You are on page 1of 11

1.

0 PENDAHULUAN

Permulaan abad ke 19 telah menyebabkan munculnya satu pengenalan kaedah

objektiviti dalam penulisan sejarah secara meluas. Ahli sejarah tersebut tidak lain tidak bukan

ialah Leopold Von Ranke yakni seorang ahli sejarah dari Jerman. Objektiviti dalam makna

yang mudah ialah satu keadaan yang tidak dipengaruhi oleh perasaan dan prasangka sendiri.

Ranke dalam fikirannya melihat matlamat sejarah ialah memaparkan kejadian-kejadian lalu

sebagaimana ia benar-benar berlaku atau “wie es eigentlich gewesen”.1 Ia bermaksud fakta

sejarah yang bercakap tanpa sebarang penglibatan ahli sejarah. Tanggapan bahawa Ranke

sebagai pencetus objektiviti dalam sejarah tidaklah tepat kerana fakta sebelum itu

menunjukkan ahli sejarah seperti Herodotus, Thucydides dan Ibnu Khaldun telah pun

menjadikan objektiviti dalam sejarah sebagai satu perkara yang penting. Herodotus misalnya

menyedari kepentingan menapis bahan bukti bagi menjamin kesucian sesebuah kajian

tersebut. Begitu juga dengan sarjana Islam yang hidup pada abad ke 14 iaitu Ibnu Khaldun

menyarankan bahawa lunas sejarah perlu diikuti oleh ahli sejarah demi menghasilkan karya

sejarah yang objektif. Maka, ia sudah jelas memperlihatkan kepada kita bahawa konsep

objektiviti dalam sejarah sudah lama diamalkan dalam kalangan ahli sejarah.

Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan secara kritis mengenai

perdebatan antara dua aliran iaitu objektif dan relatif mengenai soal objektiviti dalam

penulisan sejarah. Dalam penulisan ini juga, penulis akan turut menyelitkan beberapa

pandangan penulis mengenai kemampuan ahli sejarah untuk menulis sejarah yang bersifat

objektiviti. Di akhir penulisan ini, para pembaca akan dapat menilai sejauh mana kemampuan

objektiviti dalam sejarah itu dapat dihasilkan oleh golongan ahli sejarah.

1
R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Merican & Sons, 1985, hlm. 120.

1
2.0 ISU OBJEKTIVITI DALAM SEJARAH

Kaedah yang diperkenalkan Ranke pada awalnya berjaya menyakinkan ahli sejarah

dan sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan untuk melatih bakal ahli sejarah untuk menulis

sejarah secara objektif. Mengikut Ranke, objektiviti dalam sejarah boleh dicapai sekiranya

ahli sejarah menggunakan semua fakta yang ada, menguji kesahihan fakta, menggunakan

fakta tanpa pilih kasih dan mengelakkan pengadilan moral dalam penulisan sejarah.

Sumbangan Ranke yang telah menarik minat ramai ahli sejarah dari pelbagai negara Eropah

seperti Amerika Syarikat telah membawa penghargaan kepada beliau di mana Ranke telah

dilantik sebagai ahli kehormat American Historical Asssociation yang pertama.2 Sokongan

terhadap aliran sejarah objektif mula tergugat apabila sarjana Relatif seperti Carl Becker,

Charles Beard, Benedetto Croce, Walsh dan sebagainya telah mempersoalkan kewajaran dan

keupayaan ahli sejarah menulis sejarah secara objektif. Tumpuan aliran relativisme hanya

merujuk kepada Carl Becker dan Charles Beard sahaja memandangkan mereka berdua

merupakan ahli sejarah yang mempunyai kredibiliti yang hebat dalam menyampaikan

pengetahuan mengenai aliran relativis.

