You are on page 1of 3

Syed Ahmad Jamal (1929-2011): Bapa Seni Lukis Melayu Moden Malaysia

Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di bandar Maharani Johor. Beliau
mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah dari tahun 1936 hingga 1938.
Kemudian beliau melanjutkan persekolahannya di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939;
Ngee Heng English School, 1940; Bukit Zahra English School dan English College, Johor Bahru
hingga tahun 1949.

Beliau mendapat biasiswa Sultan Ibrahim dan dengan biasiswa tersebut beliau telah melanjutkan
pelajaran di Birmingham School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955,
beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School of Art, London. Setahun kemudian beliau belajar
pula di Institute of Education, London University. Semasa di Chelsea School of Art, beliau
memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan dalam seni lukis.

Setelah pulang dari England, beliau menjadi guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun
1956 hingga 1957. Pada tahun 1957, beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Harian,
Kuala Lumpur. Diantara tahun 1958 hingga 1959, beliau menjadi pensyarah di Malayan
Teacher’ College, Kirby, Lancs, United Kingdom dan pulang semula ke Maktab Perguruan
Harian, Kuala Lumpur pada tahun 1960. Pada tahun 1951 hingga 1963, beliau bertugas sebagai
Ketua Jabatan Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.

Syed Ahmad Jamal merupakan nama yang amat sinonim dengan seni lukis Malaysia. Beliau
adalah merupakan pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di negara ini. Syed Ahmad Jamal
merupakan seorang tokoh di dalam seni lukis yang paling berjaya di negara ini. Beliau
mempunyai ketokohan dalam bidang berikut seperti sebagai pelukis, penulis, pereka, pendidik
dan pemimpin seni.

Kebolehan yang merentasi pelbagai disiplin yang dimiliki menjadikan beliau sebagai sumber
idea dan dalam menjana perkembangan seni lukis tanahair. Ilmu kesarjanaan dalam seni lukis
serta falsafah dan estetika Melayu yang dipegang, menjadikan beliau tempat rujukan kepada
pelajar, ahli akademik, dan pengiat seni lukis ( pelukis, kurator, galeri dan kolektor) di Malaysia.
Di kalangan pelukis tanahair, Syed Ahmad Jamal telah dianggap sebagai pelopor seni lukis
abstrak yang bernada nusantara bermula pada tahun-tahun 1960 an dan 1970 an.

Beliau mengetuai Wednesday Art Group dan Art Council Malaysia pada awal tahun 1960 an.
Beliau juga pernah menjadi pensyarah tamu Universiti Malaya pada 1975 hingga 1979,
kewibawaan dan kepimpinan beliau mula terserlah dimana beliau dilantik menjadi Pengarah
Pusat Kebudayaan Universiti Malaya yang pertama daripada 1979 hingga 1983 dengan
mengasaskan kepada penubuhan Muzium Seni Asia di Universiti Malaya sebelum menerajui
sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara pada 1983 hingga 1991. Kepimpinan dan
kewibawaan Syed Ahmad Jamal di dalam bidang seni lukis sememangnya telah terbukti. Beliau
telah di beri kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah, Ahli
Lembaga Penasihat dan Pengerusi kepada pertubuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan
dengan bidang seni visual ini.
Sebagai budayawan yang mempunyai cara pandangan dan falsafah kesenian Melayu yang halus,
beliau menterjemahkan pengalaman ini melalui bukunya yang bertajuk ‘Rupa dan Jiwa’ terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka semasa menjadi karyawan tamu dan penyelidik di DBP pada 1991-
1992, beliau telah melukiskan pengamatannya terhadap unsur-unsur kesenian dalam nilai-nilai
dan kebudayaan Melayu. Beliau juga cuba menggarapkan semula aspek rupa dan bentuk sesuatu
unsur kepada seni rupa Melayu ini diolah dengan pengalaman bahasa seni yang bersifat sejagat
melalui bentuk, gaya, gerak dan corak.

Bakat Syed Ahmad Jamal terserlah, beliau adalah pelukis yang terkenal serta mendapat
sanjungan masyarakat seni dalam dan luar negeri. Antara kebolehan beliau ialah melukis dengan
menggunakan pemikiran ilmu dan pengalaman berasaskan falsafah serta nilai-nilai Melayu.
Beliau juga terlibat dalam membuat ‘Dasar dan Pemikiran’ tentang program dan pentadbiran
kepada masyarakat umum. Selain daripada itu beliau juga terlibat dalam kritikan seni dan
menulis berbagai kertas kerja, katalog pameran, majalah dan media massa.

Menyentuh tentang pengkaryaan beliau, ketika di London aliran ekspressionis dan


ekspressinisme abstrak sedang melanda England itu. Gerakan tadi merupakan satu yang amat
baru bagi beliau dan benar-benar memikat cara beliau berkarya. Beliau meminati
ekspressionisme kerana ia menyedarkan satu landasan baru bagi menentukan arah dan tujuan
arah seni secara perseorangan atau individu yang berbeza sedikit dengan seni tradisional yang
bekerja secara berkelompok.

Untuk mengetahui perkembangan seseorang seniman atau artis rasanya tidak lengkap jika tidak
melihat sentuhan-sentuhan awal penerokaanya iaitu di sekitar tahun 1950 an. Lukisan-lukisan
berwajah herot dan abstrak yang bertunjangkan unsur tanahair cuba dihasilkan ketika masih
menuntut di sana. Perubahan awal menggunakan kaedah tersebut melihatkan kejayaan awalnya
apabila berjaya menghasilkan karya penting di awal karier iaitu ‘Mandi Laut’ (1957). Karya ini
merupakan titik permulaan bagi Syed Ahmad Jamal untuk menempuh sejarah yang lebih
gemilang dalam bidang seni lukis dengan pameran solo pertamanya di British Council, Kuala
Lumpur pada tahun 1960.

