You are on page 1of 17

SKRIP PIDATO SEKOLAH RENDAH

SK SERI PERMAI 2016

1. TAJUK: BAHASA MELAYU BAHASA KEBANGSAAN

Pucuk manis permatang budi,

Pucuk purut di getus rusa,

Yang manis bernama budi,

Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih pengacara majlis. Yang berbahagia ., guru besar, guru-guru, rakan-rakan,
kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa
yang budiman, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasih sekalian.
Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin
menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan
bahasa komunikasi rakyat Malaysia.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi
menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar
hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata,
seperti kata orang dahulu kala :

Yang buta tidak teraba-raba,

Yang pekak tidak tertanya-tanya,


Yang kecil tidak terambin-ambin,

Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi
sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa
yang diterima dan digunakan oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa
Kebangsaan bagi negara Malaysia ialah Bahasa Melayu.

Para hakim yang bijaksana lagi arif,

Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Tuan-tuan dan Puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara
Malaysia untuk kepentingan kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut
kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul kesedaran
untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah
memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuk oleh penjajah. Setelah
kemerdekaan tercapai, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam Bahagian 12 AM dan pelbagai
152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa,
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen. Maka
terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan
negara daripada belenggu penjajahan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia
mempunyai satu bahasa Kebangsaan keran bahasa Kebangsaan memberi gambaran
akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan
sendiri, menggunakan bahas sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebangsaan
sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah
diadakan seperti Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa dan sebagainya. Rakyat
dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa
kebangsaan.
Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain
dipilih sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan
pentadbiran dan urusan rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam
sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran negara.
Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan, seminar-seminar, di
parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan penggunaan
bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selai bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel
152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan penggunaan bahasa
Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara sekalipun, mereka
adalah penjenayah negara yang mesti dihukum, dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan
nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan peranan dalam urusan pentadbiran
negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat
Malaysia. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat
kemuafakatan antara anggota masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah
masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa.
Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut
melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan
menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam
dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila
penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka
akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa
kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan faktor yang membina
perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan
menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,


Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
sistem pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan
ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam
pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan
pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Rakyat
Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa
Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Ramai rakyat
Malaysia yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang beroperasi
dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara.

Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan
bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan
buah fikiran, hujah, pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah.
Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri
kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti pembentukan istilah atau konsep, dan
peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi ciri
kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan
diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
masyarakat. Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh
semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat. Ia merupakan bahasa ibunda dan
bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di
desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat
disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat. Ia
juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah
memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan
sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,


Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup
rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam
mengangkat martabat dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi
bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan,
bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus didaulatkan agar
keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.

Sebelum saya mengundur duru, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya
ada terkasar bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya ini
dengan serangkap pantun :

Alang-alang menyeluk pekasam,

Biar sampai ke pangkal lengan,

Alang-alang bahasa dijulang,

Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian, wabillahi taufik wajhidayah wasalamualaikum warohmatullahi waborokatuh.

2. TAJUK: KEPENTINGAN KEGIATAN KOKURIKULUM

Contoh Pidato Sekolah Rendah

Saya ………………………..,dari SK Hutchings,Pulau Pinang, ingin menyampaikan


sebuah
pidato yang bertajuk “Kepentingan Kegiatan Kokurikulum”.Selamat pagi dan salam
sejahtera
saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis,para hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga
masa yang sungguh setia dengan tugasnya serta para hadirin pendengar sekalian.
Pertama sekali,saya ingin menyatakan definisi tajuk pidato saya pada pagi yang mulia
ini
iaitu Kepentingan Kegiatan Kokurikulum. Menurut kamus Bahasa Melayu Edisi Kedua,
kepentingan bermaksud keperluan,kegiatan pula bermaksud aktiviti,manakala
kokurikulum
pula sama maksudnya dengan gerakkerja di luar bilik darjah.Bermakna Kepentingan
Kegiatan Kokurikulum sama maksudnya dengan keperluan aktiviti gerakkerja di luar
bilik
darjah.
Para pendengar sekalian,
Kegiatan Kokurikulum merangkum kegiatan persatuan atau kelab dan badan
beruniform.Antaranya, termasuklah Persatuan Bahasa Melayu,Persatuan Seni
Lukis,Persatuan Alam Sekitar,Persatuan Pengakap,Persatuan Tunas Puteri,Persatuan
Bulan
Sabit Merah dan Kadet Remaja Sekolah.
Warga dewan sekalian,
Selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang menghendaki Satu Murid
Satu
Sukan dengan ini setiap murid atau pelajar diwajibkan menyertai mana-mana persatuan
dan
badan beruniform.Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini banyak faedahnya.
Pertama,warga dewan sekalian,melalui kegiatan dalam persatuan,murid-murid bukan
sahaja
dapat memanfaatkan masa lapang,malah akan dapat memperolehi pelbagai
pengetahuan
dan pengalaman,lebih-lebih lagi jika menyertai lawatan sambil belajar ke tempat-tempat
yang menarik dan bersejarah.
Keduanya, para pendengar sekalian,peraturan yang mesti dipatuhi dalam persatuan
atau
kelab yang disertai pula membantu murid-murid mendisiplinkan diri.Dalam hal ini,murid-
murid dilatih agar bijak membahagikan dan mengurus masa,bijak merancang
aktiviti,bijak
mengawal perasaan dan sebagainya.
Ketiganya, murid-murid dilatih berdikari ketika menjalankan sesuatu tugasan dan
berdaya
saing untuk membuktikan tahap keupayaan fizikal dan mental masing-masing.
Yang terakhir,warga dewan yang dikasihi sekalian,sikap saling bekerjasama dan
bergaul
mesra dengan rakan-rakan pelbagai kaum dapat dipupuk melalui penyertaan murid
dalam
kegiatan kelab atau persatuan.Hal ini amat penting bagi memperkukuh perpaduan di
kalangan generasi muda seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Sekian,terima kasih dan salam 1Malaysia. Saya mohon mengundur diri.

