You are on page 1of 5

LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) pada masa ini sedang giat menjalankan program-program

penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan getah-getah termaju yang dengan ciri-ciri
unggul berbanding getah gred konvensional seperti Getah Piawaian Malaysia atau Standard
Malaysia Rubber (SMR).

Pembangunan teknologi getah termaju akan meningkatkan teknologi pemprosesan getah mentah.
Ia juga meningkatkan persaingan industri getah melalui pemprosesan berteknologi tinggi dan
produk nilai-tambah yang akan dapat meluaskan permintaan dan aplikasi getah asli Malaysia.

Ia juga akan merealisasikan aspirasi negara untuk menyumbang kepada ekonomi berpendapatan
yang tinggi menjelang 2020.

Di samping itu pembangunan teknologi dan getah termaju akan membantu mencapai industri
getah mampan.

Ini dapat dicapai menerusi penggunaan getah termaju yang diiktiraf sebagai bahan hijau daripada
sumber berterusan untuk menghasilkan produk getah mesra alam dan dapat mengurangkan
pelepasan gas rumah hijau serta membantu mengawal isu perubahan iklim sedunia.

Sejajar dengan itu, LGM telah melancarkan dua jenis getah termaju dengan tanda perdagangan
iaitu ekoprena dan pureprena.

Kedua -dua jenis jenis getah merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan
sepenuhnya oleh LGM bagi memperbaiki ciri-ciri getah asli di samping memberi nilai tambah
bagi pemprosesan getah mentah.
Ia selaras dengan usaha LGM mempromosikan teknologi bagi pemindahan kepada sektor
pemprosesan getah mentah.

Ekoprena merupakan nama perdagangan bagi Getah Asli Terepoksida (ENR) yang dibangunkan
dan dikomersialkan oleh LGM.

Ia adalah sejenis getah khas termaju yang diperoleh melalui pengubahsuaian kimia iaitu melalui
proses pengepoksidaan terhadap lateks getah asli.

Ekoprena dikategorikan sebagai bahan getah mesra alam atau green material kerana
penghasilannya menggunakan bahan-bahan semulajadi, tidak seperti getah sintetik yang
dihasilkan daripada sumber petroleum.

Teknologi penghasilan getah terepoksida mula dibangunkan pada pertengahan tahun 1980an.

Ekoprena pula telah didaftarkan sebagai nama perdagangan getah terpoksida pada 2007.

Tujuan utama teknologi getah Ekoprena dibangunkan adalah untuk menghasilkan getah asli yang
mempunyai ciri-ciri utama yang dapat menyamai atau mengatasi ciri-ciri getah sintetik.

Getah sintetik dihasilkan daripada petroleum yang merupakan sumber yang tidak akan dihasilkan
semula dan tidak mampan (non-sustainable). G etah asli pula dihasilkan dari sumber semulajadi
yang berkekalan iaitu dari pokok getah.
Oleh kerana Ekoprena dapat menandingi dan mengurangkan penggunaan getah sintetik bagi
penghasilan produk getah, ia dikategorikan sebagai bahan mesra alam kerana mengurangkan
penggantungan kepada sumber petroleum.

Pada peringkat awal pembangunan teknologi ini, penggunaan pada tahap komersial kurang
mendapat sambutan.

Ini kerana, faktor persaingan getah sintetik yang dihasilkan daripada petroleum yang mempunyai
harga pasaran yang rendah. Pada masa yang sama juga, faktor utama yang lain ialah kurang
kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan produk mesra alam.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, senario tersebut telah berubah kesan daripada trend
global yang lebih mementingkan aspek alam sekitar melalui pengurangan bahan terbuang serta
penggunaan bahan sumber semulajadi yang bijak (eco-efficient) dan mampan. Penggunaan
bahan mesra alam dan bahan bertenaga rendah akan mengurangkan kesan pencemaran terhadap
alam sekitar di samping membaikpulih kitaran karbon.

Terdapat dua gred Ekoprena yang dihasilkan buat masa kini iaitu Ekoprena 25 dan Ekoprena 50
iaitu Ekoprena yang mengandungi tahap pengepoksidaan masing-masing 25 dan 50 peratusan
mol.

Penghasilan dua gred itu dijangka dapat memenuhi keperluan dalam pembuatan berbagai
barangan getah bagi kegunaan industri dan harian.
Ekoprena mempunyai ciri-ciri yang berbeza jika dibandingkan dengan getah asli gred biasa.
Bagaimanapun, sifat kekuatan yang tinggi getah asli masih dipertahan.

Sebagai contoh, Ekoprena 50 mempunyai sifat rintangan pengampulan (swelling) dalam minyak
dan ketaktelapan (impermeability) udara yang bersamaan dengan getah sintetik seperti getah
nitril dan getah butil.

Selain daripada itu, Ekoprena 25 pula dapat memberikan ciri cengkaman basah (wet grip) yang
lebih tinggi berbanding getah asli dan juga memberikan rintangan gulingan (rolling resistance)
yang rendah. Kedua-dua ciri ini amat diperlukan di dalam pembuatan tayar untuk tujuan
keselamatan dan pengurangan keperluan bahan bakar (fuel). Pada masa ini pengeluaran
komersial Ekoprena dijalankan di Stesen Penyelidikan RRIM, Lembaga Getah Malaysia, Sungai
Buloh. Teknologi tersebut telah dipindahkan kepada syarikat pemprosesan pada Oktober 2010.

Dalam pada itu, pembangunan teknologi Pureprena telah meningkatkan sifat-sifat getah asli
menjadi setanding dengan getah tiruan. Ini secara langsung akan dapat meningkatkan permintaan
terhadap getah asli dan mengembangkan penggunaan getah asli untuk pembuatan produk-produk
getah.

Ia juga akan mengenengahkan Malaysia sebagai peneraju teknologi getah asli di samping dapat
memastikan industri getah negara sentiasa berdaya-saing.

Dengan menyasarkan teknologi getah Pureprena ini, lebih ramai usahawan dapat dibangunkan
melalui pemindahan teknologi untuk penghasilan secara komersil.
Dari aspek lain, Pureprena merupakan perintis kepada teknologi pemprosesan getah yang mesra
alam yang mana tiada bahan toksik digunakan di samping penggunaan tenaga yang lebih rendah
untuk memberikan kesan produktiviti yang tinggi.

Adalah diharapkan juga, teknologi Pureprena ini pada masa hadapan akan dapat memberikan
faedah kepada semua pekebun kecil melalui peningkatan permintaan terhadap getah di samping
secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui pemprosesan getah
nilai tambah.

You might also like