Dekad 1960 an memperlihatkan fenomena abstrak ekspresionistik yang sangat dominan. Karya-
karyanya mula menampilkan imej-imej abstrak dalam latar budaya setempat. Karya ‘Starry
Night’ (1961), ‘Relationship’ (1964), ‘Lost’ (1965) ‘19.9.65’(1965) memperlihatkan ledakan
tenaga abstrak ekspressionistik yang lincah, kental, padu dalam sapuan berus yang agresif dalam
warna-warna ekspresif yang meninggalkan impak visual yang mempersonakan. Warna dan imej
yang digunakan dalam beberapa karya-karya pada tahun 1960 an menganggu ketenteramana
psikologi seolah –olah beliau sedang bergelut dengan dirinya sendiri.

Tahun 1970an menampilkan karya-karya kreatif dan memperlihatkan transformasi dalam


kebebasan berkarya contohnya karya ‘Conference of Soul’ (1970) bertolak dari puisi ‘Sidang
Roh’ karya penyair Kassim Ahmad yang pernah menjadi polimik dunia kesusasteraan pada
ketika itu. Karya ini dihasilkan selepas tragedi 1969 berkenaan dengan pengertian terhadap
kebenaran yang sentiasa berubah mengikut kehendak dan selera semasa.

Dalam karier sebagai pelukis siri ‘Gunung Ledang memuncakkan nama Syed Ahmad Jamal
dalam menghasilkan karya-karya besar kepada khazanah negara seperti dalam ‘Semangat
Ledang’. Pada tahap ini lukisannya amat bertenaga melambangkan keunggulan kaedah dan
pemikiran yang didokongnya selama ini. Siri ‘Gunung Ledang’ mempertemukan dunia mistik
kisah Puteri Gunung Ledang yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu yang berwajah
tempatan kepada aspek penceritaan berkonsepkan barat iaitu dalam format catan.

Walaupun mendapat pendidikan Barat dalam bidang seni halus namun seniman Syed Ahmad
Jamal tetap mengkagumi akar tradisi budaya Melayu untuk turut sama berada dalam setiap
pengkaryaanya . Pada sekitar 1980 an maka lahirlah “Siri Songket” imej dari seni kraftangan
anyaman tikar mengkuang mula tercipta seperti ‘Energy Mat’ (1980), ‘Terengganu’ (1986), ‘Siri
Gunung Ledang’ (1987) dalam memaparkan keindahan tenunan tekstil Melayu tradisi yang
diwarisi sejak turun temurun lagi.

Bentuk segitiga begitu dominan pada era ini, boleh dikatakan bentuk segitiga itu adalah motif
pucuk rebung yang begitu banyak dalam rekabentuk tradisional masyarakat Melayu. Ia dianggap
sebagai simbol kepada kesuburan, satu penyataan yang bersesuaian dengan kenyataan mengenai
Gunung Ledang. Beliau seterusnya menyatakan bahawa motif segitiga tersebut menyerupai
pohon hayat dan bunga semangat sebagai manifestasi alam semulajadi yang begitu dekat dengan
rantau Asia Tenggara ini.

Tahun awal tahun 1990 an, Syed Ahmad Jamal bersara dari perkhidmatan awam. Hal ini
memberikan beliau begitu banyak masa untuk terus bergerak aktif secara sepenuh masa dalam
seni lukis pada pertengahan karier . Penglibatan yang tidak mengenal jemu selama enam puluh
tahun berkarier dengan seni ini telah memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan ke
arah pembinaan dan perkembangan seni lukis moden Malaysia. Berdasarkan sumbangan penting
beliau itulah kerajaan menganugerahkan Anugerah Seni Negara kepada beliau pada 1995 iaitu
anugerah seni tertinggi Malaysia yang membawa gelaran Seniman Negara. Era ini
memperlihatkan pula satu pendekatan yang berlainan pada karya-karya Syed Ahmad Jamal
sebelumnya. Karya-karya beliau sangat mesra menyentuh isu sosial politik negara dan dunia luar
di akhir tahun 1990 an.

Selepas itu beliau terus menaburkan baktinya kepada keseniaan negara dan pengorbanannya
dihargai apabila dianugerahkan pingat Paglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk pada
1996. Pada tahun 2005 beliau menerima pengiktirafan sebagai Doktor (Kepujian) Pendidikan
Seni oleh Universiti Sultan Idris (UPSI). Pengkaryaan Syed Ahmad Jamal mula berarah kepada
manifestasi ketuhanan di akhir-akhir kariernya. Penghormatan institusi seni utama negara untuk
mengadakan pameran retrospektif yang mempamerkan semula hasil karya beliau selama
berkarier selama enam puluh tahun bertajuk ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis’ adalah pameran solo
terbesar dan terakhir oleh beliau pada tahun 2009 di Balai Seni Visual Negara .

Dua tahun kemudian pada tanggal 31 Julai 2011 Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal
meninggalkan dunia pada usia 82 tahun. Segala jasa dan ketokohan beliau dalam
membangunkan seni lukis Malaysia akan dikenang sepanjang zaman oleh generasi seni visual di
masa depan. Semoga rohnya diletakkan dikalangan orang yang terpilih. Amin.

Mohamad Arif Haikal b. Mohd Yusri


3SC3

You might also like