You are on page 1of 12

KARENAH BIROKRASI: SOROTAN ISU-ISU BIROKRASI DI MALAYSIA

Disediakan oleh:

Zaharahanum binti Kamarudin

PENGENALAN

Masyarakat umum mengenal birokrasi sebagai apa-apa sahaja urusan yang

berkaitan dengan kerajaan sama ada kerajaan persekutuan (termasuk semua kementerian,

jabatan dan agensi), kerajaan negeri (termasuk anak-anak syarikat kerajaan negeri) dan

pihak berkuasa tempatan (PBT). Masalah-masalah yang timbul apabila berurusan dengan

kerajaan dinamakan sebagai ‘kerenah birokrasi’ atau red-tape.

Di mana-mana organisasi pun, birokrasi penting untuk memastikan organisasi

tersebut ditadbir dengan baik seterusnya memberikan perkhidmatan atau menghasilkan

produk yang terbaik dalam masa yang ditetapkan. Birokrasi memastikan kewujudan hierarki

yang mana setiap lapisan hierarki mempunyai batas-batas kuasa dan arahan yang tertentu

dan fungsi-fungsi serta skop tugas tersendiri.

Namun perkara ini disalah anggap sebagai kekangan kepada matlamat untuk

menyampaikan perkhidmatan atau menghasilkan produk bermutu. Tanggapan ini yang

berleluasa dalam kalangan masyarakat umum akhirnya menjadi tabir pemisah antara rakyat

(yang berdiri sebagai pelanggan) dan kerajaan (sebagai penyedia perkhidmatan) di mana

kerajaan dilabel sebagai penuh dengan kerenah birokrasi.

Kerajaan Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi masalah kerenah

birokrasi. Namun pelbagai usaha telah dibuat oleh barisan kepimpinan negara dalam

menangani hal ini. Pada era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau menegaskan

kepentingan kebertanggungjawaban dalam kalangan penjawat awam ketika memberikan

perkhidmatan. Era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pula memperlihatkan usaha

beliau untuk menambah baik mutu perkhidmatan dengan meminimumkan kerenah birokrasi.

Terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, berusaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan

rakyat sebagai penerima melalui aplikasi teknologi semasa. Makalah ini akan melihat teori

1
birokrasi yang senada dengan pentadbiran awam di Malaysia, definisi kerenah birokrasi,

usaha-usaha mengatasinya serta isu-isu yang berkaitan.

TEORI BIROKRASI MAX WEBER

Perbahasan berkenaan pentadbiran awam khususnya birokrasi dan organisasi telah

berlaku sejak sekian lama dalam kalangan ahli-ahli sosiologi barat. Keadaan ini menjurus

kepada pembentukan beberapa teori pentadbiran awam sehingga ia terbahagi kepada dua

iaitu teori klasik dan teori neo-klasik (moden). Salah satu daripada teori klasik birokrasi yang

terkenal dan masih dipraktikkan sehingga kini ialah Teori Birokrasi Max Weber.

Blau dan Meyer (1987) dalam tulisan mereka berjudul ‘Birokrasi dalam Masyarakat

Moden’ membahaskan enam ciri birokrasi Max Weber iaitu:

i. Kegiatan sehari-hari yang diperlukan untuk mencapai tujuan-tujuan organisasi

yang diagihkan melalui cara-cara tertentu dan dianggap sebagai tugas rasmi;

ii. Struktur organisasi berdasarkan prinsip hierarki iaitu unit yang lebih rendah

berada di bawah pengawasan dan pembinaan unit yang lebih tinggi;

iii. Pelaksanaan tugas diatur dan ditentukan oleh satu sistem peraturan;

iv. Seseorang penjawat awam melaksanakan tugas-tugasnya dengan semangat

sine ira et studio iaitu formal dan tidak bersifat peribadi;

v. Sistem kenaikan pangkat berdasarkan kekananan (senioriti) atau prestasi;

dan

vi. Organisasi ditadbir secara sistematik untuk menjamin kecekapan (efisiensi).

