You are on page 1of 15

TAJUK : PEMBELAJARAN BERASASKAN KAEDAH AMALI BAGI KAIFIAT IBADAH HAJI DAN UMRAH TINGKATAN 4 Suwaibah Binti Jalel

SM Sains Tuanku Jaafar 72000 Kuala Pilah Negeri Sembilan E-mail : suwaibah64@yahoo.com. ABSTRAK

Tujuan penulisan kertas kerja ini adalah untuk memberikan pendedahan terhadap pentingnya Kaedah Amali dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan Islam. Seperti yang diketahui, pembelajaran merupakan proses yang kompleks dan melibatkan pelbagai aspek yang saling berkaitan. Oleh kerana itu, menciptakan pembelajaran yang kreatif, efektif dan menyeronokkan memerlukan pelbagai keterampilan termasuklah pembelajaran menggunakan kaedah amali. Kaedah ini melibatkan penglibatan dua hala iaitu antara guru dengan pelajar dalam sesuatu pembelajaran yang disampaikan. Menerusi kaedah ini, penyertaan dan pemerhatian pelajar secara langsung pada sesuatu projek atau pun proses diutamakan. Guru akan memberi bimbingan , tunjuk ajar dan tunjuk cara pada pelajar sepanjang pembelajaran berlangsung. Secara umumnya, pelaksanaan amali sangat sesuai untuk dilaksanakan dalam proses pembelajaran kerana ia memberikan kesan positif terhadap penghayatan sebenar pelajar seperti amali solat fardu, solat jenazah, tayammum dan wudu. Menerusi kertas kerja ini penulis ingin berkongsi pengalaman dan dapatan beliau menggunakan kaedah amali bagi tajuk Kaifiat Ibadah Haji dan Umrah yang telah diadakan secara berturutan iaitu pada tahun 2009 dan 2010 di SM Sains Tuanku Jaafar. Sebenarnya, guru bukan sahaja menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif tetapi juga bijak dalam mencipta pengajaran yang berkesan. Untuk merealisasikan pengajaran ini, guru merupakan orang yang berperanan dan bertanggungjawab daripada peringkat awal persediaan , pelaksanaan dan sehingga selesai pelaksanaan program . Oleh itu, kaedah ini dapat membantu merangsang pelajar bagi mengukuhkan ingatan mereka kepada pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan kerana mereka telah menyaksikan sendiri dan mengikuti segala proses, peristiwa dan fenomena yang dialami. Ini menjadikan pembelajaran akan lebih menarik , beraspirasi dan berkesan. Sesungguhnya Kaedah Amali ini juga telah meningkatkan prestasi pencapaian para pelajar di dalam peperiksaan SPM . BIODATA PENULIS : Suwaibah Binti Jalel merupakan seorang Guru Cemerlang Pendidikan Islam DG 48. Mengajar di SM Sains Tuanku Jaaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Telah berpengalaman mengajar selama 21 tahun di sekolah yang sama..Pernah bertugas sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan selama lapan tahun. Sekarang menjadi Ketua Panitia Pendidikan Islam. Pernah menjadi Pentaksir PBS Pendidikan Islam peringkat daerah dan sekarang bertanggungjawab sebagai JU di peringkat negeri, terlibat dalam program Akademik Perkongsian Pintar SBP Excellent, menjadi panel penggubal soalan peringkat daerah dan peringkat SBP. Menjadi hakim MTQSS peringkat Daerah dalam bahagian hafazan al-Quran dan menjadi Ketua Hakim di peringkat Negeri. Pernah menjadi pemeriksa kertas PMR dan sekarang menjadi Pemeriksa kertas soalan Pendidikan Islam SPM (Kertas dua) peringkat kebangsaan.Terlibat sebagai AJK Konvensyen guru cemerlang peringkat negeri, menjadi AJK dalam program Perhimpunan Kebangsaan KRS peringkat kebangsaan dan sebagai AJK dalam perhimpunan Tunas Puteri peringkat Kebangsaan.

PENDAHULUAN Pendidik merupakan golongan yang bertanggungjawab sebagai agen perubahan dan pembaharuan di dalam negara. Tugas dan tanggungjawab pendidik hari ini lebih mencabar dan sangat kompleks seiring dengan perubahan dan kemajuan dunia. Guru juga sebagai pelaksana kurikulum dan program pendidikan di sekolah, kerana itu tugas utama seorang pendidik adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar nya. Sebagai memenuhi tuntutan tersebut , Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan satu program iaitu amali Ibadah Haji dan Umrah dalam tajuk Kaifiat Ibadah Haji dan Umrah kepada para pelajar tingkatan lima . Melalui aktiviti dan pengisian yang telah dirancang dan dijadualkan , para pelajar akan merasa seronok belajar , menjadi suntikan semangat seterusnya dapat mendorong mereka menumpukan sepenuh perhatian dan kefahaman terhadap mata pelajaran ini. Selain itu juga program ini diharap dapat menghuraikan segala kekusutan dan permasalahan mereka terhadap pelaksanaan ibadah haji dan umrah.

