankan secara keseluruhannya telah mencatat keuntungan sebanyak
RM7.7 bilion berbanding dengan kerugian sebanyak RM9.7 bilion bagi tahun sebelumnya.
Hasilnya, nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) institusi perbankan turut mengukuh kepada
paras 12.2 peratus pada akhir bulan Mac 2001. Dari segi kualiti aset pula, nisbah NPL bersih
berdasarkan klasifikasi 6-bulan berada pada paras 6.7 peratus pada akhir bulan Februari 2001
berbanding dengan paras tertinggi sebanyak 9 peratus yang dicatat pada bulan November 1998.

Sekiranya Amerika Syarikat mengalami kemelesetan ekonomi, sudah tentu ianya akan
menjejaskan prestasi industri tempatan. Keadaan ini akan menjejaskan aliran dana syarikat-
syarikat yang berkaitan dan seterusnya mungkin menjejaskan mereka dalam membayar balik
pinjaman. Sehubungan itu, paras NPL akan meningkat. Walau bagaimanapun, sebarang
peningkatan dalam NPL dijangka terkawal dan tidak akan menjangkaui paras yang dialami
semasa krisis ekonomi pada tahun 1998.

Di samping itu, berdasarkan kekukuhan modal institusi perbankan pada masa ini, sebarang
peningkatan di dalam NPL dapat diserap oleh institusi perbankan.

Pada akhir bulan April, Rizab Antarabangsa BNM menyamai US$27 bilion. Bilakah sesuai
masanya penetapan ringgit pada 3.80 bagi setiap dolar AS boleh dihapuskan atau
sekurang-kurangnya ditetapkan pada kadar yang lebih rendah mengikut perkembangan
sekarang.

Walaupun rizab antarabangsa BNM telah menurun kebelakangan ini, tahap rizab adalah masih
cukup untuk membiayai lebih kurang 4 bulan import tertangguh dan adalah 5.7 kali hutang luar
negara jangka pendek. Tahap ini dianggap tinggi mengikut taraf antarabangsa. Tahap rizab yang
selesa ini bersama dengan kadar inflasi yang rendah dan lebihan dagangan yang kukuh terus
menyokong kadar pertukaran tetap pada kadar semasanya.

Jangkaan bahawa penukaran rejim kadar pertukaran tetap akan dilaksanakan adalah dipengaruhi
oleh perkembangan pasaran saham dunia yang turun naik serta pasaran pertukaran mata wang
serantau yang tidak stabil pada bulan Mac dan awal April.

Pasaran telah bertindak balas berlebihan terhadap perkembangan ini dan mengakibatkan nilai
mata wang serantau jatuh berbanding dolar AS. Walau bagaimanapun, pada hujung bulan April
dan Mei, pasaran mata wang serantau telah menjadi lebih stabil. Sebarang perubahan kadar
pertukaran mata wang terhadap perkembangan jangka pendek sebegini tidak akan memberi
manfaat kepada ekonomi sebaliknya ia akan memburukkan lagi keadaan.
Ia patut ditekankan bahawa kadar pertukaran ringgit adalah hampir dengan nilai sebenarnya.
Memandangkan bahawa kadar inflasi tetap rendah dan lebihan akaun semasa imbangan
pembayaran adalah kukuh, tidak terdapat apa-apa faktor ekonomi yang boleh menyokong
perubahan dalam kadar pertukaran.

Sampai bilakah kadar tukaran tetap dilanda kekecohan?

Selagi ada pihak-pihak tertentu membuat analisis dan jangkaan tanpa maklumat yang lengkap
dan bagi agenda mereka.

Sama-sama selesaikan masalah ekonomi –


Johan Jaaffar
Monday, 02 March 2009 07:19am
©The Malaysian Insider (Used by permission)

MARCH 1 – MUNGKIN benar kata orang, akhir-akhir ini kita menjadi negara yang sekiranya
menggunakan perkataan Inggeris, dengan izin, terlalu political.