Walau bagaimanapun, kaedah yang sistematik adalah berasaskan kepada

pengalaman atau kelayakan pegawai tersebut.

Secara dasarnya, organisasi yang menepati keenam-enam ciri di atas dapat

membentuk sebuah organisasi yang ideal serta dapat memastikan matlamat organisasi

berkenaan tercapai. Setiap peringkat kerajaan di Malaysia juga, secara jelas turut

mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di atas. Implimentasi ciri-ciri ini adalah untuk

memastikan kerajaan dapat menyampaikan perkhidmatan dengan berkesan.

2
Namun demikian, dunia pentadbiran awam pada hari ini terus dilabel sebagai

organisasi yang penuh dengan kerenah birokrasi. Hal ini memberi kesan kepada

keberkesanan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Ia juga memberikan imej buruk

kepada negara secara keseluruhan.

KERENAH BIROKRASI: SOROTAN PERMASALAHAN

Seperti yang dinyatakan di awal makalah ini, sebarang masalah yang timbul apabila

berurusan dengan kerajaan akan dianggap berpunca daripada kerenah birokrasi. Namun

demikian, sukar untuk mendapatkan takrifan yang tepat atau huraian terperinci berkenaan

apa dan bagaimana kerenah birokrasi berlaku.

Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan takrifan kerenah birokrasi sebagai

‘proses atau urusan kerja, terutamanya yang melibatkan pihak kerajaan atau agensi

kerajaan, yang mengambil masa yang sangat lama kerana terpaksa melalui berbagai-bagai-

bagai formaliti, peringkat, peraturan dan sebagainya sebelum sesuatu permohonan atau

perkara dapat diluluskan atau dilaksanakan’ (Dewan Bahasa dan Pustaka, t.t).

Antara kritikan dan aduan orang awam terhadap kerenah birokrasi ialah apabila

penjawat awam tidak cekap, tidak hadir dan kurang berkesan dalam menjalankan tugas

yang diamanahkan (Ahmad Atory dan Malike, t.t).

Menurut Kassim Ahmad (2006) melalui artikel beliau bertajuk ‘Menangani Masalah

Birokrasi’, terdapat tiga masalah birokrasi di Malaysia. Masalah yang pertama ialah

ketidakcekapan bekerja. Hal ini berlaku apabila penjawat awam tidak menemui surat-surat

yang dialamatkan kepadanya, panggilan telefon yang tidak atau lewat dijawab serta gagal

menyelesaikan masalah orang awam yang dikemukakan kepadanya.

Masalah birokrasi yang kedua yang dinyatakan oleh Kassim ialah ketiadaan kaedah

atau sistem bekerja yang betul. Ini kerana sesuatu permasalahan yang berlaku hanya dapat

dibincangkan dengan penjawat awam (pegawai) yang tertentu. Apabila pegawai berkenaan

tiada di pejabat atas apa-apa urusan, masalah berkenaan tidak dapat dibincangkan dengan

pegawai yang lain sama ada oleh kerana batasan kuasa pegawai berkenaan atau oleh

3
kerana pegawai yang lain tidak dimaklumkan tindakan-tindakan atau keputusan berkaitan

masalah itu. Hal ini menyebabkan sebarang tindakan dan keputusan yang berkaitan tidak

dapat diperoleh pada masa yang dikehendaki oleh pelanggan (orang awam) sehingga

menimbulkan masalah yang lain di pihak pelanggan.

Masalah birokrasi yang ketiga pula ialah dasar kerajaan disabotaj melalui rasuah,

pembaziran dan penyelewengan. Menurut Kassim, apabila pegawai-pegawai kerajaan

dihantar ke luar negara, kerajaan mengharapkan agar mereka pulang bersama-sama input

yang berguna yang dapat dimanfaatkan untuk kepentingan orang awam. Namun sebaliknya,

tiada input-input berguna yang dipraktikkan oleh kerajaan walaupun sekian ramai pegawai

telah dihantar bagi mengkaji sistem-sistem amalan kerajaan-kerajaan di pelbagai negara

lain.

