You are on page 1of 3

Pucuk manis permatang budi,

Pucuk purut di getus rusa,


Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih pengacara majlis. Yang berbahagia ……………………………………………………………………., guru


besar, guru-guru, rakan-rakan, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan,
penjaga masa yang budiman, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasih sekalian.
Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah
pidato yang bertajuk, “ Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa
perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia”.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan
saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak
terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala :

Yang buta tidak teraba-raba,


Yang pekak tidak tertanya-tanya,
Yang kecil tidak terambin-ambin,
Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa rasmi
negara. Bahasa kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan oleh
penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia ialah Bahasa Melayu.

Para hakim yang bijaksana lagi arif,

Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Tuan-tuan dan Puan-
puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan kebangsaan.
Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul
kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah memerintah
sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuk oleh penjajah. Setelah kemerdekaan tercapai, Persekutuan
Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam
Bahagian 12 AM dan pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut
bahawa, “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen.” Maka terbuktilah bahawa
bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan negara daripada belenggu penjajahan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa
Kebangsaan keran bahasa Kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang
bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahas sendiri dan bangsanya
mempunyai identiti kebangsaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai
kempen telah diadakan seperti “Cintailah Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa” dan sebagainya. Rakyat
dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan.

Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih sebagai
bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa
utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan urusan rasmi negara. Contohnya, bahasa
Melayu digunakan dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran
negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan, seminar-seminar, di parlimen, bahkan
dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa
selai bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang
membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara
sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum, dengan hujah itu, terbukti lagi jelas
dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa
perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara anggota
masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan,
amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu
kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan
menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar
tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di
tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa
selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan faktor yang
membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan
menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan
negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai
alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa
pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan
pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Rakyat Malaysia yang
mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa Melayu berjaya meraih anugerah
hingga peringkat antarabangsa. Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa,
baik syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara.

Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa.
Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah,
pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi
bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti pembentukan
istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu
lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri
dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa
Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai lapisan
masyarakat. Ia merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua
golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu,
mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Ia juga
memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah memberikan satu manifestasi
yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa
bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat dan bangsa di tanah
air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus
didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.

Sebelum saya mengundur duru, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar
bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun :

Alang-alang menyeluk pekasam,


Biar sampai ke pangkal lengan,
Alang-alang bahasa dijulang,
Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian, wabillahi taufik wajhidayah wasalamualaikum warohmatullahi waborokatuh.

You might also like