You are on page 1of 7

MAR

PROSES RAWATAN AIR DAN BEKALAN AIR KE RUMAH

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Kira-kira 97% daripada air di bumi adalah air masin,


manakala hanya 3% sahaja merupakan air tawar. Air tawar digunakan oleh manusia
untuk pelbagai kegunaan. Terdapat empat sumber air untuk kegunaan manusia iaitu air
hujan, air larian di permukaan (sungai, parit, laut), air dalam tanah dan air dari proses
perwapan. Di Semenanjung Malaysia, 50% dari sumber air datangnya dari air hujan
daripada sejumlah 640 billion meter padu air yang dihasilkan di dalam satu tahun.
Daripada 3% air tawar yang terdapat di bumi, dua pertiga daripadanya adalah di dalam
bentuk ais, manakala bakinya adalah air dalam tanah dan hanya sebahagian kecil sahaja
air permukaan.Terdapat banyak kegunaan air dan di antaranya adalah untuk penggunaan
di rumah, pertanian, perindustrian dan ada juga air digunakan untuk tujuan rekreasi.
Hanya 1% sahaja air yang terdapat di bumi ini boleh diminum.

Terdapat dua jenis air yang boleh digunakan untuk minum iaitu air mentah dan air yang
dirawat. Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semulajadi seperti air hujan,
air sungai, air tasik dan air di dalam tanah. Manakala air yang dirawat adalah air yang
diperolehi dari sumber air mentah tetapi menjalani rawatan tertentu untuk
menjadikannya selamat digunakan oleh manusia samada untuk kegunaan di bilik air,
ditandas, untuk tujuan memasak makanan ataupun untuk tujuan diminum.

AIR MENTAH
Air mentah merupakan sumber air yang paling besar digunakan oleh manusia untuk
tujuan memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di negara-negara mundur dan
membangun. Untuk tujuan minum, air mentah ini akan dididihkan bagi membunuh
organisme yang terdapat di dalamnya. Air mentah juga digunakan di dalam industry
pembinaan, penternakan dan juga untuk tujuan pembersihan. Komposisi air mentah
berbeza-beza bergantung kepada sumber daripada mana ianya diperolehi. Di antara
bahan-bahan yang terdapat di dalam air mentah adalah :
1. Asid humik, iaitu asid komplek yang dihasilkan dari penguraian tumbuh-tumbuhan, asid
ini menyebabkan air menjadi berwarna.
2. Bahan mineral seperti karbonat, kalsium dan magnesium. Air yang mengandungi tinggi
bahan-bahan mineral ini dikenali sebagai air keras (hard water), air keras boleh
diminum tetapi kurang sesuai digunakan di dalam alat industry disebabkan oleh
pemendapan kapur yang dihasilkan oleh mineral kalsium dan karbonat. Air mentah
yang mengandungi kurang mineral pula dikenali sebagai “soft water”.
3. Bahan dari tanah liat dan pasir
4. Mikroorganisme seperti bakteria, virus dan protozoa
5. Molekul oksigen yang terlarut
6. Garam di dalam air mentah boleh diperolehi apabila berlaku pertemuan di antara air
laut dan air sungai. Kandungan garamnya tidak sebanyak air laut.

AIR YANG DIRAWAT

Air yang dirawat adalah air yang telah menjalani proses pembersihan dari bahan-bahan
pencemar untuk tujuan digunakan oleh manusia termasuk minum. Sumber air yang
dirawat ini mungkin dari air mentah ataupun air yang telah digunakan oleh manusia. Air
yang telah digunakan oleh manusia dikenali sebagai air sisa atau kumbahan. Di setengah
negara seperti Singapura, air kumbahan dirawat dan dikitar semula supaya boleh
digunakan untuk minum, melalui program yang dikenali sebagai NEWater. Di Malaysia,
disebabkan oleh sumber air yang mencukupi, mungkin belum sampai ke tahap seperti di
Singapura. Bahan-bahan yang dikeluarkan semasa proses rawatan ini adalah seperti
bahan pepejal, bakteria, algae, virus, kulat, bahan-bahan mineral tertentu seperti besi
dan manganese. Proses merawat air boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan ianya
terbahagi kepada kaedah mekanikal, kaedah fizikal, kaedah biological dan juga kaedah
kimia.