Melihat kepada permasalahan yang dikemukakan oleh Kassim, masalah yang

pertama dan ketiga tidak mempunyai kaitan dengan ciri-ciri teori organisasi Max Weber yang

dipraktikkan di Malaysia. Hanya masalah yang kedua didapati merupakan sanggahan

kepada ciri-ciri teori berkenaan. Ini kerana, Weber menekankan ciri-ciri hierarki, peraturan,

pengkhususan dan pengalaman yang perlu ada dalam membentuk sebuah birokrasi yang

efisien.

Setiap organisasi kerajaan di Malaysia mempraktikkan ciri-ciri hierarki, peraturan,

pengkhususan dan pengalaman dalam melaksanakan operasi mereka. Sehubungan itu,

apabila membicarakan permasalahan orang awam, satu ketetapan telah dibuat di mana

tidak semua lapisan pegawai kerajaan boleh membincangkan sesuatu masalah yang

dikemukakan. Hanya pegawai dalam lapisan hierarki tertentu sahaja yang boleh

membincangkan masalah-masalah yang tertentu. Selain itu, hanya pegawai-pegawai yang

telah dikhususkan sahaja yang berhak untuk membincangkan masalah tersebut.

Sebagai contoh, di Dewan Bahasa dan Pustaka, apabila sesebuah agensi

pengiklanan ingin mendapatkan pengesahan bahasa dalam draf iklan mereka, mereka perlu

berurusan dengan Perancang Bahasa yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan.

4
Khidmat ini tidak disediakan di bahagian-bahagian lain seperti Bahagian Pengurusan

Sumber Manusia atau Bahagian Kewangan dan Bekalan.

Selain daripada itu perbincangan masalah orang awam juga perlu mematuhi

peraturan-peraturan yang ditetapkan dengan kaedah-kaedah tertentu. Hal ini kerana

pegawai perlu merujuk kepada akta, warta kerajaan, pekeliling, piagam pelanggan, dan

prosedur-prosedur berkaitan sebelum membincangkan sesuatu masalah. Langkah ini

diambil untuk memastikan supaya tindakan-tindakan seterusnya berjalan bersandarkan

undang-undang dan peraturan yang telah digubal oleh kerajaan.

Walaupun demikian, kerajaan menyedari wujud kerenah birokrasi yang menyulitkan

urusan orang awam. Sistem dan prosedur kerja yang tidak cekap, tempoh berurusan yang

memakan masa yang panjang, lewat mengambil tindakan, peraturan dan undang-undang

yang remeh dan usang serta peralatan yang tidak menepati keperluan semasa adalah

antara sebab-sebab yang dikenal pasti oleh kerajaan yang menyebabkan wujudnya kerenah

birokrasi (MAMPU, 2006).

USAHA-USAHA MENANGANI KERENAH BIROKRASI

Sejak era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang

keempat, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi mengurangkan kerenah

birokrasi demi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Usaha-usaha ini dilaksanakan melalui

pembentukan pelbagai dasar dan konsep pentadbiran. Antaranya ialah dengan

memperkenalkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah; Kepimpinan Melalui Teladan; Dasar

Pandang ke Timur dan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Kepimpinan (Ahmad Atory

dan Malike, t.t).