Carl Becker mengatakan bahawa begitu sukar untuk merealisasikan impian

menghasilkan objektiviti dalam sejarah kerana pembawaan sesuatu sumber itu bergantung

pada pemilihan ahli sejarah. Beliau menambah lagi bahawa kemungkinan besar penulisan

sejarah itu bergantung pada pemikiran dan pengalaman mereka sendiri sehingga

menyebabkan hasil penulisan sesuatu peristiwa sejarah bagi dua orang ahli sejarah

kebiasaannya adalah tidak sama.3 Kenyataan beliau ini sebenarnya menunjukkan beliau

sebenarnya kurang memahami mengenai kajian sejarah. Kajian sejarah tidak akan pernah

mempunyai satu jawapan yang tetap. Jika ia mempunyai lebih satu penafsiran, itu dianggap

2
K. Anbalakan, Objektiviti Dalam Sejarah : Bukan Satu Impian, dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon Kheng
(ed), Isu-isu Pensejarahan, Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 45.
3
Ibid., hlm. 46.

2
sebagai satu keistimewaan kajian sejarah. Sebagai contoh, perdebatan antara ahli sejarah John

Bastin dengan John Smail berkenaan isu sentrik dalam penulisan sejarah, walaupun

penafsiran kajian antara dua individu ini berbeza, namun kita tidak boleh menafikan bahawa

salah seorang dari mereka adalah tidak bersifat objektif. Kajian sejarah hanya akan menjadi

tidak objektif jika tidak disertakan oleh bukti yang kukuh. Perbezaan ini berlaku disebabkan

ahli sejarah sentiasa mencari jawapan bagi setiap persoalan yang berlainan. Tambahan,

pemilihan sumber yang berat sebelah oleh ahli sejarah yang dikatakan oleh Relativis tidaklah

bermakna sesuatu penulisan itu tidak objektif. Itu hanyalah anggapan golongan tersebut

sahaja. Kassim Ahmad dalam Sumber, Pengesahan dan Penafsiran Sejarah menyatakan

“… harus juga diingat bahawa apabila sejarawan berusaha menghasilkan penulisan sejarah

yang boleh membawa pemahaman yang jitu dan menyeluruh dia mungkin tidak melibatkan

semua maklumat terbabit dengan tajuk yang dibincangkan tetapi hanya yang difikirkan

penting sahaja… .”4 Pastinya hanya ahli sejarah yang mengetahui mengapa sesuatu sumber

itu diterima dan ditolak. Tidak sesuai dalam bidang sejarah untuk menulis semua perkara

termasuk perkara sampingan yang tidak berapa penting.

Pendapat sama diutarakan oleh Profesor Charles Beard dalam Written History as an

Act of Fait’ di mana beliau mengatakan sejarah ialah satu pemikiran mengenai zaman

lampau. Tunjang masalah kepada isu objektiviti sejarah ini ialah ahli sejarah dikatakan tidak

adil dalam pemilihan fakta dan penyusunan bahan tersebut sehingga beliau dalam pada masa

yang sama menyatakan tulisan Ranke sendiri sudah menunjukkan sikap berat sebelah yang

lebih mencerminkan pandangan kelas berkuasa di Eropah. Itulah yang dikatakan dalam buku

Sejarawan dan Pensejarahan bahawa hakikatnya perlu ahli sejarah tahu keadaan sebegini

sudah pasti akan berlaku walau pada asalnya sumber tersebut yang asas dan objektif tetapi

4
Kassim Ahmad, Sumber, Pengesahan Fakta dan Pentafsiran Sejarah dalam Abu Talib Ahmad dan Cheah Boon
Kheng (ed), Isu-isu Pensejarahan, Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 60.

3
berada di dalam tangan sejarawan belum tentu ia akan dapat terus bertahan sedemikian.5

Pandangan Beard juga menjurus kepada kelemahan objektiviti itu sendiri di mana beliau

menyatakan objektiviti sejarah sukar dilaksanakan akibat perbezaan kaedah kajian dan ahli

sejarah gagal memisahkan diri secara mutlak berbanding ahli sains. 6 Sains semula jadi

sebenarnya bukanlah satu bidang mutlak yang boleh terus diberi jawapan yang tepat malah ia

juga perlu melalui satu proses ke satu proses. Menurut Bury, sejarah seperti di dalam sains,

proses yang biasa bagi pemikiran itu adalah sesuatu yang disimpulkan iaitu ia bermula

dengan satu penekanan dan seterusnya pembuktian.7 Pandangan ini membuktikan ahli sains

juga mempunyai satu sikap perasaan terhadap sesuatu teori dan kajian yang dijalankan

selepas itu hanyalah bertujuan membuktikan kebenaran sesuatu teori itu. Ini juga boleh

menafikan kenyataan Walsh dalam Pengenalan Kepada Sejarah yang menyatakan bahawa

bidang sejarah tidak berupaya untuk mengenepikan kajiannya daripada unsur prasangka. 8

