You are on page 1of 12

LAPORAN HARI SUKAN NEGARA

SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR BEHRANG 2020


KALI-1 TAHUN 2015

1.0 Tajuk
Hari Sukan Negara Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 Kali-1 Tahun 2015

2.0 Hari, Tarikh, Masa dan Tempat


Hari : Sabtu
Tarikh : 10 Oktober 2015
Masa : 7.30 pagi 1.00 tengah hari
Tempat : Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020

3.0 Anjuran
Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020.

4.0 Rasional
Hari Sukan Negara ini diadakan untuk memberikan pengalaman yang menyeluruh
kepada semua warga Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 dalam menyertai acara-acara
yang dipertandingkan. Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan
menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan
peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar
40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan melalui
amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar
penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.
5.0 Objektif

Hari Sukan Negara ini diadakan berlandaskan beberapa objektif utama yang dirangka oleh
Kementerian Belia dan Sukan. Antaranya ialah :
i. Dapat meningkatkan kesihatan.
ii. Mengenalpasti bakat dalam sukan.
iii. Meningkatkan produktiviti.
iv. Memberikan kesejahteraan yang menyeluruh.
v. Memastikan rakyat Malaysia sentiasa ceria dan bersatu.
vi. Melahirkan minda yang sihat.
6.0 Kumpulan Sasaran
Aktiviti ini diwajibkan kepada semua warga Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020
kecuali mereka yang mendapat kebenaran pengecualian daripada guru besar atau mereka yang
mendapat pengesahan sakit atau tidak boleh menyertai acara ini daripada doktor. Jumlah
keseluruhan peserta ialah 410 orang.

7.0 Senarai Jawatankuasa


Rujuk lampiran A

8.0 Pelaksanaan Program


Rujuk lampiran B

9.0 Impak
a) Output
Semua warga Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 diberi peluang untuk
mengeluarkan peluh dan menjalani aktiviti-aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.
Selain daripada itu, peserta juga dapat meningkatkan kemahiran sosial dan sedar
mengenai kepentingan bersukan dalam kehidupan seharian.
b) Outcome
Semua warga SKBB2020 dapat kekal cergas dan dapat meningkatkan produktiviti
masing-masing dengan memastikan badan sentiasa sihat dan cergas. Warga SKBB2020
yang menyertai acara ini juga dapat melahirkan minda sihat.

10.0 Isu dan Cabaran


i. Masalah kos untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirangka.
ii. Masalah jerebu yang dialami negara menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak
membenarkan anak-anak mereka menghadiri sambutan hari sukan negara.
iii. Kurang kesedaran kepentingan beriadah dan bersukan dalam kehidupan seharian
menyebabkan ada yang mengambil ringan sambutan hari sukan negara.

11.0 Penambahbaikan
i. Mengubah suai perancangan supaya pelaksanaan aktiviti yang melibatkan kos yang
tinggi dapat dikurangkan penggunaan kos.
ii. Cuba menjadikan hari pelaksanaan hari sukan fleksible mengikut penganjur.
iii. Memberi kesedaran dalam media sosial, media massa dan media elektronik untuk
memberi kesedaran mengenai hari sukan negara.

