You are on page 1of 4

PIDATO FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

Terima kasih pengacara majlis. Yang berbahagia, guru besar, guru-guru, rakan-rakan,
kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa
yang budiman, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi
sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah ini tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin
menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu
dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kita membelah bicara, sebelum isi
menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar
hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga

Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi
sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa
yang diterima dan digunakan oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa
Kebangsaan bagi negara Malaysia ialah Bahasa Melayu.

Para hakim yang bijaksana lagi arif,

Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
Tuan-tuan dan puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara
Malaysia untuk kepentingan kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut
kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul kesedaran
untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah
memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuk oleh penjajah. Setelah
kemerdekaan tercapai, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam Bahagian 12 AM dan pelbagai
152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa,
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa
tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen.
Maka terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan
kedaulatan negara daripada belenggu penjajahan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia
mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi
gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa
kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti
kebangsaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai
kempen telah diadakan seperti Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa dan

1
sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri
dengan bahasa kebangsaan.

Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Selain dipilih sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala
urusan pentadbiran dan urusan rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan
dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran
negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-
mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan-persidangan,
seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti
diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu
adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang
membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk
pemimpin negara sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum,
dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu
memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat
Malaysia. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali
pengikat pemuafakatan antara anggota masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat kita
adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan
bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian
tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan
menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam
dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila
penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka
akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan,
rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan faktor yang membina
perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu
dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam
sistem pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan
ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam
pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan
pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Rakyat
Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa
Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Ramai rakyat

2
Malaysia yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang
beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara.

Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan
bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam
menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan
dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai
ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti pembentukan istilah atau
konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain
lagi. Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu
mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari
semasa ke semasa.

Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
masyarakat. Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh
semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat. Ia merupakan bahasa ibunda dan
bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di
desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat
disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat.
Ia juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah
memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan
sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup
rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam
mengangkat martabat dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala
fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa
perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus
didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.

Sebelum saya mengundur diri saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya
ada terkasar bahasa, tersalah kata atau tersilap bicara. Saya mengakhiri pidato saya
ini dengan serangkap pantun :

Alang-alang menyeluk pekasam,

Biar sampai ke pangkal lengan,

Alang-alang bahasa dijulang,

Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian terima kasih.

3
4

You might also like