You are on page 1of 9

BAHAN TANAMAN KOKO

Oleh

Francis Aloysius, Hjh. Sapiyah Subali & Jaafar Hussien


Lembaga Koko Malaysia

1.0 Pengenalan

Pokok koko sebenarnya berasal dari benua Amerika iaitu dirimba tropika Amerika Tengah dan
Selatan.Tabuaran keujudan semulajadinya meliputi Mexico, Bolivia dan Brazil. Pokok koko boleh
tumbuh dengan baik sepanjang 18 utara ke 15 selatan daripada khatulisitwa.

Secara umumnya, terdapat 22 spesis yang berkaitan dengan koko. Daripada sepsis-spesis
tersebut, Theobroma cocoa merupakan spesis yang ditanam secara meluas di seluruh dunia. Ini
termasuklah koko yang ditanam di Malaysia. Di antara spesis yang juga berjaya ditanam dengan
meluas seperti yang didapati di Negara Brazil ialah Theobroma grandiflorm dan Theobroma
bicolor.

2.0 Latarbelakang Penanaman Koko di Malaysia

Pokok koko buat pertama kalinya dijumpai di Melaka dalam tahun 1778. Walau bagaimanapun,
tanaman koko dipercayai mula dibawa masuk ke Malaysia sejak awal 1700 lagi. Di negeri sabah
koko buat pertama kali dilaporkan dilihat pada tahun 1882. Walaupun koko dibawa masuk ke
Semenanjung Malaysia sejak tahun 1700, penanaman secara komersial hanya bermula pada
tahun 1950-an. Pada tahun 1931, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia telah mengimpot
beberapa jenis koko Forastario dan Nicaragua. Walau bagaimanapun, bahan bahan tanaman
tersebut tidak tumbuh dengan baik di plot percubaan yang di buat di Negeri Sembilan dan
Serdang, Selangor.

Pada tahun 1934, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia telah cuba menanam koko dari
jenis Trinitario seluas 0.2 ha. Biji benih daripada kawasan percubaan ini telah diedarkan dan di
kembang-biak kan di plot percubaan yang terdapat di Cheras, Selangor dan juga di Kuala Lipis
dan Temerloh, Pahang.

Minat terhadap penanaman koko menjadi aktif selepas Perang Dunia Kedua disebabkan
program Kerajaan untuk mempelbagaikan tanaman selain daripada getah. Ini juga disebabkan
pada masa tersebut, terdapat kawasan yang amat luas dan sesuai ditanami dengan koko. Walau
bagaimanapun, bahan tananam yang ada pada masa tersebut adalah terhad. Oleh itu
pengimpotan bahan tanaman koko adalah perlu bagi meluaskan kawasan penanaman ketika itu.

Pada tahun 1950, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia telah mengimpot sebanyak 4,956
anak benih koko jenis Amelonado. Daripada jumlah ini, 3,649 anak benih tersebut telah
diedarkan di Semenanjung Malaysia, 570 pokok di Sabah dan 583 pokok di Sarawak. Bahan
tanaman amelonado ini didapati sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia ketika itu. Oleh itu,
bahan ini telah disyorkan ditanam secara kommersial. Di Sabah, 570 anak benih amelonado
telah ditanam di kawasan yang mempunyai jenis tanah volcano di daerah Tawau. Manakala di
Sarawak pula, bijibenih tersebut telah ditanam di Stesen Penyelidikan Tarat.

Ladang koko komersial yang ditanam pertama ialah di Jeranggau, Trengganu yang ditanam pada
tahun 1950. Di SAbah, Borneo Abaca Limited (BAL Plantation Sdn. Bhd.) telah menanam koko
secara komersial pada kawasan seluas 76 ha. Bahan tanaman yang di tanam adalah dari jenis
trinitario dan amelonado.