PROSES RAWATAN AIR

Untuk tujuan penggunaan air di rumah, proses rawatan air ini dilakukan di loji rawatan
air. Proses rawatan air ini terdiri dari beberapa peringkat:
1. Penyaringan
Serpihan kayu, daun, tumbuhan akuatik dan bendasing yang terapung akan diasingkan
melalui proses penyaringan. Selepas melalui proses penyaringan ini, bahan terampai
yang lebih padat akan dibuang dengan membenarkan air mengalir melalui kebuk yang
akan memendapkan bahan ini di dasar.
2. Proses Pengudaraan
Air mentah yang dipam akan dicampurkan dengan udara di ruang pengudaraan. Proses
ini menghasilkan oksigen dari atmosfera untuk melakukan pengoksidan ke atas besi dan
manganese. Besi dan manganese yang asalnya larut di dalam air akan menjadi tidak
larut akibat dari pengoksidan ini dan ianya akan dapat disingkirkan. Proses pengudaraan
ini juga dapat membuang rasa dan bau air yang tidak menyenangkan.

3. Proses koagulasi dan flokulasi


Koagulasi bermaksud pengetulan, manakala flokulasi pula bermaksud pengumpalan.
Proses ini seringkali menggunakan tawas. Hasilnya adalah pembentukan kentalan
(ekstrak) yang boleh mendap.

4. Sedimentasi
Sedimentasi bermaksud pemendapan. Kentalan yang mendap tadi akan dibenarkan
mengalir melalui tangki sedimentasi untuk tempoh yang panjang supaya pemendapan
berlaku dengan sempurna. Air yang jernih akan berkumpul di bahagian atas. Terdapat
juga kentalan yang ringan dan tidak mendap sebaliknya terapung. Kentalan ini akan
melalui proses yang berbeza iaitu menggunakan gelembung udara untuk
mengapungkannya dan air di bahagian bawah menjadi jernih.

5. Proses Penapisan
Proses ini akan memisahkan mendapan dari air bersih. Air yang bersih kemudiannya akan
memasuki tangka air jernih. Penapis akan dicuci menggunakan kaedah backwash dengan
kerap melalui kombinasi adunan udara dan air bagi memastikan kelancaran proses.

6. Proses Disinfeksi dan Pelarasan pH


Air di dalam tangka jernih akan disinfeksi bagi menghapuskan mikroorganisma yang
masih tertinggal di dalam air selepas proses penapisan. Klorin bergas ataupun kompoun
klorin lazimnya digunakan untuk tujuan pembasmian kuman. Paras pH diselaraskan
menggunakan kapur ataupun bikarbonat.

7. Proses fluoridasi
Proses ini adalah mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride untuk
tujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida. Fluorida adalah untuk membantu
menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak.
Walaubagaimanapun, kandungan fluorida di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi
paras yang telah ditetapkan oleh Drinking Water Quality Standard for Malaysia bagi
mengelakkan risiko fluorosis dikalangan kanak-kanak. Paras kandungan fluorida yang
dibenarkan di dalam air minum adalah 0.4 – 0.6 mg/l

8. Tangki Air Jernih


Proses Disinfeksi dan penyelarasan pH merupakan proses terakhir hingga menghasilkan
air yang dirawat. Air ini kemudiannya akan disimpan di dalam tangka air jernih bagi
tujuan pengagihan.

9. Pengagihan Air
Pengagihan air akan bermula dari tangka air jernih di loji rawatan air. Air dari tangki air
jernih ini akan dipam melalui sistem saluran yang panjang bagi mengimbangi takungan
dengan ketinggian yang mencukupi untuk tujuan pengagihan menggunakan tekanan
gravity. Melalui kaedah ini, air akan disalurkan kepada tangka-tangki air pengguna.

PEMANTAUAN AIR YANG DIRAWAT

Proses pemantauan air yang dirawat dilakukan di bawah Program Pemantauan Kualiti Air
minum. Garispanduan pemantauan ini dikeluarkan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minum
Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Garispanduan
ini berdasarkan kepada piawaian yang dikeluarkan oleh WHO dan merupakan standard
kualiti air yang selamat diminum, dirumus melalui perbincangan ahli panel dari Jabatan
kerjaraya, Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar. Standard kualiti air (Drinking Water
Quality Standard for Malaysia) untuk tujuan diminum telah ditetapkan dan ianya meliputi
ujian pH, suhu, warna, kandungan bahan organik, organisma, logam, bahan kimia, racun
serangga dan lain-lain. Untuk melihat jadual Piawaian ini sila ke
lamanweb http://kmam.moh.gov.my/public-user/drinking-water-quality-standard.html. Manakala
kaedah dan kekerapan pemantauan boleh diketahui di laman web
ini http://kmam.moh.gov.my/faq.html. Secara amnya ada 4 kumpulan pemantauan iaitu
kumpulan 1 hingga 4. Contohnya kumpulan 1 adalah pemantauan parameter fizikal dan
mikrobiologi yang dijalankan sekali setiap minggu di Basic Station dan setiap bulan di
sistem agihan. Pemantauan untuk kumpulan 1 ini dilakukan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Kumpulan 2 adalah parameter kimia inorganic, Kumpulan 3 : Parameter logam
berat dan kimia organic dan Kumpulan 4 parameter pestisid. Kumpulan 2-4 dipantau oleh
Jabatan Kimia. Sampel air untuk mengukur bahan radioaktif juga dilakukan oleh Agensi
Nuklear Malaysia.