Di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pula iaitu Perdana Menteri

Malaysia yang kelima, langkah-langkah meminimumkan kerenah birokrasi semakin giat

diadakan. Antaranya ialah dengan menubuhkan Pasukan Petugas Mengurangkan Kerenah

Birokrasi di setiap agensi/jabatan kerajaan pada tahun 2003. Menurut Tan Sri Samsudin bin

Othman (2005), 233 penambahaikan telah berjaya dicapai pada tahun 2004 di mana 62%

5
penambahbaikan adalah yang melibatkan sistem dan prosedur kerja seperti mengurangkan

penggunaan borang dan menyediakan perkhidmatan dalam talian. 6% penambahbaikan lagi

adalah dari segi penambahbaikan atau pindaan undang-undang dan peraturan serta

menggubal peruntukan-peruntukan baharu yang lebih jelas.

Selain daripada itu, mulai tahun 2005, kerajaan telah mengarahkan supaya lebih

banyak “pusat membuat keputusan” diwujudkan. Ia bermaksud, agensi kerajaan

melaksanakan perwakilan dan penurunan kuasa kepada pegawai di peringkat yang lebih

rendah dalam membuat keputusan. Hal ini supaya keputusan-keputusan bagi setiap

tindakan boleh diperoleh dengan lebih cepat dan dilakukan dengan segera (MAMPU, 2006).

Pada Februari 2007 pula, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas

Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) sebagai salah satu usaha menambah baik sistem

penyampaian kerajaan terutama berkaitan hal ekonomi negara. Pemudah yang dianggotai

oleh pegawai tinggi kerajaan dan tokoh perniagaan akan menumpukan kepada isu-isu

sistem penyampaian kerajaan supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cekap,

responsif dan mesra perniagaan (Hamden, 2007).

Seterusnya, apabila negara dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku

Perdana Menteri Malaysia keenam pada 2009, usaha mengurangkan kerenah birokrasi

diteruskan melalui pemodenan perkhidmatan awam. Empat anjakan paradigma dalam

penyampaian perkhidmatan telah ditetapkan iaitu:

i. Anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan;

ii. Beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-

mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan

secara holistik;

iii. anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang

memudah cara dan menyenangkan rakyat; dan

iv. anjakan daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti,

kreativiti dan inovasi.

(Zanariah, 2009).

6
ISU-ISU BERKAITAN

Topik sebelum ini memperlihatkan pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan untuk

mengurangkan kerenah birokrasi. Namun rungutan demi rungutan daripada orang awam

terhadap hal ini bagai tidak akan berakhir. Ini kerana dari tahun ke tahun pelbagai laporan

dikeluarkan di media dari pelbagai pihak yang meminta kerajaan mengurangkan kerenah

birokrasi.

Antaranya, pada September 2009, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

(SPRM) meminta semua agensi kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terutama

dengan cara memendekkan tempoh urusan sesuatu perkara. Ini kerana, tempoh urusan

yang lama akan mendorong pelanggan untuk memberikan rasuah kepada pegawai yang

berkaitan bagi mempercepatkan proses urusan tersebut (Bernama, 2009).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pernah menegur

pengurusan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang menjadikan kerenah birokrasi

sebagai halangan kepada pelajar untuk mendekati pemimpin melalui kegiatan anjuran

mereka. Saifuddin menyifatkan sekatan ini tidak wajar apatah lagi alasan bahawa program

yang dirancang tidak rasmi dan berskala kecil tidak boleh diterima (Bernama, 2010).

Seterusnya, Jun 2011, ada rungutan berkaitan kerenah birokrasi di Kementerian

Pendidikan apabila para guru sukar untuk mendapat kelulusan menyambung pengajian di

peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Menurut aduan Guru Lama yang disiarkan di akhbar Berita

Harian, antara kerenah birokrasi yang dihadapi mereka ialah prosedur temu duga cuti

belajar bergaji penuh yang kurang rasional, sukar mendapatkan sokongan kewangan,

tempoh yang lama untuk kenaikan pangkat dan penafian hak guru berijazah di sekolah

rendah untuk memohon jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar.

