You are on page 1of 2

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Alam Sekitar

Isu-isu berkaitan dengan alam sekitar kerap menjadi bahan paparan dalam surat khabar.
Hal ini kerana alam sekitar di negara kita didapati semakin tercemar. Pada pendapat saya, isu
pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat
beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Pihak yang boleh memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan alam sekitar
ialah setiap individu atau rakyat di negara ini. Setiap individu atau rakyat mestilah
mempunyai kesedaran tentang kepentingan alam sekitar. Contohnya kita mesti bertindak
untuk melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar jika ternampak pihak
tertentu mencemarkan alam sekitar. Sesungguhnya alam sekitar yang bersih dan ceria akan
membolehkan rakyat hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Selain individu, pihak masyarakat juga boleh memainkan peranan penting.


Masyarakat mestilah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Antara nilai murni yang perlu diamalkan ialah nilai cintakan kebersihan sungai dan
laut. Masyarakat juga mesti mengelakkan diri daripada melakukan pembakaran
terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar terutama pada musim panas.

Pihak pengusaha industri atau kilang juga boleh memainkan peranan dalam
menjaga kebersihan alam sekitar. Pengusaha industri atau kilang mestilah
memastikan bahan buangan tidak dibuang ke dalam sungai atau laut. Bahan-bahan
buangan kilang mestilah dihantar ke tempat yang dikhaskan oleh pihak kerajaan.
Selain itu, jika kilang mereka mengeluarkan asap, asap tersebut mestilah dirawat
terlebih dahulu bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, pengusaha pertanian juga boleh memainkan peranan yang


penting. Pengusaha pertanian tidak boleh mengambil jalan mudah dengan
membakar hutan untuk membuka kawasan pertanian yang baru. Bahan kimia

seperti baja dan racun serangga yang digunakan pula hendaklah sentiasa dipantau
supaya tidak memasuki sungai yang boleh menyebabkan air sungai tercemar.
Semua tong racun serangga juga hendaklah dibuang di tempat yang dikhaskan oleh
pihak berkuasa.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan untuk menjaga kebersihan


alam sekitar. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan dan
kuasa undang-undang. Pihak kerajaan boleh mengeluarkan perbelanjaan tertentu
untuk membersihkan kawasan tertentu, khususnya kawasan kunjungan pelancong.
Jika terdapat pihak yang sengaja mencemarkan alam sekitar, pihak kerajaan perlu
mengambil tindakan undang-undang yang tegas.

Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa cara untuk menjaga kebaersihan alam


sekitar. Kebersihan alam sekitar perlu dijaga setiap masa kerana alam sekitar yang
bersih menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Pada
pendapat saya, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjaga kebersihan
alam sekitar. Alam sekitar yang bersih dan ceria boleh menjadi aset kepada negara
dalam memajukan sektor pelancongan.

You might also like