You are on page 1of 4

SKETSA PERONALITI : LEFTENAN MOHD MUKHWIM BIN MAGHRBI, KETUA

PENOLONG PENDAFTAR BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA


UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

‘Kepimpinan bukan sesuatu yang boleh kita hayati dengan hanya berada di bilik hawa dingin,
ditunjukkan slaid dan mendengar taklimat selama beberapa hari atau jam, dan kemudian kita
melangkah keluar pintu sebagai seorang pemimpin. Kepimpinan sesungguhnya adalah sesuatu
yang perlu dirasai, dihayati dan seolah-olah sifat itu tertanam dalam hati seseorang, sehingga
dalam mimpi sekalipun, dia memimpin sesuatu’.

Kenyataan ini dengan segera menerjah perhatian penulis apabila ditanya kepada Leftenan Mohd
Mukhwim Maghribi berkenaan apakah itu kepimpinan dan apakah maknanya kepada beliau.
Seolah-olah pula kalimah tersebut tersedia setiap hari di dalam pemikirannya, dengan segera
kenyataan ini dituturkan tanpa ada kesalahan kata dan bahasa.

Penulis berhadapan dengan sedikit usaha yang lebih untuk mendapatkan temu janji bersama
beliau, tugas sebagai seorang Ketua Penolong Pendaftar di Bahagian Pengurusan Sumber
Manusia Sumber Manusia Universiti Sains Malaysia (USM) dan ditambah pula dengan peranan
penting beliau menguruskan Konvokesyen USM ke 50, seakan tidak memungkinkan pertemuan
dua mata untuk penghuraian kepimpinan dalam penulisan ini. Namun, dengan komitmen beliau
yang bersungguh-sungguh, penulis berjaya mencungkil satu perspektif baharu dalam teori
kepimpinan yang belum pernah terbaca dalam mana-mana penulisan atau terbitan di bawah tajuk
ini.

Leftenan Mohd Mukhwim Maghribi dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana di Jelutong
Pulau Pinang. Pekerjaan ibu dan ayah beliau sebelum ini dengan kerajaan di Jabatan Kerja Raya
banyak mendedahkan beliau sejak kecil dengan semangat untuk berkhidmat kepada negara.
Dengan moto Jabatan Kerja Raya iaitu ‘Jasa Kepada Rakyat’ beliau menjadikan moto ini sebagai
prinsip hidupnya sewaktu zaman persekolahan. Justeru, ini menjuruskan beliau untuk menyertai
program-program dan aktiviti ko-kurikulum di sekolah yang memerah pengorbanan masa dan
tenaga, disiplin serta mementingkan masyarakat.

Pilihan beliau menjadi ahli Pengakap di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong Barat, Persatuan
Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) di Sekolah Menengah Penang Free dan Persatuan Kadet Polis
di Maktab Rendah Sains MARA Kulim, Kedah banyak membentuk personaliti beliau dan
dihayati sepenuhnya semua didikan yang diperolehi.

Beliau yang terus komited dalam bidang yang diminati ini, iaitu badan beruniform meneruskan
minatnya dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM sehingga beliau
mendapatkan suatu pencapaian yang sukar diperolehi oleh mereka yang biasa, penghormatan
peribadi dan kepada keluarga daripada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong iaitu
dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik USM di Majlis Pentauliahan PALAPES Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ke-22 di Universiti Utara Malaysia.

Beliau mentafsirkan kehidupan seorang Pegawai Kadet sebagai sebuah cara hidup yang
menjadikan setiap hari beliau bukan sebagai rutin, tetapi setiap hari merupakan satu misi yang
perlu dicapai. Keupayaan beliau untuk memimpin diri setiap hari dan konsisten menjadikan
beliau sebagai individu yang diberi perhatian dan tanggungjawab oleh jurulatih untuk memimpin
pegawai kadet yang lain sepanjang kehidupan beliau sebelum ditauliahkan sebagai seorang
Leftenan Muda.

Sambil tersenyum dan seolah-olah ini adalah sebuah jenaka kecil, beliau berkata, “ Semasa saya
dalam latihan, peluh,darah dan air mata menitis di padang kawad USM itu, dan itu menjadikan
saya ‘berhak’ untuk Lagu Negaraku”. Sesuatu yang mendalam dan mengajak penulis juga
berfikir, apakah sudah penulis juga ‘berhak’ untuk lagu Negaraku.

Beliau meneruskan dengan penuh kesungguhan dan menerangkan memimpin diri adalah suatu
seni yang perlu konsisten. Sebelum memimpin orang lain, diri sendiri perlu mampu dipimpin dan
juga mesti mampu untuk menjadi pengikut yang baik terdahulu. Maka hanya dengan kaedah ini,
barulah seseorang itu menjadi realistik dalam kepimpinannya, dan tidak pula dia menggunakan
kuasa pemimpin untuk kepentingan peribadi yang disifatkan oleh beliau sebagai pengkhianatan
seorang pemimpin.