Walhal kita sebenarnya perlu melihat dari aspek yang meluas bahawa mana-mana bidang

ilmu sekalipun termasuklah sains akan mempunyai satu pemikiran dan anggapan mengenai

sesuatu perkara. Hakikatnya masalah ini merupakan satu lumrah kepada mana-mana bidang

sekalipun walau Beard sedaya upaya untuk meletakkan bidang sains lebih unggul berbanding

bidang sejarah.

Hujahan yang dikemukakan oleh Beard dan Becker kelihatan ada asasnya namun ia

memperlihatkan satu pandangan yang negatif terhadap objektiviti sejarah. Penulis ingin

membawa pembaca kepada istilah sains yang sering disamakan dengan sejarah. Kita perlu

mengetahui bahawa sejarah dan sains adalah dua bidang yang sangat berbeza. Skop kajian

sains hanya meliputi bahan yang tidak bernyawa dan berjiwa berbanding sejarah yang

5
Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1988, hlm. 18.
6
K. Anbalakan, Objektiviti Dalam Sejarah : Bukan Satu Impian, hlm. 45.
7
R.G Collingwood, Terj. Muhd Yusuf Ibrahim, Idea Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985,
hlm. 313.
8
R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hlm. 127.

4
meliputi tindakan manusia yang terjadi pada masa lampau akibat pemikiran manusia itu

sendiri. Oleh itu, ahli sejarah terpaksa mengkaji pemikiran dalaman manusia untuk menilai

sesuatu tindakan manusia dahulu yang sebenarnya tidak dapat diaplikasikan mengguna

kaedah sains semula jadi. Itulah yang dimaksudkan oleh Collingwood “… semua sejarah

adalah sejarah pemikiran dan maka pemikiran itu adalah jiwa dan dinamik penggerak bagi

perjalanan sejarah melalui ruang dan waktu… .”9 Falsafah beliau ini menunjukkan bahawa

sejarah bukanlah seperti sains di mana sesuatu bahan itu dikaji untuk menggunakan sesuatu

alat tetapi sebaliknya menggunakan pemikiran ahli sejarah itu sendiri.

Tambahan, pemikiran yang dikatakan itu tidak bererti seorang ahli sejarah bebas

melakukan penulisan secara membuta tuli dan dikawal oleh perasaan peribadi. Sifat manusia

yang sentiasa penuh dengan kelemahan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk

penyebab kegagalan menulis secara objektiviti. Ahli sejarah seharusnya sedar bahawa

keburukan akan menanti jika penulisan sejarah itu dicemari dengan unsur pengalaman

peribadi. Ahli sejarah dikatakan oleh E.H Carr bahawa tidak dapat membebaskan diri dengan

sepenuhnya daripada pengaruh sezaman dan nilai budayanya. Carr mengatakan dalam

bukunya Apakah Sejarah bahawa ;

“pemikiran ahli-ahli sejarah seperti pemikiran manusia lain adalah


dibentuk oleh persekitaran waktu dan tempat”. 10

Beliau juga menambah bahawa ;

“Sebelum anda mengkaji sejarah, kajilah sejarah dan sebelum anda


mengkaji ahli sejarah, kajilah persekitaran sejarah dan
sosialnya.”11

9
Muhd Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997, hlm. 64.
10
E.H Carr, Terj. Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
hlm. 43.
11
Ibid., hlm. 44.