Pembukaan kawasan untuk penanaman koko telah berkembang dengan pesatnya pada
pertengahan tahun 1970-an dan 1980-an. Ini disebabkan oleh dua faktor iaitu harga kommoditi
yang tinggi dan program mempelbagaikan tanaman kerajaan. Penanaman koko memuncak pada
awal tahun 1990-an. Walau bagaimanapun kawasan penanaman koko mula menurun selepas
itu kerana harga kommoditi tidak begitu menggalakkan. Harga kommoditi minyak sawit yang lebih
baik juga faktor utama yang menyebabkan kawasan-kawasan koko ditukar kepada kelapa sawit.

3.0 Jenis-Jenis dan Populasi Koko

Terdapat variasi yang ketara diantara jenis-jenis koko dan populasi koko. Di antara variasi yang
jelas dilihat ialah pada warna dan bentuk buah, warna daun serta warna dan bentuk biji. Pada
masa lalu jenis-jenis koko dibeza dan dinamakan mengikut bentuk buah. Oleh kerana keadaan
iklim mempengaruhi ciri-ciri fizikal buah, maka pengkelasan jenis koko berpandu kepada bentuk
buah boleh mengelirukan. Secara umumnya, terdapat 3 jenis rumpun koko iaitu criollo, forastero
dan trinitario.

3.1 Criollo

Rumpun populasi koko ini mempunyai warna buah yang hijau hingga merah pekat.
Permukaan buah adalah mengerutu dan terdapat lima pasang alur yang jelas. Kulit buah
selalunya tipis dengan sedikit lapisan sclerotic. Populasi ini mempunyai saiz biji yang besar
dan bentuk montel atau bujur. Warna biji ialah putih hingga ungu muda. Biji-biji koko ini
memerlukan jangkamasa pemeraman yang singkat iaitu 3-4 hari sahaja. Pokok-pokok jenis
ini adalah kecil dengan bentuk kanopi yang padat tapi lemah. Saiz daun adalah kecil dan
berwarna hijau pekat.

Populasi koko ini berasal daripada Amerika Tengah dan Mexico. Kumpulan utama populasi ini
ialah criollo Amerika TEngah dan crillo Amerika Selatan.

3.2 Forastero

Warna buah populasi ini selalunya hijau. Walau bagaimanapun terdapat juga yang berwarna
sedikit kemerahan. Permukaan buah adalah licin hingga sedikit menggerutu. Pada
permukaan buah terdapat lima pasang alur yang sederhana tapi jelas. Kulit buah boleh
disifatkan tipis hingga ke tebal. Lapisan sclerotic pada populasi ini amat jelas. Saiz biji
populasi ini agak kecil berbanding dengan criollo. Bentuk bijinya adalah bujur dan ada juga
yang leper. Warna biji selalunya ungu. Pokok-pokok jenis ini adalah lebih subur daripada
criollo dan indeks daun adalah tinggi. Populasi ini lebih toleran kepada penyakit daripada
criollo. Di antara jenis-jenis yang terdapat dalam populasi ini ialah Matina, Pajarito, Nacional,
Para dan Commun.

3.3 Trinitario

Variasi bentuk, saiz, warna dan permukaan buah adalah luas. Adalah dipercayai bahawa
populasi ini ujud hasil kacukan daripada criollo dan forastero. Pokok-pokok populasi ini
adalah subur dan lebih toleran kepada penyakit berbanding dengan criollo.