RASIONAL

Amali Ibadah haji dan umrah merupakan satu aktiviti praktikal yang penting untuk memberi kefahaman dan penjelasan yang mantap dalam Kurikulum Kebangsaan (tingkatan 4). Praktikal ini dapat membantu pelajar merealisasikan matlamat pendidikan di Malaysia iaitu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Melalui kaedah amali ini para pelajar dapat meneroka pengalaman dan penemuan baru yang dirasai sendiri secara sedar yang sebelum ini hanya dapat diketahui melalui catatan dan pendengaran sahaja. Di samping itu juga aktiviti yang dijalankan dapat memupuk daya saing yang tinggi, berani, berkemahiran dan berketerampilan.

MATLAMAT

Para pelajar akan mendapat pengalaman yang sangat bermakna berhubung cara-cara pelaksanaan ibadah haji dan umrah serta perkara yang berkaitan dengannya. Melalui pengalaman ini pelbagai input dan pengisian membina dapat dihayati, samada dari aspek fizikal, intelek mahupun kerohanian. Oleh yang demikian kaedah amali ini menjadi asas dan panduan yang penting kepada para pelajar untuk cemerlang di dalam peperiksaan SPM seterusnya memberikan impak serta manfaat yang cemerlang ketika menunaikan ibadah haji yang difardukan.

OBJEKTIF

Objektif umum pelaksanaan amali ibadah haji dan umrah adalah untuk meningkatkan kecemerlangan mencapai sasaran 100 % Gred A mata pelajaran Pendidikan Islam SPM . Objektif khusus :
Antara objektif khusus program ini diadakan adalah untuk : 2

Menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam. Mengukuhkan kefahaman yang mendalam dan mantap kepada para pelajar mengenai tajuk Kaifiat mengerjakan haji dan umrah. Mendidik para pelajar merealisasikan ilmu Pendidikan Islam dan mengaplikasikan dalam kehidupan mereka. Memupuk dan menekankan konsep persaudaraan, semangat bantu-menbantu, kerjasama dan berakhlak mulia di kalangan pelajar dan warga SMSTJ. Pelajar dapat menjalani amali pemakaian pakaian ihram. Pelajar melakukan sendiri amali tawaf, saie dan melontar di bawah bimbingan fasilitator dan guru yang berpengalaman Pelajar dapat membaca dan menyebut lafaz-lafaz niat serta doa dalam setiap amalan haji di bawah bimbingan guru.

PELAKSANAAN : Amali ibadah haji dan umrah dilaksanakan mengikut ketetapan berikut : Tarikh Masa Tema : 16 April 2010 : 8.00 am : KECEMERLANGAN ILMU, IMAN DAN AMAL TERAS PERIBADI SEJATI

TEMPAT : DEWAN DAN PADANG SEKOLAH SASARAN : Semua Pelajar Muslim Tingkatan Lima. JAWATANKUASA KERJA : Jawatankuasa kerja telah dibentuk di kalangan guru Panitia Pendidikan Islam , semua ketua tingkatan lima dan penolongnya bagi memastikan segala program yang diatur berjalan dengan lancar , teratur dan berdisiplin. PENILAIAN PROGRAM :

Penilaian program ini dibuat menerusi:

Penyertaan pelajar dalam aktiviti yang dianjurkan

Tindak balas pelajar dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Pencapaian dalam peperiksaan SPM

ANGGARAN PERBELANJAAN : Anggaran perbelanjaan yang diperlukan sebanyak RM 200.00

PERALATAN Keperluan praktikal haji : 1. 2 helai cadar sebagai kain ihram / kain ihram untuk pelajar lelaki 2. Sepasang telekong bagi pelajar perempuan 3. LCD 4. Nota edaran 5. Pembesar suara bergerak 6. Model / replika kaabah 7. Kon warna 8. Tempat melontar 3 jamrah 9. Papan tanda 10. Batu kecil

LATAR BELAKANG PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU Keputusan pencapaian matapelajaran Pendidikan Islam SPM, SM Sains Tuanku Jaafar dalam tempoh 2006-2008 masih kurang memberangsangkan berbanding pencapaian Pendidikan Islam di sekolah-sekolah SBP yang lain. Peratusan keseluruhan gred A (1A dan 2A) dalam Peperiksaan SPM di SM Sains Tuanku Jaafar masih berada di bawah 98 % berbanding sekolah-sekolah SBP ternama lain. Pencapaian pelajar-pelajar SM Sains Tuanku Jaafar masih tidak melepasi gred purata 1.2. Pencapaian terbaik ialah pada tahun 2007 dengan gerd purata 1.33. Berikut merupakan pencapaian mata

pelajaran Pendidikan Islam SPM SM Sains Tuanku Jaafar dari tahun 2006 - 2008 :DATA KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM PENDIDIKAN ISLAM SPM 2006-2008

GRED

BIL.