3. TAJUK: SEMANGAT 1MALAYSIA TERAS KEJAYAAN

Sejambak kasih, seharum kasturi buat saudara/i peneraju majlis, kombinasi


kehakiman yang berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi
berwawasan seterusnya warga dewan sekalian. Assalamualaikum wm..wbt...

Semangat 1Malaysia Teras Kejayaan. Begitulah tajuk pidato saya pada hari ini.

Semangat bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan dan jiwa, 1Malaysia bolehlah


ditakrifkan sebagai rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.
Teras kejayaan pula bermaksud sesuatu yang menjadi asas agar berjaya
untuk kemenangan ataupun hasil yang diperoleh. Aspirasi ini adalah untuk
mewujudkan sebuah negara bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan
dalam kalangan rakyat.
Warga dewan yang dirahmati Allah sekalian,

Semangat persaudaraan membawa kejayaan negara tercinta. 1Malaysia adalah


lahir daripada semangat setiakawan. Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan
agama dan akar budaya namun rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang
sama iaitu Rukun Negara.

Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People
(Dengan Izin). Dalam hal ini, 1Malaysia, menuntut rakyat berfikir melepasi sempadan
kaum dan etnik masing-masing.

Hubungan kaum dan etnik dipereratkan bagi jangkamasa panjang. Kewujudan


satu bangsa Malaysia membentuk sikap menghormati, ikhlas, saling mempercayai dan
persaudaraan.

Buktinya RIMUP dan e-intergrasi telah mensasarkan murid-murid dari SK, SJK(C) dan
SJK(T) bersama-sama mengikuti satu program bersama. Pelaksanaan RIMUP dalam
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan adalah untuk membina negara bangsa.

Ideologi dengan semangat persaudaraan dalam 1Malaysia pasti menggerakkan


kejayaan negara.

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sidang intelektual sekalian,

Meniti wasilah kedua saya dengan untaian kata, Kemajuan ekonomi dinikmati,
kemakmuran negara dikecapi. 1Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara.
Pelancong dan pelabur asing mengenali rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi.
Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa, bioteknologi dan teknologi
nano. Menurut laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Malaysia mencatatkan
nilai digital 0.57 bermakna kita mendahului kemudahan akses digital dalam kalangan
negara ASEAN.

Justeru, 1Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi negara menjadikan


Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Idea terbilang terakhir saya dengan gagasan bicara, perpaduan dan semangat
nasionalisme, negara aman dan sentosa. Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu
dijadikan iktibar. Formula yang dicipta oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan
Siew Sin dan Tun Sambanthan adalah untuk perpaduan dan semangat nasionalisme.

Kini 1Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional.


Negara ini adalah negara kita. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu
dinikmati dan dikongsi secara bersama. Segala pembangunan adalah limpahan
daripada perpaduan yang diteruskan dalam 1Malaysia.

Lihatlah apa yang berlaku pada negara-negara yang sedang bergolak seperti
Mesir, Syria dan Libya. Perpaduan sudah tiada. Kemusnahan berlaku di mana-mana.
Rakyat menderita dan sengsara. Mengorbankan banyak nyawa. Sehingga melibatkan
campur tangan negara luar.

Kasihan.... Jangan sampai negara kita menerima nasib seperti mereka. Kami,
anak-anak pasca merdeka dahagakan keamanan untuk kesejahteraan.Saya menyeru
tuan-tuan, puan-puan dan rakan-rakan sekalian berpegang pada konsep 1Malaysia
agar negara ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

‘Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.’