4.0 Jenis Bahan Tanaman Koko (BTK)

Bahan tanaman yang sesuai merupakan salah satu faktor yang menentukan pulangan yang lumayan
daripada perladangan yang diceburi. Walau bagaimanapun potensi hasil sesuatu bahan tanaman
dipengaruhi oleh faktor genetic dan persekitaran dimana ianya ditanam. Koko yang asing di Negara
ini terpaksa melalui beberapa proses peringkat penyesuaian dan penilaian sebelum ianya disyorkan
untuk ditanam secara kommersial.
Oleh kerana kesesuaian BTK dipengaruhi oleh faktor persekitaran, pekebun koko hendaklah memilih
BTK yang telah disyorkan oleh agensi penyelidikan yang dikenali. Juga bahan tanaman itu telah diuji
dilokasi yang sama atau hamper sama dengan tempat pekebun tersebut. Kriteria-kriteria BTK yang
diingini adalah seperti berikut:

Mempunyai hasil yang tinggi - 1500 kg biji kering/ha/tahun


Ciri-ciri biji yang baik seperti 1.0 g, bulat (kembang), kandungan kulit biji yang
rendah.
Mempunyai lemak koko > 50%
Toleran kepada penyakit dan serangga

Terdapat dua jenis BTK iaitu hybrid (jenis kacukan) dan Klon.

4.1 Hibrid
Hibrid adalah BTK yang dibiak daripada biji yang diperolehi daripada kacukan bebas ataupun
terkawal dalam kebun bijibenih dan stesen-stesen penyelidikan. Sifat pertumbuhan hybrid
adalah unik dimana ia mempunyai satu batang utama yang tegak dan lurus. Batang utama ini
akan membentuk 3 5 dahan utama yang dikenali sebagai jorquette. Terdapat variasi yang
luas diantara sifat-sifat buah dan bunga di antara sesuatu hybrid. Sebagai contoh, sifat
diantara satu pokok dengan pokok yang lain bagi hibrid PA 156 X IMC 67 adalah berbeza.
Oleh kerana terdapat variasi yang tinggi pada sesuatu jenis hibrid, maka hasil diantara pokok-
pokok hibrid juga sangatlah berbeza. Variasi juga jelas pada komponen hasil yang lain seperti
saiz biji dan lemak koko.

Di Malaysia, hibrid diperolehi daripada kebun biji koko berbilang klon. Hibrid-hibrid ini
diperolehi daripada kacukan bebas. Oleh kerana wujud masalah ketidak serasian di antara
hibrid-hibrid maka biji-biji berbilang hibrid dicampur untuk penanaman.

Jadual 1 menunjukkan jenis-jenis hibrid yang disyorkan untuk penanaman. Hibrid yang
mempunyai baka UIT mempunyai saiz biji yang lebih besar daripada yang lain. Manakala
hibrid berbaka SCA 9, SCA 12 dan NA 33 lebih toleran kepada penyakit mati rosot jejalur
vascular. Hibrid-hibrid ini boleh mengeluarkan hasil diantara 1000-3000 kg/ha bergantung
kepada lokasi ianya ditanam.

Jadual 1 Hibrid-hibrid yang disyorkan untuk penanaman


Bil. Hibrid
1. UIT1 X NA 33
2. UIT 1 X SCA12
3. UIT 1 X SCA9
4. PA138 X SCA 9
5. PA156 X IMC67
6. PA156 X SCA9
7. PA173 X SCA9
8. PA300 X K82
9. PA300 X NA33
10. PA20 X NA3

4.2 Klon
Klon koko diperolehi melalui pembiakan tampang daripada pokok-pokok individu yang
berhasil tinggi dalam sesuatu percubaan progeny. Klon-klon yang telah disyorkan telah
melalui beberapa proses penilaian dan penyesuaian pada sesuatu loaksi. Pembiakan
tampang klon adalah dengan keratan, tut dan cantuman. Walau bagaimanapun kaedah
pembiakan tampang yang selalu diamalkan ialah cantuman matatunas dan baji sisi.