KUALITI BEKALAN AIR PAIP

Air yang telah menjalani proses rawatan akan sampai ke dalam rumah pengguna melalui
saluran paip. Ramai yang bertanya adakah air dari bekalan paip awam ini selamat untuk
diminum tanpa perlu melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat
penapis air. Berikut adalah petikan jawapan yang diberikan oleh Bahagian Perkhidmatan
Kejuruteraan, KKM:
“Bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa
rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa
proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan
Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan
Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur
yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat
akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan
secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum
diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip
air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses
selanjutnya”.

KLORIN DAN FLORIDA DI DALAM AIR YANG DIRAWAT

Klorin adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membunuh banyak
mikroorganisma. Kandungan klorin di dalam air sentiasa dipantau supaya tidak melebihi
had yang dibenarkan. Klorin sangat berkesan membunuh bakteria tetapi tidak berkesan
membunuh protozoa. Klorin larut di dalam air dan membentuk asid hipoklorus yang akan
dipecahkan pula kepada ion hipoklorit, kedua-dua kompoun ini akan membunuh
mikroorganisma dan hasilnya, air akan bebas dari tercemar. Klorin pada kuantiti yang
tinggi boleh bertindakbalas dengan kompoun organik semulajadi untuk menghasilkan
bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan iaitu trihalomethanes dan haloacetic
acids. Kesan kedua-dua bahan kimia ini ke atas badan manusia khususnya sebagai
penyebab penyakit kanser (kanser pundi kencing dan usus) masih tidak disahkan. Malah
banyak kajian menunjukkan bahawa meminum air berklorin tidak memudaratkan
kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh syarikat pengedar penapis. IARC (International
Agency for Research of Cancer) sendiri telah membuat analisa berkenaan dengan
keselamatan penggunaan klorin di dalam air dan mereka merumuskan bahasa tidak ada
cukup bukti yang boleh mengesahkan kaitan di antara klorin di dalam air dengan kanser
samada kepada manusia ataupun haiwan (rujuk di sini). Banyak ujian yang dijalankan
adalah menggunakan model haiwan. WHO menetapkan had kandungan klorin di dalam
air minum tidak lebih dari 5 mg per liter. Kandungan klorin di dalam air yang dirawat di
Malaysia juga mengikut garispanduan dari WHO ini iaitu dari 0.2 – 5.0 mg/liter.

Florida pula digunakan untuk tujuan kesihatan gigi. Proses merawat air dengan florida
dinamakan “water fluoridation” (WF). Sebenarnya florida ini boleh diperolehi dari alam
semulajadi, malah di dalam air mentah, udara dan tanah mengandungi florida.
Sebenarnya hampir semua jenis air mengandungi florida secara semulajadi. Di Amerika
Syarikat, proses WF ini mula diperkenalkan semenjak tahun 1945 lagi apabila pakar sains
mendapati penduduk yang tinggal di kawasan yang tinggi kandungan florida di dalam air
minuman mereka jarang mendapat kerosakan gigi. Kandungan maksimum florida yang
dibenarkan untuk tujuan minum di Amerika adalah 4.0 mg/L. Ada yang menetapkan
tahap maksimum yang lebih rendah. Di Malaysia, KKM telah menetapkan had kandungan
florida di dalam air mentah kepada 1.5 mg/L dan air minum 0.4-0.6 mg/L (rujuk di sini).
Pendedahan air yang tinggi kandungan florida untuk jangkamasa panjang boleh
menyebabkan masalah tulang dan sendi dinamakan skeletal fluorosis (tulang menjadi
lemah). Kaitan di antara florida dan kanser tulang belum dapat disahkan kerana hasil
kajian masih belum meyakinkan walaupun ada sedikit bukti melalui kajian ke atas tikus.
Lebih 50 kajian populasi telah dijalankan untuk melihat kaitan di antara florida dan
kanser, tetapi kajian-kajian ini tidak menunjukkan sebarang bukti kukuh bahawa florida
boleh menyebabkan kanser tulang.Kanser tulang sangat jarang berlaku dan tidak
mungkin untuk dapat dibuktikan bahawa penggunaan florida boleh menyebabkan kanser
tulang kerana memerlukan sampel kajian yang sangat besar dan perlu menolak faktor-
faktor lain yang juga mungkin bertanggungjawab. Malah banyak badan-badan
antarabangsa seperti National Research Council, National Health Service UK, IARC, US
Public Health Service dan European Scientific Committee on Health and Environmental
Risks telah membuat kenyataan bahawa setakat ini tidak ada kaitan di antara
pengambilan florida dengan kadar kejadian kanser tulang, kanser tiroid dan lain-lain
kanser.