LAPORAN HARI SUKAN NEGARA


SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR BEHRANG 2020
KALI-1 TAHUN 2015
Sambutan Hari Sukan Negara telah diisytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua
bulan Oktober setiap tahun. Ia telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat, Dato Sri Mohd.
Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 24hb Mac 2015. Sambutan
Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia
adalah satu langkah pro aktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan
Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan (Sporting Nation). Oleh yang demikian, Hari
Sukan Negara di jadikan agenda nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah
Wawasan 2020.
Sambutan Hari Sukan Negara bakal diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah
untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan Sambutan
Hari Sukan Negara tersebut yang akan diraikan secara serentak di seluruh pelusuk tanah air.
Semua pihak melalui penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya akan
berganding bahu menganjur dan menyertai program dan aktiviti sukan dan kecergasan pada
hari berkenaan. Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakkan
rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangkan peratusan
masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus
berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan melalui amalan gaya
hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit
kronik dikalangan rakyat Malaysia.
Sekolah kebangsaan Bandar Behrang 2020 telah menyambut seruan sambutan Hari
Sukan Negara dengan mengadakan aktiviti senamrobik, sukaneka, pertandingan futsal dan
pertandingan bola jaring. Acara bermula pada jam 7.30 pagi, kehadiran murid dan semua warga
SKBB2020. Kedatangan murid juga diambil oleh guru kelas masing-masing. Pada jam 7.45
pagi, murid-murid diberi sedikit taklimat oleh Cik Wahyuni binti Radhuan, selaku setiausaha
program mengenai pelaksanaan Hari Sukan Negara pada hari ini. Seterusnya, pada jam 8.00
pagi acara senamrobik dimulakan. Semua warga SKBB2020 mengambil bahagian dalam acara
ini. Acara ini telah dikendalikan oleh kumpulan senamrobik yang dijemput khas untuk
memeriahkan lagi acara senamrobik. Kelihatan semua peserta bersemangat melakukan aktiviti
senamrobik. Acara ini tamat pada jam 9.00 pagi. Selepas acara ini tamat, murid-murid
dibenarkan makan di kantin untuk merehatkan diri selepas penat bersenam.
Tepat jam 9.30 pagi, murid-murid diminta untuk berkumpul di kantin bagi meneruskan
aktiviti seterusnya. Murid-murid tahap satu dibawa bermain sukaneka oleh guru yang telah
dipertanggungjawabkan. Murid lelaki tahap dua bermain futsal manakala murid perempuan
tahap dua bermain bola jaring. Murid lelaki tahap dua dikendali Encik Shafiq Aizatullah bin
Shaharuddin dan dibantu oleh semua guru lelaki SKBB2020. Murid perempuan tahap dua pula
dikendalikan oleh Cik Wahyuni binti Radhuan dan dibantu oleh beberepa orang guru
perempuan SKBB2020. Murid tahap satu bermain secara pertandingan dan dipecahkan
mengikut rumah sukan masing-masing. Manakala murid-murid tahap dua telah diberi peluang
untuk menubuhkan kumpulan futsal dan bola jaring sebelum Sambutan Hari Sukan Negara
bermula lagi.
Semua murid kelihatan bersungguh-sungguh bermain permainan yang telah diberikan
kepada mereka dan berjaya mencapai objektif utama hari sukan negara iaitu mengeluarkan
peluh. Selain itu, semua peserta juga kelihatan gembira dan disebabkan itu Sambutan Hari
Sukan Negara SKBB 2020 ini kelihatan sangat meriah.
Permainan semua murid tamat pada jam 12.30 tengah hari. Kemudian, semua murid
diminta untuk berkumpul di dewan bagi mengemas semula kawasan yang telah digunakan bagi
menjalankan aktiviti hari sukan negara. Murid juga diberi roti dan air bagi mengalas perut
masing-masing. Tepat jam 1 tengah hari, semua warga SKBB2020 dibenarkan untuk bersurai.
Keismpulannya, sambutan ini keseluruhannya berjaya mencapai objektif yang telah
ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan yang paling utama berjaya mengajar semua
warga SKBB2020 untuk hadir ke sekolah mengeluarkan peluh lantas menjalankan hari yang
sihat dan cergas. Diharap, aktiviti ini dapat dijalankan lagi di masa akan datang dengan sedikit
penambahbaikkan bagi melancarkan perjalanan sambutan.

Disediakan oleh, Disemak oleh,

............................................................................ ............................................................................
(CIK WAHYUNI BINTI RADHUAN) (TN. HJ. SAMSUL ALI B. MOHAMMAD BASIR)
Setiausaha Kecergasan, Pen. Kanan Kokurikulum,
Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020. Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020.
Disahkan oleh,

............................................................................
(PN. HJH. NORAISHAH BINTI YUNAN)
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020.
LAMPIRAN

You might also like