A+ / 1A BIL %

A / 1A BIL %

A- / 2A BIL % %A

B+ / 3B BIL %

B / 4B BIL %

LULUS

GPK

SPM 2008 SPM 2007

128 132

78 91

60.93 68.94

42 38

32.81 28.79

93.8 97.73

2 3

6.3 2.27

100 100

1.47 1.33

SPM 2006

136

61

44.85

45

33.08

77.9

19

13.97

11

22.1

100

1.85

Data di atas menunjukkan bahawa pelajar-pelajar SM Sains Tuanku Jaafar masih belum dapat menguasai pembelajaran Pendidikan Islam secara optimum. Bertitik tolak daripada pencapaian
pelajar yang kurang memuaskan dalam mata pelajaran Pendidikan Islam peringkat SPM, selaku ketua Panitia yang baru (bermula tahun 2009) saya perlu memikirkan strategi dan cara untuk menambah baik pencapaian tersebut. Saya amat menyedari bahawa untuk memperoleh pencapaian yang lebih cemerlang dan bermakna, perlu ada nilai tambah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setelah meneliti dan mengenal pasti punca, saya mendapati ada beberapa kelemahan yang menjadi masalah kepada para pelajar. Antara masalah yang dihadapi pelajar : i. ii. Kurang menguasai penulisan jawi dan tajwid Kurangnya penguasaan dan pemahaman mengenai topik tertentu dalam silibus Pendidikan Islam tingkatan 4 dan 5 seperti pengenalan tokoh (bahagian sirah ) dan Ibadah Haji dan Umrah (bahagian ibadah)

Dalam kertas kerja kali ini saya akan memberi tumpuan kepada kaedah amali sebagai salah satu strategi yang sesuai bagi mengatasi masalah para pelajar dalam tajuk ibadah haji dan umrah . Pembelajaran dan pengajaran menggunakan kaedah amali/ praktikal atau aplikasi sangat penting kepada tajuk ini kerana : i. Skop perbincangan tajuk ini sangat luas dan kompleks .

ii. Tajuk ini merupakan penerokaan ilmu yang baru bagi para pelajar dan pelajar tiada pengalaman sebagai panduan iii. Sukar untuk difahami pelajar kerana tajuk ini bukanlah perkara yang biasa dapat dilihat dan disaksikan. iv. Analisa kekerapan dan jumlah soalan yang dikemukakan bagi tajuk ini lebih banyak berbanding dengan tajuk yang lain iaitu dalam bahagian kertas 1 (objektif dan struktur)

PEMANTAPAN GURU MENERAPKAN KAEDAH YANG SESUAI DALAM PROSES PEMBELAJARAN. KPM sentiasa mengambil langkah yang proaktif ke arah mengujudkan iklim pembelajaran berkesan . Dalam menjayakan Misi Nasional, KPM bukan hanya memenuhi keperluan prasarana dan fizikal sahaja malahan yang lebih bermakna adalah memperkenalkan dasar-dasar pendidikan seperti KBSM , KBSR dan J-QAF. Hala tuju pendidikan di Malaysia dilandaskan kepada galuran Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dan terkini NKRA ( Bidang 5

Keberhasilan Utama Nasional) Pendidikan untuk menghasilkan pendidikan bersepadu dan berkualiti.. Kementerian Pelajaran Malaysia melalui wawasannya menyatakan dengan jelas hasrat untuk menjadikan sistem pendidikan Negara sebagai bertaraf dunia, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama . Sehubungan dengan itu, pendidik merupakan golongan yang bertanggungjawab sebagai agen perubahan dan pembaharuan di dalam negara. Tugas dan tan ggungjawab pendidik hari ini lebih mencabar dan sangat kompleks seiring dengan perubahan dan kemajuan dunia . Oleh kerana itu guru mestilah bijak dalam menyampaikan ilmu di samping menjadi nilai-nilai terpuji untuk menjadi role-model pelajar. Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, menyebut; " Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik yang unggul." Berdasarkan ungkapan ini, kita amat menyedari pentingnya faktor pendidik dalam menentukan keberkesanan pembelajaran di sekolah.

DEFINISI PEMBELAJARAN Pembelajaran ialah suatu proses bagaimana murid-murid memperoleh, menyusun, menyimpan dan menggunakan sesuatu ilmu pengetahuan atau kemahiran yang diajarkan. Proses pembelajaran boleh berlaku secara berperingkat-peringkat. Konsep pembelajaran hari ini diklasifikasikan kepada empat teori utama, iaitu : 1. 2. 3. 4. Behavioris berkait rapat dengan tingkah laku. Kognitif berkait rapat dengan proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran Sosial berkait rapat dengan pemerhatian dan peniruan, dan Humanis setiap individu berbeza cara pembelajarannya.