Sekian, salam ilmiah menjana sahsiah.

TAJUK 4: ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan
berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.

Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa membudayakan
pemahaman teori dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan kerana diyakini ilmu
mampu menghijrahkan manusia dari gelita kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan
manusia.

Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat manusia.

Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan.
Namun bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.

Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu pelaksanaan


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memfokuskan kepada
usaha membangunkan modal insan berilmu menerusi proses pendidikan berkualiti.
Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) 2011, kadar
literasi rakyat kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran menurun 3.1% dan indeks
kebolehpasaran graduan pula mencatatkan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini
membuktikan bahawa dengan menguasai ilmu berguna, untung nasib rakyat dapat dibela
sekaligus taraf hidup mereka mampu dijana.

Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.

Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah Kanji
dan Katagana, maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan mengangkat
bahasa Melayu sebagai bahasa wasilah ilmu.

Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca.


Hasilnya, peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil Membaca
Rakyat Malaysia 2008-2011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa Malaysia akan
berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama, bertitik-tolak dari budaya membaca. Benarlah
bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda bangsa.

Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.

Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam ke
atas Melaka dan kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari serangan
todak. Bukti jelas bahawa kemandirian sesebuah bangsa banyak bergantung kepada
kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja, dari
pelancaran program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan teknikal dan
vokasional; sehinggalah program Brain Gain di peringkat IPT, semuanya bertujuan untuk
melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan kreatif sekaligus memberi
sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa terpuji.

Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa al-insan madani bi


al-taba’, manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan sahsiahnya. Bahkan
pepatah Melayu turut menggesa agar kita mengikut resmi padi, semakin berisi, semakin
tunduk.

Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu
keperluan. Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita
perkasakan, pendidikan agama dan moral kita mantapkan bahkan kempen budi bahasa
kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir
manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan ilmu
dalam kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, kalimah iqra’
menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah cahaya, pelita hidup manusia.
Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.

TAJUK 5: BUDI BAHASA AMALAN MULIA

Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah
berkata,Bangsa yang mulia dan terhormat bukan sahaja bangsa yang kaya dengan
intelek tetapi kaya dengan sikap berbudi bahasa.Kata-kata ini membuat saya terpanggil
untuk merungkaikan melalui sebuah pidato yang berpaksikan tajuk Budi Bahasa Amalan
Mulia.

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman
intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan rakan-
rakan yang dikasihi.

Assalamualikum salam sejahtera dan salam satu Malaysia ,

Sidang saksi yang saya hormati,

Izinkan saya puteri Toh Sajak merungkaikan maksud pidato saya pada hari ini.
Budi bahasa merujuk kepada tutur kata ,kelakuan , sopan santun dan tatatertib . Dengan
kata lain setiap gerak laku , tutur kata , tata cara hidup, pemikiran dan perasaan baik
terhadap orang lain, mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi
bahasa.

Sidang saksi yang saya muliakan


Sesunnguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya ,peradaban dan agama
kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Ingatlah falsafah hdup yang bertunjangkan nilai-nilai murni
akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia

Meninjau dari skop yang lebih luas , amalan berbudi bahasa dapat melahirkan
masyarakat yang lebih bertamadun dan memiliki tahap tatasusila yang tinggi. Bagi
merealisasikannya subjek pendidikan moral dan pendididkan Islam memainkan peranan
penting dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada murid-murid seawal mereka di
bangku persekolahan.Bak kata perpatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Banyak implikasi akan timbul jika masalah budi bahasa tidak dihiraukan . Gejala tidak
menghormati orang tua akan membawa kepada kesan buruk seperti wujud perasaan
dendam,kasar,tidak segan silu melakukan perkara-perkara buruk,tutur bahasa yang
kasar dan tidak sopan.Ini semua berlaku akibat terpengaruh dengan pelbagai budaya
yang tidak sihat,terikut-ikut dengan budaya barat sehingga lupa kepada nilai-nilai murni
dan adat resam timur yang akhirnya mempengaruhi imej,watak dan penampilan diri
seseorang. Mengamalkan budaya bahasa yang baik dan nilai-nilai murni mencerminkan
seseorang itu memiliki budi pekerti tinggi.
Amalan berbudaya bahasa menzahirkan rasa hormat antara satu sama lain,contohnya
orang muda menghormati orang tua,anak menghormati ibu bapa,murid menghormati
guru.Dengan jelasnya kita dituntut menghormati orang tua dan menyayangi orang
muda.Firman Allah s.w.t: dalam surah Al-Hajh ayat 24 bermaksud,
“Dan mereka diberi petunjuk (didunia) dengan mengucapkan kata-kata yang baik serta
diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji”.
Dewasa ini amalan budi bahasa dikalangan masyarakat kita semakin luntur nilai-nilai
budaya bahasanya.Ini disebabkan oleh tuntutan mengejar kebendaan,pangkat hingga
menafikan nilai-nilai murni.Dengan terhakisnya nilai-nilai murni menyebabkan
masyarakat luntur akhlaknya.Kita mestilah berusaha untuk menaikkan kembali budaya
Melayu dipersada dunia dengan budi pekerti yang mulia. Budi bahasa perlu diterapkan
dalam apa jua keadaan agar budaya dan agama kita dinilai sebagai yang terbaik.
Sidang penonton penuh santun,
Bahasa melambangkan bangsa”.Justeru ia perlu diterapkan dalam apa jua keadaan dan
masa agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik.Kita hendaklah
membudayakan budi bahasa samada ditempat kerja,jalan raya,rumah dan masjid.Kita
juga perlu sentiasa mempamerkan imej diri yang positif dalam segala tindakan samada
cara berfikir,melahirkan perasaan,pertuturan dan perlakuan.Hanya dengan cara itulah
kita dapat membentuk satu budaya kerja yang mantap dan berkesan.