Sesuatu klon yang diperolehi melalui pembiakan tampang mempunyai sifat-sifat morfologi
pokok, buah, biji dan bunga yang sama. Perbezaan hasil diantara pokok-pokok bagi sesuatu
klon seharusnya tidak wujud. Walau bagaimanapun, pertumbuhan dan hasil klon-klon koko
juga dipengaruhi oleh persekitaran ianya ditanam. Masalah keserasian juga wujud pada klon
koko. Adalah tidak disyorkan untuk penanaman hanya satu klon pada sesuatu kawasan.
Amalan menanam sekurang-kurangnya lima klon yang disyorkan dapat memastikan hasil
yang lebih baik. Klon-klon yang hendak di tanam seharusnya memiliki ciri-ciri seperti berikut:

Hasil biji kering yang tinggi 1500-4000 kg/ha


Berat biji kering individu sekurang-kurangnya 1.0 g
Biji yang seragam (<12 %)
Kandungan kulit biji yang rendah (<12%)
Toleran kepada penyakit dan serangga yang sedia ada seperti penyakit mati
rosot jejalur vascular dan ulat pengorek buah koko.

Senarai klon-klon yang disyorkan adalah seperti dalam jadual 2. Indeks buah ialah bilangan
buah koko yang perlu bagi menghasilkan 1 kg biji koko kering. Selalunya klon-klon yang
disyorkan mempunyai indeks buah < 25. Kesemua klon yang disyorkan mempunyai indeks
buah < 25 kecuali KKM25, 26 dan QH 441.

Saiz biji koko juga merupakan salah satu ciri penting dalam menentukan gred dan harga
koko. Koko yang dipilih untuk penanaman hendaklah mempunyai saiz biji koko sekurang-
kurangnya 1.0 g. Iklim dan faktor tanah juga akan mempengaruhi saiz biji koko.

Klon-klon yang disyorkan seperti dalam jadual 2 berpotensi mengeluarkan hasil diantara
1453kg hingga 3950 kg/ha/tahun. Keupayaan klon-klon ini mengeluarkan hasil juga
dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan tanah. Jadual 3 menunjukkan klon-klon yang
disyorkan mengikut lokasi.

5.0 Sumber Bahan Tanaman Koko


Hibrid dan klon yang disyorkan boleh diperolehi daripada agensi kerajaan dan swasta dimana klon
tersebut dibangunkan contohnya di stesen-stesen Penyelidikan Pertanian Jabatan Pertanian, MARDI
dan Lembaga Koko Malaysia.

6.0 Kesimpulan
Bahan tanaman yang kini disyorkan di Malaysia berupaya mengeluarkan hasil diantara 1500-
4000kg/ha/tahun bergantung kepada kawasan ianya ditanam. Oleh kerana daya pengeluaran hasil
koko bergantung kepada persekitaran bahan tanaman tersebut diuji, maka pekebun koko harus
memilih BTK yang talah disyorkan mengikut kesesuaian lokasi tersebut. Penanaman BTK yang tidak
diketahui pencapaian hasilnya haruslah dielakkan untuk kebaikan jangkapanjang. Amalan menanam
hanya satu jenis klon atau hibrid yang rumpun genetiknya terhad mestilah dielakkan. Penanaman
berbilang hibrid atau klon yang rumpun genetiknya berbeza adalah digalakkan. Amalan ini dapat
memastikan potensi hibrid dan klon dapat dioptimumkan.
Jadual 2: Sebahagian daripada senarai klon-klon yang disyorkan.