Seseorang yang mahu dirinya tertanam dengan sifat kepimpinan, perlulah sanggup untuk merasai
segenap jerih dan payah sesebuah organisasi yang mahu dipimpinnya. Sebagai sebahagian
daripada Angkatan Tentera Malaysia, beliau telah merasai hampir keseluruhan susah payah
kehidupan sebagai seorang tentera. Penat lelah yang menghibakan apabila dikenang, pahit
maung pengalaman bergelumang lumpur, hujan dan matahari terik hingga sebati dengan alam,
dan latihan yang memerah jiwa perwira supaya terpancar di wajah hingga mampu menggerunkan
musuh negara. Ditambah pula parut pada wajah dan tangan sebagai kenangan dalam latihan,
semuanya adalah azimat yang beliau genggam di hatinya sebagai bekal yang dijamahnya saban
hari dalam kehidupan sebagai salah seorang pemimpin pentadbiran di Universiti.

“ Sehingga ke hari ini selepas 11 tahun berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar secara umumnya,
saya masih terhutang budi kepada latihan yang saya terima daripada jurulatih dan pegawai
tentera yang pernah mengajar saya” ujar beliau.

Sifat kepimpinan dalam tentera yang terbina dalam diri beliau telah beliau terjemahkan ke dalam
kehidupan sebagai seorang pentadbir dan hasilnya ialah beliau mencipta pelbagai impak di dalam
tugas beliau dan antaranya melebihi pangkat dan jawatan beliau ketika itu.

Leftenan Mohd Mukhwim Maghribi merupakan orang yang bertanggungjawab memimpin USM
untuk Penilaian Tahap Kecekapan bagi seluruh staf USM pada tahun 2004 sehingga USM
menjadi universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan penilaian ini bagi tujuan yang
memudahkan pengurusan latihan untuk anjakan gaji dan kenaikan pangkat termasuk pensyarah
dan pada ketika itu, usia beliau hanya 23 tahun.

Pada usia 25 tahun dalam perkhidmatan awam beliau, USM memperkenalkan sistem MyCPD
kepada seluruh IPTA dan Perkhidmatan Awam hasil usaha beliau bersama Unit Latihan yang
beliau ketuai. Sistem ini adalah bertujuan untuk pemantauan dan penilaian latihan secara
berterusan yang memudahkan pengurusan latihan dalam sesebuah organisasi. Hasil jualan
sebagai perkongsian pintar sistem ini, beliau telah menjana RM 2 juta kepada USM dan telah
menerima Anugerah ‘ Outstanding Performance Award’ daripada USAINS Holding Sdn Bhd.

Sistem ini kemudiannya diinovasikan oleh USM melalui perkongsian beliau dan dijadikan pula
sistem MyCSD yang digunakan oleh Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM
sehingga hari ini. Sistem MyCSD menyediakan transkrip kemahiran insaniah untuk pelajar USM
selepas berijazah. Transkrip seumpama ini hanya dikeluarkan oleh USM buat masa ini.

Selain pencapaian di atas, terdapat lagi beberapa pencapaian yang memberi impak kepada USM
hasil usaha beliau dan pasukannya, semuanya ada tercatat dalam penulisan pembuktian
pencapaian USM yang diterbitkan.
Merujuk kembali kepada pembinaan seorang pemimpin, inilah yang dimaksudkan oleh beliau
sebagai sesuatu yang dirasai, dihayati dan seolah-olah sifat itu tertanam dalam diri seseorang,
sehinggakan di dalam mimpi dia masih memimpin.

Namun realitinya bagi Leftenan Mohd Mukhwim Maghribi, beliau telah berjaya
menterjemahkan ilmu kepimpinannya kepada hasil dan juga impak yang positif kepada
organisasi yang beliau sayang, USM. Jika dirujuk kepada teori kepimpinan, salah satunya
tentang pemimpin ialah mampu untuk mempengaruhi kumpulan yang dipimpin supaya dapat
melaksanakan misi organisasi.

Jika ditanya teori ini dan pembuktiannya, penulis boleh menyatakan bahawa individu yang
membuktikan teori ini telah penulis temui, dan penulis juga belajar sesuatu daripada
pengalamannya. Sesi bersama personaliti pemimpin ini yang berlangsung 45 minit bagaikan
hanya sebentar. Masih banyak yang boleh dikongsikan oleh beliau. Tetapi setakat yang telah
dikongsikan, sudah cukup membenarkan bahawa, berhawa dingin dan hanya mendengar ceramah
kata-kata semangat, belum lagi menjadikan sesiapapun seorang pemimpin.

You might also like