5
Antara ciri sejarah yang objektif ialah tiada unsur berat sebelah. Penulisan sejarah

tidak boleh dipengaruhi perasaan ahli sejarah itu sendiri. Walau bagaimanapun, unsur

peribadi dan emosi sememangnya diakui oleh kebanyakan sarjana terutamanya golongan

relativis bahawa ia merupakan perkara yang boleh menjejaskan objektiviti dalam sejarah.

Setiap ahli sejarah mempunyai emosi dan pendirian masing-masing serta dikatakan perkara

ini akan mempengaruhi gaya penulisan sejarah. Masalah ini yang dikatakan oleh Relativis

bahawa sejarah tidak akan mampu menjadi objektiviti sekiranya unsur peribadi ini tidak

dikikis. Penulis mengambil contoh gaya penulisan karya Red Star over Malaya hasil tulisan

Cheah Boon Kheng. Beliau misalnya menyatakan pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah

menyebabkan penderitaan oleh masyarakat Cina. Beliau turut menyatakan bahawa kaum

India mengalami penderitaan yang kurang berbanding kaum Cina disebabkan layanan baik

yang diberikan oleh pihak Jepun dan perasaan balas dendam Jepun kepada orang Cina sejak
12
konflik antara dua pihak sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu lagi. Cheah Boon

Kheng dikatakan mempunyai sifat empati yang tinggi terhadap kaumnya sendiri mengenai

penderitaan semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Walaupun apa yang dikatakan oleh

beliau itu mempunyai bukti yang sahih dan benar tetapi perasaan sayang terhadap bangsanya

sendiri terlalu kuat sehingga mengaburi gaya penulisannya sendiri. Itulah yang diperkatakan

oleh golongan Relativis bahawa emosi ahli sejarah ini menyebabkan kegagalan objektiviti

sejarah itu untuk dicapai.

Penulis ingin menyuarakan pendapat bahawa tugas untuk mengelakkan unsur

berat sebelah amatlah sukar sebenarnya tetapi tidak mustahil jika ahli sejarah dapat

menyedari ketidakupayaan diri untuk memisahkan diri secara mutlak dengan perkara yang

dikaji dan hasilnya akan mampu menghasilkan penulisan yang objektif walaupun sedikit.

12
Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya : Resistance and Social Conflict During and After the Japanese
Occupation of Malaya 1941-1946 , Singapura : Univerisiti Singapura, 1983, hlm. 41.

6
Penulis tidak menafikan penulisan Cheah Boon Kheng ini kerana ia ditulis berdasarkan

fakta dan sumber yang sahih tetapi berdasarkan kenyataan Mandelbaum dalam buku The

Anatomy of Historical Knowledge iaitu “… a person may be said to be objective if he is not

prejudiced for or against specific individuals because of their class, their nationality, their

religion or their race…”13 sepatutnya sudah memberi pembaca satu ruang lingkup

penjelasan yang jelas dan terang. Bagi penulis, unsur emosi ini diakui sukar untuk

dihapuskan tetapi ia tidak bermakna objektiviti tidak boleh dihasilkan dengan mengambil

langkah berhati-hati dan mempunyai kesedaran mengenainya serta cuba mengurangkan

unsur emosi itu dalam penulisan.

Sikap subjektif dalam diri ahli sejarah juga memainkan peranan penting. Sikap

subjektif ini sebenarnya telah wujud dalam diri semua manusia sejak awal-awal lagi. Ia

bermaksud bagaimana seseorang ahli sejarah itu mempunyai hasrat dan tujuan tertentu

dalam penulisannya. Sikap subjektif dalam penulisan boleh dilihat dalam kebanyakan

hikayat tradisional Melayu. Kita akan melihat gaya penulisan Sulalatus Salatin yang

dikarang oleh Tun Sri Lanang. Berikut ialah kata-kata dalam Sulalatus Salatin mengenai

Maharaja China ;

“… Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah pada raja China,
demikian sembahnya,“ Tuanku seri kopiah, adapun penyakit
kenohong ini tiada akan terubati oleh patik-patik sekalian; kerana
penyakit ini bersebab datangnya. Maka titah raja China,” Apa
sebabnya penyakit ini?” Maka sembah tabib tua itu, “ Tuanku ini
tulah, kerana raja Melaka berkirim sembah itu. Jikalau tiada air
basuh kaki raja Melaka, tuanku santap dan dibasuhkan muka
tuanku yang telah kedal anjing itu, tiadalah akan sembuh penyakit
tuanku ini …” 14

13
Maurice Mandelbaum, The Anatomy of Historical Knowledge, London : The Johns Hopkins University, 1977,
hlm. 146.
14
A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010, hlm. 136.