Menurut Sarina Baharudin beliau mendefinasikan pembelajaran sebagai Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran. Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning, pembelajaran merupakan perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan " Mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru. Pembelajaran :

Satu proses yang berterusan, Secara formal dan tak formal, Secara formal melalui sekolah membaca, menulis & mengira dsb., 6

Secara tak formal melalui rakan sebaya, keluarga, media massa, persekitaran. Mempunyai teori-teori atau mazhab pembelajaran, Empat mazhab pembelajaran utama behavioris, kognitif, sosial dan humanis.

Tajul Ariffin Noordin (1988) menjelaskan kejayaan manusia adalah bergantung kepada keupayaan memilih proses pembelajaran yang paling sesuai dalam kehidupannya. Menurut beliau lagi, hanya menerusi pembelajaran yang baik dan sihat, manusia akan terus maju dan membangun dari satu tamadun ke tamadun yang lain. Perhubungan pengajaran dan pembelajaran begitu rapat kerana kedua -duanya berjalan serentak pada satu masa. Oleh itu , adalah penting seorang guru merancang dengan baik tentang kaedah yang hendak digunakan dalam pengajaran . Pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai akan membawa pengajaran yang berkesan serta pembelajaran yang bermakna lagi menyeronokkan bagi pelajar . Hal ini sesuai dengan apa yang telah diungkapkan oleh Oon- Seng Tan, 2003: Pendidik hari ini bukan hanya penyebar maklumat atau fasilitator. Pembelajaran perlu diperluaskan melepasi sempadan fizikal sesuatu bilik darjah. Maka pendidik perlu bertindak melakar persekitaran pembelajaran

KAEDAH AMALI Kaedah amali merupakan satu kaedah mengajar yang disarankan oleh Professor William Kilpatrick (1871-1965) dengan pengubahsuaian daripada kaedah penyelesaian masalah.yang dikemukakan oleh Dewey (1859- 1952). Kaedah amali merupakan satu kaedah pembelajaran yang memerlukan penglibatan dua hala iaitu antara guru dengan pelajar dalam sesuatu pengajaran yang disampaikan. Dalam kaedah ini, penyertaan dan pemerhatian pelajar secara langsung pada sesuatu projek ataupun proses diutamakan. Guru akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar pada pelajar sepanjang pengajaran melalui kaedah ini. Selain itu kaedah amali merupakan kaedah pengajaran yang memberi peluang kepada pelajar menjalankan penyiasatan melalui perancangan, perlaksanaan dan perbincangan. Penglibatan pelajar secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran sangat membantu dalam penghasilan modal insan yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti kreativiti, klinikal dan inovatif. Menurut Mok Soon Seng (1993) dalam bukunya : Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan Guru Bahagian 11 : Kompetensi Khusus/Fungsi , beliau menyatakan kaedah amali ini adalah berlandaskan teori pembelajaran bahawa hasil pembelajaran pelajar akan menjadi lebih berkesan jika jika mereka menaruh minat dan bersedia untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang dirancangkan dengan cara yang menarik. Melalui kaedah ini pelajar dapat melaksanakan aktiviti pembelajaran dengan penuh minat dan perhatian dalam satu situasi yang sebenar untuk mendapatkan sesuatu hasil yang diharapkan.

KEUTAMAAN KAEDAH AMALI DAN HUBUNGANNYA DENGAN KAEDAH TUNJUKCARA DALAM IBADAH HAJI DAN UMRAH 7

. Pemilihan strategi dan kaedah yang menarik menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijayakan dengan baik dan berkesan. Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, terdapat beberapa bahagian dalam sukatan pelajaran KBSM yang memerlukan kepada pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah amali . Kaedah amali merupakan satu kaedah yang memerlukan penglibatan dua hala iaitu antara guru dengan pelajar dalam sesuatu pengajaran yang disampaikan , mementingkan penyertaan dan pemerhatian pelajar secara langsung pada sesuatu projek ataupun proses yang dijalankan. Kaedah ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya mereka menaruh minat dan bersedia melaksanakan aktiviti pembelajaran yang dirancang dengan cara yang menarik. Guru akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar pada pelajar sepanjang pengajaran melalui kaedah ini, di samping dapat membantu pelajar bagi mengukuhkan ingatan mereka pada pengajaran yang disampaikan kerana mereka sendiri sudah melihat dan mengikuti segala proses, peristiwa dan fenomena yang dialami sendiri dan dalam situasi sebenar .