Pada September 2011 pula, Gabungan NGO-NGO Islam (ACCIN) meminta pihak

Majlis Agama Islam Negeri untuk mengurangkan birokrasi dalam pemberian zakat kepada

para asnaf. Langkah pengurangan birokrasi ini perlu diambil bagi mengelakkan golongan

asnaf ini dieksploitasi oleh golongan lain (Accin, 2011).

7
Pemberhentian program debat ‘Akta Universiti dan Kolej Universiti’ (AUKU) yang

dijalankan di Universiti Malaya pada Disember 2011, juga dikatakan berpunca daripada

kerenah birokrasi. Hal ini dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk

Saifuddin Abdullah yang mempertikaikan kuasa pentadbiran universiti untuk tidak

memberikan kelulusan kepada program debat tersebut (Zulaikha, 2011).

Pada Mei 2012 pula, lebih kurang 150 bot nelayan tidak dapat turun ke laut di Kota

Kinabalu kerana kerenah birokrasi yang menyebabkan bekalan minyak diesel bersubsidi

terjejas. Pemberhentian bekalan minyak diesel berkenaan dikatakan berpunca kerana

masalah birokrasi yang wujud daripada agensi-agensi yang terlibat dalam proses

pembekalan tersebut (Abd. Naddin, 2012).

Kisah Cikgu Idayu dari Batu Pahat yang gagal dalam permohonan pertukaran beliau

agar dapat tinggal sebumbung dengan suaminya di Dungun, Terengganu pula menarik

perhatian Zaini Hassan untuk diketengahkan di akhbar Utusan Online. Menurut Zaini, sejak

tahun 2008, telah berbelas-belas kali Cikgu Idayu memohon pertukaran namun ia berakhir

dengan kehampaan. Apa yang dapat dikatakan oleh Zaini hanyalah kerenah birokrasi yang

menebal merupakan punca kepada kegagalan Cikgu Idayu bertukar penempatan.

Dunia pendidikan tinggi diusik lagi apabila Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan

dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar membangkitkan

isu halangan birokrasi sebagai antara kekangan kepada usaha mengkomersialkan hasil

penyelidikan dan inovasi universiti tempatan. Menurut beliau, kesukaran memperoleh geran

pembiayaan akhirnya membantutkan usaha-usaha penyelidikan dalam negara ini (Ruhaiza,

2013).

Di Kuala Selangor, Mohd. Salleh Karman, seorang buruh kampung menzahirkan

kekecewaan beliau apabila permohonan bantuan kewangan, alat sokongan dan bayaran

kos hospital isterinya ditolak semata-mata kerana resit perjalanan pergi balik ke hospital

tidak disertakan. Mohd. Salleh yang menumpang kereta jiran untuk membawa isterinya ke

hospital merasa terkilan kerana permohonan bantuan berkenaan ditahan akibat kekurangan

satu dokumen sahaja. Tambah menyulitkan keadaan, Mohd. Salleh kini tidak lagi bekerja

8
kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk menjaga isteri yang sakit. Walau

bagaimanapun, akhbar yang melaporkan kisah ini tidak menyatakan nama agensi yang

terbabit (Arziana, 2013).

Pada Disember 2013, Kementerian Pendidikan terus dikecam berikutan keputusan

Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Programme for International Students

Assessment – PISA) menunjukkan pencapaian pelajar Malaysia jauh ketinggalan

berbanding pelajar Vietnam. Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, perbezaan

antara 130 ke 150 mata bagi penilaian pencapaian pelajar untuk kategori matematik,

membaca dan sains menimbulkan tanda tanya berkenaan kualiti pendidikan di Malaysia.

Juga perkara ini secara tidak langsung menunjukkan kegagalan pelaksanaan Penilaian

Berasaskan Sekolah (PBS) berikutan guru-guru yang diamanahkan mendidik pelajar turut

dibebankan dengan tugas-tugas birokrasi yang melecehkan seperti mengisi pelbagai jenis

borang (Harakahdaily, 2013).

