You are on page 1of 2

Soalan 2 - Petikan Drama Berkhidmat untuk Negara

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

POSMEN: Ada sesiapa yang bernama Aiman Faizullah bin Khir Ghazali di rumah ini?

AIMAN: Ada, sayalah orangnya. Surat apa ini?

POSMEN: Surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Ini bermakna, adik terpilih untuk
menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Bagus program itu. Kalau umur abang
macam adik, pasti abang tak akan lepaskan peluang ini.

AIMAN: Abang buang saja surat ini. Saya tak berminat langsung. Buat apa nak bersusah payah
sertai program macam ini. Ayah saya banyak duit. Apa yang saya nak, semua boleh
dapat. Buang masa dan tenaga sahaja program macam ini. Untuk orang susah
bolehlah. Maklumlah dapat makanan percuma enam kali sehari, tempat tidur dan
pakaian semua diberikan. Siap dapat RM50.00 lagi… ha… ha… ha.

POSMEN: Tak baik cakap macam tu, banyak faedahnya program seperti ini. Cuba jangan fikir
tentang duit dan makan minum tu. Cuba fikirkan tentang kemahiran dan pengalaman
yang akan diperoleh nanti.

AIMAN: Abang ini cakap banyak pula, macamlah abang pernah sertai program tu.

POSMEN: Memanglah abang tak pernah sertai program itu. Tapi hasil daripadanya, dah banyak
yang abang nampak.

AIMAN: Tak fahamlah saya, bang.

POSMEN: Maksud abang, remaja yang dah menyertai program ini, apabila tamat latihan, banyak
kesan positif yang akan wujud dalam diri mereka. Anak jiran abang dulu pemalas.
Kalau balik rumah cuma tahu tidur dan makan saja. Tapi selepas tamat program itu,
abang tengok dia dah rajin tolong keluarganya dan baru nampak rasa hormat kepada
orang tua. Hasil yang paling dekat dengan diri abang ialah adik abang sendiri.
Memang bagus program itu. Banyak perubahan positif dalam diri dia.

(Dipetik daripada drama “Berkhidmat untuk Negara” dalam antologi


Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Mengapakah Aiman tidak berminat untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara?
[3 markah]

(ii) Sebagai remaja yang berwawasan, bagaimanakah anda menunjukkan perasaan cinta akan
negara? Kemukakan cadangan anda. [3 markah]

(iii) Jelaskan satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam petikan di atas dan satu perwatakan
yang lain daripada drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[3 markah]
Soalan 2 - Petikan Drama Berkhidmat untuk Negara

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

KHIR GHAZALI: Masalah apa? Cuba terangkan satu persatu. Ini tidak, terus yakin. Aiman fikir
daddy ada kuasa sakti yang sekali sebut terus bertukar menjadi permintaan
yang dimahukan. Apa masalahnya?

AIMAN: Sebenarnya nama saya terpilih untuk menyertai PLKN selepas selesai SPM.

KHIR GHAZALI: Baguslah, apa pula masalahnya?

AIMAN: Masalahnya saya tak mahu pergi. Saya nak minta daddy tolong dapatkan
pengecualian untuk saya. Saya tak sukalah program macam itu!

KHIR GHAZALI: Kalau itu yang Aiman nak daddy bantu, daddy akan kata tidak. Daddy mahu
Aiman pergi sertai PLKN itu. Banyak faedah yang akan Aiman dapat.
Cubalah berfikir seperti orang dewasa, Aiman bukan budak-budak lagi.
Jadilah manusia yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman. Jangan
hanya pandai meminta daripada berusaha.

AIMAN: Lecehlah berbincang dengan daddy. Semua keputusan daddy akan tentukan
dan Aiman hanya kena ikut. Baik Aiman minta tolong daripada mummy pula.
Mummy lebih faham akan jiwa dan kemahuan Aiman.

(Sedang AIMAN mahu meninggalkan daddynya, muncul pula MASNAH, mummy AIMAN. AIMAN
terus mendapatkannya)

MASNAH: Apa yang dua beranak ini bincangkan? Dari tadi mummy dengar macam
hangat saja?

KHIR GHAZALI: Anak awak ini, dah besar panjang pun asyik nak bermanja saja. Cuba awak
ajar supaya dia tahu berdikari. Buat malu saja kalau anak lelaki macam ini.

MASNAH: Apa masalahnya?

AIMAN: Aiman terpilih untuk penempatan pelatih PLKN nanti. Aiman minta daddy
dapatkan pengecualian tapi daddy tak mahu tolong.

MASNAH: Hah abang, bukankah itu masalah kecil sahaja? Abang boleh gunakan
kedudukan dan pengaruh abang untuk dapatkan pengecualian untuk Aiman
ini. Abang tak sayangkan Aiman? Sanggup abang biarkan dia masuk kem
latihan?

(Dipetik daripada drama “Berkhidmat untuk Negara” dalam antologi


Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah nasihat yang diberikan oleh Khir Ghazali kepada Aiman setelah mendapat tahu
bahawa Aiman tidak mahu menyertai PLKN? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, wajarkah tindakan seseorang menggunakan kedudukan, pengkat, dan
pengaruh untuk mendapatkan sesuatu perkara dengan mudah? Berikan tiga sebab
[3 markah]
(iii) Huraikan satu langkah masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar
masyarakat lain yang terkandung dalam keseluruhan drama. [4 markah]

You might also like