Segala-galanya dipolitikkan. Setiap hari kita berdepan dengan cerita, masalah dan riuh rendah
politik. Seolah-olah tidak ada lagi isu yang relevan hari ini melainkan politik. Malah dari
perspektif media, tidak ada satu hari yang membosankan dalam dunia politik tanah air.

Tiada siapa yang menafikan bahawa politik dan ahli politik menentu dan mempengaruhi agenda
negara. Malah politik dan ahli politik mencorakkan sikap dan pemikiran rakyat. Politik
merupakan dunia penuh drama dan suspennya sendiri.

Ada kalanya ia bagaikan satu permainan sandiwara yang ditonton dengan penuh ghairah oleh
peminatnya. Mungkin benar bahawa perbezaan politik menjadi begitu menonjol pada masa ini
hinggakan segala-galanya dilihat dari perspektif “Kita” dan “Mereka”. Sekiranya perbezaan itu
sekadar ideologi, ia boleh diterima. Tetapi perbezaan ini menyeret pada soal-soal di luar ideologi,
termasuk hal peribadi, kepercayaan agama dan kedudukan bangsa.

Di Malaysia tidak ada lagi yang kudus, segalanya menjadi bahan untuk dipolitikkan. Malah
sekiranya kes di Perak boleh dijadikan pedoman, institusi beraja turut diseret ke dalam isu dan
sengketa politik.

Politik sudah mewajarkan anak-anak Melayu secara terbuka mengisytiharkan sembah derhaka
pada rajanya sendiri. Politik memungkinkan segala-galanya. Tidak hairanlah banyak orang yang
skeptikal terhadap politik.

Seorang negarawan besar pernah berkata, politik terlalu serius untuk dibiarkan hanya pada ahli
politik saja.

Demikianlah dunia politik dengan pelbagai drama dan intrignya. Tidak ada salahnya berpolitik.
Tetapi politik juga ada peraturan dan hokum hakamnya, ada etika dan konvensinya. Juga adab
dan susilanya.
 
Lebih penting lagi politik saja tidak dapat menyelesaikan semua masalah rakyat. Rakyat
mengharapkan penyelesaian masalah mereka bukan mahu menyaksikan sarkas politik dan drama
pergaduhan sesama sendiri sepanjang masa.

Sekiranya asas berpolitik hanya untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa maka politik hanya jadi
alat mereka yang berkepentingan. Politik juga menuntut kewarasan, hemah dan tanggungjawab.

Kuasa mutlak berbahaya, kuasa sedikit tidak bermakna tetapi kuasa tanpa tanggungjawab akan
menghancurkan apa sahaja. Maka itu matlamat tidak boleh menghalalkan cara.

Rakyat meletakkan harapan terlalu tinggi pada orang yang mereka pilih sebagai wakil mereka
baik di Dewan Undangan Negeri mahupun di Parlimen.

Mereka mengharapkan ahli politik juga memberi tumpuan pada isu yang lebih besar masa ini ?
krisis ekonomi yang sedang melanda dunia. Mereka mahu melihat formula bagi meringankan
beban penanggungan mereka sekiranya kesan langsungnya dirasakan kelak.

Perlu diingat krisis kali ini lebih buruk daripada krisis ekonomi 1997.

Pada ketika itu hanya negara-negara Asia, khususnya di Asia Tenggara, yang paling teruk
menerima padahnya. Kesannya terbatas pada lingkungan yang kecil. Memang terdapat negara-
negara yang mengalami porak peranda malah pertukaran pemerintah. Malah krisis itu menukar
sama sekali landskap ekonomi rantau ini.

Kali ini krisis kewangan melanda negara-negara kuasa besar yang juga merupakan ekonomi
terbesar dunia. Amerika Syarikat (AS) berdepan dengan masalah yang luar biasa. Negara-negara
seperti Britain turut menghadapi masalah kejatuhan nilai mata wang.

Krisis lebih buruk ialah hilangnya keyakinan terhadap rejim kewangan antarabangsa. Kapitalisme
sebagai fahaman yang mendokong pasaran terbuka mulai ditanyakan relevannya. Malah
globalisasi yang kononnya menjanjikan keterbukaan dagang dan peluang tanpa batasan juga
mulai dipertikaikan.