Selain itu, kaedah amali dapat memberikan pelajar-pelajar peluang untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan situasi pembelajaran. Mereka akan memperoleh pengalaman langsung dalam memperoleh kemahiran, pengetahuan, kesimpulan dan celik akal dalam unit-unit pembelajaran berkenaan. Tujuan kaedah ini juga adalah untuk membolehkan para pelajar melihat dan mengikuti satu siri langkah, peristiwa atau fenomena dalam keadaan-keadaan yang tidak memungkinkan pelajarpelajar mendapatkan maklumat tanpa penglibatan guru.

Keberkesanan kaedah amali ibadah haji dan umrah mempunyai kaitan yang rapat dengan kaedah tunjukcara yang dilakukan oleh guru. Sebelum para pelajar mempraktikalkan kaifiat ibadah haji dan umrah, terlebih dahulu guru akan menerangkan dengan menunjukcara pelaksanaan ibadat tersebut contohnya cara bertawaf dan cara melontar jamrah. .Tunjukcara atau demontrasi merupakan kaedah yang sering digunakan oleh guru atau pensyarah samada di peringkat sekolah atau IPT. Kaedah tunjukcara adalah suatu kaedah pengajaran di mana seseorang membuat sesuatu di hadapan individuindividu yang lain untuk menunjukkan bagaimana sesuatu perbuatan itu dilakukan. Kaedah tunjukcara menggunakan bentuk komunikasi pendengaran dan juga penglihatan. Dalam situasi pelaksanaan kaedah amali ibadah haji dan umrah ini, guru berfungsi sebagai penunjukcara yang akan mendemontrasi cara atau kaifiat pelaksanaan ibadah haji dan umrah.

PELAKSANAAN AMALI IBADAH HAJI DAN UMRAH

Bagi memantapkan lagi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah amali, terlebih dahulu guru hendaklah merancang dengan teliti dan memastikan peralatan yang diperlukan telah disediakan. Saya akan menghuraikan proses pembelajaran dan pengajaran menggunakan kaedah amali ibadah haji dan umrah melalui tiga tahap, iaitu : 8

1. Langkah-langkah Sebelum pelaksanaan amali Haji dan umrah 1.1 1.2 1.3 1.4 1.5 1.6 1.7 1.8 1.9 1.10 Memastikan objektif dan aktiviti amali berdasarkan kecenderungan dan kemahiran pelajar . Mengadakan mesyuarat di kalangan ahli Panitia Pendidikan Islam Memaklumkan dan mendapatkan persetujuan daripada pihak pengurusan Berhubung dan bermesyuarat dengan pihak Tabung Haji daerah Kuala Pilah untuk mendapatkan kerjasama dalam melaksanakan amali ibadah haji Meminta para pelajar lelaki membawa kain ihram daripada rumah masing-masing Meminta pelajar perempuan membawa telekung. Menyediakan peralatan yang diperlukan seperti, kain ihram , replika kaabah, jamratul Ula/Wusta/ Aqabah, papan tanda dan lain-lain Tempahan tempat untuk pelaksanaan amali iaitu di dewan sekolah dan di padang sekolah Tempahan makanan/minuman mengikut keperluan Mengagihkan para pelajar kepada dua kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada pelajar lelaki dan satu kumpulan lagi pelajar perempuan, untuk memudahkan amali haji dan umrah dilaksanakan.

2. Semasa Pelaksanaan dan Aplikasi Amali Ibadah Haji

Pelaksanaan amali ibadah haji bermula dengan menayangkan LCD yang menunjukkan cara-cara pelaksanaan ibadah Haji dengan sempurna di dalam dewan sekolah. Melalui tayangan ini guru telah menjelaskan dengan terperinci mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah haji dan umrah serta kesempurnaannya. Bermula daripada penerangan syarat Wajib Haji kemudian diikuti dengan rukun umrah. Menerusi tayangan LCD guru menyatakan Rukun-rukun Haji yang terdiri daripada Niat Ihram, Wukuf, Tawaf, Saei , Bercukur dan Tertib dan juga menyempurnakan perkara Wajib haji iaitu Niat Ihram di Miqat , Bermalam di Muzdalifah , Melontar di Jamrah AlAqabah , Bermalam di Mina, Melontar di Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Aqabah serta Meninggalkan perkara-perkara yang haram semasa ihram. Selepas melalui proses tunjuk cara menggunakan tayangan LCD, para pelajar diberi peluang untuk bersoal jawab dengan guru sekiranya ada kemusykilan dan kurang memahami apa yang telah disampaikan. Setelah selesai tayangan LCD dan sesi soal jawab, para pelajar lelaki dikehendaki menukar pakaian kepada memakai pakaian ihram haji . Guru telah menunjuk cara , mengajar dan membimbing para pelajar memakai pakaian ihram haji secara praktikal dengan cermat. Manakala pelajar puteri pula telah memakai kain telekong agar penampilan mereka benar-benar seperti sedang mengerjakan ibadah haji. Ketika para pelajar telah berkumpul di padang sekolah dan bersedia untuk melaksanakan amali ibadah Haji , terlebih dahulu guru menerangkan ibadah haji bermula dengan niat ihram di Miqat yang dilakukan di Tanah Haram Makkah sebelum ke Arafah, bagi mereka yang berada di Makkah. Kemudian bertolak ke Padang Arafah dan berada di sana walaupun sekejap, bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada 10 Zulhijah. Sepanjang masa ihram haji, jemaah haji hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti mengucap talbiah, bertahmid , berdoa, membaca alQuran & berzikir terutamanya ketika di Padang Arafah. Di sini jemaah haji mengerjakan ibadah 9