7
Kita boleh melihat unsur subjektif yang ketara dalam penulisan ini di mana ia bertujuan

menggembirakan hati sultan sekali gus penceritaan itu hanya berfokus kepada berlandaskan

emosi Tun Sri Lanang yang menekankan pengaruh golongan atasan. Bagi penulis, unsur

subjektif dan bias ini sebenarnya tidak akan membawa satu pemahaman cerita yang jelas

tetapi hanya dipenuhi dengan unsur keagungan dan kehebatan sesuatu pihak sahaja.

Kenyataan dalam buku The Modern Researcher iaitu “Bias is an uncontrolled form of

interest. It is easily detected but its presence does not tell us all we need to know about an

historical report.”15 Golongan Relativis amat risau akan tindakan sebegini kerana ia dilihat

mampu meranapkan impian objektiviti sejarah itu sendiri. Bagi penulis, dalam penulisan

sejarah kini, ahli sejarah mesti mengetahui selok-belok penulisan agar tidak mempunyai

unsur subjektif dalam penghasilan sejarah yang objektif.

Antara ciri untuk mewujudkan sejarah yang objektif ialah penolakan pengadilan

moral. Pengadilan moral mengikut definisi Kasim Ahmad ialah perlakuan menjatuhkan

hukuman atau tindakan mengenakan penilaian tertentu terhadap sesuatu peristiwa sejarah

dan seseorang pelaku sejarah.16 Sebagai contoh, perkataan seperti zalim, baik dan

membunuh sudah dianggap menjatuhkan satu penilaian tindakan kepada pelaku sejarah.

Mengikut Benedetto Groce dalam History as The Story of Liberty, beliau menafikan

tanggungjawab ahli sejarah sebagai mahkamah yang meneliti segala perbuatan pelaku

sejarah dan menjatuhkan keputusan muktamad yang membezakan orang yang mulia dengan

orang yang berdosa.17 Perbezaan nilai antara zaman dahulu dan kini dan ketidakmampuan

ahli sejarah menembusi lubuk hati pelaku sejarah seharusnya dijadikan sebab penolakan

pengadilan moral ini. Tambahan, jika diteliti dalam penggunaan bahasa kita akan melihat

15
Jacques Barzun, Henry F. Graff, The Modern Researcher, Amerika Syarikat : Harcourt Brace Jovanovich, 1977,
hlm. 152.
16
Kassim Ahmad, Sejarah : Pendekatan dan Persoalan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm.
35.
17
R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hlm. 91.

8
bahawa penggunaan kata dan ungkapan tertentu tidak dapat dielakkan kerana sesetengah

kata itu berperanan sebagai pelengkap kata. Penggunaan kata tersebut boleh disalah anggap

oleh pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan pergaduhan. Kassim Ahmad menyatakan

bahawa “…pemilihan kata-kata dan ungkapan tertentu juga mungkin dipertikaikan kerana

bagi sesetengah pihak sesuatu perkataan dan ungkapan tertentu mungkin membawa

implikasi serta makna yang dipercayai boleh mengubah gambaran tentang peristiwa sejarah

… .”18

Penulis mengakui pengadilan moral ini kadangkala mampu mengakibatkan

penulisan menjadi berat sebelah sekali gus memberi kesan kepada objektiviti itu sendiri.