KESAN KERENAH BIROKRASI KEPADA PELANGGAN

Kecuali isu dokumen tidak lengkap (isu Mohd. Salleh Karman), kerenah birokrasi

bagi isu-isu yang lain tidak dihuraikan secara terperinci. Walau bagaimanapun, apabila

diteliti, setiap isu yang dikemukakan mempunyai kerenah yang hampir serupa iaitu sekatan-

sekatan pentadbiran yang tidak dapat dipastikan puncanya. Ketidakpastian kepada sekatan-

sekatan pentadbiran inilah yang dianggap oleh orang awam sebagai satu perkara yang

sangat melecehkan.

Kesemua isu yang dinyatakan di atas berakhir dengan memberi kesan negatif

kepada pelanggan iaitu individu yang menerima kesan langsung isu-isu tersebut. Motivasi

pelanggan untuk terus berkhidmat dan mencari nafkah keluarga akan menurun. Bagi

pelajar-pelajar universiti, sekatan-sekatan pentadbiran yang tidak munasabah akan

menyebabkan fikiran mereka terkongkong dalam dewan kuliah dan seterusnya tidak dapat

menzahirkan modal insan yang cemerlang seperti mana kehendak mantan Perdana Menteri

Malaysia kelima.

9
PENUTUP

Tidak dapat tidak, birokrasi perlu wujud dalam perkhidmatan awam. Birokrasi

mencorakkan organisasi kerajaan. Organisasi yang dilengkapi ciri-ciri birokrasi yang

sempurna adalah medium utama dalam proses menyampaikan perkhidmatan. Melalui

birokrasi, perkhidmatan awam dapat merencana kegiatan yang perlu dilaksanakan,

mengagihkan tugas-tugas penyampaian perkhidmatan berdasarkan fungsi-fungsi tertentu

dan kelayakan-kelayakan yang berbeza serta memastikan matlamat sesebuah kerajaan itu

terlaksana.

Walau bagaimanapun, tuntutan ciri-ciri birokrasi menyebabkan sesetengah

perkhidmatan memerlukan proses kerja yang panjang berikutan pengkhususan proses kerja

tersebut. Hal inilah yang menyebabkan wujudnya kerenah birokrasi seperti mana takrif yang

diberikan oleh Kamus Dewan di atas.

Isu-isu yang dipaparkan dalam makalah ini menunjukkan walaupun telah banyak

usaha dilaksanakan oleh kerajaan sejak zaman Tun Dr. Mahathir hingga ke hari ini namun

kerenah birokrasi tetap wujud. Teguran demi teguran dari pelbagai pihak seperti agensi-

agensi, Timbalan Menteri, NGO, ahli politik dan orang awam bagai tidak memberi kesan

kepada pihak-pihak yang ditegur. Pengabaian kepada teguran-teguran ini tambah

mengeruhkan keadaan. Orang awam akan sedaya-upaya mengelak untuk mendapatkan

perkhidmatan awam kerana tidak mahu berhadapan dengan sebab-sebab remeh yang

menangguhkan situasi mereka.

Sebagai kesimpulan, birokrasi sememangnya satu kaedah terbaik dalam mencorak

sesebuah organisasi namun sekatan-sekatan pentadbiran yang wujud dalm organisasi

tersebut menjadi batasan antara penyampai (agensi kerajaan) dan penerima perkhidmatan

berkanaan. Sekatan-sekatan pentadbiran yang melecehkan ini akan terus wujud selagi

birokrasi juga wujud.