wukuf yang menjadi salah satu daripada rukun haji. Kemudian berada di Muzdalifah selepas separuh malam ke 10 Zulhijjah iaitu selepas waktu wukuf di Arafah dan sebelum terbit fajar. Muzdalifah adalah tempat yang terletak di antara Arafah dan Mina. Guru menerangkan di sinilah para jemaah akan mengambil anak-anak batu untuk tujuan melontar di Jamratul Aqabah. Selanjutnya guru juga memberitahu para pelajar bahawa para jemaah haji akan bermalam di Mina pada hari Tasyrik , 11 , 12 dan 13 Zulhijjah. Di sana mereka akan melontar 3 jumrah dengan 7 biji anak batu pada setiap kali lontaran iaitu pada Jumratul Ula , Jumratul Wusta dan Jumratul Aqabah . Waktu melontar adalah selepas gelincir matahari pada hari Tasyrik hingga terbit fajar kecuali pada 13 Zulhijjah hingga terbenam matahari. Selanjutnya guru menerangkan akibat meninggalkan perkara wajib haji akan dikenakan DAM. Kemudian guru terus bergerak ke tempat melontar ke tiga-tiga Jamrah. Guru menerangkan nama setiap jamrah dan cara melontarnya, seterusnya guru telah menunjukkan cara melontar yang betul dengan menjelaskan syarat-syarat antaranya : 1. Hendaklah melontar dengan 7 biji anak batu pada tiap-tiap jumrah. 2. Melontar dengan tertib dimulai dari Jamratul Ula , Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah. 3. Tujuan melontar tidak terpesong dengan yang lain 4. Hendaklah melontar dengan batu atau jenis-jenisnya. 5. Hendaklah batu lontaran masuk dalam takungan Jamrah dengan yakin 6. Hendaklah melontar dengan gaya melontar 7. Hendaklah melontar dengan tangan

Seterusnya guru meminta para pelajar melontar di ketiga-tiga jamrah yang telah disediakan. Guru membetulkan kesilapan pelajar sekiranya pelajar melakukan kesilapan ketika melontar jamrah tersebut. Kemudian guru meminta pelajar mengulangi semula.

Setelah selesai melaksanakan lontaran , para pelajar diminta bergerak ke tempat melakukan rukun haji yang lain iaitu bertawaf. Di hadapan replika / model Kaabah ini, guru telah memperkenalkan terlebih dahulu perihal kaabah, Hajarul Aswad, Garis Sendeng Hajarul Aswad , Pintu Kaabah, Multazam, Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail. Selepas itu guru telah menunjukkan tempat bermulanya tawaf dan menjelaskan bahawa tawaf merupakan ibadah yang mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan , bermula dari penjuru Al-Hajarul Al-Aswad dan berakhir di tempat yang sama. Kemudian guru telah menerangkan jenis-jenis tawaf , amalan-amalan sunat ketika tawaf dan syarat-syarat tawaf yang sempurna. Syarat-syarat tawaf termasuklah : i. suci dari hadas pada pakaian/ badan/tempat tawaf, 10

ii. iii. iv. v. vi.

menutup aurat tawaf bermula dari sudut Hajarul Aswad dan niat tawaf Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke depan Bertujuan tawaf 7 kali pusingan dan dilakukan dalam Masjidil Haram.

Seterusnya guru menunjukkan cara bertawaf bermula dengan melakukan gerakan beristilam dan bertakbir di penjuru Hajarul Aswad, kemudian berjalan dengan bahagian bahu kiri mengadap Kaabah dan melakukan gerakan istilam dan seterusnya bertakbir sekali lagi di Rukun Yamani.