Sebagai contoh, ayat seperti “kemaraan Jepun ke Tanah Melayu menyebabkan orang cina

mengalami penderitaan”. Perkataan “penderitaan” itu dianggap telah menjatuhkan tindakan

moral kerana seakan-akan telah memberi satu prejudis kepada pihak Jepun . Namun jika

meneliti apa yang dikatakan oleh Ranke, beliau menyatakan bahawa pengadilan moral

seperti pujian dan kutukan boleh dilaksanakan asalkan mempunyai sumber yang sahih.19

Beliau tidaklah menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap pengadilan moral kerana beliau

tahu pengadilan moral mampu mengakibatkan objektiviti dalam sejarah terjejas jika ia

dilakukan dalam peristiwa kurang masak dan disalahgunakan. Apa yang boleh dikatakan

ialah pengadilan moral bukanlah satu perkara yang negatif kerana ia juga merupakan satu

bidang ilmu dalam kajian sejarah tetapi ia bergantung pada pemikiran ahli sejarah yang

mencorakkannya. Apa yang pasti, kenyataan yang memberi penilaian moral itu mestilah

mempunyai bukti yang sahih dan mempunyai penerangan mengenai niat, jenis tindakan dan

kesan tindakan tersebut kepada sesuatu pihak yang lain. Hal ini dapat menjamin ketulenan

objektiviti dalam sejarah.

18
Kassim Ahmad, Sumber Pengesahan Fakta dan Pentafsiran Sejarah, hlm. 65.
19
Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 291.

9
3.0 KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh penulis simpulkan ialah penulisan sejarah mestilah bersifat

objektif bagi menjaga ketulenan kandungan tersebut. Penulisan sejarah yang objektif

dikatakan hanya membiarkan dokumen bercakap dengan sendiri. Antara ciri penulisan yang

objektif ialah tidak berat sebelah, penyelidikan yang sistematik dan penganalisisan sumber

secara kritis dan jujur. Ciri tersebut dikatakan menyamai penulisan sejarah oleh Herodotus

dan Thucydides yang menitikberatkan kesucian tulisan sejarah sehingga Herodotus dianggap

sebagai Bapa sejarah. Namun halangan kepada objektiviti dalam sejarah dilihat lebih kepada

peranan dan kekuragan ahli sejarah itu sendiri.

Melalui perbincangan yang ditunjukkan, jelas memperlihatkan bahawa objektiviti

dalam sejarah ini mampu dihasilkan. Namun demikian, beberapa halangan yang

menyebabkan objektiviti sejarah ini sukar untuk dilaksanakan. Halangan itu jika dilihat

adalah berpunca daripada kelemahan ahli sejarah itu sendiri sebagai manusia. Jika ahli

sejarah yang lemah, kenapa perlu mempertikaikan objektiviti dalam bidang sejarah.

Objektiviti dalam sejarah merupakan salah satu cabang ilmu bidang sejarah dan ia

sebenarnya tidak memperlihatkan kelemahan. Setiap ahli sejarah perlu percaya dan bertolak

andaian bahawa objektiviti boleh dicapai maka penulisan yang adil juga dapat dihasilkan.

Jika sebaliknya seperti yang terjadi pada golongan Relativis maka penghasilan penulisan

sejarah itu juga akan menjadi lebih mundur dari hakikatnya.

10
4.0 SUMBER RUJUKAN

Abu Talib Ahmad & Cheah Boon Kheng. 1995. Isu-Isu Pensejarahan. Pulau Pinang
Universiti Sains Malaysia.

A. Samad Ahmad. 2010. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Barzun Jacques & F. Graff Henry. 1977. The Modern Researcher. Amerika Syarikat :
Harcourt Brace Jovanovich.

Cheah Boon Kheng. 1983. Red Star Over Malaya : Resistance and Social Conflict
During and After the Japanese Occupation of Malaya 1941-1946. Singapura :
Universiti Singapura.

Carr, E.H. 1984. Apakah Sejarah?. Terjemahan oleh Abdul Rahman Haji Ismail. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collingwood R.G. Terj. Muhd Yusuf Ibrahim. 1985. Idea Sejarah. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kassim Ahmad. 1991. Sejarah : Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Muhd Yusuf Ibrahim. 1997. Ilmu Sejarah : Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusuf Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mandelbaum Maurice. 1977. The Anatomy of Historical Knowledge. London : The Johns
Hopkins University.

Suntharalingam, R. 1985. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Merican & Sons.
11

You might also like