Jika suasana ini dapat diwujudkan,maka kemesraan akan wujud,saling hormat-


menghormati antara satu sama lain,tanpa memperkecilkan dan meremehkan pandangan
orang lain.
“Tegak rumah kerana sendi,
Rosak sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi,
Rosak budi runtuhlah bangsa”
.
Sidang saksi yang dihormati,

Kesimpulannya,untuk memastikan amalan berbudi bahasa ini subur dalam setiap


masyarakat pada setiap masa, maka semua pihak perlulah memainkan peranan masing-
masing.Setiap ibu bapa adalah model dan sewajarnya menunjulkan sikap yang terbaik
ketika berkomunikasi dengan anak-anak.Ibu bapa perlu menyemai sikap berbudi bahasa
yang cemerlang samada percakapan atau perbuatan.
Media massa diharapkan dapat memainkan peranan penting ke arah melahirkan
generasi berbudi bahasa melalui penyebaran maklumat kepada pengguna.Pemantauan
hendaklah dilakukan dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa untuk memastikan
budaya berbudi bahasa dapat dihayati oleh masyarakat.
Marilah sama-sama kita menerapkan amalan budi bahasa dalam
komunikasi,ucapan,pertuturan,panggilan,pergaulan dan perlakuan samada dalam
keluarga,masyarakat,mahu pun di tempat kerja.
Apa tanda Melayu jati
Adat dan syariat dipegang mati
Apa tanda Melayu beradat
Budi bahasa dipegang erat
.
Sekian terima kasih.

4. TAJUK PIDATO : ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,


Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana,
Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin –hadirat sekalian.

Assalamualaikum pembuka bicara.


“Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Begitulah tajuk pidato yang akan saya
sampaikan pada hari ini. Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan
dahulu tajuk pidatoan ini.

Mengikut kamus dewan, ‘alam sekitar’ ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan
di langit.
‘Tanggungjawab’ pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh
seseorang, manakala ‘bersama’ pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau


mencorakkan alam sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak.
Bak kata pepatah hadirin-hadirat sekalian, ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata
kerana muafakat. Maka segala usaha untuk membersihkan dan mencantikkan alam
sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

Hadirin yang dihormati,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di
sana sini mata dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan
arus pembangunan yang kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin
rancak, janganlah pula kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar kerana
sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Hadirin yang dihormati,

Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa


tanggungjawab itu lebih daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh
dilakukan secara sendirian. Semua pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu
menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan
adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu bertanggungjawab untuk memulihara
alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, sungai dipenuhi
sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam
sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar.

Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat
alam. Mereka percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya
juga demikian.

Hadirin yang dikasihi.

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita.
Alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara
tidak langsung hadirin sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh
beralih ke sector pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya
kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam sekitar.

Hadirin yang dihormati,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk
kepada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Kanak-kanak perlu diberi pendidikan
supaya mencintai alam sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya
menjadi teladan kepada golongan muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata
sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka
perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan
memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian
bahawa pendidikan menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang
pujangga Yunani, iaitu hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-
kata itu mengingatkan kita kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya
dalam konteks mencintai alam sekitar.

Hadirin sekalian.

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam
sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan
kepekaan kita terhadap alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa
tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak
mahu hidup kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah
sumber makanan dan udara yang sihat. Oleh itu, untuk memastikan tubuh kita sihat,
semuanya bergantung pada alam sekitar yang sihat.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-
sama bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini
sebelum saya menutup bicara :
Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa
Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya.
Sekian, terima kasih

You might also like