You are on page 1of 3

Bentuk-bentuk Pendahuluan Karangan yang Mudah

 Bentuk-bentuk pendahuluan ini sesuai digunakan dalam karangan tidak berformat.


 Sekiranya karangan berformat, pelajar hanya perlu menuliskan format rasmi berkenaan dan
terus kepada bentuk pendahuluan yang dikehendaki.

1. Bentuk Pendapat/Pandangan Tokoh


Bentuk pendahuluan ini memerlukan pelajar menguasai nama-nama tokoh yang relevan dengan
tajuk soalan yang dikemukakan.
Misalnya:
- Isu pendidikan- Menteri Pelajaran Malaysia
- Isu pendatang asing- Menter Dalam Negeri
- Isu kemalangan jalan raya – Menteri Pengangkutan/Menteri Kerja Raya
- Tokoh-tokoh lain yang bersesuaian juga boleh digunakan tetapi pastikan tokoh berkenaan
mempunyai kaitan dengan isu yang dibincangkan.
Kandungan Perkara dalam Pendahuluan
Ayat 1 – Tentukan isu yang dibincangkan (ayat tema)
Ayat 2 – Nyatakan pandangan tokoh berkenaan tentang isu tersebut.
Ayat 3 – Nyatakan ulasan tentang perkara yang dinyatakan oleh tokoh berkenaan.
Ayat 4 – Nyatakan hala tuju karangan mengikut kehendak soalan.(ayat menjawab soalan)
Soalan contoh Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak
kebelakangan ini.
-Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.

Kita semakin kerap didedahkan dengan kejadian jenayah membabitkan remaja pada masa
kini.(A1) Demikian dinyatakan oleh Ketua Polis Negara dalam sidang akhbar baru-baru ini.(A2)
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pembunuhan kejam yang dilakukan
oleh remaja terhadap seorang kanak-kanak baru-baru ini.(A3) Bagi menangani masalah ini
daripada berterusan, pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif bagi mencegahnya(A4).

2. Bentuk Persoalan Bentuk persoalan


-bentuk pendahuluan yang agak mudah untuk dikuasai oleh pelajar.
-Pelajar hanya perlu mengemukakan beberapa persoalan yang berkaitan dengan isu yang mahu
dihuraikan dalam karangan.
Kandungan Perkara dalam Pendahuluan
Ayat 1 – Pernyataan isu yang dijadikan asas dalam soalan (ayat tema)
Ayat 2 – Persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu yang akan dibincangkan.
Ayat 3 – Ulasan persoalan yang telah dikemukakan.
Ayat 4 – Hala tuju soalan dalam bentuk persoalan (ayat menjawab soalan)

Contoh : Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan
ini.(A1) Perkara yang menjadi persoalan kepada kita ialah mengapakah perkara ini semakin
kerap berlaku? Apakah yang menyebabkan remaja yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini
melakukan jenayah pada usia muda?(A2) Semua persoalan ini makin menghantui kita dari sehari
ke sehari.(A3) Siapakah pihak yang bertanggungjawab menangani masalah ini daripada terus
menular dan menjadi barah dalam masyarakat kita ?(A4).
3. Bentuk Definisi Pendahuluan
-jenis definisi agak mudah untuk dihasilkan.
-Pelajar perlu mengenal pasti perkara pokok dalam soalan.
-Berikan definisi yang tepat dan jelas tentang perkara tersebut.
-Kaitan definisi yang diberikan dan pokok persoalan dalam soalan perlu ketara.
-Pelajar tidak seharusnya memberikan definisi yang salah tentang perkara pokok yang ingin
disampaikan.
-Tanpa definisi yang tepat, pendahuluan yang ditulis akan menjadi kabur.
Kandungan Perkara dalam Pendahuluan :
Ayat 1 – Definisi perkara pokok yang terkandung dalam soalan.(ayat tema)
Ayat 2 – Ulasan tentang definisi yang diberikan dan kaitkannya dengan isu yang akan dihuraikan.
Ayat 3 – Ulasan isu yang dinyatakan.
Ayat 4 – Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan.(ayat menjawab soalan)

‘Jenayah Remaja’ dapat ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja yang
di bawah usia belasan tahun.(A1) Remaja yang melakukan jenayah ketika ‘di bawah umur’ akan
dibicarakan di Mahkamah Juvana.(A2) Hal ini semakin membimbangkan kerana kejadian jenayah
yang membabitkan golongan remaja yang masih bersekolah semakin bertambah dari masa ke
masa.(A3) Mahu ataupun tidak mahu kita perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab
dalam usaha menangani masalah ini daripada berterusan.(A4)

4. Bentuk Isu Semasa


-Bentuk pendahuluan ini memerlukan pelajar sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang
berlaku.
-Pelajar perlu mengaitkan peristiwa semasa dengan isu yang akan dibincangkan dalam karangan.
-Pendahuluan ini sekadar mengulas isu semasa yang berlaku dan membuat perkaitan dengan
kehendak soalan.
Kandungan Perkara dalam Pendahuluan:
Ayat 1 – Isu semasa yang relevan dengan kehendak soalan.(ayat tema)
Ayat 2 – Ulasan isu yang dijadikan perkara pokok dalam pendahuluan.
Ayat 3 – Ulasan isu dan kaitannya dengan perkara yang pada masa kini.
Ayat 4 – Hala tuju soalan karangan mengikut kehendak soalan (ayat menjawab soalan)

Sejak akhir-akhir ini kita sering didedahkan dengan pelbagai cerita salah laku dalam kalangan
remaja.(A1) Kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan kes jenayah kecil seperti memukul
rakan sebaya sehingga kes jenayah berat seperti membunuh.(A2) Semakin banyak kes yang
dilaporkan semakin kerap berlaku kejadian jenayah dalam kalangan remaja.(A3) Pihak-pihak
yang bertanggungjawab seperti ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa perlu memainkan
peranan masing-masing bagi menangani masalah ini sebelum menular memjadi lebih serius.(A4)
5. Bentuk Berita
- Setiap hari berita-berita dalam akhbar memaparkan pelbagai perkara.
- Sesetengah perkara tersebut boleh dieksploitasi untuk dijadikan pendahuluan sesebuah
karangan.
-Pelajar boleh menulis tajuk-tajuk berita sebagaimana yang sering dibaca di dalam akhbar bagi
memulakan karangan dengan menggunakan tanda baca.
-Penggunaan tanda baca penting kerana ayat dalam tajuk berita biasanya tidak lengkap subjek
dan predikatnya kerana ditulis secara ringkas sebagai kepala berita.
Kandungan Perkara dalam Pendahuluan:
Ayat 1 – Tajuk berita yang ditulis berdasarkan isu dalam soalan(ayat tema)
Ayat 2 – Kaitkan berita yang ditulis atau dicipta dengan isu dalam soalan
Ayat 3 – Ulasan isu dalam soalan
Ayat 4 – Hala tuju karangan mengikut kehendak soalan.(ayat memjawab soalan )

“Dua Remaja Ditangkap Meragut” merupakan satu lagi tajuk berita hangat yang disiarkan di
ahkbar semalam.(A1) Belakangan ini tajuk-tajuk berita yang melibatkan jenayah dalam kalangan
remaja sering terpapar pada dada-dada akhbar arus perdana seperti goreng pisang panas.(A2)
Hal ini diibaratkan satu gejala yang sukar dibendung dan sudah menjadi barah dalam kalangan
remaja pada hari ini.(A3) Sebenarnya, berita-berita sebegini dapat dikurangkan sekiranya ada
pihak yang tampil untuk menangani masalah ini secara menyeluruh.(A4)

You might also like