10
1.0 RUJUKAN

Abd. Naddin Hj. Shaiddin. (17 Mei 2012). Angkara kerenah birokrasi. Borneo Post
online. Dipetik daripada http://www.theborneopost.com/2012/05/17/angkara-
kerenah-birokrasi/

Accin. (26 September 2011). Majlis Agama Islam Negeri dicadang kurangkan birokrasi
dalam pemberian zakat. Merdeka Review. Dicapai daripada
http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12284

Ahmad Atory Husain dan Malike Brahim. (t.t). Politik pentadbiran di Malaysia:
Penilaian pegawai awam terhadap dasar politik dan kepimpinan nasional.
Dicapai daripada http://www.management.utm.my/download/doc_view/63-politik-
pentadbiran-di-malaysia-penilaian-pegawai-awam-terhadap-dasar-politik-a-
kepimpinan-nasion.html

Arziana Mohmad Azaman. (31 Ogos 2013). Terkilan kerenah birokrasi. Sinar Harian.
Dicapai daripada http://www.sinarharian.com.my/semasa/terkilan-karenah-
birokrasi-1.197371

Berita Harian. (11 Jun 2011). Kerenah birokrasi sukarkan guru sambung PhD. Berita
Harian Online. Dicapai daripada
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kerenahbirokrasisukarkangurusamb
ungPhD/Article/cetakBernama. (9 September 2009). SPRM minta agensi
kerajaan kurangkan kerenah birokrasi. BH Online. Dicapai
daripadahttp://www.bharian.com.my/articles/SPRMmintaagensikerajaankurangk
ankerenahbirokrasi/Article/cetak

Bernama. (25 November 2010). Kurangkan birokrasi galak penuntut anjur kegiatan
dengan pemimpin. MStar. Dicapai daripada http://www.mstar.com.my/lain-
lain/kampus/2010/11/25/kurangkan-birokrasi-galak-penuntut-anjur-kegiatan-
dengan-pemimpin/

Blau, P.M. dan Meyer, M.W. (1987). Birokrasi dalam masyarakat moden. Edisi kedua.
Jakarta: Penerbit Universitas Indonesia.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). carian PRPM @ DBP Malaysia. Dicapai daripada
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kerenah+birokrasi

Hamden Ramli. (9 Februari 2007). Birokrasi jejas sistem penyampaian. Utusan


Malaysia. Dicapai daripada
http://www.mef.org.my/library/MC_MEFinthenews/Utusan070209a.pdf

Harakahdaily. (4 Disember 2013). PISA: Prestasi pendidikan Malaysia kedua tercorot.


Dicapai daripada http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/23986-pisa-
prestasi-pendidikan-malaysia-kedua-tercorot

Kassim Ahmad. (19 April 2006). Menangani masalah birokrasi. Dicapai daripada
http://kassimahmad.blogspot.com/2006/04/menangani-masalah-birokrasi-
oleh.html

MAMPU. (2006). Perkhidmatan Awam Malaysia: Meningkatkan kecekapan dan


keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan. Putrajaya: MAMPU.

11
Ruhaiza Rusmin. (2 Disember 2013). Kurangkan kerenah birokrasi. Mymetro. Dicapai
daripada http://www.hmetro.com.my/articles/Kurangkankerenahbirokrasi/Article

Samsudin Osman. (2005). Teks ucapan majlis perasmian Seminar Meningkatkan


Sistem Penyampaian Perkhidmatan. Dicapai daripada
http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=samsudinosman&id=2809

Zaini Hassan. (27 November 2013). Kisah benar Cikgu Idayu dan kerenah birokrasi
yang menebal? Utusan Online. Dicapai daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131127/re_06/Kisah-benar-Cikgu-
Idayu-dan-kerenah-birokrasi-yang-menebal

Zanariah Abdul Mutalib. (28 April 2009). Perkenal dasar terbuka, Najib cabar generasi
muda sertai sektor awam. MStar. Dicapai daripada
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2009/04/28/perkenal-dasar-
terbuka-najib-cabar-generasi-muda-sertai-sektor-awam/

Zulaikha Zulkifli. ( 11 Disember 2011). Hapuskan kerenah birokrasi di IPTA. Sinar


Harian. Dicapai daripada http://www.sinarharian.com.my/nasional/hapuskan-
kerenah-birokrasi-di-ipta-1.11790

12

You might also like