Apabila Bursa New York, ibu kota dunia bagi kapitalisme dan pasaran terbuka merudum pada 6
dan 7 Oktober tahun lalu yang terbabit ialah kerugian bernilai RM21.4 trilion. Kesannya pasti
menggegarkan dunia.

Entah berapa trilion lagi yang lesap dalam Tragedi Oktober itu di bursa-bursa utama yang lain.
Bagi banyak ekonomi besar dunia, akibatnya menakutkan.

Sebuah negara jiran sejak beberapa dekad lalu melabur berbilion ringgit di luar negara dengan
cara membeli atau mengambilalih syarikat-syarikat yang dianggap strategik dan menguntungkan.
Harapannya tentulah bagi mendapat pulangan besar. Tindakan ini dikatakan pelaburan bijak.
Negara tersebut mendapat pujian masyarakat pelabur antarabangsa. Hari ini agensi pelaburannya
kerugian sekurang-kurangnya RM460 bilion. Tidak ada pelaburan yang selamat lagi hari ini.

Negara China dilaporkan akan membuang lebih 20 juta pekerja, sesuatu yang tidak pernah
dibayangkan selama ini. Banyak syarikat di seluruh dunia akan gulung tikar. Jutaan pekerja akan
menganggur. Implikasinya lebih daripada sekadar ekonomi. Akan berlaku krisis sosial yang boleh
mengocak kestabilan negara-negara ini.

Dalam kerangka inilah ahli politik kita harus mengenepikan kepentingan lain pada masa ini
melainkan menumpukan perhatian pada usaha memulihkan ekonomi atau mempersiapkan negara
dengan sebarang kemungkinan. Kita tidak ada pilihan. Pada masa ini memang kesan langsungnya
belum sepenuhnya terasa. Tetapi kita negara pengeksport dan negara dagang yang besar.

Apapun yang berlaku di negara yang mengimport barangan kita akan mempunyai kesannya pada
kita. Pada masa ini pun ramai pekerja diberhentikan, banyak syarikat tidak dapat bertahan dan
perusahaan yang selama ini kukuh mulai goncang.

Mahu tidak mahu kita harus mengkaji semula kadar pertumbuhan ekonomi negara. Pada Jumaat
baru lalu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi suku tahun
keempat 2008 hanyalah 0.1 peratus, kadar paling rendah sejak suku tahun ketiga 2001.

Ini hanya isyarat kedudukan ekonomi yang penuh cabaran bagi tahun 2009 dan seterusnya. Ini
juga merupakan petanda bahawa kita harus lebih berhati-hati menghadapi sebarang kemungkinan.
Inilah masanya kita berhenti menuding jari menunjuk juara atau siapa betul dan salah. Krisis
ekonomi bukan berlaku akibat satu-satu sebab, ada pelbagai faktor yang mempengaruhi aliran
tersebut.

Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan sebelum ini, malah sekiranya tidak cukup berkesan
disediakan pula pekej seterusnya. Penjanaan ekonomi harus digerakkan segera. Negara yang kuat
dan banyak rizabnya lagikan terjejas inikan pula kita. Maka itu adalah menjadi tanggungjawab
bersama mencari jalan menangani isu ini.

Masa depan negara ini banyak bergantung pada cara kita mengendalikan krisis ini. Ia bukan tugas
Perdana Menteri atau Menteri Kewangan saja.

Atau amanah yang dipertanggungjawabkan pada kerajaan yang memerintah. Isu-isu bersama
yang perlu ditangani bersama. Agaknya sekiranya suhu politik dapat dikurangkan sedikit dan
sandiwara politik dapat diketepikan, 222 orang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan menjadi
contoh terbaik kesepakatan untuk menangani isu besar yang membabitkan seluruh rakyat
Malaysia.

Bukankah kita ada peribahasa yang berbunyi, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana
muafakat? – Berita Harian

* Johan Jaafar has been selected by Datuk Seri Najib Tun Razak to be the media czar in the
incoming administration.

You might also like