Sebaik selesai guru menunjukkan cara-cara bertawaf, maka para pelajar terus mempraktikalkan tawaf dengan diperhatikan guru. Guru meminta pelajar mengulangi semula perkara yang sama sekiranya pelajar melakukan kesilapan dan kesalahan ketika bertawaf sehingga sempurna. Setelah selesai bertawaf, para pelajar bergerak ke tempat Saie untuk mengerjakan ibadah tersebut. Ibadah Saie ialah berjalan berulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Manakala syarat-syarat ibadah saie termasuklah ia dilakukan selepas Tawaf Rukun/ Qudum , bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah , Hendaklah sampai ke penghujung tempat Saie di Safa dan Marwah, Berniat semata-mata Saie kerana Allah dan Cukup 7 kali dengan yakin dan dikira sekali dari Safa ke Marwah dan sekali dari Marwah ke Safa . Kemudian Guru menerangkan kepada para pelajar mengenai perkara perkara sunat yang perlu dilakukan ketika ibadah sae antaranya ialah : i. ii. iii. iv. berlari anak bagi lelaki apabila sampai di tempat bertanda hijau, mengadap kiblat dan melambai kedua tangan serta bertakbir. berwuduk dan berdoa mengerjalan Saie dalam keadaan berturut-turut.

Kemudian para pelajar telah mempraktikalkan ibadah Saie seperti yang telah di tunjukkan oleh guru sehingga mereka berpuas hati. Kemudian Guru menunjukkan tempat laluan yang telah ditandakan ( dengan tali ) jarak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah ( ada tanda) dan akhirnya guru meminta pelajar berjalan berulang-alik di tempat yang telah ditandakan tadi beserta niat Saie dan dilakukan sebanyak 7 kali dengan bimbingan guru. Guru akan membetulkan kesalahan dan menegur kesilapan yang telah dilakukan oleh pelajar Selepas mengerjakan ibadah Saie, perkara terakhir yang perlu dilakukan untuk mendapat ibadah haji yang sempurna ialah bercukur. Maksud bercukur ialah Menggunting rambut atau menghilangkannya sekurang-kurangnya 3 helai rambut di kepala dengan cara mencukur atau menggunting. Serentak dengan ini maka selesailah amali pelaksanaan haji dan umrah .secara tertib. 3. DAPATAN SELEPAS AMALI Sepanjang pembelajaran secara amali dijalankan guru akan menerangkan dan menunjuk cara serta mendemontrasi kepada murid-murid untuk menarik perhatian mereka terhadap isi pelajaran 11

yang telah diajar dan menguji kefahaman mereka terhadap penyampaian guru . Pelajar juga diberi peluang untuk melakukan aktiviti demonstrasi dan amali sepertimana yang di tunjukkan oleh guru. Teknik ini telah memberikan beberapa kebaikan dan kesan positif kepada pelajar, antaranya: i. ii. iii. iv. v. vi. vii Murid dapat mencontohi apa yang ditunjukkan dengan mudah dan tepat Dapat mengukuhkan ingatan para pelajar mengenai tajuk dan langkah-langkah untuk melaksanakanya. Murid-murid lebih mudah untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Penggunaan teknologi maklumat dapat menarik minat dan tumpuan murid-murid untuk belajar . Kesilapan para pelajar dapat diperbetulkan oleh guru secara terus, hal ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kualiti pengetahuan pelajar dan juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Murid-murid mengalami pengalaman sendiri situasi pembelajaran dengan mempraktikalkan apa yang dilihat dan dipersembahkan oleh guru di padang sekolah. Murid akan dapat mengaplikasi ibadah haji dan umrah dan menjadikannya sebagai ilmu sepanjang hayat.

Sehubungan dengan itu, para pelajar dapat memahami peranan mereka ketika mengikuti amali tersebut dan telah memenuhi beberapa kriteria berikut :

i. ii. iii. iv. v.

Penumpuan terhadap input amali Penglibatan diri secara menyeluruh dalam aktiviti yang dijalankan Penampilan diri dalam diskusi dan persembahan Interaksi dalam aktiviti sosial Toleransi dalam kumpulan

Dengan memenuhi kriteria di atas maka amali dan praktikal yang mereka terlibat sebagai salah satu kegiatan luar bilik darjah mampu menjadi nilai tambah terhadap pembelajaran di bilik darjah serta sekali gus meningkatkan minat dan motivasi diri dalam proses pembelajaran menuju kecemerlangan.
REFLEKSI SELEPAS KAEDAH AMALI Manusia boleh berubah disebabkan oleh banyak faktor. Begitu juga dengan para pelajar bahawa mereka juga boleh mengubah diri dan kefahaman berdasarkan dapatan dan pengalaman mereka. Bermula tahun 2009 dan berikutnya pada tahun 2010 kami telah melaksanakan amali Ibadah haji dan Umrah dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Impaknya amat memberangsangkan di mana pencapaian SPM mata pelajaran Pendidikan Islam telah meningkat kepada GPK 0.83 pada tahun 2009 berbanding pada tahun 2008 GPK adalah 1.47 . Manakala pada tahun 2010 pencapaian semakin meningkat kepada GPK 0.62 berbanding tahun 2009 pencapaian GPK adalah 0.83. Lebih memberangsangkan lagi kerana berlakunya peningkatan dari sudut pencapaian 100% A untuk subjek Penddikan Islam . Demikian juga pelajar yang memperoleh A + juga turut meningkat daripada 35 orang tahun 2009 kepada 57 orang pada tahun 2010. Berikut dipaparkan data pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam (2009-2010) :

ANALISIS PERBANDINGAN PENCAPAIAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM 2006-2010 12

GRED

BIL .