Klon Indeks Saiz biji Bil.Biji/bua Lemak Hasil biji Agensi yang membangunkan
buah kering h Koko kering klon
(g) (%) (Kg/ha)
BR 25 25.00 1.00 40.0 45.0 2686 Balung River Estate
KKM 1 17.43 1.06 54.1 56.0 3930 MARDI
KKM 2 20.16 1.10 45.1 63.3 3560 MARDI
KKM 3 22.62 1.00 44.2 57.9 2110 MARDI
KKM 4 24.96 1.06 37.8 53.8 2040 MARDI
KKM 5 21.73 1.07 43.0 48.9 2020 MARDI
KKM 6 24.03 1.30 32.0 57.8 1990 MARDI
KKM 15 19.12 1.00 52.3 53.9 2410 MARDI
KKM 17 18.93 1.07 50.3 55.6 2260 MARDI
KKM 19 17.95 1.18 47.2 57.8 2700 MARDI
KKM 22 24.00 1.09 38.2 56.9 2420 MARDI
KKM 25 29.70 1.30 25.9 51.6 2440 MARDI
KKM 26 27.17 1.15 32.0 57.2 1760 MARDI
KKM 27 20.14 1.18 42.0 54.5 1860 MARDI
KKM 28 23.70 1.09 38.7 52.3 2310 MARDI
PBC 112 25.00 1.01 38.0 55.6 1534 Golden Hope Plantation
PBC 113 19.60 1.15 44.0 55.0 1502 Golden Hope Plantation
PBC 123 23.00 1.04 42.0 53.0 1453 Golden Hope Plantation
PBC 130 22.00 1.28 36.0 56.5 1911 Golden Hope Plantation
PBC 131 18.60 1.28 42.0 57.1 1442 Golden Hope Plantation
PBC 140 25.00 1.26 33.0 57.2 1677 Golden Hope Plantation
PBC 159 19.00 1.22 47.0 60.1 1564 Golden Hope Plantation
QH 22 22.34 1.13 4.05 56.3 2692 Jabatan Pertanian Sabah
QH 37 19.11 1.50 36.9 54.0 2587 Jabatan Pertanian Sabah
QH 186 23.88 0.97 44.9 60.3 2646 Jabatan Pertanian Sabah
QH 240 25.10 1.00 41.2 56.1 2574 Jabatan Pertanian Sabah
QH 441 27.35 1.00 38.2 59.5 3215 Jabatan Pertanian Sabah
QH 326 20.64 1.23 42.0 55.3 3348 Jabatan Pertanian Sabah
QH 968 23.67 1.24 34.0 55.0 2880 Jabatan Pertanian Sabah
QH 1003 24.88 1.36 31.0 52.8 2030 Jabatan Pertanian Sabah
QH 1176 26.58 1.05 37.0 53.5 3057 Jabatan Pertanian Sabah
QH 1287 24.58 1.05 40 54.2 3660 Jabatan Pertanian Sabah

Jadual 3: Kesesuaian klon mengikut lokasi di Malaysia.

Lokasi Klon-Klon
1.Semenanjung Malaysia

a. Johor KKM 1, 6; PBC 113, 123, 130, 140, 159

b. Selangor/N.Sembilan/Melaka KKM 1, 2, 22, 25

c. Pahang/Perlis KKM 1, 5, 17, 19, 25, 27, PBC 112, 113, 123, 131, 140, 159

KKM 1, 2, 3, 4, 5, 6, 17, 19, 22, 25 , PBC 123, 131, 140, 159


d. Perak/Kedah
KKM 19, PBC 123, 159

e. Terengganu

2. Sarawak

a. Kuching/Samarahan KKM 4, 5, 22; BR 25; PBC 123, 159

b. Sibu PBC 123; KKM 4, 5; BR 25;

KKM 4, 5, 22; BR 25; PBC 123


c. Bintulu/Miri
PBC 123, 159; BR 25
d. Semenggok
3. Sabah

a. Tawau BR 25; PBC 123, KKM 1,4, 5, 22; QH 22, 37, 326, 968, 1003,
1176, 1287

b. Lahad Datu PBC 123; KKM 25, 1, 4, 5, 22, BR 25; QH 22, 37 326, 968,
1003, 1176, 1287

PBC 123; KKM 25; QH 22, 37, 1003, 1176


c. Sandakan
PBC 123, 140, 159, 326, 968, 1003, 1176, 1287; QH 22, 37;
d. Tenom KKM 1, 2, 4, 5, 22, 25

http://www.geocities.ws/lkmbio1/kursus/BahanTanaman.htm

You might also like