You are on page 1of 1

SEJARAH

Perkhidmatan bomba di Malaysia bermula pada tahun 1883 melalui penubuhan Skuad Bomba dan
Penyelamat Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F.Bellamy dan 15 anggota. Pada tahun 1946 sebaik sahaja
tamat Perang Dunia Kedua, Perkhidmatan Bomba Malayan Union (MUS) ditubuhkan dengan Flight Lt. W.J
Gerumandi sebagai Pengarah Perkhidmatan Bomba Malayan Union. MUS berpengkalan di Kuala Lumpur.

Perkhidmatan Bomba Malaysia disatukan sebagai sebuah jabatan diperingkat persekutuan dan
penyatuan Bomba dan Penyelamat di Negeri-negeri Persekutuan pada 1hb Januari 1976. Penyatuan ini
meletakkan Perkhidmatan Bomba Malaysia dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Malaysia. Ini diikuti oleh perkhidmatan Bomba Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka pada 1hb Januari
1977. Pada 15hb Mei 1981, perkhidmatan Bomba Sabah dan Sarawak telah disatukan. Justeru, mulai pada saat
itu, organisasi ini dikenali secara rasmi sebagai Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia (JPBM)

Pada 8 Januari 1997, Jemaah Menteri telah bersetuju perubahan nama Jabatan Perkhidmatan Bomba
Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia dimana pada 21hb Febuari 1997, YAB Perdana
Menteri Malaysia Dato' Seri Dr. (sekarang Tun) Mahathir Mohamad dengan rasminya telah mengumumkan dan
melancarkan pertukaran nama, logo dan bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia di Genting
Highlands. Mulai pada detik itu, jabatan ini dinamakan semula dan dikenali sebagai Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia.

SEJARAH DAN OBJEKTIF PENUBUHAN KADET BOMBA

Penubuhan Kadet Bomba bermula apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhasrat untuk
memberi pendedahan dan mendidik para pelajar tentang bagaimana untuk menghadapi kebakaran dan
kecemasan pada masa hadapan. Selain itu, jabatan juga berhasrat untuk membentuk dan melahirkan pelajar-
pelajar yang lebih berdisiplin, menepati masa, proaktif dan bersemangat patriotisme. Pasukan ini mula ditubuh
secara rasminya pada tahun 1989 setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan
dijadikan salah satu program kokurikulum bagi sekolah-sekolah menengah di Malaysia.

Motto Kadet Bomba ialah Mencegah Untuk Menyelamat yang selaras dengan tujuan penubuhannya.
Pelajar diberi latihan dan didikan kaedah menyelamat bukan sahaja ketika menghadapi kebakaran tetapi juga
ketika menghadapi kecemasan yang lain. Berfalsafahkan tujuan untuk membina insan yang mempunyai sahsiah
yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan fizikal, pasukan ini ternyata menarik minat ramai pelajar
menyertainya. Matlamat utama penubuhan Kadet Bomba ialah untuk membentuk pelajar yang peka terhadap
isu-isu semasa, keselamatan dan kemanusiaan.

Sekolah pertama yang menganggotai pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia ialah Maktab
Rendah Sains MARA Sultan Abdul Samad, Negeri Sembilan dan Maktab Rendah Sains MARA Kuantan,
Pahang pada tahun 1985 dengan jumlah keanggotaan seramai 40 orang. Jumlah sekolah dan keanggotaan yang
menyertai Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia semakin bertambah sehingga tahun 2005 iaitu
sebanyak 819 pasukan ditubuhkan dengan kekuatan anggota seramai 49,122 orang. Oleh itu, dengan menyertai
Kadet Bomba, para pelajar akan dapat menimba pengetahuan asas dalam bidang teori dan praktikal bantuan
kebombaan, berkongsi kesefahaman dan meningkatkan kemahiran dalam menjalankan tugas dan memberi
kesedaran kepada sekolah dan masyarakat secara umumnya tentang bahaya kebakaran dan kecuaian manusia.

You might also like