A+ / 1A
BIL %

A / 1A
BIL %

A- / 2A
BIL % %A

B+ / 3B
BIL %

B / 4B
BIL %

LULUS

GPK

SPM 2010 SPM 2009 SPM 2008 SPM 2007 SPM 2006

128 114 128 132 136

57 35 30.7

63 65 78 91 61 57.02 60.93 68.94 44.85

8 13 42 38 45 11.4 32.81 28.79 33.08

100 99.1 93.8 0 6 1 2 3 77.9 19 13.97 11 0.88 6.3 2.27 22.1

100 100 100 100 100

0.62 0.83 1.47 1.33 1.85

Berdasarkan data yang dipaparkan ternyata berlaku peningkatan yang memberangsangkan sejak tahun 2009 sehingga tahun 2010. Pencapaian semua pelajar memperoleh gred A di dalam peperiksaan SPM merupakan peristiwa yang julung-julung kalinya telah diperoleh oleh Panitia Pendidikan Islam sekolah SMSTJ. Ini bermakna kami telah berjaya merealisasikan kaedah amali bagi kaifiat ibadah haji dan umrah sebagai salah satu kaedah yang berkesan dalam pembelajaran dan pengajaran . Walau bagaimanapun kami sentiasa berusaha menggembeling tenaga untuk mempastikan bilangan para pelajar yang mendapat A+ akan bertambah.

PENUTUP Pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah amali atau praktikal lebih cepat berlaku kerana pelajar menjalankan penyiasatan sendiri bagi membolehkan mereka mendapat maklumat melalui bahan yang sebenar (Ogunniyi, M.B, 1983). Dengan penggunaan kaedah tersebut, dapat menerapkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan memupuk nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Menurut Kementerian Pelajaran (1983), strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan adalah untuk membina dan mengukuhkan minat murid-murid terhadap pembelajaran serta membimbing mereka supaya bersedia menerima pembelajaran seterusnya dan berupaya meneruskannya sendiri. Mengikut strategi ini, setiap murid akan mengambil bahagian secara aktif di dalam pelbagai kegiatan meliputi pelbagai unsur yang merangkumi komponen-komponen kemahiran asas, kerohanian, nilai dan sikap, kemanusiaan dan persekitaran serta kesenian dan rekreasi. Secara keseluruhannya, penekanan kepada penggunaan pembelajaran secara amali dilihat mampu menghasilkan pelajar yang lebih kreatif, berpengetahuan di samping mempunyai kemahiran penyelesaian masalah. Semua ini dapat dilakukan melalui pembelajaran secara amali di mana semua orang terlibat dan bekerja bersama-sama. Selain itu juga kaedah ini mampu meningkatkan prestasi dan pencapaian pelajar ke tahap yang lebih membanggakan.

13

Bibliografi
1. KPM (2006), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kuala Lumpur

2. Mok Soon Sang(2003), Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan Guru, Bahagian 11: Kopetensi Khusus/Fungsi (Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran, Kumpulan Budiman SDN.BHD. Subang Jaya. Percetakan Seasons Sdn. Bhd..

3. Laman web, Warung Ilmu ,Kaedah dan Model Pengajaran Pendidikan Islam , Monday, April 13, 2009 4. Puziah Binti Haji Muhammad Ramli dan Aminah Binti Idris, Pendidikan Islam Tingkatan 4, Buku Teks, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah,Kementerian Pendidikan Malaysia,2002. Dewan Bahasa dan Pustaka. 5. Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM 6. Hjh Badriyah Shaikh Ahmad, Konsep P & P Berkesan,Pendekatan Modul Kaedah Mengajar, SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban 7. Sarina Baharuddin, Definisi Pengajaran Dan Pembelajaran, Penolong Ketua Unit Praktikum di IPPM , Bahagian Pendidikan Guru, Julai 2009, 8. Nurul Fatiyah binti Alias danMohammad bin Mohammad Lassim, TAHAP KEBERKESANAN KAEDAH AMALI BERBANDING KAEDAH TEORI BAGI TOPIK JAHITAN HIASAN DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI NILAM, TERENGGANU, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UPSI Tanjong Malim Perak, Malaysia.

9.

Ee Ah Meng, PEDAGOGI, Satu Pendekatan Bersepadu, Penerbit Fajar Bakti SDN. BHD. 1990.

About Me

14

15

You might also like