BAGAIMANA MENGUJI KEBERSIHAN AIR

Mengambil air yang bersih adalah salah satu amalan yang sangat baik untuk menjaga
kesihatan badan anda. Seperti yang anda ketahui, air yang sampai ke dalam rumah anda
sudah melalui proses rawatan dan kerajaan menjamin bahawa air itu selamat digunakan
termasuk untuk tujuan meminum. Walaupun jaminan diberi dan anda mengetahui
bagaimana air dirawat, ramai dalam kalangan anda tentu masih merasa ragu-ragu.
Berikut adalah beberapa kaedah bagaimana anda dapat menguji kebersihan air di rumah
anda (baca di sini mengenai jenis pencemaran air):

1. Rupa fizikal air. Air yang jernih selalunya bermaksud air yang bersih, manakala air yang
keruh ataupun berwarna mungkin disebabkan oleh pencemaran akibat benda-asing
ataupun organisma. Kaedah ini tidaklah begitu tepat tetapi sekurang-kurangnya dapat
memberi sedikit maklumat mengenai kebersihan air. Ambil satu gelas air dan lihat air itu
pada arah cahaya lampu ataupun matahari, perhatikan jika ada partikel yang mendap
ataupun kekeruhan.

2. Bau dan rasa air. Air yang berbau busuk ataupun tidak menyenangkan mungkin
disebabkan oleh pencemaran terutamanya pencemaran bahan organik disebabkan oleh
penguraian organisma ataupun tumbuhan yang mati. Bau busuk juga boleh disebabkkan
oleh kandungan sulfur di dalam air yang wujuk secara semulajadi. Air yang berbau klorin
adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan melainkan jika ianya terlalu kuat. Air
yang tercemar boleh menyebabkan rasa air tidak menyenangkan seperti rasa sabun,
terlalu payau dan lain-lain. Rasa sabun mungkin disebabkan oleh air terlalu beralkali dan
terlalu payau mungkin disebabkan kandungan mineral garam yang tinggi.

3. Kaedah objektif mengukur kebersihan air adalah dengan kaedah ujian makmal.
Ujian makmal yang dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab merawat air yang
sampai ke rumah kita adalah yang paling ideal sebab mereka memeriksa berpuluh-puluh
jenis bahan pencemaran yang mungkin ada di dalam air termasuk kandungan organisma,
racun serangga, bahan mineral, logam dan lain-lain.Walau bagaimanapun bagi orang
awam, terdapat alat pengukur yang lebih ringkas boleh digunakan dirumah. Alat
pengukur ini dapat mengukur pH, kandungan klorin, nitrat, mineral dan logam seperti
besi, tembaga dan pelumbum. Ianya juga dapat menguji kekerasan air (hardness of
water). Air yang keras (hard water) mengandungi kandungan mineral dan logam yang
tinggi. Contoh kit ujian yang boleh digunakan untuk menguji air di rumah adalah
Watersafe kit yang boleh menguji 4 pencemar iaitu kehadiran bakteria, racun serangga
(pesticide), Nirat dan jumlah klorin. Untuk mengetahui bagaimana menggunakan kit ini,
boleh layari video youtube ini (https://youtu.be/HEhXsaL0Vh0)

4. Menghubungi pembekal air setempat dan dapatkan maklumat kebersihan air di rumah
anda. Mereka tentu menyimpan bacaan ataupun keputusan proses pemantauan air yang
mereka lakukan secara berkala. Ini adalah tanggungjawab mereka. Ujian kebersihan dan
pencemaran air adalah terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Kimia Malaysia,
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

5. Mendapatkan ujian air dari Makmal Profesional. Kaedah ini memerlukan perbelanjaan
sendiri dan saya tidak pasti samada ada makmal yang menyediakan perkhidmatan ini di
Malaysia. Tetapi di luar negara, perkhidmatan professional ini memang ada dan
digunakan oleh orang ramai. Malah sampel air yang diambil boleh diposkan kepada
makmal berkenaan untuk analisa.

Rujukan
https://en.wikipedia.org/wiki/Raw_water
http://www.saj.com.my/V2/ContentBM.php?menu_parent_id=2&content_id=87
http://kmam.moh.gov.my/public-user/drinking-water-quality-standard.html
http://drzubaidi.com/blog/apa-yang-perlu-ada-dalam-air-mineral/
http://www.kimia.gov.my/%20index.php?option=com_content&view=article&id=137

You might also like